Follow by Email

Wednesday, November 30, 2011

Mandi beserta zikir

Assalamu’alaikum wwt..
Sesudah saya membicarakan kaedah Petua Mandi Songsang, maka tidak lengkap rasanya jika tidak berkongsi mengenai mandi beserta zikir kepada Allah.
Ingat, kita mandi bukan sahaja untuk menyuci dan menyegarkan badan yang zahir dengan menggosok badan menggunakan sabun dan sebagainya. Malah lebih jauh daripada itu, kita juga memohon kepada Allah agar disembuhkan daripada penyakit zahir dan batin yang ada pada diri kita. Justeru, sudah sewajarnya kita tidak lupa kepada Allah dalam setiap keadaan ,hatta dalam mandi sekalipun.
Ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ditimpa ujian penyakit yang amat dahsyat daripada Allah. Kesabaran dan ketahanan iman Nabi Ayub sungguh kental dan tidak mengenal erti putus asa. Allah s.w.t telah memujinya dalam kitab-Nya yang berbunyi:
"Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)." (QS. Shad: 44)

Setelah Nabi Ayub menderita penyakit kronis dalam jangka waktu yang cukup lama, dimana sahabat dan keluarganya telah melupakannya, maka ia menyeru Rabbnya, "(Ya Rabbku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang." (Al-Anbiya’: 83). Dikatakan kepadanya, "Hantamkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan minum." (Shad: 42). Nabi Ayub AS menghantamkan kakinya, maka memancarlah mata air yang dingin karena hantaman kakinya tersebut. Dikatakan kepadanya, "Minumlah darinya serta mandilah." Nabi Ayub AS melakukannya, maka Allah Ta'ala menghilangkan penyakit yang menimpa lahir dan batinnya.

Kita mengambil iktibar akan kisah Nabi Ayub yang diperintahkan oleh Allah agar minum dan mandi untuk menyembuhkan penyakit. Jadi apa salahnya kita pun beramal dengan kaedah mandi tersebut.
Caranya begini:

Mandi di telaga

Gunakan kaedah Mandi Songsang iaitu; Mula-mula kita menjiruskan air bermula daripada kaki, betis, lutut, peha, pinggang, badan, dada dan ke bahu. Apabila sampai siraman air ke bahu, maka ambil satu timba air siramkan separuh air ke bahu kanan sambil berkata “Laillaha illallah” dan separuh air lagi dalam timba tersebut siramkan pula ke bahu kiri dengan berkata “Muhammadar rasullullah”.  Begitulah kita lakukan bergilir-gilir ke bahu kanan dan ke bahu kiri sebanyak 8 (lapan) kali. Untuk kali ke-9 (sembilan), ambil satu timba air dan siramkan ke kepala dengan berkata “Laillaha illallahu Muhammadar rasululllah”. Boleh juga kita meneguk sedikit air yang mengalir dari siraman ke kepala tadi. Sambil itu niatkan dalam hati semuga Allah menyembuhkan segala penyakit zahir dan batin  kita. InsyaAllah makbul....
Ingat....mandi tu mestilah menutup aurad. Jangan mandi telanjang pula (malulah sikit).
Sekian untuk perkongsian kali ini, cubalah...apapun, mesti IKHLAS, YAKIN dan REDHA

Tuesday, November 29, 2011

Mandi Songsang : Rahsia pengamalannya

Assalamu’alaikum wwt.
Bersua kembali dalam blog saya kali ini. Agak tidak terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah (Muharam,1433 Hijrah). Mudah-mudahan, amalan baik kita akan diterima oleh-Nya dan berusaha sedaya upaya untuk menghindari perkara-perkara dosa dan maksiat.
Tulisan kali ini membawa satu dimensi yang tidak asing iaitu berkaitan mandi. Namun skopnya ialah berkaitan mandi songsang.  Mandi songsang?  Tak pernah dengar pun?....
Ikuti penerangan seterusnya....
................................................................................................................................


Mandi sungai

Mandi songsang ialah satu kaedah terapi yang amat hebat dan menghasilkan kesan yang amat menakjubkan kepada pengamalnya. Lazimnya pada masa sekarang orang akan mandi dengan menjiruskan air bermula pada bahagian kepala. Situasi ini sebenarnya akan memberikan impak yang buruk kepada  otak....dan seterusnya akan memberikan kesan yang buruk pada kesihatan diri.
 Cara mandi biasa akan menyebabkan sistem pertahanan badan akan menjadi lemah. Ini kerana sistem saraf pendarahan otak akan mengecut kerana siraman air tersebut dan membuatkan sistem otak terjejas. Seluruh sistem hormon dan kimia badan adalah diatur di dalam kepala, maka cara mandi biasa lebih banyak akan memberikan impak yang buruk kepada sistem pertahanan badan.
Jadi, apa itu mandi songsang?  Mandi songsang merupakan amalan membasahkan tubuh badan bermula dari kaki dan beransur-ansur membasahi bahagian atas badan kemudian berakhir dengan  kepala. Sebenarnya kaedah mandian ini sering diamalkan oleh orang tua-tua dahulu. Apabila mereka mandi di sungai, mereka akan turun perlahan-lahan dengan mengenakan air di bahagian kaki, pinggang, badan dan menyelam ke dalam sungai. Begitu juga apabila mandi di perigi atau di paip air.
Kebaikan dan kelebihan mandi songsang:
Antara kebaikan dan kelebihan amalan mandi songsang adalah seperti berikut (insyaAllah):
1.      Menjadikan pengamalnya awet muda dan bertenaga.
2.      Mengembangkan salur darah otak. Menjadikan otak bertambah baik dan berfungsi.
3.      Menjadikan sistem pertahanan badan akan bertambah baik fungsinya dan seterusnya menjana sistem hormon badan dengan lebih hebat untuk tahap kesihatan yang maksimum.
4.      Mengurangkan tekanan (stress) yang telah dihasilkan oleh otak.
5.      Meninggikan daya ingatan.
6.      Mengelakkan atau mengurangkan sakit kepala.
7.      Menjadikan mood / perasaan yang tenang dan ceria.
8.      Menjadikan jiwa sentiasa bersemangat.
9.      Memiliki  daya ketahanan mental.
10.  Menambahkan semangat berani.
11.  Menguatkan gusi dan gigi
12.  Dan banyak lagi yang akan diketahui apabila mula diamalkan....
Jadi, mulai sekarang ubahlah tabiat mandi biasa kepada tabiat mandi songsang. Bagi yang sudah beramal dengan mandi songsang sebelum ini (termasuk saya)...khasiatnya anda sudah tahu sendiri.
Mudah-mudahan info petua ini bermanfaat bagi kita untuk menjana kesihatan diri yang baik. Ingat...cegah sebelum parah. Gunakan cara yang percuma dan selamat ini...
Sumber : Buletin Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia)

Thursday, November 24, 2011

Biar diri rasa bodoh

Assalamu'alaikkum wwt..

Bila disebut perkataan 'bodoh' semua orang tidak suka, semua orang marah dan semua orang akan memandang rendah akan kebodohan tersebut. Jika seseorang itu bodoh, bererti orang itu tidak berilmu atau kurang pengetahuan tentang sesuatu perkara. Seboleh-bolehnya, semua orang di dunia ini tidak mahu digelar bodoh. Jadi, kewajipan kita kena belajar.

Dalam ilmu ketuhanan, rasa bodoh di hadapan Tuhan merupakan sifat terpuji yang melambangkan betapa hinanya manusia berbanding dengan Ilmu Allah. Kita ini sebenarnya tiada apa-apa yang boleh dibanggakan kerana hakikat sebenarnya ilmu yang ada pada kita hanyalah semata-mata kurniaan daripada Allah.
Sebab itulah kita kena menafikan ilmu kita, Yang berilmu hanyalah Allah. Lenyap ilmu kita dalam ilmu Allah. Pada ketika itu, barulah kita menyandarkan sepenuhnya kepada Allah.

Berbalik dalam bidang rawatan Islam;...  Setelah kita mempelajari ilmu rawatan Islam daripada guru, maka sandarkan ikhtiar dan kaedah rawatan kita kepada Allah, jangan bersandar kepada ilmu. Ilmu itu sebagai alat sahaja. Rasakan kita bodoh ketika merawat penyakit dan pesakit. Pada ketika itu, jangan ada sedikitpun beriktikad bahawa ilmu kita yang boleh menyembuhkan penyakit. Jika pada ketika itu Allah mengizinkan penyakit seseorang itu sembuh, maka sembuhlah. Jika Allah tidak mengizinkan sembuh, maka tidak ada kesembuhan. Sebab itulah saya tidak berasa apa-apa jika ikhtiar saya tidak berjaya, mungkin ada kelemahan dari diri saya. Mungkin saya tidak meletakkan sepenuhnya sifat bodoh saya di hadapan Tuhan. Mungkin pada ketika itu terbit rasa ego dalam diri bahawa saya boleh menyembuhkan penyakit tersebut. Inilah hakikat yang sukar difahami oleh perawat-perawat baru termasuk saya.

Lazimkanlah berkata dan mengingatkan akan diri sendiri akan kata penafian ini, pada setiap masa dan ketika iaitu :
LA HAYYUN ( tiada aku Hidup)
LA ALIMUN  (Tiada aku Berilmu)
LA SAMI'UN (Tiada aku Mendengar)
LA BASIRUN (Tiada aku Melihat)
LA QADIRUN (Tiada aku Berkuasa)
LA MURIDUN (Tiada aku Berkehendak)
LA MUTAKALLIMUN (Tiada aku Berkata-kata)

BIL HAQQI ILLAHLLAH......(hanyalah pada Allah semata-mata)

Sekian untuk perkongsian ilmu kali ini....jumpa lagi.
Ingat...BELAJAR SAMPAI PANDAI.....tapi ....JANGAN TUNJUK PANDAI (bodohlah tu)

Sunday, November 20, 2011

Tubuh panas dengar azan

Oleh Muhammad Saufi Hassan dan Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my

Sabtu, 19 November 2011


Mangsa "Susuk Kuat Sembahyang"
KUALA LUMPUR: “Niat saya hanya untuk mendalami agama dan melakukan ibadat. Tidak sangka pula jalan yang saya ambil bukan cara yang sebenarnya, sebaliknya memesongkan akidah,” kata Zaki, 34, yang memakai ‘susuk kuat sembahyang’ kira-kira setahun lalu, diperoleh daripada seorang individu mendakwa sebagai ustaz di Kelantan.

Menurutnya, dia ditemukan dengan lelaki itu oleh seorang rakan selepas mendengar cadangan daripada sahabatnya itu yang didakwa turut menggunakan susuk berkenaan.

Tambahnya, ustaz itu memasukkan serbuk campuran tertentu pada tapak kakinya, di bahagian belakang badan dan tapak tangan menggunakan bacaan tertentu seperti mantera yang sukar difahami kononnya untuk merawat hatinya yang dipenuhi dosa.

Katanya, selepas ustaz itu memasukkan serbuk campuran berkenaan, dia merasakan kelainan pada tubuh badannya dan setiap kali ingin menunaikan ibadat, dia berasakan seperti ada suara ghaib membisikkan ke telinganya supaya melakukan ibadat.

Zaki berkata, susuk itu juga mempunyai larangan tertentu yang perlu dipatuhi sepanjang tiga bulan pertama pemakaiannya, termasuk tidak boleh menjejakkan kaki di tanah perkuburan dan sekiranya dia tidak mematuhi syarat itu, ustaz terbabit mendakwa dia akan menghidap penyakit misteri yang sukar diubati.
Komen:
Anda telah membaca kisah ini…apa komen anda?  Anda jawablah sendiri...
Apapun, janganlah mencari jalan pintas untuk mendapatkan  sesuatu. Lebih parah lagi jika ingin mendalami agama Islam dengan cara ikut-ikut. Mulakan ilmu dari bawah dahulu...kuasai ilmu asas seperti tauhid, fekah dan tasauf dengan berguru. Jika tidak, kita mudah tertipu..
Tangkap ikan haruan,
   Dapat si ikan keli;
Kalau silap haluan,
   Cari tok guru belajarlah lagi.

Sekian....saya sayang anda.

Saturday, November 19, 2011

Daun Bidara : Kaedah Rawatan Gangguan Jin

Assalamu’alaikum wwt.
Salam hormat buat pembaca yang terus setia mengikuti penulisan dalam blog saya ini.
Gambar daun bidara

Herba terbaik dan mengikut sunnah dalam merawat gangguan jin ialah DAUN BIDARA. Daun bidara mempunyai batang berduri. Hati-hati jika memetik daun bidara kerana durinya sangat tajam.
Saya rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman berkenaan khasiat daun bidara dalam rawatan menangani gangguan misteri (jin).
Kisahnya begini.....
Baru-baru ini saya mendapat panggilan telefon daripada seorang perempuan yang tinggal di Jengka 13. Beliau kelihatan sangat memerlukan pertolongan daripada saya untuk mengubati adik perempuannya yang terkena gangguan misteri. Untuk tidak menghampakan harapan beliau, saya bersama sahabat seperjuangan saya telah pergi ke rumahnya selepas solat Isya’. Tujuh helai daun bidara telahpun saya bawa bersama.
Sesampainya di hadapan pintu rumah, tiba-tiba adik perempuannya bertindak aggresif seolah-olah tahu akan kehadiran kami. Apa lagi, tanpa sempat melabuhkan punggung, kami berdua terus mengikat tangan dan merebahkannya ke lantai. Kaedah rawatan segera kami gunakan untuk meredakan ‘jin’ tersebut. Bacaaan ruqyah ayat-ayat suci Al-Quran terus mengiringi sesi rawatan selanjutnya. Pesakit kadang-kadang menjerit, lepas tu ketawa, lepas tu pejam mata. Kami berdua tidak menghiraukan itu semua...
Daun bidara yang saya bawa itu ditumbuk sekira-kira lumat dan dimasukkan ke dalam segelas air dengan  bacaan Fatehah, Ayatul Qursi dan tiga Qul. Seterusnya, air daun bidara tersebut saya suakan ke mulut pesakit dengan menggunakan sudu. Subhanallah, baru beberapa teguk masuk ke mulutnya, pesakit tersebut muntah dan sedar sepenuhnya dengan izin Allah.
Saudara pembaca,
Berikut adalah panduan yang lebih jelas tentang penggunaan daun bidara sebagai kaedah rawatan.
Caranya anda cari 21 helai daun bidara ,tumbuk 7 helai daun bidara dengan lesung batu hingga lumat, ambil setengah sudu daun bidara yang lumat tadi masukkan ke secawan air mineral. Bacakan kursi 11x dan tiup air tersebut 10 saat lalu minum selepas waktu asar.Lebihan daun bidara yang dalam lesung batu tadi tu masukkan pula kedalam sebesen besar air paip,bacakan kursi 11x juga lalu tiup 10 saat pada air tu,lakukan mandian bilasan terakhir selepas waktu asar ke atas.Cara mandinya jirus air rawatan tu di kepala secara perlahan-lahan dan biarkan kering dibadan tanpa lap. Semua kaedah minum dan mandian air daun bidara tadi perlu dilakukan selama 3 hari berturut-turut, insyaAllah sembuh segala penyakit gangguan jin  histeria,santau,sihir mahupun saka. Selamat mencuba...
Ingat...kita berusaha, Allah yang menyembuhkan.
Jumpa lagi.

Monday, November 14, 2011

Petanda Terkena Gangguan Jin

Assalamu’alaikum wwt..
Pembaca yang dihormati,


Mungkinkah ini imej jin?


Sering saya diajukan persoalan tentang gangguan jin.  Memanglah persoalan ini agak sukar dijawab secara tepat, apatah lagi  melibatkan permasalahan ghaib. Namun begitu, simpton-simpton atau tanda-tanda yang memungkinkan seseorang itu terkena ganggguan jin boleh dikesan atau diperhatikan.





Selalunya  sebelum merawat masalah sebegini, ajukan  soalan kepada pesakit atau warisnya untuk memudahkan rawatan. Biasanya,  saya berpandukan gerak hati dan  bermohon kepada Allah agar diberi panduan kaedah mana dan doa mana yang perlu dibaca. Pada ketika ini konsep  ‘Tiada daya dan upaya aku melainkan daya dan upaya Allah’ hendaklah diamalkan. Jangan ada sebesar zarahpun  iktikad dalam hati ada kuasa dan daya upaya kita...sebaliknya serahkan kepada  Allah semata-mata.  Doa dan ilmu tidak boleh memberi bekas, sebaliknya yang boleh memberi bekas hanyalah Allah sahaja. Matilah sebelum kamu mati, adalah konsep pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Inilah tahap tawakal yang tinggi sekali..(usaha + tawakal = Insya-Allah berjaya)

Janganlah tanya banyak sangat kepada pesakit, nanti pesakit menyampah pula. Memadailah ditanya sekurang-kurangnya  5/6 simpton gangguan tersebut.  Selebihnya bolehlah guna kaedah ‘scan’  mengikut ilmu masing-masing.

Berikut adalah beberapa tanda seseorang itu terkena gangguan jin..
(pembaca bolehlah menyemak dan mengenalpasti adakah tanda-tanda tersebut ... Jika banyak tanda yang ada, maka segeralah rawat.., jangan terlambat)

1)Sakit kepala dan dada selepas waktu asar keatas.
2) Badan terasa berat dan malas.
3) Sukar mendapat jodoh.
4) Badan terasa bisa-bisa/gatal.
5) Sakit/takut ketika ziarah orang meninggal.
6) Sukar tidur malam.
7) Sakit pinggang tanpa sebab.
8) Sakit dada bila waktu asar keatas.
9) Mimpi melihat binatang seperti ular dan binatang berbisa.
10) Bermimpi bayi/kanak-kanak atau menyusukan bayi.
11) Bermimpi jatuh dari tempat tinggi.
12) Bermimpi di tempat yang kotor.
13) Sakit anggota badan tertentu seperti kaki,tangan selepas waktu asar.
14) Ada terasa benda bergerak dibawah kulit.
15) Bayi kerap menangis.
16) Bunyi guli jatuh diatas syiling.
17) Suami isteri kerap bertengkar walau perkara kecil.
18) Sayang melampau-lampau pada orang yang baru dikenali.
19) Malas beribadat.
20) Nyanyuk ketika usia lanjut.
21) Panas baran.
22) Sikap berubah secara mendadak.
23) Gelisah dan panas ditengkuk bila dengar al-quran.
24) Suka melakukan tabiat buruk.
25) Kerap sendawa bila mendengar al-quran.
26) Kerap keguguran.
27) Gagal melakukan hubungan kelamin.
28) Mengantuk bila dengar al-quran.
29) Bermimpi seram yang menakutkan.
30) Darah haid turun lebih 15 hari.
31) Batuk yang berpanjangan tanpa sebab klinikal.
32) Selalu ditindih ketika tidur.
33) Kuat berangan.
34) Terlalu rasa rendah diri dan tidak berkeyakinan.
35) Nafsu seksual yang melampau.
36) Selalu melihat kelibat dirumah.
37) Terasa diri selalu diperhatikan/diekori.
38) Mandul.
39) Kerap mendengar sesuatu bisikan.
40) Melihat jin secara terus.
41) Sakit mental atau gila.
Sekian untuk perkongsian ilmu kali ini. Mudah-mudahan bermanfaat kepada saya dan anda pembaca yang dihormati...jumpa lagi, salam hormat dari saya...

Sunday, November 13, 2011

Tenaga Zikir dalam konteks Zikir Nafas

Assalamu’alaikum wwt.
Saudara pembaca yang dihormati,
Sungguh besar manfaat yang dapat kita perolehi apabila berkekalan zikir @ ingat kepada Allah. Saudara boleh merujuk kepada kitab yang menerangkan fadhilat zikir ini. Tulisan  kali ini membawa fokus kepada tenaga zikir dalam konteks zikir nafas...
Bacalah dengan hati yang tenang dan lapang, mudah-mudahan bermanfaat..InsyaAllah.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------


Gambar Hiasan

Tenaga zikir adalah tenaga dari Illahi, iaitu mempunyai cahaya yang hebat bersumber dari Yang Maha Esa. Energi zikir akan menyucikan segala kotoran pada qalbi sehingga qalbinya sentiasa hidup dalam mengingati Allah.
Cahaya ini akan bersinar dan meningkatkan frekuensi cahaya jiwanya. Cahaya ini juga akan bergerak menguatkan Ruh Sultani iaitu cahaya akal sehingga akalnya mempunyai daya ketahanan yang kuat, berfikiran tajam dan kreatif. Getaran cahayanya yang tinggi ini juga akan menguatkan Ruh Jasmani atau tenaga dalam atau gelombang elektromagnet yang bergerak aktif dalam tubuhnya. Gelombang atau tenaga inilah yang mengawal segala fungsi dan organ dalam tubuh manusia.
Apabila tenaga ini terganggu atau lemah, maka ia akan mendedahkan seseorang itu kepada serangan pelbagai penyakit. Tenaga dalam badan ini juga mewujudkan medan magnetik yang juga disebut aura. Ia mengelilingi seluruh badan dan menjadi benteng pertahanan diri seseorang dan dapat mengesan gelombang-gelombang di sekelilingnya sama ada positif atau negatif. Semakin kuat tenaga elektromagnet dalam tubuh, semangkin kuatlah medan magnet atau benteng dirinya.

Zikir Nafas
Zikir yang digabungkan dengan teknik pernafasan yang betul, atau disebut oleh ahli Tasawuf sebagai zikir nafas, akan memberikan kesan yang lebih hebat. Imam Ghazali mengatakan zikir yang dilakukan dengan cara menahan nafas akan mempercepatkan proses penyucian hati (membakar mazhumah). Pernafasan yang betul akan memaksimumkan penyerapan oksigen yang amat penting dalam kehidupan dan kesihatan manusia. Kekurangan oksigen menyebabkan seseorang terdedah kepada pelbagai penyakit.

Dalam disiplin
ilmu tenaga dalam, memang ada silibus pernafasan terarah. Maksudnya, ada kiraan detik dalam setiap helaan nafas atau degupan jantung (detik). Contohnya;
1.      Menarik nafas 8 detik, tahan nafas  4 detik, turun nafas 8 detik dan tahan nafas 4 detik  atau;
2.      Menarik nafas 6 detik, tahan nafas 6 detik, turun nafas 6 detik dan tahan nafas 6 detik atau; selama mana yang terdaya oleh kita.
Ilmu tenaga dalam memang terkenal dan boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, baik orang Islam mahupun orang bukan Islam. Sudah tentunya yang terbaik adalah orang Islam yang mengamalkan zikir yang disertai dengan teknik pernafasan yang betul (mengikut petua guru) yang dinamakan zikir nafas.
Zikir Nafas adalah proses dzikir yang diikuti dengan irama naik-turun nafas kita. Kebanyakan para sufi dan wali menamakannya zikir nafas karena mereka yakin bahwa setiap unsur diri kita harus melakukan zikir. Sehingga zikir tidak hanya dilakukan oleh lisan dan qalb (zikir qauliah dan qalbiyah), tetapi nafas juga harus melakukan zikir, otak juga melakukan zikir, mata, telinga, tangan dan kaki, semuanya harus melaksanakan zikir... Para sufi membagi zikir kedalam tiga jenis: zikir lisan (dilakukan oleh lidah), zikir khofy (dilakukan oleh hati) dan zikir nafas (diikuti dengan nafas). Sebagian sufi yang lain melengkapinya dengan zikir sirri, zikir yang dirahsiakan dan zikir fi’li yaitu zikir yang dilakukan dengan perbuatan...
Zikir Nafas dapat merawat gangguan halus sama ada dari sihir atau pun jin ialah dengan mengeluarkan penyakit dari diri serta memastikan pesakit mempunyai sistem pertahanan yang kuat agar segala iblis atau sihir tidak dapat menembusinya semula setelah ia sembuh. Rawatan energi zikir juga akan menumpukan pengumpulan tenaga zikir pada qalbi (jantung) untuk mengeluarkan syaitan dari dalam darah. Apabila tenaga zikir terkumpul di jantung, maka ia akan menghantar tenaga itu keseluruh badan melalui sistem peredaran darah, seterusnya menghancurkan segala tenaga yang rendah (jin dan syaitan) tidak kira di mana ia berada dalam tubuh pesakit.
Terdapat empat pembahagian nafas iaitu ; Nafas, Ampas, Tanafas dan Nupus.  Ada yang keluar masuk tubuh, ada yang masuk dan tidak keluar dari tubuh, ada yang tidak pernah keluar dan tidak pernah masuk (sudah memang sedia ada di dalam tubuh) dan ada yang keluar dan tidak masuk lagi (hembusan nafas yang terakhir). Allah menyempurnakan manusia dengan "meniupkan" ruh ke dalam jasad... 
Manfaat zikir nafas ini sangat besar. Dalam praktik muraqabah, nafas diyakini sebagai jalan menuju konsentrasi terhadap makna zikir. Zikir nafas bermanfaat demi ketenangan batin, keluasan dada dan pencerahan fikiran. Zikir jika diikuti dengan nafas maka zikir tersebut akan mengalir di seluruh aliran darah dan di setiap detak jantung. Membuat kita berkekalan dengan zikrullah, selain itu zikir nafas juga membangkitkan energi murni (inner power) yang bermanfaat untuk pengubatan dan perlindungan.
Menurut pengalaman perguruan, zikir nafas juga berimbas pada pengendalian emosi yang lebih positif dan pengendalian hawa nafsu. Di samping itu juga meningkatkan daya tahan tubuh dan menjaga fikiran tetap konsisten, membuat tubuh menjadi tegak dan lebih berani dalam menghadapi musuh-musuh Islam.

Sekian, jumpa lagi..

Friday, November 11, 2011

Warna Aura Manusia : Penjelasan lanjut

Assalamu’alaikum wwt.

Saudara Pembaca,

Saya masih lagi berhasrat untuk berkongsi tentang tajuk “Aura”.  Dalam hal ini, bukanlah bermakna saya seorang yang mahir mengenai ilmu aura. Saya hanya  merujuk tulisan penulis yang mahir dalam ilmu ini, lalu saya paparkan di sini..

Saya cuma berminat dengan tafsiran warna yang merujuk kepada lapisan aura manusia.  Saya tidak mengajak saudara percaya seratus peratus dengan pendedahan ini. Ambillah sekadar tambahan maklumat sahaja...

Sila ikuti penjelasan seterusnya...

Warna boleh menjadi membina ataupun boleh memusnahkan. Warna juga boleh meransang, memperbaiki atau menarik perhatian. Atau warna juga boleh menjadi negatif atau positif. Warna aura juga menyediakan kunci kepada personaliti, mood, kematangan dan kesihatan individu tertentu. Warna aura bertindak sebagai pantulan/biasan kepada aspek rohani dan jasmani. Aura boleh berubah - ubah mengikut emosi anda pada  waktu itu

Adalah satu tugas yang besar untuk kita mempraktikkan bagaimana untuk mentafsirkan warna-warna aura. Tiap-tiap warna tersebut mempunyai perwatakan tersendiri, tetapi perubahan warna aura akan mengubah perwatakan tersebut. Kedudukan warna, keamatan warna serta kedudukan warna pada medan aura perlu dipertimbangkan.


Merah
Adalah warna bagi tenaga yang kuat, api dan kuasa kreatif utama. Merah juga tenaga yang menyokong kehidupan. Ia adalah panas. Merah menunjukkan keinginnan yang kuat, minda dan seterusnya. Ia juga satu warna dinamik yang mempengaruhi kemarahan, cinta, benci dan perubahan yang tidak terduga. Ia juga menandakan kelahiran baru dan mutasi. Merah adalah warna yang memberi kesan kepada sistem edaran darah dalam badan kita, sistem peranakan (tenaga seksual) dan kebangkitan kebolehan dan bakat yang terpendam.Terlalu banyak merah atau kekeruhan yang amat merah boleh menyebabkan stimulasi yang melampau, kesakitan yang melampau atau ketidakseimbangan. Ia juga boleh menyebabkan kegugupan, panas baran, agresif, keketaran atau tindakan yang melampau.

Oren
Oren adalah satu warna yang melambangkan hangat, kreatif dan emosi. Ia adalah penunjuk kepada keberanian, ceria dan peramah. Ia adalah warna yang boleh memberi kesan kepada pembukaan kepada kesedaran yang baru. Bergantung kepada warna, ia juga menunjukkan ketidakseimbangan emosi. Keamatan oren yang gelap juga boleh memberi kesan kepada maruah, kebimbangan dan juga harga diri.

Kuning
Kuning adalah satu daripada warna aura yang mula-mula dan paling mudah untuk dilihat. Warna kuning pucat yang mengelilingi garis rambut menunjukkan optimis. Kuning adalah warna aktiviti mental. Ia mempengaruhi peluang pembelajaran yang baru, kepintaran, cerdik dan intelek. Warna kuning adalah warna yang mempengaruhi kekuatan idea dan kebangkitan kebolehan fizik. Semakin dalam dan gelap warna kuning itu akan mempengaruhi sifat yang agak kritikal dan bersifat dogma.

Hijau
Hijau adalah satu warna yang melambangkan sensitif dan cita-cita yang tinggi. Ia mempengaruhi tumbesaran, simpati dan ketenangan. Ia berkaitan dengan individu yang boleh dipercayai, berdikari dan minda yang terbuka. Warna hijau muda menunjukkan kebolehan penyembuhan. Ia adalah warna kekuatan dan persahabatan. Makin gelap warna hijau mempengaruhi kepada kegopohan, cemburu dan ketidakpercayaan.

Biru
Biru adalah warna yang mudah untuk dilihat dalam banyak-banyak warna aura. Ia adalah warna yang memberi ketenangan dan kesepian. Ia penting dalam mempengaruhi kebenaran dan serius. Ia juga menunjukkan kebolehan dalam telepati. Biru muda menunjukkan daya imaginasi yang aktif dan intuisi yang baik. Gelapnya warna biru menunjukkan naluri yang agak kesepian. Makin keruh warna biru itu, ia memberi kesan kepada sikap selalu ingin cepat, bimbang, ketakutan, mudah lupa dan terlalu sensitive.

Ungu Violet
Violet adalah warna yang mewakili kehangatan. Ia adalah warna yang mempengaruhi hati dan minda , iaitu gabungan fizikal dan spiritual. Ia mempengaruhi semangat berdikari dan intuisi. Warna keungu-unguan yang semakin tebal menunjukkan kebolehan untuk menghadapi hubungan dengan secara praktikal. Warna yang pucat mempengaruhi kemanusiaan dan hubungan kerohanian. Warna ungu kemerah-merahan menunjukkan keinginan dan cita-cita yang tinggi.

Semakin keruh warna ungu tersebut maka ia menunjukkan kekuatan dalam menghadapi sesuatu. Ia juga menunjukkan imaginasi erotik yang tebal. Ia juga mempunyai kebolehan untuk menarik simpati dan juga seorang yang tidak dapat memahami orang lain.

Warna aura yang lain:

Merah jambu
Warna merah jambu adalah warna kasih-sayang dan warna kesucian. Ia mempengaruhi keceriaan dan semangat setiakawan. Bila melihat dalam aura, ia menunjukkan kesunyiaan, kasih-sayang dan kecantikan.
Warna merah jambu menunjukkan seseorang itu tidak matang,terutama warna merah jambu yang agak keruh. Ia juga menunjukkan seorang yang amat amanah, juga seorang yang mempunyai rasa kasih-sayang dan juga seorang yang berwawasan.

Emas
Warna emas adalah warna yang menunjukkan tenaga rohani yang cukup dinamik dan seorang yang mempunyai satu kekuatan.
Warna emas yang keruh menunjukkan seseorang itu dalam proses membangkitkan inspirasi yang tinggi . Ia juga mempengaruhi proses kimia yang masih lagi aktif, bermakna individu tersebut masih cuba berusaha untuk menukar hidupnya kepada kehidupan yang lebih sempurna.

Putih
Putih selalu dijumpai dalam warna aura. Putih mempunyai semua warna di dalamnya. Ia menunjukkan kebenaran dan kesucian. Ia juga menunjukkan tenaga individu tertentu sedang dibersihkan dan menjadi hampir tulin. Ia juga menunjukkan kebangkitan daya kreativiti yang cukup tinggi.

Kelabu
Kelabu adalah warna kemasukan. Ia menunjukkan pergerakan ke arah membongkar kebolehan yang terpendam. Warna kelabu yang hampir kepada warna perak menunjukkan kebangkitan tenaga kewanitaan. Ia juga tenaga dan kebolehan untuk iluminasi, intuisi dan daya imaginasi yang kreatif.
Warna kelabu yang agak keruh menunjukkan ketidakseimbangan fizikal, istimewa kepada aura yang berdekatan pada bahagian badan. Ia juga menunjukkan keinginan untuk meninggalkan tiada satu kerja yang diberikan yang tidak akan diselesaikan. Seorang yang mempunyai aura yang berwarna kelabu adalah seorang yang suka berahsia dan seorang yang suka bersendirian.

Perang
Perang selalunya muncul dalam medan aura. Walaupun kebanyakan orang mengatakan perang sebagai hasil daripada ketidak seimbangan atau kurangnya tenaga, ini adalah tidak benar. Perang adalah warna bumi. Bila ia muncul pada kawasan atas kepala, ia akan mempengaruhi pembesaran yang baru.
Aura perang yang melintasi muka atau kepala menunjukkan keinginan untuk diskriminasi. Jika ia muncul di sekitar kawasan cakra, ia menunjukkan bahawa bahagian tersebut perlu dibersihkan. Warna perang susah untuk ditafsirkan, kerana ia senang mempengaruhi kawasan masalah dalam fizikal.


Hitam
Hitam adalah satu warna yang amat mengelirukan dalam spektrum aura. Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa jika aura hitam hadir dalam diri seseorang, ia menunjukkan kematian atau jangkitan penyakit yang berat. Saya mendapatinya adalah tidak benar.
Hitam adalah warna pelindungan. Ia adalah satu warna yang melindungi individu tertentu daripada tenaga luar. Bila melihat aura ini, menunjukkan individu tersebut melindungi dirinya sendiri. Ia juga menunjukkan yang individu tersebut seorang yang ada sesuatu rahsia. Tiada apa yang salah tentang itu. Warna hitam juga menunjukkan pemahaman mengenai bebanan dan pengorbanan akan terjadi akhirnya.

Perak berkilauan
Ia selalunya amat berkelip-kelip dan berwarna perak. Ia menunjukkan seorang yang terlalu kreatif . Jika hadirnya aura berwarna sebegini, ia sebagai penunjuk yang menandakan individu tersebut , individu tersebut seorang yang terlalu kreatif.

Thursday, November 10, 2011

Lapisan Aura Manusia

Assalamu’alaikum wwt.
Tulisan kali ini adalah sambungan daripada tajuk terdahulu iaitu masih lagi berkaitan dengan aura. Kali ini saya ingin menarik perhatian pembaca mengenai lapisan aura manusia. Semua lapisan aura ini berdasarkan  kajian saintifik iaitu warna-warna aura yang boleh dilihat menerusi kamera khas yang boleh menangkap warna-warna aura tersebut.
Sebenarnnya dalam kaedah ilmu sufi @ tasauf ada juga diajarkan mengenai warna-warna yang membawa pengertian tersendiri. Contohnya di dalam buku lama catatan pahlawan Pahang iaitu Mat Kilau, ada dicatatkan penggunaan kalimah lam Jalallah yang dipakai pada bahagian tubuh tertentu yang disertakan dengan warna seperti merah atau kuning.
Tidak ketinggalan juga dalam Ilmu Nazoriah (jalan sufi), turut menekankan pengamalnya memandang kalimah pada diri dengan warna tertentu mengikut fungsi seperti warna putih, biru, kuning tua, merah, hijau, kuning kunyit dan hitam. Setiap warna ada kegunaannya tersendiri. Tilik serta fikir, wajah serta cahaya....   Jika berminat belajar, boleh hubungi saya (akan saya bawa berjumpa guru)
Saudara pembaca,
Berbalik kepada lapisan aura manusia yang dikaji secara saitifik, iaitu terdapat tujuh lapisan aura yang berada disekeliling tubuh fizikal manusia. Lapisan-lapisan tersebut adalah:

Lapisan Pertama: Lapisan Tubuh Eterik (Cahaya Merah)
Lapisan yang paling hampir atau dalam. Dekat dengan tubuh fizikal: mewakili tahap kesihatan tubuh fizikal.
Lapisan ke-2: Lapisan Tubuh  Emosi (Cahaya Jingga)
 Berkait rapat dengan sistem emosi dan perasaan manusia. juga mempunyai kaitan pada pengalaman manis dan pahit seseorang. Lapisan cahaya warna ini dikatakan setebal tiga inci daripada tubuh fizikal.
 
Lapisan ke-3: Lapisan Tubuh Mental (Cahaya Kuning)
Lapisan ini menceritakan mengenai kebolehan kuasa minda sedar tubuh.

 Lapisan ke-4: Lapisan Tubuh Astral (Cahaya Hijau) Lapisan pertengahan antara lapisan-lapisan yang lain, berkait rapat pada Chakra jantung (hijau). Sebagai lapisan yang menghubungkan tenaga-tenaga yang menghalir daripada lapisan luaran ke lapisan dalaman, begitu juga sebaliknya.

Lapisan ke-5: Lapisan Tubuh Eterik Tinggi (Cahaya Biru)Lapisan yang berkait rapat dengan lapisan eterik tingkat pertama yang menceritakan perihal kesihatan tubuh fizikal. Namun pada lapisan ini tenaga bergetar pada tingkat yang  lebih tinggi bersamaan dengan getaran gelombang bunyi . bagi mengimbangi kesihatan lapisan eterik pertama, lapisan eterik tinggi ini memerlukan getaran tenaga bunyi seperti zikir, doa, bacaan ayat suci al-Quran dan sebagainya, yang melibatkan frekuensi bunyi. Oleh sebab itu jugalah mengapa agama-agama lain menggunakan mantera sebagai alat untuk menggetarkan lapisan ini.

Lapisan ke-6: Lapisan Tubuh Mental Tinggi (Cahaya Indigo)Tenaga bergetar pada frekuensi yang lebih tinggi yang berkait rapat pada sistem ‘gerak rasa’  atau ‘firasat’ manusia.

Lapisan ke-7: Lapisan Tubuh Rohaniah atau Spiritual (Cahaya Ungu)
Lapisan yang menghubungkan tenaga alam terus kepada lapisan aura yang lain seterusnya ke dalam sistem chakra tubuh bagi pelbagai kegunaan dan kepentingan tubuh manusia. berkaitan terus dengan sistem roh yang terhubung dengan ‘ talian hayat’ (dikenali juga sebagai kundalini) daripada Allah.
Saudara pembaca,
Rahsia kehebatan penciptaan Allah menjanakan ketujuh-tujuh getaran gelombang tenaga warna pelangi ini bergetar dan memancar bagi keharmonian semua sistem rohani dan jasmani dimana setiap manusia memilikinya. Namun begitu kita memiliki kecenderungan menggunakan satu medan tenaga secara berlebihan atau dalam kekerapan yang tinggi. Seterusnya menjanakan perwatakan yang tersendiri dan unik. Gelombang warna ini lebih terpancar keluar dan dapat dilihat pada medan gelombang elektromegnetik di sekeliling tubuh yang dinamakan sebagai aura.
Sekian untuk perkongsian ilmu kali ini. Jumpa lagi
Sumber rujukan :Rahsia Aura Diri (Internet)