Tuesday, March 27, 2012

Menangani Anak Hiperaktif

Gelagat anak hiperaktif...kreatif tapi lasak

Saudara pembaca yang budiman.
Anak-anak adalah merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya dalam keluarga.  Tanpa kehadiran anak-anak dalam sesebuah keluarga, ibarat tidak lengkap bahtera perkahwinan yang dibina. Hidup terasa sunyi, jiwa terasa kosong dan terasa ada yang tidak kena. Ya... kehadiran anak-anak menjadi penyejuk mata kedua-dua orang tua. Melihat keletah mereka cukup membuatkan kehidupan menjadi indah dan ceria.
Sewajarnya kita sentiasa bersyukur kepada anugerah Allah yang tidak ternilai dengan kehadiran cahaya mata, namun jika ditakdirkan kita menerima anak-anak hiperaktif, bagaimana? Sanggupkan kita bersabar melayan kenakalan dan tingkahlaku anak-anak yang melampaui tahap normal? Sesetengah orang senang berkata bahawa hiperaktif adalah anak yang degil dan keras kepala...betul ke?
Saudara,
Saya terpanggil menulis artikel ini ekoran ada satu pasangan yang mengadu mengenai dua orang anaknya yang hiperaktif. Pasangan ini begitu buntu dan susah hati melihatkan gelagat buas dan nakal anak-anaknya. Saya sebenarnya lagilah  buntu untuk membantu mereka kerana apalah sangat ilmu saya untuk merawat kes sebegini. Untuk tidak menghampakan harapan mereka, saya berjanji untuk membantu setakat mana yang termampu oleh saya. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah untuk menyembuhkannya. Sehingga artikel ini ditulis, saya belum lagi merawat anak mereka..
Sebagai manusia yang diberikan akal dan hidup berlandaskan ajaran Islam, yakinlah bahawa setiap pemberian dari Allah (termasuk anak hiperaktif) ada hikmahnya yang tersendiri. Bersabarlah menerima dugaan anak hiperaktif dan layanlah mereka dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak-anak yang  menjadi penyejuk mata kita. Lazimkanlah membaca doa di bawah ini setiap kali selesai solat 5 waktu:
DOA DISIPLINKAN ANAK
“Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama”

Maksudnya:
“Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa

Lebih elok ibu bapa membaca doa ini dan ditiupkan ke ubun-ubun anak-anak ketika anak-anak sedang tidur dengan niat dalam hati......
Sebagai tambahan boleh juga dibaca kombinasi doa berikut:
1.      Surah Al-Fatihah
2.      Surah Al- Hasyr (ayat 21 – 24) iaitu Doa Pemecah, mudah-mudahan Allah turunkan darjah hiperaktifnya ke tahap normal
3.      Surah Toha (ayat 1 – 5) iaitu Doa Pelembut Hati, mudah-mudahan Allah lembutkan hatinya agar mendengar kata dan nasihat yang berguna, sebagaimana kisah Sayyidina Umar lembut hatinya mendengar bacaan surah ini dan memeluk Islam.
Saudara,
Marilah kita kembali kepada doa dan kaedah rawatan Islam untuk menangani apa jua kes zahir dan batin. Mudah-mudahan hidup kita semua diberkati Allah.  Aminnnn.
Sekian, terimalah sedikit perkongsian ilmu daripada saya yang jahil ini. Semoga berjumpa lagi.

Hai...saya anak hiperaktif. jangan marah ye...




Tuesday, March 13, 2012

Perginya YM Guru Utama Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)

Pada 12 Mac, 2012 bersamaan hari Isnin merupakan detik menyedihkan buat ahli-ahli dan pengamal-pengamal Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) kerana telah kehilangan Guru Utama iaitu Tuan Haji Ishak Bin Itam atau lebih mesra dipanggil “Pak Ak”. telah menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman beliau di No. 901, Mukim 8, Tanah Liat, Bukit Mertajam, Seberang Perai pada jam 4.50 petang, pada usia 77 tahun.

YM Guru Utama Ishak bin Itam atau "Pak Ak"

Almarhum Tuan Haji Ishak Itam  telah memimpin PSSCM selaku Guru Utama sejak 21 September 1986 .Walaupun Allahyarham telah menyerahkan mandat guru utama kepada Saudara Maidin tetapi ini tidak bermakna Allahyarham berhak dipanggil mantan guru utama. Apa mantan-mantan? Selagi guru masih hidup, selagi itulah jawatan guru utama Silat Cekak dibawa dan dipegang. Bila Allahyarham Pak Ak telah pergi, barulah layak dicari pengganti....
 YM Tuan Haji Ishak bin Itam sejak dari kecil lagi telah meminati seni silat Melayu, iaitu bermula dari umur 9 tahun sehingga ke umur 18 tahun beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani melalui bapa saudaranya En. Bakar dan En. Shafie b. Din. Seterusnya beliau mempelajari Silat Kuntau Jawa dari En. Hassan Jawa selama 2 tahun dan kemudiannya telah mempelajari Silat Sendeng dan Silat Minangkabau.

Kemudian beliau mempelajari pula Tomoi Siam dari En. Osman b. Ahmad (Man Balak) sehingga beliau menjadi Guru Tomoi selama 2 tahun. Semasa menjadi Guru Tomoi, beliau begitu yakin bahawa tiada satu silat Melayu boleh mengalahkan Tomoi Siam.

Selain daripada ilmu persilatan, beliau telah mempelajari ilmu kebatinan melalui Ustaz Azizan (Izan). Di samping itu, beliau telah mempelajari cara-cara membuat ubat tradisional merawat penyakit kencing manis. Tuan Haji Ishak b. Itam juga pernah mendapat pendidikan agama secara formal di Pondok Tuan Haji Mat Salleh Mesir, Tanah Liat yang pada masa ini menempatkan Maktab Adabi. Kemudian belajar pula di Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad b. Tuan Haji Hussein.

Pada tahun 1969, YM Ustaz Haji Hanafi b. Haji Ahmad telah dapat membuka kelas di Bukit Mertajam bertempat di Kubang Semang iaitu terletak lebih kurang 2 batu dari Cawangan PSSCM Seberang Perai pada masa sekarang ini. Kelas ini adalah merupakan kelas pertama yang diwujudkan di Bukit Mertajam, dimana pada masa tersebut bergerak di bawah Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Kelas ini telah diasaskan oleh Encik Abdullah b. Mohamad Zain dengan penyertaan seramai 16 orang penuntut. Dalam masa yang sama seorang tukang gunting rambut Encik Wan Omar telah berjaya mengajak YM Tuan Haji Ishak b. Itam untuk mempelajari Silat Cekak ini.

YM Tuan Hj Ishak bin Itam telah berjaya belajar silat ini selama 30 hari latihan sahaja. Setiap kali latihan, beliau sering dipukul oleh YM Ustaz Haji Hanafi dengan pokok teh pagar yang bertujuan hendak mengajar beliau supaya bersabar dan menerima ilmu silat ini dengan ikhlas hati dari tangan gurunya sendiri disamping menerima berbagai ujian dari gurunya.

YM Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad kemudiannya telah melantik beliau menjadi jurulatih. Sepanjang penglibatan beliau sebagai jurulatih, banyak tempat dan Cawangan serta Kelas Latihan telah disertainya termasuklah di TUDM Butterworth (1977), Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1975) dan di Kulim (1982). Beliau seringkali berulang alik mengajar silat ini di S. Perai dan P. Pinang.

Apabila YM Ustaz Haji Hanafi kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah diisytiharkan sebagai YM Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di UPM pada 13 Oktober 1986 seramai 27 orang.
Al Fatihah buat guruku...
Berkat sidi guruku, sidi menjadi kepada aku....

Friday, March 9, 2012

RAJA HAJI PULAU BUGIS DAN TOK KU PALOH

Salam sejahtera buat pembaca yang dihormati,
Tujuan utama saya memaparkan artikel mengenai Raja Haji dan Tok Ku Paloh adalah bagi berkongsi maklumat mengenai perjuangan suci mereka untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan negara tercinta.
Adalah diharapkan semangat perjuangan mereka dapat diteruskan oleh generasi muda masa kini dan generasi seterusnya. Janganlah kita terus hanyut dan leka dibuai kemewahan duniawi tanpa membuat persiapan yang sewajarnya.
Marilah kita belajar ilmu agama sehingga faham dan belajar ilmu persilatan atau bela diri (merangkumi aspek zahir dan batin) untuk menjaga diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Janganlah kita terlalu sibuk dengan urusan dunia seperti mencari duit dan harta sehingga lupa berkunjung ke majlis-majlis ilmu.  Janganlah bila dah berlaku huru hara baru sibuk nak belajar ilmu agama dan ilmu persilatan. Selagi  guru masih ada dan masih hidup, belajarlah dan timbalah seberapa banyak ilmu daripadanya... dan jangan lupa beramal.. kerana ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.
Sesungguhnya masih ada guru  yang  menghimpunkan dua sanad iilmu aitu pertama daripada sanad Raja Haji Pulau Bugis dan yang kedua daripada sanad Tok Ku Paloh Al- Aidros.  Gurunya masih ada lagi...Tak bolehlah nak tulis lebih-lebih nanti ada orang yang kata penipu, tertipu dan menipu.
Kepada rakan-rakan seperguruanku..sambutlah salam perjuangan daripada hamba.

Thursday, March 8, 2012

TOK KU PALOH AL-AIDROS

Pejuang Islam dan Bangsa Melayu
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.

Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).
Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.
Pendidikan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De 'El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.
Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Datuk Bahaman: Antara Pejuang Pahang yang pernah berguru dengan Tok ku Paloh
 Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.
“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.
“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.
Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah 'Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya' 'Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus....”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.
Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.
Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma'arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba'ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.

Saturday, March 3, 2012

Raja Haji Pulau Bugis: Pahlawan Teragung Nusantara

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
MASYARAKAT Melayu masih ramai belum mengetahui bahawa di Melaka ada beberapa orang tokoh dunia Melayu yang terkorban sebagai syuhada kerana membela kemuliaan Islam dan bangsa Melayu.

Mereka sanggup berkorban apa saja, termasuk harta dan nyawa, demi berjuang mengusir penjajah Portugis mahupun Belanda. Di antara sekian ramai yang gugur sebagai syuhada termasuklah seorang ‘ulama’ sufi dunia Melayu yang paling terkenal. Beliau bermakam di Melaka. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang terkorban sebagai syuhada kerana berperang dengan Portugis.

Sejarah yang penting tentang tokoh besar yang syahid fisabilillah di Melaka juga ialah Raja Haji bin Upu Daeng Celak yang terkorban kerana melawan penjajah Belanda. Saya berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Raja Haji inilah yang menjadi topik perbicaraan dalam artikel ini.

Daripada sebelah ayahnya, Raja Haji berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk. Di sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M.

Hubungan dengan ulama
Raja Haji walaupun bukan seorang ulama, namun dibicarakan juga dalam ruangan ini, disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah kerana beliau sempat bergaul dengan beberapa orang ulama. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Saiyid Husein al-Qadri di Mempawah, iaitu guru ayah saudaranya Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril ini mendapat pendidikan Islam yang padu. Gusti Jamiril adalah saudara sepupu Raja Haji, kedua-duanya sempat bergaul. Dengan demikian tata cara pergaulan Islam, sekali gus amalan keilmuan saudara sepupunya itu, berpengaruh terhadap Raja Haji.

Dalam masa yang sama Raja Haji dan Gusti Jamiril sempat belajar kepada Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Beliau ini ialah Mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri. Makam beliau disebut ‘Keramat Pokok Sena’ terletak di Perkuburan Kampung Pedalaman Mempawah. Hubungan Raja Haji dengan Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Husein al-Qadri, Sultan Pontianak yang pertama juga sangat dekat. Saiyid Abdur Rahman al-Qadri ialah suami Utin Cenderamidi bin Upu Daeng Menambon. Faktor kedua, daripada keturunan Raja Haji ramai yang menjadi ulama di antaranya Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal itu. Keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji dan lain-lain.

Gelaran yang disandang
Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana (1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif ‘Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji ialah sebagai Pahlawan Perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Raja Haji pula melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.

Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seumpama Pangeran Diponegoro, Imam Bonjol, dan lain-lain, mereka hanya beroperasi di daratan saja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin, beliau ialah seorang pahlawan maritim saja, tidak banyak pengalaman dalam peperangan di daratan. Kalau ada hanyalah sekitar Sulawesi Selatan.

Kalau kita banding dari segi yang lain pula, bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan lain-lain. Semua yang tersebut berbeza dengan Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter van Braam di Melaka. Pasukan Melayu yang tewas bersama Raja Haji dianggarkan sekitar 500 orang. Sebagaimana pada mukadimah yang telah saya nyatakan, “... Raja Haji bin Upu Daeng Celak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah....”

Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji. Kisah beliau tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta yang tidak dapat ditolak. Oleh itu jika ditinjau dari segi sejarah bererti ‘Raja Haji pahlawan dunia Melayu yang terbesar dan terhebat, bukan Hang Tuah.’

Kejadian aneh
Raja Ali Haji dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, “Syahdan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu. Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

“Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya....” (Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu, hlm. 151)

Pada pandangan saya riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang dicintainya. Perjuangan demikian mencerminkan kerana patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu tulisan Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah yang mengatakan bahawa mayat Raja Haji ditanam tempat kandang babi perlu dipertikaikan dan dibahas secara ilmiah. Tulisan Abdullah Munsyi selengkapnya sebagai berikut, “Sebermula di balik kebun kompeni itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu seorang Raja Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya iaitu keturunan Bugis. Maka isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang memerangi Melaka pada zaman Holanda – maka adalah daripada zaman itu sampai masa ini (maksudnya hingga masa Abdullah Munsyi menulis hikayatnya, pen:) kira-kira lebih sedikit daripada 60 tahun – maka hampir-hampir dapat Melaka olehnya. Maka berkeliling jajahan Melaka dan kampung-kampung semuanya sudah didapatnya melainkan tinggallah Melaka bulat-bulat sahaja yang belum didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa yang ada di dalam Melaka masuk perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling, Cina, Serani masing-masing ada dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka adalah beberapa tahun diperanginya lalu matilah Raja Haji itu dimakan peluru di Tanjung Palas nama tempatnya. Kemudian diambil Holanda mayatnya itu ditanamkan di balik kebun yang tersebut itu. Ada pun khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi. Kemudian ada kira-kira 20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak buah Raja Haji itu dari Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja Inggeris hendak dipindahkannya kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu dibawanyalah pergi....” (Hikayat Abdullah, hlm. 57 - 58)

Riwayat Abdullah Munsyi tentang Raja Haji ditanam di kandang babi adalah sukar diterima disebabkan: Pertama, jauh berbeza dengan yang ditulis oleh Raja Ali Haji seperti tersebut di atas. Kedua, orang yang wafat keadaannya syahid fisabilillah adalah dimuliakan oleh Allah s.w.t.. Dalam al-Quran disebutkan bahawa “orang-orang yang mati syahid adalah tidak mati, dalam kubur mereka diberi rezeki.” Dalam hadis Nabi s.a.w. pula sangat banyak menyebutkan kelebihan orang yang mati syahid. Pandangan saya ini bukan bererti menuduh Abdullah Munsyi telah melakukan pembohongan dalam tulisannya, kerana beliau sendiri menyebut pada awal kalimatnya, “Ada pun khabarnya yang kudengar”. Oleh itu pelbagai andaian boleh dibuat. Yang pertama, boleh jadi khabar yang didengar itu sengaja diproses oleh pembohong-pembohong daripada kalangan penguasa penjajah ketika itu untuk menghapuskan kebangkitan jihad orang-orang Melayu Islam yang tidak suka negerinya dijajah oleh golongan yang bukan Islam. Kedua, kemungkinan tekanan kuasa penjajah memaksa supaya Abdullah Munsyi menulis sedemikian. Oleh itu kita perlu berfikir dan teliti setiap kalimat dan perkataan yang ditulisnya.

Selain itu jika kita berfikir secara kritis dan membuat analisis secara bebas, khusus pada konteks di atas, memang banyak kalimat ataupun perkataan demi perkataan Abdullah Munsyi mengandung unsur-unsur politik yang menguntungkan pihak penjajah pada zamannya. Sebagai contoh, walaupun Abdullah Munsyi mengakui bahawa Raja Haji adalah seorang Raja Melayu, namun pada sambungan kalimat Abdullah Munsyi menyebut pula bahawa asal Raja Haji adalah keturunan Bugis. Kenapa Abdullah Munsyi tidak menyebut Raja Haji dari sebelah ibunya adalah keturunan Melayu. Di sini dapat diduga, jika disebut Raja Haji orang Melayu semangat orang Melayu untuk berpihak kepada Raja Haji sukar dipadamkan.


Friday, March 2, 2012

Kaedah dan Doa Rawatan Penyakit Gout

Assalamu’alaikum wwt.
Dalam tulisan yang lalu, saya ada menerangkan mengenai amalan pemakanan sebagai ikhtiar untuk merawat penyakit gout.
Kali ini saya ingin berkongsi pula mengenai kaedah dan doa rawatan penyakit gout menurut rawatan Islam bersumber daripada ajaran guru yang sangat saya kasihi iaitu Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.
Diharapkan info ini berguna kepada kita..InsyaAllah.
Doa yang dianjurkan:
1.      Penawar Seribu Guna iaitu Surah Al Fatihah.


2.    Selawat Syifa’


3.    Ayat Pemecah  Kebuntuan (Surah al-Hasyr ayat 21 - 24)


4.    Doa Mengecilkan Bengkak

Bahan Rawatan:
Bahan yang digunakan untuk merawat penyakit gout adalah seperti berikut:
1.     Air
2.    Madu lebah
3.    Kapur sirih
4.    Buah limau nipis
Cara Penyediaan dan Penggunaan Bahan:
1.     Gaulkan air buah limau nipis dengan kapur sirih.
2.    Sapukan campuran ini di tempat yang kena gout.
3.    Setelah kapur kering, sapukan pula di atas tempat sapuan kapur itu dengan madu lebah.
4.    Bacakan kombinasi doa di atas pada air, kemudian basahkan kain tuala dengan air yang telah didoakan.
5.    Balut tempat yang disapu kapur dan maduh lebah tadi dengan tuala yang basah.
6.    Lakukan rawatan ini sebelum tidur setiap malam selama seminggu.
InsyaAllah mujarab. Cubalah...

Sumber rujukan:
Rawatan Penyakit Jasmani (I) Jilid 2 ,oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Thursday, March 1, 2012

Amalan Pemakanan : Merawat Penyakit GOUT.

Assalamu’alaikum wwt.
Dalam tulisan yang lalu, saya telah menjelaskan tentang sengsaranya penyakit gout. Sakitnya, hanya Allah saja yang tahu..

Kadang-kadang penyakit gout ini memang sengaja dicari..Mengapa saya berkata begitu? Sebabnya tabiat makan kita yang tidak memikirkan langsung akan kesannya kepada kesihatan. Tambahan pula dunia moden sekarang, banyak makanan /minuman yang terdedah dengan penggunaan bahan kimia. Bahan kimia ini ibarat bom jangka yang bakal meledak apabila sistem pertahanan badan semakin lemah (kira dah tua lah tu).

Lambakan makanan segera yang memang menjadi perancangan  barat (yahudi)  memburukkan lagi keadaan. Apabila terkena penyakit gout....kita akan mengambil pula ubat yang juga dikeluarkan oleh pihak barat. Perubatan barat pula memang mengandungi dadah bahkan kadang kala mengandungi bahan haram (babi).  Sudahnya, penyakit gout pulih, datang pula penyakit lain...akibat kesan sampingan ubat.

Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya dan kepada saudara-saudara pembaca agar berhati-hati dengan pemakanan.. Berikut adalah panduan bagi mencegah daripada terkena penyakit gout..InsyaAllah.

Elakkan atau kurangkan makanan atau amalan berikut:

Hati lembu ...antara pantang pesakit gout (pantang jumpa)


1.       Elakkan kacang tanah, kacang putih dan segala kacang bergaram.
2.       Elakkan segala macam buah-buahan jeruk kering seperti asam boi, buah kana, dll
3.       Elakkan segala macam buah-buahan jeruk basah seperti mangga jeruk, ceremai dan anggur jeruk.
4.       Elakkan memakan mi segera seperti mi maggi dsb
5.       Elakkan memakan makanan rapu seperti twisties, chikadess, o ring dsb
6.       Elakkan memakan mi kuning dan roti canai. (Gantikan mi kuning dengan spageti dan roti canai dengan capati dan tosei). Segala produk yang menggunakan tepung putih juga perlu dielakkan seperti roti dan pizza.
7.       Elakkan Nescafe, air sunquick, oren squash dan segala minuman berperisa kerana kandungan utama minuman ini ialah bahan kimia, pewarna dan perisa.
8.       Elakkan minum teh kedai kerana teh kedai adalah teh recycle yang semata-mata dibuat dari bahan kimia pewarna dan perisa.
9.       Elakkan chokelat dan minimakan air milo. Gantikan Milo dengan horlick.
10.   Elakkan mengambil sebarang air minuman bergas.
11.   Elakkan mengambil jambu batu atau jus jambu batu
12.   Kurangkan atau minimakan pengambilan durian, rambutan, ciku, mangga siam, mata kucing siam dan longan. (Makan ala kadar sahaja)
13.   Elakkan tembikai dan tembikai susu
14.   Kurangkan pengambilan kerang, ketam, udang dan sotong. Makan sedikit sahaja dan jangan kerap mengambilnya.
15.   Kurangkan mengambil ayam daging kerana mengandungi beta agonist dan pelbagai hormon penggemuk. Ayam ini dibesarkan diladang cuma 31 hari sahaja akibat diberikan ubat-ubatan ini. Cuba gantikan dengan ayam kampung atau ayam yang dijual dipasar yang kulitnya berwarna kuning. Ayam ini tidak mengandungi ubat-ubatan terlarang.
16.   Bila makan daging, pilih daging tanpa lemak (tendon). Bila makan ayam (kampung) pilih makan bahagian dada dan elakkan bahagian banyak tendon seperti wing (kepak) dan peha.
17.   Elakkan makan buah oren seperti oren sunkist, air limau seperti air teh O limau.
18.   Elakkan makan cendawan dan produk cendawan termasuk ubat ganoderma
19.   Elakkan makan ikan berbisa seperti ikan semilang dan ikan pari.
20.   Elakkan makan organ dalaman seperti hempedal, hati, jantung dan tidak ketinggalan telur ikan.
21.   Kurangkan makan makanan kari seperti kari ikan dan daging.
22.   Elakkan sayur kacang buncis, bayam, petola dan bunga kubis
23.   Elakkan berlari dan melompat (gantikan dengan berjalan) bagi yang sudah mengalami gout
24.   Elakkan berurut terutamanya di bahagian pinggang
25.   Kurangkan atau elakkan pulut, keladi, keledek, kentang dan ubi.
26.   Elakkan jering, petai dan kerdas
27.   Kurangkan pengambilan minyak kelapa sawit.
28.   Elakkan menonton bahan pornografi
29.   Elakkan menaiki motorsikal dengan kedudukan kaki ke hadapan seperti menaiki motorsikal Jaguh.
30.   Elakkan sebarang uabat-ubatan seperti pain killer dsb
31.   Elakkan mengambil sebarang supplement seperti multivitamin dsb
32.   Elakkan Ikan masin jeruk seperti ikan tenggiri
33.   Elakkan sayuran jeruk
34.   Elakkan makanan dalam tin seperti sardin dan buah-buahan bertin
35.   Elakkan makan telur masin
36.   Elakkan cuka makanan tiruan (usahakan cuka makan asli dari apel hijau)
37.   Elakkan makanan segera (Fast food) seperti KFC, Mc Donald, burger, sosej, naget dsb- Amerika adalah negara terhebat di dunia dengan fast food diikuti dengan Hong Kong, Australia dan England. Amerika juga adalah negara terhebat dengan penyakit berkaitan buah pinggang diikuti oleh Hong Kong, Australia dan England (www.shenbing.org/shenbingzhishi/zixun04.asp)
38.   Elakkan terjatuh dan berurut di bahagian pinggang.
39.   Elakkan menahan terlalu lama daripada membuang air kecil (tahan kencing)
40.   Kurangkan makanan bersantan
41.   Kurangkan makanan yang mengandungi bahan pewarna, perasa dan pengawet tiruan dan termasuk ajinomoto

Makanan atau amalan yang perlu diamalkan selalu pula ialah:


ulam raja  antara ulaman yang perlu diamalkan
 
1.       Minum air masak / suam dengan banyak terutama sekali bila masuk tidur. Lebih elok lagi sampai perlu bangun tidur pukul 3 pagi kerana perlu kencing
2.       Amalkan minum teh misai kucing 2 uncang sehari.
3.       Makan peria dan peria katak
4.       Sawi pahit, kacang botor, kacang panjang, kailan
5.       Susu tepung (bukan anelene, HL atau low fat)
6.       Minyak zaitun. Satu sudu besar sehari adalah amalan yang disarankan
7.       Ulam seperti ulam raja, pucuk gajus, pegaga dsb
8.       Buah Delima
9.       Epal hijau 2 biji seminggu
10.   Burung seperti burung puyuh dan merpati
11.   Daging itik, rusa, pelanduk, napuh, landak, arnab dan sebagainya
12.   Garam kasar menggantikan garam halus
13.   Berendam dalam air panas pada paras pinggang selama 20 minit selepas minum segelas air suam (dalam besen atau pun tab mandi) atau SPA.
14.   Makan lebih banyak sayur-sayuran
15.   Makan kapsul HABBATUSSAUDA


Sebenarnya penyakit gout ini adalah rahmat dari Ilahi. Orang yang sihat memanjang sampai tua selalunya susah untuk mengingati Allah. Penyakit ini mudah-mudahan menjadi kafarah untuk menebus segala dosa-dosa lalu seperti dijanjikan Allah. Gout macam rambut yang bertukar menjadi putih sebagai amaran dari Allah bahawasanya kita makhluk Allah akan dipanggil mengadapNya dan masanya sudah semakin hampir.

Sekian wassalam
wallahua'lam

Sumber : >> daripada artikel di dalam internet, tetapi saya telah lupa alamat sumbernya kerana artikel tersebut telah lama dalam simpanan saya. Jika penulis asal membaca artikel ini harap maafkan dan berlapang dada demi manfaat sesama insan.