Wednesday, November 2, 2011

Selawat Syifa’ : Merawat diri dan penyakit

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu’alaikum wwt.

Selamat berada dalam bulan yang diberkati iaitu bulan haji, mudah-mudahan kita semua diberkati Allah di dunia dan di akhirat.

Tulisan kali ini membawa kita kepada satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam iaitu berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Salah satu tanda cinta kita kepada baginda ialah dengan selalu berselawat kepadanya.

Terdapat banyak jenis selawat yang patut kita amalkan, baik selawat yang mudah dan ringkas ataupun selawat yang panjang. Dalam perkongsian blog kali ini, saya ingin membawa pembaca kepada satu  selawat yang sering dirangkaikan dalam doa-doa penyembuhan penyakit iaitu yang dinamakan Selawat Syifa’.

Selawat Syifa’



Terjemahan:
“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menjadi penawar kepada hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”

Menurut bahasa, syifa’ bererti ubat atau penawar atau “tib”. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menjelaskan seperti berikut; di dalam kamus Bahasa Arab yang masyhur iaitu Kamus al-Munjid, perkataan “Tib” adalah bermaksud “’ilaj” iaitu di dalam bahasa Melayu bermakna “Ubat”  atau “Penawar”. Ia bukan bermaksud “Syafi’ iaitu menyembuhkan.


Saudara pembaca,

Selawat Syifa’ sebenarnya sudah lama tekenal sebagai ikhtiar untuk menyihatkan tubuh badan dan menyembuhkan penyakit. Walaupun sebelum ini terdapat usaha pihak tertentu mempertikaikan selawat ini, namun dengan berkat penjelasan yang bernas dan ilmiah daripada Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din, maka persoalan tersebut terjawab. Di sini, tidak perlulah saya perincikan permasalahan tersebut. Saudara boleh rujuk dalam buku “Rawatan Penyakit Jasmani (1)” iaitu Siri Pengajian Perubatan Islam Darussyifa’, 2011.

Apa yang penting, dengan berkat berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, maka Allah akan menurunkan keberkatan dan memperkenankan permintaan kita. Apatah lagi, jika diperhatikan makna Selawat Syifa’ sendiri yang memohon kepada Allah agar dikurniakan kesejateraan tubuh badan (rohani dan jasmani), kesembuhan daripada penyakit (rohani dan jasmani), dan cahaya penglihatan.

Saya menerima selawat ini daripada Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din (Darussyifa') dan juga daripada Guru Utama Ishak bin Itam (Guru Utama Seni Silat Cekak Malaysia). Selawat ini sememangnya tidak pernah saya lupa untuk digandingan dalam doa ikhtiar penyembuhan penyakit.

Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA. (terjemahan):
“Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali,
Allah SWT akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali

Saya berharap, agar saya sendiri dan juga para pembaca selalu beramal dengan mana-mana selawat. Bacalah selawat terutamanya sesudah solat maghrib sebanyak 40 kali sebagai makanan roh kita...


No comments:

Post a Comment