Follow by Email

Wednesday, November 28, 2012

HUBUNGAN HAMBA DENGAN TUHAN (ALLAH TAALA)

Assalamu’alaikum wwt.
Salam sejahtera buat pembaca yang dihormati sekalian.
Sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini, kita perlulah mengenal-Nya dengan pengenalan yang betul sebagaimana yang dituntut oleha agama Islam yang suci. Ada banyak kaedah untuk kita mengenal Allah yang Esa. Kita boleh belajar Tauhid tentang sifat-sifat Allah yang wajib, mustahil dan harus (melalui pelajaran sifat 20) atau kita belajar menerusi jalan Mengenal Diri  yang membawa kita mengenal Allah (jalan tasauf) dan sebagainya.
Sekiranya Allah menghendaki kebaikan  bagi diri kita , maka akan didorongnya kita belajar dan mengerti akan agama Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad saw. Sebaliknya jika kita jauh daripada agama, maka cepat-cepatlah belajar sebelum terlambat.
Tulisan pada kali ini mengajak kita merenung sejenak hubungan kita dengan Tuhan iaitu Allah Taala. Bagaimanakah pemahaman kita akan perhubungan hamba dengan Tuhan ini?
Saya bawakan  penerangan tersebut melalui kaedah soal jawab  dengan merujuk kitab Kasyfu Al-Asrar (Pembukaan Segala Rahsia) karangan Asy-Syeikh Muhammad Shaleh bin Abdullah Mengkabauw.
Soal : Dan mana misal (perumpamaan) hamba dengan Tuhan, mana misal Tuhan dengan hamba, beri ilmunya supaya tahu?
Jawab : Bermula misal hamba dengan Tuhan dan misal Tuhan dengan hamba, iaitu:
1.      Misal matahari dengan cahayanya, tiada sekutu, tiada bercerai cahaya itu dengan zat matahari, bukan cahaya itu matahari, bukan lain daripada matahari.
2.      Dan lagi misalnya, seperti api dengan asap. Adapun asap itu menunjukkan ada api dan bukan asap itu api tiada lain daripada api, tiada bercerai tiada sekutu.
3.      Seperti misal ini, hamba dengan Tuhan, tiada bercerai tiada sekutu.maka tatkala itu hairan akal dan sangat ajaib, betapakah berhimpun keduanya. Inilah isyarat sabda Nabi saw .( maksudnya) “ Tiada bercerai antara nafi dengan isbat dan sesiapa ceraikan, orang itu kafir”
Soal : Dan manakah rupanya yang tiada bercerai tiada sekutu, beri kami hukumnya?
Jawab : Dan adapun rupanya tiada bercerai itu, iaitu:
1.      Kuasa engkau itu, kuasa Allah Taala
2.      Bergerak engkau itu, digerakkan oleh Allah Taala
3.      Dan ikhtiar engkau itu, ikhtiar Allah Taala
 Dan erti tiada sekutu itu, iaitu tiada sekali-kali engkau berkuasa sertanya seberat zarah jua, hanya semata-mata kuasanya Allah Taala. Sabda Nabi saw: (maksudnya): “Tiada bergerak suatu zarah jua melainkan dengan Allah, yakni dikehendaki oleh Allah”
Inilah ertinya nafi mengandung isbat, dan isbat mengandung nafi,
Tiada bercerai, Tiada sekutu.
Sekian sahaja daripada hamba yang fakir ini. Jumpa lagi....

Sunday, November 25, 2012

MEMPERBAHARUI IKRAR SILAT CEKAK

SILAT CHEKAK SILAT PAPAN SEKEPING
Logo rasmi
Assalamu’alaikum wwt.
Pemergian Allahyarham Guru Utama Silat Cekak Malaysia ke-2 iaitu Ustaz Ishak bin Itam (Pak Ak) pada 13 Mac, 2012 meninggalkan kesan mendalam kepada diri saya. Saya sangat menyayangi dan menyanjung tinggi jasa beliau yang telah mendidik dan membimbing diri ini sebagai pengamal silat Cekak. Saya telah menjadi muridnya mulai tahun 2000.
Dalam artikel terdahulu saya telah menyentuh serba sedikit berkenaan penglibatan saya di dalam Silat Cekak Malaysia (sila rujuk).
Pada saya, silat Cekak amat istimewa dari segi kekemasan buah dan kuncian serta amalan zahir dan batin yang selari dengan ajaran Islam sejati.
Perpecahan Silat Cekak
Siat Cekak yang dibawa dan dizahirkan oleh Almarhum Ustaz Hj. Hanafi bin Ahmad pada 19 Ogos, 1971 telah menyaksikan perpecahan yang hebat, sejak dari zaman Almarhum masih hidup lagi sehinggalah pada ketika ini.
Pada hari ini silat Cekak telah berpecah kepada EMPAT  nama berbeza yang dipimpin oleh Empat guru berbeza, iaitu:
1.      SILAT CEKAK HANAFI (Guru : EN. MARWI BIN LATIF)
2.      SILAT CEKAK PUSAKA USTAZ HANAFI (Guru : MD. RADZI HAJI HANAFI)
3.      SILAT CEKAK MALAYSIA (Guru : DATUK HJ.MAIDEEN BIN KADIR SHAH)
4.      SILAT CHEKAK SILAT PAPAN SEKEPING (Guru : MOHD SOLEH BIN HUSIN)
Tentang maklumat lanjut keempat-empat silat Cekak tersebut, saudara bolehlah melayari web berkenaan.

Pendirian saya

Secara rasminya pada 16 November, 2012 (Jumaat), saya telah memperbaharui ikrar (baiah) bersama Guru Mohd Soleh bin Husin iaitu guru Utama & Presiden Silat Chekak Silat Papan Sekeping. Ada sebab tersendiri saya memilih silat ini sebagai menyambung silatturahim silat Cekak setelah pemergian Allahyarham Pak Ak.

YM. Mohd Soleh bin Husin

Dengan ikrar tersebut, saya akan meneruskan perjuangan Silat Chekak Silat Papan Sekeping sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Yang penting saya mahu bersama jemaah persilatan ini.
Kepada sahabat-sahabat seperjuangan silat Cekak, marilah kita menyambung  kembali silatturahim silat Cekak yang diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi. Ibarat kata “Patah tumbuh hilang berganti”.

Kita bersilat bukan kerana silat,
Kita bersilat kerana agama.
Kita bersilat bukan kerana silat,
Kita bersilat kerana Allah.
Sekian untuk paparan ringkas kali ini.

Saturday, November 24, 2012

Gila Isim : Satu Tinjauan

Saudara pembaca yang dihormati.

Terdapat pelbagai jenis gila yang disebabkan oleh sesuatu perkara yang menimpa diri seseorang. Fokus tulisan kali ini ialah mengupas mengenai sejenis penyakit gila yang dipanggil gila isim.
Pernahkan saudara pembaca mendengar atau berhadapan dengan orang yang terkena gila isim? Apakah jenisnya penyakit ini dan bagaimana penyakit ini boleh menimpa seseorang itu?

Mungkinkah orang ini terkena gila isim?

Gila isim kerana banyak belajar ilmu agama?
Lazimnya gila isim sering dikaitkan dengan kecenderungan seseorang itu belajar ilmu-ilmu kerohanian atau kebatinan dan ilmu hikmah. Memang benar pernah berlaku adanya seseorang yang  mengamalkan zikir-zikir tertentu, yang benar lafaznya, tidak bertentangan dengan syariat, ketika dalam proses mempelajari ilmu ketahanan diri akhirnya menjadi gila isim, menyebabkan orang berkenaan mudah marah, mengamuk, tidak dapat mengawal diri, bercakap sendiri dan kadang-kadang memaki hamun tidak menentu, atau  rasa murung dan sedih yang bersangatan tanpa sebab yang jelas.  Situasi seperti ini biasanya dikaitkan dengan punca yang satu, iaitu kerana terlalu banyak mempelajari ilmu agama.
Sejarah telah membuktikan bahawa tidak ada orang yang menjadi gila, termasuk apa yang diistilahkan sebagai gila isim kerana terlalu banyak mempelajari agama, iaitu ilmu Allah. Tidak ada diantara para sahabat, tabiin, orang yang menghafal al-Quran, atau alim ulama yang gila kerana tidak tertanggung menampung beban ilmu yang diterima.
‘Mempelajari ilmu agama’ yang dikatakan menyebabkan gila isim, yang terdiri daripada amalan, menyebut zikir-zikir tertentu yang disebut berulang kali, pada waktu-waktu tertentu, dengan jumlah yang begitu banyak secara mengejut tanpa asas ilmu agama untuk memperoleh ilmu kebatinan boleh menyebabkan fizikal dan mental seseorang itu lemah.  Berzikir, biarpun dengan zikir yang betul, sebutan yang tidak menyalahi ilmu tajwid, tetapi dengan niat atau tujuan yang salah, bukan kerana Allah seperti untuk kebal, untuk mendapat ilmu kebatinan dan sebagainya adalah amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah. Amalah seperti ini sebenarnya bukan satu proses mempelajari ilmu agama, seperti yang dikatkan dengan gila isim.
Punca-punca Gila Isim
Berzikir
Amalan ini lebih mirip kepada sebutan zikir-zikir yang diamalkan dengan tujuan dan niat yang salah. Latar belakang seperti ini, dalam keadaan tertentu menyebabkan orang berkenaan didatangi oleh mahkluk-makhluk halus (jin), yang dengan mudah meresap dalam tubuh, iaitu ketika jasad dan mental seseorang itu lemah.
 Ada juga sesetengah orang yang gila isim disebabkan oleh pelbagai amalan sesat. Kita boleh dapati seribu satu macam amalan sesat dalam masyarakat yang boleh menyebabkan seseorang menjadi gila isim. Amalan sesat bukan hanya berkisar dengan tasawuf dan tarekat sahaja, tetapi meliputi amalan seni mempertahankan diri, tenaga dalam  dan sebagainya.
Gila isim juga boleh dikaitkan dengan belajar tanpa syaikh (guru), khasnya  yang melibatkan ilmu tauhid dan tasawuf.  Ada ungkapan orang sufi yang terkenal : “Belajar tanpa syeikh  maka syaitanlah syeikhnya”.
Terdapat juga punca gila isim kerana zikir-zikir atau ayat-ayat suci al-Quran yang diwiridkan dalam jumlah yang banyak dan secara berterusan. Sepatutnya bilangan wiridnya biarlah bermula dengan jumlah yang sedikit dahulu kemudian barulah beransur dengan jumlah yang banyak. Ini tidak, dihentamnya sehingga ribuan kali. Perlu diketahui bahawa zikir atau potongan ayat suci al-Quran mempunyai nur (cahaya) yang mampu membakar unsur-unsur jahat seperti jin dalam diri.
Tanda-tanda Gila Isim
Gila isim yang disebabkan oleh amalan zikrullah ada beberapa tanda awal. Syeikh (guru) yang mursyid akan dapat mengetahui tanda-tanda awal tersebut.
Antara tanda-tandanya ialah:
1.      Merasakan sangat panas atau sangat sejuk
2.      Berasa sakit seluruh badan ketika berzikir
3.      Sakit kepala
4.      Sakit kaki
5.      Sakit lutut
6.      Sakit perut
7.      Asyik buang angin
8.      Nampak berbagai-bagai rupa objek
9.      Mendengar suara bisikan
10.  Tiba-tiba tersenyum
11.  Menggeletar seluruh badan
12.  Mata merah
13.  Pandangan mata liar
14.  Gerak-gerinya mula tidak normal dan sebagainya.
Oleh sebab itu syaikh tersebut akan melarang murid itu dari berzikir. Dia akan direhatkan dari beban amal seperti berzikir kecuali menunaikan amalan wajib seperti sembahyang dan membanyakkan selawat ke atas nabi.
Bagi tanda-tanda serius, anda fikir-fikirkanlah sendiri.....

Pengajaran
1.      Amalkan zikir atau apa jua ibadah hanya ikhlas semata-mata kerana Allah.
2.      Ilmu agama tidak menjadi penyebab seseorang itu menjadi gila isim.
3.      Belajar sesuatu ilmu (khasnya ilmu tauhid dan tasauf) biarlah berguru.
4.      Ambillah amalan tarekat yang muktabar daripada syeikh yang benar silsilahnya.
5.      Wirid zikir haruslah ‘ansur maju’ mengikut kemampuan fizikal dan rohani.

Sekian dahulu daripada hamba yang fakir..
Rujukan :
1.      Doa dan Rawatan Penyakit (1), (1997), Dr. Amran Kasimin & Dato’ Dr Haron Din
2.      Majalah Al-Islam (Oktober 2012), Utusan Karya Sdn. Bhd.

Saturday, November 17, 2012

Ilmu Perubatan Islam: Bolehkan belajar tanpa guru?

Assalamu’alaikum wwt.
Umum mengetahui bahawa asas perubatan Islam yang utama adalah berdasarkan doa-doa yang diajar oleh Rasulullah saw. Sama ada berupa bacaan ayat-ayat suci al-Quran atau hadis-hadis. Tidak terkecuali kaedah dan amalan para ulama silam yang arif dalam bidang perubatan ini.


sedang membaca

Menimba Ilmu menerusi pembacaan
Persoalan yang sering timbul ialah adakah doa-doa dan kaedah-kaedah itu boleh diamalkan oleh semua orang berdasarkan bacaan semata-mata tanpa ijazah atau tunjuk ajar guru.
Sesungguhnya membaca al-Quran itu adalah salah satu usaha membina iman (al-Baqarah: 121). Al-Quran mengandungi keberkatan yang perlu difikiri (Sad :29). Kandungannya begitu kukuh, tersusun rapi dan jelas yang diturunkan dari Allah swt. Yang maha biijaksana lagi mengetahui (Hud: 1). Al-Quran menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman (al-Isra’: 82)
Rasulullah saw ada bersabda menyatakan bahawa ibadah umatnya yang paling utama ialah membaca al-Quran. Pada hari kiamat nanti, al-Quran itu dapat memberi syafaat kepada orang yang membacanya. Barang siapa menjadikan al-Quran itu sebagai pemimpin, ia akan menuntun orang yang berkenaan masuk syurga dan barang siapa menafikannya, al-Quran itu akan menghelanya ke neraka.
Oleh kerana sebahagian besar daripada doa-doa yang dibaca dalam kaedah rawatan ini menggunakan doa-doa yang diambil daripada al-Quran, hadis-hadis dan lain-lain kaedah, bagaimanakah boleh dikatakan bahawa doa-doa seperti ini tidak boleh dibaca dan diamalkan apabila ia dijadikan sumber atau kaedah merawat pesakit. Malah dalam  al-Quran sendiri pun menjelaskan bahawa Al-Quran itu diturunkan sebagai penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman. Kerana itu, fahaman atau pegangan mengatakan bahawa mempelajari dan mengamalkan doa-doa seperti ini, yang dibaca melalui  bacaan tidak boleh, ditegah atau merbahaya itu perlu difikirkan dan difahami dengan sebaik-baiknya.

Kelebihan Membaca
Dalam sejarah peradaban tamadun manusia, terbukti bahawa membaca itu menambahkan ilmu, menajamkan akal dan memperkaya keupayaan berfikir. Orang yang banyak membaca sering dikaitkan dengan golongan manusia intelek. Proses menimba ilmu tidak akan terhenti buat selam-lamanya selagi seseorang itu sudi membaca.  Malah Rasulullah saw sendiri pun, dalam sejarah kerasulannya menerima perintah Allah yang awal sekali agar membaca.  Kerana itu atas alasan apakah dilarang mengamalkan kaedah rawatan berdasarkan pembacaan yang dilakukan.
Amalan yang dilakukan melalui bacaan, iaitu bacaan yang melibatkan doa-doa yang betul dan hakikat itu tidak boleh dikaitkan dengan momokan-momokan atau kemungkinan-kemungkinan buruk yang akan berlaku atau telah berlaku pada diri seseorang.  Sekiranya benar berlakunya perkara-perkaran  yang tidak diingini, punca-punca yang berkaitan dengan diri orang yang terlibat itu perlu diselidiki, apakah kaedah yang diamalkan dan bagaimanakah dia membaca.  Adakah orang itu membaca hanya dengan memberi tumpuan pada bab-bab tertentu sahaja atau setelah memahami keseluruhannya dan untuk tujuan apa ia berbuat demikian.

Buku
Bahaya belajar dengan membaca tanpa berguru
Pada pendapat saya, tidak salah menimba ilmu perubatan Islam daripada pembacaan namun bahayanya besar sekali. Seseorang yang menekuni ilmu hasil pembacaan semata-mata dikhuatiri terjerumus dalam kesesatan dan salah faham dari kehendak yang sebenar. Tambahan pula dengan ledakan sumber ilmu menerusi internet, ilmu boleh diperoleh tanpa sempadan. Klik sahaja bab yang kita mahukan, maka terhidanglah ilmu yang kita hajati.  
Dengan berguru, kita boleh bertanya permasalahan yang kita tidak faham. Maka guru boleh menerangkan dengan lebih lanjut. Mana-mana yang tersilap, guru boleh menegur dan sebagainya. Apa kata, kita terus sahaja beramal melalui buku, maka jika salah tafsiran yang sebenarnya?  Maka mudahlah kita tertipu oleh syaitan.. Barangsiapa belajar tanpa guru, maka gurunya adalah syaitan.
Selepas kita berguru dalam bidang perubatan Islam, maka jika kita ingin menambah ilmu menerusi pembacaan, nah silakanlah...tidak salah kerana asasnya kita telah ada. Bahkan menambahkan lagi kefahaman kita.
Kesimpulan:
1.      Ilmu perubatan Islam seelok-eloknya dipelajari secara berguru agar betul pemahamannya.
2.      Setelah berguru, maka tidak salah menambah ilmu melalui buku kerana asasnya telah kita perlajari. Maka, kalau tidak faham boleh merujuk kepada guru.
3.      Menimba ilmu perubatan Islam melalui membaca buku semata-mata tanpa berguru dikhuatiri disesatkan oleh jin/syaitan.

Monday, November 5, 2012

Jin @ Syaitan Tandas

Assalamu’alaikum wwt.
Para pembaca yang dihormati,
Tandas merupakan salah satu tempat kotor yang sangat disukai oleh makhluk jin jahat/ syaitan.  Oleh itu syaitan akan cuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ke tandas. Di dalam sebuah buku seorang mangsa sihir telah melaporkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan. (saya ada kisah sebegini yang akan dikongsi sebentar lagi)



Oleh sebab itulah nabi Kita yang tercinta Muhammad saw telah mengajar kita kaedah perlindungan daripada diganggu oleh jin jahat ini.  Sejauh manakah kita mempraktikkan kaedah melindungi diri daripada diganggu oleh jin  yang berada di dalam tandas?
Ketahuilah bahawa ada doa khusus yang perlu kita baca sebelum melangkah kaki masuk ke dalam tandas. Begitu juga ada doa yang perlu kita baca ketika keluar dari tandas..
Berapa ramai antara kita yang selalu membaca doa ini ketika masuk dan keluar tandas? Anak-anak kecil yang belajar di taska atau di tadika sering diajar doa sebegini tetapi apabila besar, doa ini dipandang remeh. Mengapa?
Doa Masuk tandas:

Ertinya: "Ya Tuhan, hamba berlindung kepadaMu dari segala kekotoran dan segala kejahatan" (Riwayat Bukhari)
Doa keluar tandas:


Ertinya: "Bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakanku kenikmatan dan mengekalkan dalam diriku kekuatan dan menjauhkan segala penyakit daripada aku." (Riwayat Ibnu sunni dan al-Tabarani)

Manakala sunnah Rasulullah s.a.w ketika masuk ke tandas mesti melangkah dengan mendahului kaki kiri dan keluar tandas dengan mendahului kaki kanan. Tandas adalah tempat yang kotor berbanding dengan dunia diluar tandas jadi semestinya jangan kita memuliakan tandas tetapi mesti memastikan tandas sentiasa bersih. Sebaik-baiknya ketika buang air besar (berak) hendaklah ditutup kepala kita dengan kain kerana dikatakan syaitan akan kencing / berak di atas kepala yang tidak ditutup.
Saudara pembaca yang dihormati,
Saya ada satu kisah merawat pesakit yang diganggu oleh jin tandas. Ceritanya begini....
Ditempat saya bertugas (SMK. Jengka Pusat 2, Bandar Jengka, Pahang) ada satu tandas yang sudah lama ditutup dan tidak digunakan oleh pelajar. Maklumlah bila sesuatu tempat sudah ditinggalkan, maka jin akan duduk di situ. Pada satu pagi seorang pekerja baru telah membuka tandas tersebut untuk dicuci. Entah macammana dia sakit perut dan apa lagi terus membuang air besar di salah satu tandas di situ. Seketika itu juga dia terasa sakit-sakit dan gatal di seluruh badan. Kepalanya berdengung dan tidak ingat apa-apa....
Salah seorang guru menyedari keadaan pekerja tersebut lalu menelefon saya untuk dirukyah. Ketika dirukyah, suaranya berubah dan pergerakannya agresif. Saya memang tidak memberi ruang untuk makhluk jin jahat menunjuk ego.. perjanjian dibuat dan jin tersebut keluar dan pekerja tersebut sedar.
Ringkasan:
1.      Ketika masuk ke dalam tandas, langkah dengan kaki kiri.
2.      Baca doa masuk tandas dan selesaikan hajat anda. Elok tutup kepada dengan sapu tangan atau kain
3.      Bila dah selesai hajat keluarlah dari tandas dengan langkah kaki kanan dan membaca doa keluar tandas.
4.      InsyaAllah kita akan selamat dari gangguan jin atau syaitan.
Pengajaran :
1.      Jin @ syaitan ada di mana-mana. Mereka memang sentiasa mencari peluang untuk mengganggu anak Adam.
2.      Marilah sentiasa beramal dengan ajaran nabi kita Muhammad saw dalam segenap aspek kehidupan. Ingatlah ISLAM adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna sepanjang zaman.