Follow by Email

Saturday, November 24, 2012

Gila Isim : Satu Tinjauan

Saudara pembaca yang dihormati.

Terdapat pelbagai jenis gila yang disebabkan oleh sesuatu perkara yang menimpa diri seseorang. Fokus tulisan kali ini ialah mengupas mengenai sejenis penyakit gila yang dipanggil gila isim.
Pernahkan saudara pembaca mendengar atau berhadapan dengan orang yang terkena gila isim? Apakah jenisnya penyakit ini dan bagaimana penyakit ini boleh menimpa seseorang itu?

Mungkinkah orang ini terkena gila isim?

Gila isim kerana banyak belajar ilmu agama?
Lazimnya gila isim sering dikaitkan dengan kecenderungan seseorang itu belajar ilmu-ilmu kerohanian atau kebatinan dan ilmu hikmah. Memang benar pernah berlaku adanya seseorang yang  mengamalkan zikir-zikir tertentu, yang benar lafaznya, tidak bertentangan dengan syariat, ketika dalam proses mempelajari ilmu ketahanan diri akhirnya menjadi gila isim, menyebabkan orang berkenaan mudah marah, mengamuk, tidak dapat mengawal diri, bercakap sendiri dan kadang-kadang memaki hamun tidak menentu, atau  rasa murung dan sedih yang bersangatan tanpa sebab yang jelas.  Situasi seperti ini biasanya dikaitkan dengan punca yang satu, iaitu kerana terlalu banyak mempelajari ilmu agama.
Sejarah telah membuktikan bahawa tidak ada orang yang menjadi gila, termasuk apa yang diistilahkan sebagai gila isim kerana terlalu banyak mempelajari agama, iaitu ilmu Allah. Tidak ada diantara para sahabat, tabiin, orang yang menghafal al-Quran, atau alim ulama yang gila kerana tidak tertanggung menampung beban ilmu yang diterima.
‘Mempelajari ilmu agama’ yang dikatakan menyebabkan gila isim, yang terdiri daripada amalan, menyebut zikir-zikir tertentu yang disebut berulang kali, pada waktu-waktu tertentu, dengan jumlah yang begitu banyak secara mengejut tanpa asas ilmu agama untuk memperoleh ilmu kebatinan boleh menyebabkan fizikal dan mental seseorang itu lemah.  Berzikir, biarpun dengan zikir yang betul, sebutan yang tidak menyalahi ilmu tajwid, tetapi dengan niat atau tujuan yang salah, bukan kerana Allah seperti untuk kebal, untuk mendapat ilmu kebatinan dan sebagainya adalah amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah. Amalah seperti ini sebenarnya bukan satu proses mempelajari ilmu agama, seperti yang dikatkan dengan gila isim.
Punca-punca Gila Isim
Berzikir
Amalan ini lebih mirip kepada sebutan zikir-zikir yang diamalkan dengan tujuan dan niat yang salah. Latar belakang seperti ini, dalam keadaan tertentu menyebabkan orang berkenaan didatangi oleh mahkluk-makhluk halus (jin), yang dengan mudah meresap dalam tubuh, iaitu ketika jasad dan mental seseorang itu lemah.
 Ada juga sesetengah orang yang gila isim disebabkan oleh pelbagai amalan sesat. Kita boleh dapati seribu satu macam amalan sesat dalam masyarakat yang boleh menyebabkan seseorang menjadi gila isim. Amalan sesat bukan hanya berkisar dengan tasawuf dan tarekat sahaja, tetapi meliputi amalan seni mempertahankan diri, tenaga dalam  dan sebagainya.
Gila isim juga boleh dikaitkan dengan belajar tanpa syaikh (guru), khasnya  yang melibatkan ilmu tauhid dan tasawuf.  Ada ungkapan orang sufi yang terkenal : “Belajar tanpa syeikh  maka syaitanlah syeikhnya”.
Terdapat juga punca gila isim kerana zikir-zikir atau ayat-ayat suci al-Quran yang diwiridkan dalam jumlah yang banyak dan secara berterusan. Sepatutnya bilangan wiridnya biarlah bermula dengan jumlah yang sedikit dahulu kemudian barulah beransur dengan jumlah yang banyak. Ini tidak, dihentamnya sehingga ribuan kali. Perlu diketahui bahawa zikir atau potongan ayat suci al-Quran mempunyai nur (cahaya) yang mampu membakar unsur-unsur jahat seperti jin dalam diri.
Tanda-tanda Gila Isim
Gila isim yang disebabkan oleh amalan zikrullah ada beberapa tanda awal. Syeikh (guru) yang mursyid akan dapat mengetahui tanda-tanda awal tersebut.
Antara tanda-tandanya ialah:
1.      Merasakan sangat panas atau sangat sejuk
2.      Berasa sakit seluruh badan ketika berzikir
3.      Sakit kepala
4.      Sakit kaki
5.      Sakit lutut
6.      Sakit perut
7.      Asyik buang angin
8.      Nampak berbagai-bagai rupa objek
9.      Mendengar suara bisikan
10.  Tiba-tiba tersenyum
11.  Menggeletar seluruh badan
12.  Mata merah
13.  Pandangan mata liar
14.  Gerak-gerinya mula tidak normal dan sebagainya.
Oleh sebab itu syaikh tersebut akan melarang murid itu dari berzikir. Dia akan direhatkan dari beban amal seperti berzikir kecuali menunaikan amalan wajib seperti sembahyang dan membanyakkan selawat ke atas nabi.
Bagi tanda-tanda serius, anda fikir-fikirkanlah sendiri.....

Pengajaran
1.      Amalkan zikir atau apa jua ibadah hanya ikhlas semata-mata kerana Allah.
2.      Ilmu agama tidak menjadi penyebab seseorang itu menjadi gila isim.
3.      Belajar sesuatu ilmu (khasnya ilmu tauhid dan tasauf) biarlah berguru.
4.      Ambillah amalan tarekat yang muktabar daripada syeikh yang benar silsilahnya.
5.      Wirid zikir haruslah ‘ansur maju’ mengikut kemampuan fizikal dan rohani.

Sekian dahulu daripada hamba yang fakir..
Rujukan :
1.      Doa dan Rawatan Penyakit (1), (1997), Dr. Amran Kasimin & Dato’ Dr Haron Din
2.      Majalah Al-Islam (Oktober 2012), Utusan Karya Sdn. Bhd.

1 comment:

Anonymous said...

Sbb tu bkn semua zikir boleh diamalkan begitu shj..perlukan guru yg akan periksa ahwal kita..cth spt Zikir Lathoif 7...mmg kdg2 kita nmpak zikir itu simple mcm lailahaillah dsb..ttp jika zikir yg mmerlukan kaedah trtentu yg bersanad jika tidak mendapat izin tuan guru..boleh mndatangkn mudharat..smua atas izin Allah..wallahua'lam

Post a Comment