Follow by Email

Monday, October 31, 2011

Hikmah Doa Penahan

Bismillahirrahmanirrahim..
Saudara pembaca blog yang dihormati,
Dengan izin Allah, kali ini saya ingin berkongsi ilmu berkaitan doa penahan.


Sering kali kita berhadapan dengan situasi yang tidak terjangka dalam kehidupan seharian seperti mengalami luka. Banyak sebab yang boleh menyebabkan luka terjadi seperti terkena pisau ketika membuat kerja-kerja di dapur atau anak kecil kita berdarah di kepala kerana terjatuh ketika bermain dan sebagainya. Sudah tentu kejadian tersebut membuatkan kita panik,  apatah lagi melihat darah yang tidak berhenti keluar.

Boleh jadi juga  ada kes melibatkan muntah darah, haid yang melampau, air liur kanak-kanak yang sering meleleh, kencing tidak tus dan sebagainya.
Bagaimana cara untuk memberhentikan simptom ini daripada terus keluar? Maksud saya menggunakan ikhtiar cara doa dalam perubatan Islam..
Mungkin saudara boleh mengambil jalan pintas dengan merujuk kepada doktor di klinik atau hospital. Itu terpulanglah kepada pilihan saudara. Cuma apa yang saya ingin kongsikan di sini bahawa terdapat doa khusus dalam al-Quran yang boleh digunakan untuk merawat kes tersebut.  Mengikut pengalaman saya, doa yang dibaca dan dipusatkan dengan penuh perhatian untuk menahan seperti luka, insyaAllah dalam masa yang singkat, darah akan berhenti. Pengalaman yang lain tidak perlulah saya ceritakan, nanti riak pula.
Apabila keberkesanan doa ini terhasil, akan menerbitkan rasa keyakinan kepada kekuasaan Allah. Itu yang perlu kita rasai sebenarnya. Tanamkan tauhid yang teguh kepada Allah. Sebenarnya kita merawat hati kita pada hakikatnya.
Saudara pembaca,
Kita ambil satu contoh peristiwa banjir besar pada zaman Nabi Nuh AS. Bagaimana banjir besar itu menenggelamkan apa sahaja yang ada di permukaan bumi. Allah memerintahkan bumi mengeluarkan air dari perutnya dan memerintahkan pula langit mengeluarkan hujan yang tidak berhenti-henti. Hanya Nabi Nuh bersama isi kapalnya sahaja yang terselamat. Sampai satu ketika, Allah memerintahkan pula air dari bumi dan langit agar berhenti dengan firman dalam al-Quran, maksudnya: (Surah Hud ayat 44)

Untuk menjadi doa penahan baca mulai "Ya ardhubla'i maa aki wa ya sama' u akli'i. (maaf tulisan rumi) Terjemahan :

“Wahai bumi, telanlah airmu, dan Wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu. (Hud:44)
Sedangkan banjir besar boleh berhenti dengan kalimat suci tersebut, apatah lagi luka dan sebagainya pada tubuh kita, insyaAllah akan berhenti dengan izin Allah. Bacalah  doa ini kemudian tahanlah nafas dan lidah ditongkat ke langit-langit. InsyaAllah.....

Sekian, untuk perkongsian ilmu kali ini. Lebih afdhal beramal dengan berguru. Carilah guru.
Ikuti tulisan saya seterusnya......

Thursday, October 27, 2011

Amalan Kebatinan yang mengelirukan : Khadam Ayat dan Rijalul Ghaib

Bismillahirrahmannirrahim..
Pembaca yang dihormati,
Bagi menzahirkan perlakuan mencarik adat, maka amalan-amalan tertentu dilakukan bagi mencapai tujuan tersebut. Antara contoh; keinginan menjaga diri dan harta benda, kebal, kuat, berpengaruh dan sebagainya. Berikut adalah antara perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak berkaitan amalan kebatinan:
1.       Melalui kaedah mubai’ah yang disertakan dengan kalimah Qasam atau sumpah yang bertujuan untuk mendapat hikmah atau kejadian luar biasa.
2.      Melalui syarat seperti makanan, minuman, alatan senjata, pakaian, perkataan, perbuatan dan alatan bunyi-bunyian.
3.      Melalui petua kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan perkara-perkara luar biasa.
4.      Melalui petua-petua atau kaedah-kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa-doa tanpa mengharapkan pertolongan Allah SWT.
5.      Tidak tahu asal-usul ilmu dan amal yang dipelajari dan yang diajar kepada orang lain.

Saudara pembaca,
Menuntut ilmu tidak salah. Tuntutlah seberapa banyak ilmu dan sejauh mana jarak kita menimba ilmu, bahkan sehingga ke Negeri Cina sekalipun. Tetapi, sebelum menerima ilmu (khususnya ilmu kebatinan), selidik dahulu ilmu tersebut, jangan main pakai hentam sahaja. Jika tersalah tuntut, maka tanpa disedari kita mengundang khadam sebenarnya. Dalam perjalanan hamba (salik) menuju Allah, perkara sebegini tidak perlu, bahkan bukan sebagai matlamat amalan. Bahkan beramal dengan bercita-cita untuk menjadi wali pun tidak dibenarkan. (rujuk Kitab Hkam).

Khadam Ayat dan Rijalul Ghaib

Gambar Hiasan
Khadam ayat adalah merujuk kepada seseorang yang membacakan ayat-ayat tertentu daripada al-Quran yang disertai dengan kaedah-kaedah khusus. Apabila mengamalkan ayat-ayat tersebut menurut bilangan dan syaratnya, maka sipengamal akan didatangi oleh suatu makhluk dan boleh diistilahkan juga sebagai penjaga ayat tersebut (khadam). Di dalam kitab lama bertajuk “Pati Rahsia”, banyak diterangkan mengenai kaedah beramal untuk mendapatkan khadam ayat tersebut.
Menurut Prof. Dr. Haron Din (dalam buku Rawatan Penyakit akibat Sihir), khadam ayat adalah sejenis makhluk bukan daripada golongan manusia dan golongan jin ( jin Islam atau jin kafir). Makhluk ini juga bukan daripada makhluk belaan atau sahabat kepada tuannya kerana tidak ada sebarang perjanjian antara kedua belah pihak. Khadam tersebut tidak lain melainkan makhluk yang diutus oleh Allah SWT yang termasuk dalam golongan makhluk ghaib iaitu daripada kalangan hamba Allah yang bertaraf wali yang dikenali juga sebagai “Rijalul Ghaib” atau “khadam Roh”.
Bolehlah dikatakan jika seseorang mendapat khadam ayat, bererti memperoleh ‘pisau yang tajam’ yang boleh memotong apa sahaja. Kelebihan berkhadam ayat ini antara lainnya si pengamal akan meminta pertolongan khadam untuk melakukan rawatan penyakit melalui kaedah tertentu. Sebagai contoh, khadam akan dipanggil untuk membantu memberikan maklumat yang jelas jika seseorang itu disihir (memberitahu jenis sihir, punca sihir tersebut dan cara merawat sihir).
Dalam permasalahan ini, elok kita merujuk kepada Firman Allah SWT pada surah al-Jinn ayat 6: Maksudnya:
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada beberapa orang lelaki (rijal) daripada golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”

Kesimpulan:
Adalah lebih baik kita meninggalkan sesuatu amalan yang dilakukan dengan niat untuk mencari sesuatu kelebihan atau kerana mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku ke atas diri. Hal ini kerana, setiap umat Islam diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan apa jua ibadah yang diperintahkan atau meninggalkan apa jua laranganNya dengan meletakkan niat yang ikhlas kerana Allah SWT sahaja. Buka dilaksanakan untuk tujuan dan kepentingan diri dan makhluk.
IKHLAS...YAKIN...REDHA  Hanya kepada Allah semata-mata.
Sekian, jumpa lagi dalam blog seterusnya.

Wednesday, October 26, 2011

Amalan Kebatinan yang mengelirukan : Satu pengalaman

Bismillahhirrahmanirrahim
Umum mengetahui bahawa untuk mencapai sesuatu yang luar biasa, maka ikhtiar  melalui amalan kebatinan akan dilakukan. Suatu kuasa magis atau dampingan tertentu diperlukan untuk mencapai hajat tersebut dalam kadar segera.

Gambar Hiasan

Berkaitan dengan amalan-amalan kebatinan, didapati bahawa antara mereka yang banyak terlibat dalam hal kebatinan ini adalah sebahagian pengamal silat. Bahkan apabila dirujuk kepada fatwa, didapati banyak aliran silat menyalahi aqidah Islam yang sebenar. Para pembaca boleh merujuk kepada fatwa yang diwartakan tentang senarai silat tersebut.


Pengalaman sendiri terjebak dengan amalan kebatinan meragukan......
Saya sendiri pun pernah terjebak dengan amalan kebatinan dalam silat. Pada usia remaja, semangat berkobar-kobar untuk mengisi ilmu di dada mendorong saya mempelajari silat seru dari seorang guru. Pada waktu itu, diri rasa bertuah kerana boleh menghadirkan pelbagai silat setelah membaca sepotong mentera dan zikir. Saya pernah beradu silat dengan rakan seperguruan yang memperagakan silat yang berlainan. Malah saya pernah terkena pukulan angin yang dilancarkan yang membuatkan saya melambung. Gerak silat yang dibuat sangat menakjubkan malah boleh digunakan selain daripada bersilat seperti mengubat orang sakit, mencari barang hilang dan sebagainya. Semakin lama beramal dengan silat ini, satu perasaan aneh menguasai diri. Saya mudah berasa marah walaupun atas perkara yang kecil. Selain itu, saya pantang dicabar dan tidak boleh melihat orang lain lebih. Dalam erti kata lain, diri saya dikuasai oleh suatu tenaga ghaib yang sering saya seru itu (hakikat sebenarnya ialah jin yang menyamar sebagai tokoh silat).
Alhamdulillah, gerak silat saya itu akhirnya tumpas ditangan pengamal silat Abjad dalam satu permainan gerak di dalam gelanggang Ayah Mat (arwah), di kampung Pelangkah, Pekan. Saya berpasangan dengan Ku Kama (kalau tak silap saya). Entah masa bila saya terkena pukulan, sedar-sedar saya sudah terbaring. Ayah Mat kata, jin yang membantu saya itu sudah dikalahkan. Sejak itu saya istiqamah dalam amalan silat Abjad sehingga sekarang.
Selain pengalaman dalam silat seru, saya juga terjebak dengan amalan kebatinan yang melibatkan pembacaan mentera yang meragukan dan serapah dalam bahasa Melayu. Antara ilmu tersebut ialah mentera pengasih, penimbul batu giling, pengunci gerak dan sebagainya. Semua ini sudah lama saya tinggalkan, kerana bukan ‘juadah’ ini sebenarnya yang saya cari. Saya merasakan masih ada kekosongan jiwa yang perlu diisi. Amalan-amalan kebatinan tersebut, sudahlah tidak mendapat pahala dengan membacanya malah tidak dapat dijadikan bekalan di akhirat nanti.
Bertitik tolak atas sebab itulah, saya berusaha menambah ilmu dengan pengisian amalan kebatinan berteraskan Al-Quran dan hadis. Pada saya, dapat juga pahala jika membaca ayat-ayat suci kalam Tuhan. Al-Quran bersifat pelbagai fungsi sesuai dengan amalan dan niat seseorang itu. Kalau niat baik, jadi baik dan kalau niat jahat pun Allah akan makbulkan.
Alhamdulillah, sekarang ini saya merasakan ketenangan dan kepuasan yang tidak terhingga setelah beramal dengan amalan yang haq (al-Quran dan al-hadis). Pergantungan sepenuhnya hanyalah kepada Allah, bukan kepada yang lain....
Dari Allah...Kepada Allah...Kerana Allah...
Sekian untuk perkongsian kali ini. Mudah-mudahan bermanfaat kepada semua.

Tuesday, October 25, 2011

Kembara Ilmu diteruskan

Assalammu'alaikum wwt.

Terima kasih kerana masih sudi dan setia mengikuti blog saya ini. Semuga kita semua dirahmati Allah di dunia dan di akhirat.

Tulisan kali ini adalah mengenai kembara saya memburu ilmu Allah. Terbaru, pada hari Isnin 24/10/2011, saya berkesempatan dan dengan izin Nya jua, dapat  menadah ilmu dengan Ustaz Wan Asrul iaitu pengasas Terapi Islam Al Fatah (TIAF) di Kuantan.

Alhamdulillah, banyak rahsia tersembunyi yang dibongkar dan dikupas sehingga jelas. Mengambil satu contoh ialah berkenaan dengan sebutan 'Bismillahirrahmanirrahim'. Apakah  hakikat sebutan setiap huruf tersebut? Huruf  'ba'  'sim'  'mim'  'alif'  'lam'  'lam'  'ha' (Bismillah) tersirat seribu pengertian dan hikmah yang amat besar. Lantaran itu, bagi yang sudah tahkik dan tenggelam dalam lautan 'bismillah' sudah memadai kalimah ini dalam urusan sehariannnya..Sedangkan nabi Muhammad SAW sendiri bersabda (maksudnya) setiap perbuatan / pekerjaan yang tidak dimulai dengan bismillah, tiada keberkatan baginya.

Saudara pembaca,

Ini baru bab bismillah, saya sudahpun bungkam. Belum lagi bab bab yang lebih jauh. Belum lagi menyelami bab syariat, tarekat, hakekat dan makrifat. Menyebutnya mudah, tetapi memahami dan membawa dalam amalan kehidupan seharian....itulah yang sukar.

Nak kenal Allah, kena kenal dan kasih terlebih dahulu kepada Nabi Muhammad SAW. Nak kasih kepada baginda, kenalah mengikut jalan yang dibawanya zahir dan batin. Nak kenal Allah, kena kenal Diri sendiri terlebih dahulu. Bagaimama? Carilah guru dan belajarlah....janganlah kedekut  dengan masa dan wang ringgit. Berkorbanlah sedikit, untuk kebahagiaan dikemudian hari.

Janganlah terlalu terpesona dengan keindahan dunia yang menggoda ini. Ambillah sekadar keperluan sahaja bukannya sebagai matlamat. Lihatlah contoh baginda dan sahabat-sahabatnya dalam membahagikan urusan dunia dan urusan akhirat. Lebihkan akhirat daripada dunia...Dunia jambatan akhirat atau dunia ladangnya bagi akhirat. Fikir dan fahamkanlah..

Sekian untuk perkongsian kali ini. Jangan lupa, ikuti blog saya seterusnya.....

Thursday, October 20, 2011

Doa Pelembut Hati

Salam sejahtera pembaca sekalian.
Bicara kali ini menyentuh mengenai satu bab berkenaan pelembut hati.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, bahawa hati yang keras dan degil memang susah untuk dijinakkan dan dilembutkan agar menurut kata atau nasihat. Lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang degil dan keras kepala, tentunya situasi ini amat membimbangkan dan merungsingkan fikiran.
Gambar Hiasan
Sering terjadi anak-anak melawan cakap orang tua. Keluar rumah tidak mengira waktu. Melepak bersama kawan-kawan yang tidak senonoh dan sebagainya. Lebih parah lagi jika anak kesayangan kita terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau ‘merempit’ di jalanan. Pilu rasanya hati apabila membaca cerita di akhbar tentang anak yang sanggup memukul ibu bapanya sendiri, malah sanggup membunuh jika terdesak.
Sebagai ikhtiar agar anak-anak menurut kata atau  anak murid mendengar kata guru, maka di sini saya ingin berkongsi berkenaan satu ayat pelembut dalam surah Toha. Lima ayat dari surah Toha tersebut digelar ayat pelembut kerana kaitannya denganperistiwa pengislaman Sayidina Umar Ibn al-Khattab ra.
Kisahnya begini.....
Pada suatu hari dalam keadaan marah Umar keluar dari rumahnya dengan pedang yang terhunus kerana mahu membunuh Rasulullah saw. Dalam perjalanannya, beliau ditegur oleh Na’im ibn Abdullah. Naim mempersoalkan Umar yang memarahi Rasulullah saw sedangkan adiknya sendiri Fatimah binti al-Khattab dan suaminya Sa’id ibn Zayd telah memeluk Islam. Mendengar perkhabaran tersebut, Umar telah menukar haluan dan pergi menuju ke rumah adiknya. Umar mendengar mereka yang ketika itu sedang belajar al-Quran dengan Khabbab ibn al-Arat ra.
Setelah menyedari kedatangan Umar, mereka menyembunyikan Khabbab dan menyorokkan lembaran al-Quran yang tertulis ayat-ayat 1-5 surah Toha. Umar dalam keadaan marah lalu memukul adiknya dan adik iparnya sehingga cedera. Adiknya mengaku akan keislamannya dan suaminya lalu berkata kepadanya: “Buatlah apa yang kamu suka”. Terkejut dengan kata-kata adiknya itu, Umar reda daripada kemarahannya dan meminta adiknya menyerahkan al-Quran yang mereka baca.
Fatimah yang pada mulanya enggan akhirnya menyerahkan lembaran tersebut setelah Umar disuruh bersuci terlebih dahulu. Apabila Umar membaca ayat-ayat dalam lembaran tersebut, beliau berkata: “Alangkah indah dan mulianya kata-kata ini”
Khabbab yang mendengar kata-kata Umar lalu keluar dan berkata:”Wahai Umar, aku berharap agar Allah SWT mengkhususkan kamu dalam doa NabiNya kerana semalam aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: (terjemahan) “Ya Allah, kuatkan Islam sama ada dengan (pengislaman) Abu al-Hakam ibn Hisyam (Abu Jahal) atau Umar ibn al-Khattab”.
Lalu Umar berkata: “Wahai Khabbab, bawalah aku berjumpa dengan Muhammad”. Kemudian Umar pun mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Rasulullah SAW.
                                                           
                                                             Ayat  1-5 dari surah Toha :

Mudah-mudahan dengan ikhtiar kita membaca ayat Toha (1-5) hati kita  atau hati orang yang degil dan keras dapat dilembutkan. Bacalah pada air lalu ditiupkan dan diberi minum...mudah-mudahan mujarab dengan Izin Allah. (Awas!!! jangan terlebih baca pula, nanti jadi lembut sangat susah juga)
 Jangan hanya berserah sahaja tanpa berusaha.
Buatlah ikhtiar sendiri, jangan mengharapkan orang lain.

Monday, October 17, 2011

Mencegah Lebih Baik dari Mengubati

Assalamu’alaikum wwt.
Perbicaraan kali ini menyentuh tentang aspek pemakanan kita sehari-hari.

Makanan adalah bahan asas untuk kehidupan dan kesihatan, namun begitu makanan juga punca kita mendapat penyakit. Kalau kita mempunyai tabiat makan yang buruk, kita sengaja mengundang penyakit.

Pada zaman moden ini, kita menghadapi cabaran kesihatan yang agak berat. Amat susah untuk kita menjauhkan diri dari memakan makanan segera yang boleh membahayakan kesihatan kita. Makanan tersebut mengandungi
bahan pengawet yang boleh menyebabkan penyakit seperti kanser. Kita juga selalu makan di restoran makanan segera. Minyak yang digunakan untuk mengoreng diguna berulang-ulang kali, amalan ini sangat tidak baik untuk kesihatan.

Kita juga
memakan daging dan ayam yang disuntik dengan hormon dan antibiotik. Hormon dan antibiotik ini akan berpindah ke badan kita. Bagaimana dengan sayur-sayuran dan buah-buahan? Buah-buahan dipetik sebelum masak dan dirawat menggunakan gas dan radiasi. Sayuran-sayuran disembur dengan racun serangga. Bahan-bahan kimia ini tidak akan hilang walau pun kita membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran yang kita makan. Ini semua membahayakan kesihatan. Tidak hairanlah kalau di zaman ini ramai orang yang mengidap kanser dan lain-lain penyakit kronik.

Bagimana pula dengan air yang kita minum? Adakah ia benar-benar bersih? Kalau anda mengambil air dari paip air di dapur anda dan mengujinya, anda mungkin tidak sanggup meminumnya.
Untuk menjaga kesihatan, kita seharusnya menjauhkan diri dari perkara yang dinyatakan di atas. Kurangkan memakan makanan segera. Cubalah beralih dengan makan daging atau ayam kampung, makan sayur-sayuran hidroponik dan buah-buah tempatan seperti manggis, rambutan dsb (yang bebas dari gas & radiasi).

Menurut pakar pemakanan bertauliah, untuk perlindungan dari penyakit, kita perlu mengambil makanan kesihatan atau suplemen seperti  vitamin, mineral, serat dan asid amino. Vitamin A, C dan E kaya dengan antioksidan yang mampu menghapuskan "radikal bebas", ia-itu molekul tidak stabil yang terhasil dari proses dalam badan kita. Dalam tubuh kita terdapat beribu billion molekul yang membentuk sel, sel membentuk tisu, tisu membentuk organ. "Radikal bebas" merosakkan molekul, dan seterusnya sel akan rosak (termasuk sel sitem imun), selepas itu tisu dan lama kelamaan akan merosakkan organ kita.
Cegahlah penyakit sebelum terlambat.

Friday, October 14, 2011

Solat : Hubungan Warna Alam kepada Manusia

Assalamu'alaikum wwt...

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar, rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu…). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la.) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.
Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya.

Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya. Semua yang terdapat di alam ini adalah untuk manfaat segala makhluk2 -Nya.

Sekian. Mudah-mudahan info ini bermanfaat kepada kita

Sumber   :  Dipetik dari  http://rawatan-holistik.blogspot.com

Thursday, October 13, 2011

Solat : Terapi zahir dan batin menurut kesufian

Assalamu'alaikum wwt..

Sambungan perbicaraan saya mengenai solat menurut kacamata kesufian. Perbicaraan agak menjurus kepada peranan solat sebagai terapi zahir dan batin.

Perkataan 'solat' dalam bahasa Arab bererti doa, pujian dan juga memohon keampunan, kasih sayang dan rahmat Allah.  Sebenarnya solat itu merupakan amalan yang sangat unik dan sangat penting dalam kehidupan umat Islam dan juga dalam kehidupan orang-orang sufi.

Sufi besar Hazrat Khawaja Gharib Nawaz r.a menyebut tentang kepentingan solat dengan kata-kata berikut:
(a)  Tanpa mengerjakan solat. tidak ada sesiapa yang dapat menuju Allah kerana solat itu adalah kemuncak dalam proses menuju Allah bagi orang-orang mukmin.
(b)  Solat itu tangga menuju Allah
(c)  Solat itu adalah satu amanat yang diletakkan kepada manusia oleh Allah SWT dan satu cara perhubungan rahsia antara hamba dengan Tuhan-Nya.

Solat itu sekaligus adalah amalan zahir dan batin (syariat, tarekat, hakikat dan makrifat). Solat adalah satu set terapi senaman jasmani dan makanan rohani yang paling tinggi mutunya. Dengan melakukan solat 5 waktu, sebenarnya kita dihadapkan dengan sempurna mengikut pergerakan planet-planet. Perhatikan waktu solat berikut:

1. Subuh:
    Waktunya dari terbit fajar sidik hingga terbit matahari

2. Zuhur:
   Waktunya bila condong matahari dari pertengahan langit dan akhirnya apabila bayangan sesuatu telah sama dengannya.

3. Asar:
   Waktunya ketika bayang-bayang sesuatu benda lebih panjang daripada objeknya berakhir apabila tenggelam matahari.

4.  Maghrib:
   Waktunyabermula dari terbenam matahari sampai hilangnya kemerah-merahan pada malam hari,

5.  Isya':
  Waktunya mulai dari hilang cahaya kemerah-merahan di tepi langit hingga terbit fajar.

Dari putaran waktu solat ini, apabila kita mengerjakan solat sebenarnya bersesuaian dengan semua putaran tabi'i alam raya ini.

Ada 3 aspek dalam solat iaitu ; perkataan, perbuatan dan kejiwaan.  Sebelum memulakan solat, kita mestilah membersihkan badan, pakaian dan tempat solat. Di samping itu, kita hendaklah membuang fikiran-fikiran yang negatif dan jahat serta membersihkan jiwasupaya dapat menumpukan hati sepenuhnya kepada Allah SWT.

Perbuatan bersuci ini digelar wuduk iaitu membasuh muka, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu air di kepala, membasuh kaki hingga ke pergelangan kaki. Inilah yang paling minimum. Sunat pula berkumur-kumur, bersugi, masuk air ke hidung, membasuh telingan dan sebagainya. Setiap perlakuan wuduk itu diulang-ulang sebanyak tiga kali dan dilakukan menurut tertibnya.

Apabila selesai berwuduk, kita pergi ke tempat solat dengan perasaan rendah diri kepada Allah. Apabila berdiri ditempat solat, kita berdiri lurus, mata memandang ke tempat sujud, kedua tangan di sisi dan kedua kaki direnggangkan setentang dengan bahu dan mengadap arah kiblat. Maka bermulalah solat.

Dalam solat ada 3 Gaya utama iaitu:
1. Qiyam (berdiri)............huruf Alif
2. Rukuk.........................huruf Dal
3. Sujud..........................huruf Mim

Ketiga-tiga huruf ini (Alif, Dal dan Mim) menjadi perkataan Adam iaitu nama manusia pertama dan nabi pertama.

Amalan solat ini licin, lancar dan mudah serta boleh dijadikan latihan jasmani yang penting. Sehari semalam kita melakukan solat 5 waktu dan 17 rakaatnya. Orang yang solat sebegini tentu terpelihara dan terhindar daripada segala penyakit jasmani seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, sakit sendi-sendi, sakit mata, sakit telinga, sakit hidung, sakit perut, kegemukan dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja solat in menghindarkan penyakit jasmani tetapi juga penyakit rohani dan mental.

Bagi orang sufi, solat amatlah penting dalam kehidupan mereka. Solat adalah langkah awal dan langkah akhir bagi orang-orang sufi tulen. Solat membawa maksud bersatu dengan seluruh kemanusiaan dan bersatu dengan Allah SWT. Solat adalah asas yang di atasnya terdiri amalan-amalan kesufian yang lebih halus dan lebih murni. Bagi sesiapa yang ingin menikmati kesihatan yang tinggi martabatnya, ingin mengharmonikan kehidupan fizikal, mental dan kerohanian, maka kerjakan solat dengan kyusuk lahir dan batin.

Sekian.Semuga bermanfaat buat saya dan anda semua. Bersambung.........

Rujukan: Kitab Ilmu Perubatan Kesufian
              oleh Sheikh Hakim Moinuddin Chishti

Wednesday, October 12, 2011

Solat : Lambang Mikraj Hamba dengan Tuhan

Assalamu'alaikum wwt.

Kali ini saya tergerak untuk memperkatakan bab solat.



Solat merupakan tiang agama dan merupakan kewajipan terpenting bagi setiap umat Islam. Barang siapa mengerjakan solat, bererti menegakkan agama dan sebaliknya, barang siapa meninggalkan solat (secara sengaja) bererti meruntuhkan agama.

Malah amalan yang mula-mula ditanya di Padang Mahsyar nanti ialah solat. Jika pertanyaan tentang solat berjaya (yakni dikerjakan di dunia ini), maka perhitungan amalan seterusnya pun pasti berjaya dan mudah, begitulah sebaliknya jika ditinggalkan maka susahlah nasib kita.

Solat merupakan ibadah yang diterima secara langsung oleh Nabi kita Muhammad SAW. sewaktu peristiwa Isra' dan Mikraj. Solat 5 waktu sehari semalam sewajarnya dikerjakan dengan hati yang ikhlas sebagai lambang mikraj hamba kepada tuhannya. Tiada hijab yang terdinding antara kita dengan tuhan sewaktu bersolat.

Ibadah solat sebenarnya mampu membendung diri kita daripada melakukan maksiat. Kadang-kadang kita lihat ada orang yang bersolat tetapi masih melakukan maksiat..mengapa? Itu tandanya ibadat solat yang dilakukan oleh mereka masih belum sempurna...ya, masih belum sempurna.

Solat sebenarnya ada tingkatan tersendiri iaitu mengikut syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Kesemua tingkat ini mesti disepadukan menjadi satu. Ada orang yang kononnya sudah mengenal diri , tidak mahu mengerjakan solat. Dikatakan ibadat solat itu syariat sahaja (atau kulit ). Mereka solat pada taraf hakikat dan makrifat sahaja. Itu sebenarnya tidak betul dan tidak mengikut syariat nabi kita. Sedangkan nabi kita solat sehingga bengkak-bengkak kakinya.

Mengikut jalan hakikat (mengenal diri), carilah 'solat daim' atau solat berkekalan sepanjang masa dan ketika, baik ketika tidur mahupun jaga. Bab ini kena belajar dan mengadap guru mursyid. Jangan main ikut-ikut sahaja, nanti tersesat jalan..

Sekian sahaja perkongsian pada kali ini. Insya-Allah bersambung lagi.

Tuesday, October 4, 2011

Makrifat kepada Allah adalah puncak kebesaran nikmat

Bismillahirrahmannirrahim...

Dengan izin Allah, kali ini tergerak pula di hati saya memetik pengajaran dari Syaikh Ahmad ibni Athaillah di dalam kitab Hikam berkaitan dengan makrifat.

Berkata Syaikh Ahmad ibni Athaillah:
"Apabila telah dibuka bagimu jalan makrifat kepada Allah, maka dengan kemakrifatanmu itu jangan kamu pedulikan amalmu yang sedikit. Maka sesungguhnya Allah tidak akan membuka jalan kemakrifatan untukmu kecuali Dia menghendaki pengenalan kepadamu. Tidakkah kamu mengerti bahawa makrifat itu anugerah Allah kepadamu sedang semua amal perbuatanmu merupakan hadiah kepada-Nya. Sekarang dimanakah perbandingan antara yang kamu hadiahkan kepada-Nya dengan apa yang telah diberikan Allah kepadamu"

Keterangan:

Makrifat kepada Allah adalah mengenal kepada-Nya dengan penglihatan hati.  Makrifat ini merupakan puncak dari semua yang dituntut dan yang diangan-angan oleh seseorang.  Apabila Allah telah mengarahkan hamba-Nya dengan sebahagian sebab-sebab orang menjadi makrifat, lalu kepadanya dibukakan pintu kemakrifatan sehingga dia dapat menemukan ketenangan, maka hal itu merupakan nikmat yang besar.

Apabila Allah telah membukakan jalan untuk makrifat kepada-Nya, maka janganlah dipedulikan amalmu yang sedikit itu. Sebab makrifat itu merupakan anugerah Allah yang tidak tergantung kepada banyak  sedikitnya amal kebajikan.  Kerana sesungguhnya maksud orang memperbanyak amal kebajikan adalah agar dia dapat dekat dengan Allah. Dengan dibukanya pintu makrifat oleh Allah baginya meskipun amal kebajikannnay tidak seberapa merupaka petunjuk bahawa anugerah Allah berupa makrifat tidak berkehendakkan banyaknya amal kebajikan. Sebagaimana disebutkan bahawa amal kebajikan manusia ini merupakan hadiah yang diberikan kepada Allah. Sedang hadiah dari manusia ini walaupun banyak, bagi Allah bukan apa-apa dibanding dengan anugerah-Nya yang begitu besar.

Oleh sebab itu sedikit amal dengan disertai makrifat kepada Allah itu, lebih baik jika dibanding dengan banyak amal yang tidak diserai dengan makrifat kepada-Nya. Seperti contohnya orang yang sakit, maka orang yang sakit itu tentu berkurang amal ibadahnya. Tetapi kerana sakit yang dideritainya ini merupakan salah satu pintu kemakrifatan, maka jangan merasa banyaknya amal ibadah yang ditinggalkan itu disebabkan kerana sakitnya.  Padahal bahkan sebaliknya, bahawa dengan sakitnya itu dia merasa dekat dengan Allah....benci masalah duniawi dan cinta akhirat, rela mati dengan menyerahkan diri kepada Allah sepenuhnya. Dia mengerti bahawa Allah boleh berbuat menurut kehendak-Nya dan menyedari bahawa dirinya itu hna serta lemah.

Di dalam hadis yang bersumber dari Abu Hurairah r.a, dia berkata bahawa Rasulullah saw. telah bersabda (maksudnya)::
"Apabila Aku menguji hamba-Ku yang beriman, kemudian dia tidak mengeluhkan Aku kepada pengunjung-pengunjungnya, maka Aku lepaskan dia dari ikatan-Ku dan Aku gantikan kepadanya daging dan darah yang lebih baik daripada daging dan darahnya. Kemudian dia dapat memulai amalnya kembali"

Kesimpulannya, dapat dimengerti bahawa pintu kemakrifatan ada bermacam-macam, dimana tidak tergantung dengan banyaknya amal. Kadang-kadang dengan sakit dimana sipenderita tidak mengeluh boleh menjadi pintu makrifat baginya.

Sekian (5.30 pagi)

Monday, October 3, 2011

Tanda-tanda tidak adanya kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah

Bismillah hirrahmanirrahim

Berkata Syaikh Ahmad ibni Ataillah di dalam kitab Hikam:
"Kesenanganmu agar orang mengetahui keistimewaanmu menunjukkan tidak adanya kesungguhanmu di dalam penghambaanmu (kepada Allah)"

Keterangan:

Keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya itu misalnya berupa ilmu yang bermanfaat, amal soleh, atau amal-amal batiniyah. Kalau orang dalam mengamalkan itu semua masih ada keinginan senang dilihat oleh orang lain, maka hal itu sebagai bukti tidak adanya kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah.  Kerana sesungguhnya dalam menghamba adalah mencari keredhaan-Nya, bukan kepada lain-Nya. Jikalau orang itu memang menpunyai kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah, pastilah dia sudah merasa puas dengan pengamalan ilmunya itu dan tidak senang kalau dilihat orang lain.

Sebahagian ulama mengatakan;
"Barang siapa merasa senang orang lain melihat amalnya, maka dia itu adalah orang yang riya'. Dan barang siapa merasa senang orang melihat tingkah lakunya, maka dia itu adalah pendusta."

Nabi Isa pernah berkata: " Jika orang berpuasa, maka hendaklah dia meminyaki rambutnya dan membasahi bibirnya sehingga kalau dia keluar, orang melihatnya tidak berpuasa. Dan apabila dia bersedekah, maka hendaklah dia berikan dengan tangan kanan dan menyamarkannya dari tangan kirinya. Dan apabila dia bersembahyang, maka hendaklah di menutupi tabir rumahnya, kerana Allah itu telah membagi pujian sebagaimana membagi-bagi rezki"

Berkata Syaikh Abu Abbas Al Mursi: 'Barangsiapa senang terkenal, maka dia budaknya terkenal. Barang siapa senang tersembunyi, maka dia itu budaknya tersembunyi. Dan barang siapa menjadi hamba Allah, maka samalah atasnya, apakah Allah akan melahirkan atau menyembunyikannya".

Untuk membuktikan kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah, orang harus menghilangkan pandangan dan perhatian orang kepadanya. Ertinya, semua pandangan dan perhatian orang tidak usah diperdulikan. Anggaplah bahawa pandangan dan perhatian mereka itu tidak ada. Yang ada hanyalah penglihatan dan pandangan Allah kepadanya.

Menurut Harts bin Asad Al Muhasibi, tanda-tanda orang yang ikhlas kepada  Allah adalah dia tidak menghiraukan penilaian oleh manusia asalkan dia telah benar hubungannya dengan Allah, tidak ada yang mengetahui amal kebaikannya walau sebesar debu, dan tidak takut jika ada orang mengetahui amalnya yang tidak baik. Sebab jika dia merasa enggan untuk diketahui orang amal perbuatanya yang tidak baik, bererti dia ingin dipuji. Yang demikian ini bukanlah perilaku orang-orang yang benar, yang mempunyai kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah.

Sekian,, untuk perkongsian kali ini, mudah-mudahan bermanfaat.