Follow by Email

Thursday, January 24, 2013

KEUNTUNGAN ORANG YANG MENGAMALKAN WIRID

Saudara pembaca yang setia...
Untuk makluman pembaca, kelas Pengubatan Islam Darul Ansar bagi tahun 2013 cawangan Pahang telah bermula pada 20 Januari 2013 yang lalu. Bagi warga Pahang, khasnya di sekitar Bandar Temerloh, kedatangan Tuan Guru  Muhammad Rajab Akmal bin Hj. Abdul Halim al-Ahmadi (Khalifah Tariqat Al-Muhammadiyah Al Idrisiyah Al-Muhammadiyah As-Syazuliyah) merupakan ‘tuah yang datang menggolek’. Rugi betul rasanya bagi sesiapa yang tidak dapat menadah ilmu daripada beliau. 

Saya sendiri telah membawa dua orang sahabat sekereta untuk belajar di samping tiga yang lain kenalan daripada Bandar Jengka. Perkara yang baik eloklah dikongsi bersama dan dipanjang-panjangkan. Mudah-mudahan ada keberkatan daripada Allah. Sebenarnya hanya Allah jua yang menggerakkan hati sesesiapa yang diizinkan untuk belajar.

Bila kita belajar, guru akan memberikan wirid yang perlu kita diamalkan. Wirid ini berupa ayat-ayat suci al-Quran, zikir-zikir asma ul husna, hizib, selawat dan sebagainya. Dalam hal ini janganlah kita meremehkan wirid.  Wirid yang bersanad sehingga kepada Rasulullah saw melalui baiah ijazah tariqah adalah terlebih afdhal.

Telah berkata Syaikh Ahmad Ibn “Athaillah dalam kitab Hikam:
“Tidak akan meremehkan wirid kecuali orang yang sangat bodoh.  Warid itu akan didapatkan sampai di akhirat, sedang wirid itu akan terlipat (habis) dengan terlipatnya (habisnya) dunia.  Dan sesuatu yang lebih utama diperhatikan adalah apa yang tidak terganti wujudnya. Wirid adalah yang dituntut Allah dari kamu, sedang warid adalah kamu yang menuntutnya daripada-Nya. Maka dimanakah perbedaan antara wirid yang Allah telah menuntut dari kamu dengan warid yang kamu menuntutnya dari Allah”

Penjelasan :
Wirid adalah pekerjaan rutin yang berupa ibadat lahir mahupun batin.
Warid  adalah sesuatu yang berjalan di dalam hati manusia sebagai pemberian dari Allah, yang berupa ketenangan, cahaya Ilahi, kesenangan beribadah, taufik dan hidayah-Nya.
Janganlah meremehkan wirid. Kerana wirid ini merupakan cara pengabdian kepada Allah, menghadirkan hati kepada-Nya, dan mencari kenikmatan dengan berzikir kepada-Nya.  Dengan wirid orang boleh membersihkan batinnya dan menarik cahaya untuk menerangi hati.  Hanya orang yang sangat bodoh yang meremehkan wirid.
Wirid itu mempunyai dua keistimewaan dibanding dengan warid, iaitu:

1.Wirid waktunya terbatas, iaitu ketika masih di dunia. Terlewat tidak mengerjakan wirid di dunia, maka tidak akan boleh menggantikannya. Musnahnya dunia bererti habisnya masa wirid.  Matinya seseorang bererti terputusnya masa untuk menjalankan wirid.

2.Wirid itu hak Allah yang diwajibkan kepada manusia. Sedang warid adalah hakmu yang kamu ajukan kepada Allah.

Kerana keistimewaan wirid itu, maka sebaiknya setiap orang selalu menjalankan wiridnya. Wirid hanya berlaku di dunia sedangkan warid berlanjut sampai di akhirat.

Bersabda Rasulullah saw. (maksudnya):
“ Amal-amal yang paling dicintai oleh Allah adalah yang (dikerjakan) terus menerus, meskipun sedikit”

Abu Thalib Al- Makki berkata:
“Terus-menerus mengerjakan beberapa wirid termasuk akhlak orang-orang mukmin, jalannya orang-orang yang ahli ibadah, dan dia dapat menambah iman serta tanda keyakinan”

Selanjutnya kita mengharapkan Allah akan menganugerahkan kepada kita warid imdadi.  Warid imdadi adalah pertolongan Allah kepada orang beriman yang dapat menyebabkan kekuatan roh kerana terisinya hati oleh iman, ilmu dan makrifat.

Warid imdadi akan datang meresap ke  dalam hati setiap orang, bilamana orang itu mahu membersihkan hatinya dan mahu menjalankan wiridnya terus menerus. Banyak sedikitnya  warid imdadi di dalam hati seseorang, tergantung dari persiapan orang itu di dalam membersihkan hatinya dan mengamalkan wiridnya. 

Jadi jelasnya warid itu selalu mengikuti wirid.  Kalau wiridnya berjalan sempurna, maka hatinya menjadi bersih dan bercahaya.  Hati yang bersih dan bercahaya merupakan tempat warid.

Sekian, mudah-mudahan info ini berguna kepada kita.

Monday, January 21, 2013

Merawat Gatal Seluruh Badan


Saudara pembaca yang dihormati,
Pernahkah saudara terkena penyakit gatal seluruh badan atau melihat orang yang terkena gatal seluruh badan. Kalau orang Pahang panggil  Gegata (sebutan gegate) yang disebabkan oleh sejenis ulat atau kuman.
Keadaan kulit yang gatal

 
Baru-baru ini anak saya telah terkena gegata yang teruk sehingga habis gatal dan bengkak seluruh badannya. Saya ingatkan penyakit ini tidak serius dan cepat sembuh tetapi rupa-rupanya tidak..bahkan makin serius. Walaupun saya seorang pengamal perubatan Islam, tetapi saya berikhtiar juga membawa anak berjumpa doktor di Klinik Ghazali, Bandar Jengka. Maka ubat minum dan sapu pun diberi namun tidak juga memberi kesan.
Saya meneliti simpton penyakit ini dan mendapati kegatalan mula aktif sebaik sahaja masuk waktu maghrib dan berterusan hingga ke malam. Jadi, anak saya tidak dapat tidur dengan lena.
saya pun meruqyah dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan air dibuat minum dan mandi. Memang terasa ada gangguan kerana tangan saya sedikit kebas dan panas ketika memegang ubun-ubun kepalanya. Ohh.. nak lawan rupanya, bisik hati saya. Saya tidak berputus asa dan mengaku kalah. Saya tahu, gangguan tersebut mahu saya goyah dan tidak yakin akan keberkesanan dan keagungan ayat-ayat suci al-Quran. Sedikit sebanyak Allah memberi pengajaran kepada saya supaya bersabar dan tidak mudah melatah.
Masuk hari ke-3, keadaan anak saya masih tidak menampakkan perubahan. Entah macam mana saya dan isteri teringat akan satu petua orang tua-tua dahulu dalam merawat penyakit gata ini. Jadi apa salahnya saya mencuba.. mungkin petua ini juga berguna kepada saudara apabila terkena penyakit ini.
Petuanya begini: Sapukan bahagian gatal tersebut dengan rambut ibunya berulang kali.
MasyaAllah.. penyakit gatal pada badan anak saya tersebut terus sembuh dengan izin Allah.
Ingat...
Petua orang tua-tua  beserta doa adalah merupakan senjata berkesan.
Ilmu akan menjadi jika kena dengan petuanya.
Dengan petua dapat mengalahkan Ilmu.

Tuesday, January 15, 2013

DOA BERKUBU : AMALAN RINGKAS SERBAGUNA

Sudah lama saya tidak menulis dalam blog ini kerana kesibukan masa. Saya percaya saudara pembaca pun mungkin sibuk dengan tugas masing-masing.
Dalam kesibukan tugas seharian, janganlah pula kita lupa untuk membenteng diri kita dengan amalan-amalan pembenteng diri yang telah dipelajari. Ada amalan yang panjang dan ada pula amalan yang pendek. Walau apapun, sama ada panjang atau pendek amalan pendinding tersebut, yang penting ialah istiqamah. Maksud istiqamah ialah melakukan dengan berkekalan. Amalan yang dilakukan dengan istiqamah biarpun sedikit adalah lebih berkesan dan mujarab daripada melakukan banyak amalan tetapi tidak istiqamah.
Tulisan kali ini mengajak para pembaca melihat satu amalan yang ringkas yang pernah saya pelajari daripada Tuan Guru Ustaz Haron Din suatu masa dahulu. Doa tersebut dipanggil doa berkubu. Doa ini perlu dibaca dan diamalkan selalu baik ketika melangkah memulakan perjalanan, sebelum kereta bergerak, ketika memasuki bangunan pejabat, membuka bilik, ketika membuka dan menutup pintu pagar rumah dan sebagainya. Doa dibaca sekali, tiga kali atau tujuh kali kemudian barulah bertawakkal dan serahkan diri kepada Allah yang Maha Kuasa. Insya-Allah...
Doa berkubu:


A'uzubillah himinassyaitanirrajim
Tahasantu bihisni Laila ha illallah Muhammaddarasulullah. 
Maksudnya :
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.
Aku berkubu dengan kubu Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad Rasulullah.

Cara amalannya adalah seperti berikut:
Berdiri menghadap ke hadapan (katakan ke arah Utara). Baca ayat ini kemudian tiup sehingga habis nafas ke hadapan sambil menoleh kanan ke kiri.
Pusing ke arah kiri (sekarang berdiri ke arah barat), baca ayat ini kemudian tiup sehingga habis nafas ke hadapan sambil menoleh kanan ke kiri.
Lakukan perkara yang sama untuk arah selatan dan timur.
Berpaling semula ke arah utara, baca lagi kemudian tiup ke arah atas sehingga habis nafas.
Akhir sekali (bacaan ke-7), baca ayat ini kemudian tarik nafas dan tahan nafas seberapa lama yang boleh kemudian hembus.
Sekian sahaja perkongsian ilmu pada kali ini..

Saturday, January 5, 2013

MANUSIA: Hubungan antara ROH dan JASAD

Assalamu’alaikum wwt...
Salam sejahtera buat pembaca setia blog saya..
Tulisan kali ini mengajak kita berfikir dan merenung aspek kejadian diri kita iaitu hubungan roh dengan jasad.

Roh adalah merupakan hak Allah s.w.t yang dipinjamkan dalam jasad manusia dan merupakan suatu alat penghubung antara manusia dengan ketuhanan. Dengan adanya ruh, maka manusia memiliki kedudukan yang sangat tinggi kerana memiliki salah satu unsur yang sentiasa dapat menghubungkan dirinya dengan Allah. Oleh kerana itu tidaklah layak seseorang itu merasakan dirinya tinggi, mulia dan agung dengan hasil fikiran dan kebijaksanaannya kerana sebenar-benarnya semuanya itu datang dari Allah belaka.

Manusia mempunyai amanah yang dipertanggungjawabkan iaitu membesar dan mengesakan Allah s.w.t. dan diperintahkan supaya mencari jalan bagaimana untuk kembali kepada Penciptanya iaitu Allah dan Allah s.w.t telah menunjukkan jalannya bagaimana manusia itu mampu kembali kepadaNya. Oleh kerana itu manusia telah diperintahkan supaya beramal kepadaNya sebagaimana dalam firmanNya di dalam Al Quran:

“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah (kepada Ku).”

Roh tanpa jasad ia tidak akan dapat beramal.
Amalan dapat dizahirkan apabila adanya jasad.
Jasad tanpa roh adalah mati.

Maknanya disini, rohlah yang menghidupkan jasad, bergerak roh maka bergeraklah jasad, apa-apa juga perbuatan oleh jasad adalah datangnya dari perbuatan roh. (mungkin agak sukar difahami bagi segelintir orang)

Pembangunan jasad mengikut usianya. Semakin lanjut umurnya maka semakin dewasalah jasad. Jasad memerlukan makanan untuk pembesarannya dan makanan yang diambil bagi tujuan ini adalah merupakan sesuatu yang mudah rosak dan tidak bertahan lama, maka apa yang terjadi pada jasad juga mudah rosak dan tidak tahan lama. Akhirnya apabila jasad menjadi
tua ia akan memasuki tahap menanti kematian. Tetapi ini tidak berlaku kepada roh. Roh akan sentiasa berkeadaan muda dan tidak memerlukan makanan seperti yang diperlukan oleh jasad.
 Walaupun begitu, makanan roh adalah berbeza, kerana ia berkehendakkan sesuatu yang halus
dan seni untuk pembangunannya. Dengan kata lain roh adalah pemerintah yang memerintahkan jasad untuk melakukan sesuatu yang dikehendakinya. Apa yang diperintahkan
oleh roh maka jasad akan melaksanakannya.

Sebenarnya roh diutuskan dalam jasad adalah untuk beribadah kepada Allah, sebagaimana dalam surah yang dinyatakan sebelum ini, walaubagaimana pun apabila roh turun ke bumi dalam jasad, roh telah terpesona dan tertipu dengan apa yang ada di bumi yang mana menyebabkan ia lupa akan janjinya kepada Allah s.w.t iaitu beribadah kepada Nya. Roh akan lebih jauh tertipu dengan adanya bisikan daripada manusia dan jin sebagaimana peringatan yang diberkan oleh Allah dalam surah An Naas ayat 4-6 :

'Dari kejahatan pembisik, penghasut (syaitan) yang mengendap, Yang melemparkan bisikan dan hasutan ke dalam hati manusia, Dari kalangan jin dan manusia'.

Dalam hal ini manusia selalunya lupa akan anugerah dan amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t kepadanya. Segala apa yang dipinjamkan oleh Allah kepadanya tidak dijaga seperti yang sepatutnya, malah ia lupa akan tanggungjawab yang ada padanya. Akal dan fikiran yang diberi
oleh Allah s.w.t. digunakan hanya untuk keduniaan dan sedikit saja yang dapat menggunakannya ke jalan yang HAQ.