Assalamu'alaikum w.w.t
Dalam apa jua pengajian bagi mendapatkan ilmu, pasti memerlukan guru. Guru ibarat lampu yang menyuluh kegelapan. Jika tersilap memilih guru, alamat sesatlah pemahaman yang hendak dicari. Dalam dunia moden hari ini, ramai orang yang mengaku menjadi guru. Atau ramai orang yang diangkat martabatnya menjadi guru. Hal ini tidak menghairankan kerana pada akhir zaman ini, semua bidang kehidupan telah diperalatkan oleh manusia, termasuk juga bidang keagamaan.
Dewasa ini, ramai orang telah memperniagakan ilmu agama untuk kepentingan diri. Mereka mengaku diri pandai dalam bidang agama dan membuka kelas pengajian. Dari kelas ini mereka mengaut keuntungan dengan meminta wang dan imbuhan daripada anak murid mereka. Padahal mereka tidak mempunyai kelayakan, apa lagi ilmu untuk diajar kepada orang ramai.
Justeru, janganlah kita mudah menerima seseorang yang belum kita kenal sebagai guru mursyid. Jangan mudah terpesona dengan dan kagum dengan cakap-cakap guru atau mempercayai kata-kata orang bergelar guru sebelum kita mengukur sejauhmanakah ketinggian dan kedalaman ilmun yang dimilikinya. Hanya guru mursyid sahaja yang dapat menjamin kita memperoleh ilmu yang sebenarnya. Kerana guru mursyid itu tidak akan menipu anak muridnya. Guru mursyid ialah guru yang mewarisi ilmu daripada Rasulullah untuk disebar dan diajarkan kepada umatnya. Guru yang mengajar berlandaskan kepada Al-Quran, Hadis dan hasil pengalamannya sendiri.
Guru mursyid ialah guru yang berpengetahuan luas. Guru yang memiliki segala ilmu mengenai kemanusiaan dan ketuhanan. Guru yang memiliki ilmu zahir dan ilmu batin malah lebih tepat menguasai keempat-empat bidang ilmu iaitu : Syariat, Tariqat, Hakikat dan Makrifat
Tingkah laku dan perangan guru mursyid
1. Bercakap benar
2. Jujur dan ikhlas
3. Tidak berbohong
4. Tidak menipu dan memperdayakan anak murid
5. Bertanggungjawab dan amanah
6. Tidak suka membesarkan diri
7. Selalu merendah diri dan memandang ilmu orang lain lebih tinggi daripadanya.
8. Tidak menggunakan ilmu ke jalan yang salah
9. Tidak mengeksploitasikan ilmu untuk kepentiingan diri
10. Tidak menyusah dan membebankan anak murid dengan amal ibadat
11. Tidak mereka-reka ilmu untuk menunjukkan dia seorang yang berpengalaman luas
12. Tidak merendah dan menjatuhkan martabat muridnya dihadapan murid yang lain
13. Tidak suka membanding-bandingkan ilmu diantara seseorang guru yang lain dan dengan dirinya sendiri
Adapun tanda-tanda seseorang guru itu mursyid, ialah ia mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang jarang ada kepada guru biasa.
Kelebihan dan keistimewaan guru mursyid
1. Kahsyaf...dapat mengetahui apa yang tersembunyi
2. Memiliki kebolehan seperti yang dimiliki oleh para wali
3. Doanya dimakbulkan Allah
4. Tidak pernah meninggalkan sembahyang baik secara zahir mahupun hakikat
5. Mewarisi sifa-sifat yang dimiliki oleh Rasulullah....siddik, amanah, tabligh, dan fatanah
6. Pakaiannya sentiasa menutupi aurat
7. Sentisa berada dalam zikrullah
8. Tidak tinggal wudhu' / air sembahyang.
Dan banyak lagi tanda-tanda yang tidak muat jika dituliskan di sini. Marilah kita berdoa kepada Allah agar mempertemukan kita dengan guru yang mursyid dan menimba ilmu daripadanya..amin
Sumber rujukan : Rahsia Hakikat Insan (Jilid 1) oleh Imam Al Soouti
No comments:
Post a Comment