Follow by Email

Monday, May 27, 2013

Menjejak Sanad Reiki

Saudara pembaca yang dihormati,

Saya pernah menyelidik dan membaca artikel mengenai ajaran tenaga dalam reiki. Saya pun pernah terpengaruh untuk belajar ilmu unik ini khasnya dalam menambah khazanah ilmu perubatan, namun entah mengapa hati ini berasa berat untuk belajar reiki ini. Seakan ada suatu yang tidak kena dengan sanad ilmu reiki ini.

Kepada pengamal reiki (khasnya yang beragama Islam), saya sarankan agar tinggalkan sahaja ilmu ini kerana sanadnya meragukan.. banyak lagi ilmu yang bermanfaat yang boleh kita pelajari.

Saudara pembaca boleh membaca dan merenung sendiri artikel yang saya petik dari salah satu blog berkenaan ilmu reiki di Malaysia ini...

Bacalah dengan mata hati dan iman...

Reiki berasal dari bahasa Jepun. Reiki adalah gabungan dari kata ‘Ray’ yang bererti alam semesta dan ‘Ki’ bererti energi/tenaga. Dengan kata lain Reiki adalah energi alam semesta atau biasa disebut para pengamal Reiki sebagai Energi Ilahi dan mempunyai tingkat getaran yang sangat tinggi juga energinya sangat halus dibanding energi Prana atau energi tenaga dalam lainnya. Orang yang pertama kali menemukan Reiki kembali adalah Dr.Mikao Usui pada tahun 1923 di Jepun ketika bermeditasi selama 21 hari di Gunung Kurama. Ada juga sumber yang mengatakan Reiki sebetulnya sudah dipergunakan para Pendeta Tibet jauh sebelum Master Mikao Usui menemukan Reiki.

 
Dr. Mikao Usui

Pada hari-hari terakhir beliau bermeditasi, beliau telah dianugerahi kemampuan untuk menyembuhkan diri sendiri dan orang lain. Pernah terjadi ketika beliau sakit perut kerana telah berlapar selama 21 hari beliau memegang perutnya maka tiba-tiba tangannya panas dan merasakan ada yang mengalir dan sakit perutnya mereda, juga pada saat ia berjalan dan tersepak batu hingga kakinya berdarah maka ia memegang kakinya dan penyembuhan terjadi. Diberitakan Dr.Mikao Usui juga sempat menyembuhkan seorang nyonya pemilik rumah makan yang sakit gigi. Hingga ia akhirnya sedar bahwa ia mendapat suatu kekuatan dalam penyembuhan dan akhirnya diajarkan pada murid-muridnya dan terbentuk aliran Reiki yang bernama Reiki Usui.



Sebenarnya pada awal sistem ‘Reiki’ ditemukan, Sensei Usui tidak menamakannya dengan istilah “Reiki”, beliau menyebutnya dengan istilah “Metode Untuk Mencapai Manusia Sempurna”, sedangkan murid-muridnya menyebut sistem ini dengan istilah “Usui Do” atau “Usui Teate”.
Istilah “Reiki” sendiri sebenarnya pertama kali digunakan oleh beberapa orang murid Sensei Usui yang hanya mempelajari sebahagian aspek yang diajarkan oleh Sensei Usui (sepeninggal Usui tiada, mereka membentuk perkumpulan Usui Reiki Ryoho Gakkai ). Reiki sebuah sistem penyembuhan yang sangat sederhana dengan penyaluran energi kehidupan/energi alam semesta yang diterapkan dengan asas pemasrahan diri pada kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa.

Reiki bukanlah agama atau segala hal yang berhubungan dengan itu. Seni penyembuhan terdapat hampir di semua kebudayaan dan tradisi di seluruh dunia. Reiki adalah kesatuan dari semua konsep tersebut, yang sekarang telah dapat diterima di seluruh dunia. Reiki mengajarkan kasih sayang dan keharmonian. Reiki adalah keharmonian dengan alam dan dapat digunakan untuk membantu penyembuhan manusia, tumbuhan, dan binatang, dan dapat juga membantu kemurnian dan keharmonian air dan udara.


Gaya Perawatan Reiki

Pelbagai kebudayaan dan tradisi yang terdapat dalam masyarakat pada hakikatnya adalah metode Reiki itu sendiri. Teknik Penyembuhan Reiki adalah sebuah bentuk penyembuhan yang “Tidak Konfrontatif” meringankan berbagai masalah dan trauma yang berbeza dengan cara yang sangat lembut. Kerana sifatnya yang universal, Reiki dapat dipelajari oleh siapapun, tanpa memandang agama, keyakinan, usia, mahupun tingkat spiritual seseorang . Semua yang anda perlukan adalah niat yang tulus untuk menyembuhkan dan disembuhkan.

Salah satu keunikan seni penyembuhan Reiki adalah, Reiki berkerja di setiap tingkat penyembuhan dalam diri seseorang yang meliputi tubuh fizik, emosi, minda dan spiritual. Dengan kata lain Reiki menyembuhkan secara menyeluruh (holistic). Selain itu Reiki juga mempunyai kecerdasan tersendiri, di mana energi Reiki akan bekerja sesuai dengan keperluan tanpa harus diarahkan dengan usaha yang keras seperti dengan menggunakan teknik lain/aliran lain. Energi Reiki juga dapat dikirimkan dari kejauhan dan bahkan melintasi ruang waktu dan tempat (antara negara & benua).

Sistem Reiki berkembang dan disebarkan dengan sistem penyelarasan atau attunement. (dalam bahasa Jepun, disebut Reiju, yang bererti ‘menerima energi). Sekarang telah dipelajari jutaan orang diseluruh dunia.

Kesimpulan:

Sesuatu yang nampak baik, belum tentu baik
Sesuatu yang nampak hebat, belum tentu hebat
Sesuatu yang  nampak benar , belum tentu benar

Selidik dahulu sesuatu ilmu dengan orang yang arif, agar tidak tersesat jalan.
Sesat di hujung jalan, kembali semula ke pangkal jalan..

Sekian, mudah-mudahan info ini bermanfaat kepada kita semua yang sedang mencari jalan pulang yang benar dan hakiki.




Monday, May 20, 2013

RASA BERAT NAK TOLONG TAPI TERPAKSA TOLONG

Assalamu’alaikum wwt.
Sudah menjadi lumrah sebagai perawat untuk memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.  Kadang-kadang khidmat yang dihulurkan tidak mengira waktu waima sehingga tengah malam sekalipun.  Dalam hal ini perawat perlu banyak bersabar dan sentiasa berlapang dada kerana setiap gerak dan diam itu adalah daripada Allah belaka.
 Apa yang ingin saya paparkan  dalam tulisan  kali ini bukanlah  perkara besar pun. Cuma terasa sedikit ralat kerana melibatkan sebuah institusi keagamaan (sekolah menengah agama) di tempat saya. Almaklumlah, kerana umum mengetahui kebanyakkan tenaga pengajarnya berkelulusan  agama...ustaz dan ustazah pula tu. Dalam hal ini saya menghormati kewibawaan ilmu agamanya, namun rasa sedikit terkilan kerana mereka kurang mengambil berat akan kaedah rawatan secara Islam. Sepatutnya ilmu rawatan Pengubatan Islam tidak asing kepada mereka kerana dada telah terisi dengan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis. Jika ada sebarang kes kerasukan (histeria) dalam kalangan pelajarnya, maka sudah memadai ustaz / ustazah mereka menanganinya. Apalah sangat diri saya yang bukan bergelar ustaz untuk membantu...
Kisahnya begini....
Baru-baru ini saya telah dipanggil oleh seorang ustazah di sekolah agama tersebut untuk membantu merawat pelajar perempuan yang kerasukan. Petang itu saya bergerak ke sekolah tersebut dan langsung menuju ke asrama puteri. Saya difahamkan bahawa sudah ramai pelajar yang kerasukan dan terpaksa dibawa pulang ke rumah oleh ibu bapa masing-masing. Diceritakan oleh ustazahnya,  bahawa terdapat sebuah bilik kosong atau stor di asrama puteri yang sudah lama tidak dibuka kerana dipercayai ‘keras’ atau dihuni oleh makhluk ghaib. Ekoran bilik tersebut dibuka untuk sesuatu sebab, maka dipercayai ‘penghuninnya’ mengamuk. Saya Cuma mengiyakan sahaja kerana tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Maka, saya pun melawat ke bilik tersebut untuk tujuan pemulihan. Memang terasa juga meremang bulu roma dan tengkuk apabila memasuki bilik tersebut. Bacaan ayat-ayat suci dibaca sambil sebelah tangan memegang sebotol air... air tersebut dipercikkan di setiap penjuru bilik tersebut. Harap-harap penghuni ghaibnya berpindah ke tempat lain.
Saya ingatkan kejadian histeria sudah berakhir tetapi rupa-rupanya malam tersebut terjadi lagi, malah lebih teruk. Maka sekali lagi saya dihubungi oleh ustazah (warden) untuk menolong. Waktu itu lebih kurang pukul 11.30 malam. Sesampainya saya ke situ, ada juga beberapa orang perawat sedang merawat pelajar yang kerasukan. Saya pun membantu setakat kemampuan yang Allah izinkan sahaja.  Alhamdulilah...suasana menjadi terkawal. Pelajar diarahkan pulang ke bilik masing-masing untuk tidur.
Histeria berlaku lagi....
Keesokan harinya, lebih kurang pukul 10.00 pagi saya menerima panggilan telefon daripada ustazah sekolah agama tersebut bahawa kejadian histeria berulang  lagi,  tetapi kali ini berlaku di sekolah pula. Dalam perbualan tersebut, saya terdengar sayup-sayup raungan pelajar yang kerasukan. Dalam nada mengharap, ustazah tersebut meminta pertolongan saya sekali lagi, namun dek kekangan kerja, saya tidak dapat membantu. Khabarnya, ada ustaz lain telah dipanggil untuk merawat histeria tersebut..

Kesimpulan:
Dalam cerita tersebut, dapat saya simpulkan bahawa ilmu rawatan Islam berteraskan ayat-ayat suci al-Quran perlu dipelajari oleh sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi ustaz atau ustazah. Ayat-ayat ruqyah seboleh-bolehnya dipelajari secara berguru bukannya daripada buku kerana ada dua keberkatan iaitu, pertama; keberkatan kalam suci tersebut dan yang kedua, keberkatan daripada guru.

Thursday, May 9, 2013

Antara Gangguan Jin dan Tekanan Perasaan

Salam sejahtera buat pembaca yang setia mengikuti blog RIJ ini.
Info kali ini adalah berkenaan dengan simpton penyakit gangguan jin dan tekanan perasaan.

Gambar hiasan
Sudah menjadi lumrah masyarakat kita untuk melabelkan seseorang yang berkelakuan aneh seperti bercakap yang bukan-bukan (merapu), melepaskan semua pakaian (berbogel) dan sebagainya adalah hasil daripada gangguan jin. Tidak pernahkan kita cuba menyelami akan punca-punca terjadinya perlakuan  seumpama itu, contohnya sebagai akibat daripada tekanan perasaan yang melampau akibat bebanan kerja, putus percintaan, persediaan menghadapi peperiksaan  dan sebagainya.

Saya terpanggil untuk berkongsi cerita dan pengalaman saya merawat seorang pemuda yang mengalami gejala simpton seperti ini.
Ceritanya begini....
Baru-baru ini saya menerima panggilan daripada seorang yang saya kenali untuk membantu merawat anak jirannya yang berperangai pelik iaitu suka berbogel dan bercakap sendirian. Pada mulanya saya keberatan untuk membantunya kerana merasakan agak sukar untuk menangani kes seperti ini. Bimbang kalau-kalau pesakit bertambah agresif atau tiada perubahan langsung. Namun atas rasa tanggungjawab saya tidak menghampakan permintaanya dan bersetuju untuk merawat pesakit tersebut. Pada malam itu (malam pengiraan Undi PRU ke-13), saya dijemput menaiki kereta bertolak ke Ulu Jempol. Sesampainya saya di rumah pesakit tersebut, saya diperkenalkan dengan pemuda yang sakit itu.  Saya lihat keadaannya agak tidak terurus dan pandangan matanya tajam merenung ke arah saya. Namun, saya bersikap mesra dan memberitahu akan mengubati penyakitnya. Pemuda itu pasrah dan menghormati saya.
Sesi ruqyah dimulakan dengan kombinasi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.  Saya mengambil jalan selamat iaitu meruqyah di bahagian belakangnya dan tangan kanan memegang kepalanya.  Andainya pesakit bertindak agresif, saya akan dapat mengawal keadaan. Di samping itu, saya juga bersedia dengan buah-buah silat sekiranya pesakit mengamuk. Nasihat saya kepada perawat-perawat di luar sana, agar dada juga di isi dengan ilmu silat.. manalah tahu kalau penumbuk atau penendang menyinggahi tubuh kita. Takkan nak dibiarkan saja...cari nahaslah tu.
Berbalik kepada cerita tadi, semakin lama bacaan ruqyah berlangsung, keadaan pesakit mula menampakkan perubahan yang agresif. Pesakit batuk-batuk dan rasa nak muntah. Pergerakanya mula agresif sehingga memaksa dirinya dipegang oleh beberapa orang rakannya. Mulutnya mula menuturkan kata-kata yang ‘merapu’ dan menceritakan hal-hal atau peristiwa masa lampau. Dia tidak kenal dirinya yang sebenar..siapa aku dan sebagainya. Saya cuba melayannya berdialog tetapi lama-kelamaan saya rasa diperbodohkan dengan soalan=soalan dan jawapannya yang pelik-pelik. Pelbagai teknik saya ikhtiarkan untuk mengeluarkan ‘jin’ yang mendiami tubuhnya, tetapi hanya sebahagian kecil sahaja yang berjaya..selebihnya saya lihat lebih kepada gangguan mental atau perasaan.  Saya dimaklumkan sebelum ini bahawa pemuda tersebut suka bersendirian dan ada sedikit masalah. Masalah yang bersarang di mindanya tidak dikongsi dengan orang lain. Akhirnya...bila terpendam sekian lama akan membarah dan tertekan.
Saya akhirnya mengalah kerana pesakit tetap berkeadaan agresif dan bercakap yang bukan-bukan. Lagipun, malam pun sudah lewat dan badan saya sudah letih.  Saya menasihati warisnya agar membawa pesakit ke hospital untuk diberikan ubat penenang. Biarlah  dia dapat berehat dan tidur. Mudah-mudahaan fikiranya tenang.
Kesimpulannya, jika fikiran kita berserabut dan suka bersendirian akan lebih mudah mengundang tekanan perasaan. Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, dibimbangi akan merasuk fikiran dan jiwanya, malah lebih parah lagi akan mengundang kehadiran jin untuk menambahkan lagi sengsara.
Sebaik-baiknya cegah sebelum parah.. bawalah berubat jika keadaan masih di peringkat awal lagi.
Sekian sahaja daripada hamba. Mudah-mudahan memberi pengajaran kepada kita.