Assalamu’alaikum wwt.
Sudah menjadi lumrah sebagai perawat untuk memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Kadang-kadang khidmat yang dihulurkan tidak mengira waktu waima sehingga tengah malam sekalipun. Dalam hal ini perawat perlu banyak bersabar dan sentiasa berlapang dada kerana setiap gerak dan diam itu adalah daripada Allah belaka.
Apa yang ingin saya paparkan dalam tulisan kali ini bukanlah perkara besar pun. Cuma terasa sedikit ralat kerana melibatkan sebuah institusi keagamaan (sekolah menengah agama) di tempat saya. Almaklumlah, kerana umum mengetahui kebanyakkan tenaga pengajarnya berkelulusan agama...ustaz dan ustazah pula tu. Dalam hal ini saya menghormati kewibawaan ilmu agamanya, namun rasa sedikit terkilan kerana mereka kurang mengambil berat akan kaedah rawatan secara Islam. Sepatutnya ilmu rawatan Pengubatan Islam tidak asing kepada mereka kerana dada telah terisi dengan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis. Jika ada sebarang kes kerasukan (histeria) dalam kalangan pelajarnya, maka sudah memadai ustaz / ustazah mereka menanganinya. Apalah sangat diri saya yang bukan bergelar ustaz untuk membantu...
Kisahnya begini....
Baru-baru ini saya telah dipanggil oleh seorang ustazah di sekolah agama tersebut untuk membantu merawat pelajar perempuan yang kerasukan. Petang itu saya bergerak ke sekolah tersebut dan langsung menuju ke asrama puteri. Saya difahamkan bahawa sudah ramai pelajar yang kerasukan dan terpaksa dibawa pulang ke rumah oleh ibu bapa masing-masing. Diceritakan oleh ustazahnya, bahawa terdapat sebuah bilik kosong atau stor di asrama puteri yang sudah lama tidak dibuka kerana dipercayai ‘keras’ atau dihuni oleh makhluk ghaib. Ekoran bilik tersebut dibuka untuk sesuatu sebab, maka dipercayai ‘penghuninnya’ mengamuk. Saya Cuma mengiyakan sahaja kerana tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Maka, saya pun melawat ke bilik tersebut untuk tujuan pemulihan. Memang terasa juga meremang bulu roma dan tengkuk apabila memasuki bilik tersebut. Bacaan ayat-ayat suci dibaca sambil sebelah tangan memegang sebotol air... air tersebut dipercikkan di setiap penjuru bilik tersebut. Harap-harap penghuni ghaibnya berpindah ke tempat lain.
Saya ingatkan kejadian histeria sudah berakhir tetapi rupa-rupanya malam tersebut terjadi lagi, malah lebih teruk. Maka sekali lagi saya dihubungi oleh ustazah (warden) untuk menolong. Waktu itu lebih kurang pukul 11.30 malam. Sesampainya saya ke situ, ada juga beberapa orang perawat sedang merawat pelajar yang kerasukan. Saya pun membantu setakat kemampuan yang Allah izinkan sahaja. Alhamdulilah...suasana menjadi terkawal. Pelajar diarahkan pulang ke bilik masing-masing untuk tidur.
Histeria berlaku lagi....
Keesokan harinya, lebih kurang pukul 10.00 pagi saya menerima panggilan telefon daripada ustazah sekolah agama tersebut bahawa kejadian histeria berulang lagi, tetapi kali ini berlaku di sekolah pula. Dalam perbualan tersebut, saya terdengar sayup-sayup raungan pelajar yang kerasukan. Dalam nada mengharap, ustazah tersebut meminta pertolongan saya sekali lagi, namun dek kekangan kerja, saya tidak dapat membantu. Khabarnya, ada ustaz lain telah dipanggil untuk merawat histeria tersebut..
Kesimpulan:
Dalam cerita tersebut, dapat saya simpulkan bahawa ilmu rawatan Islam berteraskan ayat-ayat suci al-Quran perlu dipelajari oleh sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi ustaz atau ustazah. Ayat-ayat ruqyah seboleh-bolehnya dipelajari secara berguru bukannya daripada buku kerana ada dua keberkatan iaitu, pertama; keberkatan kalam suci tersebut dan yang kedua, keberkatan daripada guru.
No comments:
Post a Comment