Assalamu'alaikkum wwt..
Bila disebut perkataan 'bodoh' semua orang tidak suka, semua orang marah dan semua orang akan memandang rendah akan kebodohan tersebut. Jika seseorang itu bodoh, bererti orang itu tidak berilmu atau kurang pengetahuan tentang sesuatu perkara. Seboleh-bolehnya, semua orang di dunia ini tidak mahu digelar bodoh. Jadi, kewajipan kita kena belajar.
Dalam ilmu ketuhanan, rasa bodoh di hadapan Tuhan merupakan sifat terpuji yang melambangkan betapa hinanya manusia berbanding dengan Ilmu Allah. Kita ini sebenarnya tiada apa-apa yang boleh dibanggakan kerana hakikat sebenarnya ilmu yang ada pada kita hanyalah semata-mata kurniaan daripada Allah.
Sebab itulah kita kena menafikan ilmu kita, Yang berilmu hanyalah Allah. Lenyap ilmu kita dalam ilmu Allah. Pada ketika itu, barulah kita menyandarkan sepenuhnya kepada Allah.
Berbalik dalam bidang rawatan Islam;... Setelah kita mempelajari ilmu rawatan Islam daripada guru, maka sandarkan ikhtiar dan kaedah rawatan kita kepada Allah, jangan bersandar kepada ilmu. Ilmu itu sebagai alat sahaja. Rasakan kita bodoh ketika merawat penyakit dan pesakit. Pada ketika itu, jangan ada sedikitpun beriktikad bahawa ilmu kita yang boleh menyembuhkan penyakit. Jika pada ketika itu Allah mengizinkan penyakit seseorang itu sembuh, maka sembuhlah. Jika Allah tidak mengizinkan sembuh, maka tidak ada kesembuhan. Sebab itulah saya tidak berasa apa-apa jika ikhtiar saya tidak berjaya, mungkin ada kelemahan dari diri saya. Mungkin saya tidak meletakkan sepenuhnya sifat bodoh saya di hadapan Tuhan. Mungkin pada ketika itu terbit rasa ego dalam diri bahawa saya boleh menyembuhkan penyakit tersebut. Inilah hakikat yang sukar difahami oleh perawat-perawat baru termasuk saya.
Lazimkanlah berkata dan mengingatkan akan diri sendiri akan kata penafian ini, pada setiap masa dan ketika iaitu :
LA HAYYUN ( tiada aku Hidup)
LA ALIMUN (Tiada aku Berilmu)
LA SAMI'UN (Tiada aku Mendengar)
LA BASIRUN (Tiada aku Melihat)
LA QADIRUN (Tiada aku Berkuasa)
LA MURIDUN (Tiada aku Berkehendak)
LA MUTAKALLIMUN (Tiada aku Berkata-kata)
BIL HAQQI ILLAHLLAH......(hanyalah pada Allah semata-mata)
Sekian untuk perkongsian ilmu kali ini....jumpa lagi.
Ingat...BELAJAR SAMPAI PANDAI.....tapi ....JANGAN TUNJUK PANDAI (bodohlah tu)
No comments:
Post a Comment