Tuesday, October 4, 2011

Makrifat kepada Allah adalah puncak kebesaran nikmat

Bismillahirrahmannirrahim...

Dengan izin Allah, kali ini tergerak pula di hati saya memetik pengajaran dari Syaikh Ahmad ibni Athaillah di dalam kitab Hikam berkaitan dengan makrifat.

Berkata Syaikh Ahmad ibni Athaillah:
"Apabila telah dibuka bagimu jalan makrifat kepada Allah, maka dengan kemakrifatanmu itu jangan kamu pedulikan amalmu yang sedikit. Maka sesungguhnya Allah tidak akan membuka jalan kemakrifatan untukmu kecuali Dia menghendaki pengenalan kepadamu. Tidakkah kamu mengerti bahawa makrifat itu anugerah Allah kepadamu sedang semua amal perbuatanmu merupakan hadiah kepada-Nya. Sekarang dimanakah perbandingan antara yang kamu hadiahkan kepada-Nya dengan apa yang telah diberikan Allah kepadamu"

Keterangan:

Makrifat kepada Allah adalah mengenal kepada-Nya dengan penglihatan hati.  Makrifat ini merupakan puncak dari semua yang dituntut dan yang diangan-angan oleh seseorang.  Apabila Allah telah mengarahkan hamba-Nya dengan sebahagian sebab-sebab orang menjadi makrifat, lalu kepadanya dibukakan pintu kemakrifatan sehingga dia dapat menemukan ketenangan, maka hal itu merupakan nikmat yang besar.

Apabila Allah telah membukakan jalan untuk makrifat kepada-Nya, maka janganlah dipedulikan amalmu yang sedikit itu. Sebab makrifat itu merupakan anugerah Allah yang tidak tergantung kepada banyak  sedikitnya amal kebajikan.  Kerana sesungguhnya maksud orang memperbanyak amal kebajikan adalah agar dia dapat dekat dengan Allah. Dengan dibukanya pintu makrifat oleh Allah baginya meskipun amal kebajikannnay tidak seberapa merupaka petunjuk bahawa anugerah Allah berupa makrifat tidak berkehendakkan banyaknya amal kebajikan. Sebagaimana disebutkan bahawa amal kebajikan manusia ini merupakan hadiah yang diberikan kepada Allah. Sedang hadiah dari manusia ini walaupun banyak, bagi Allah bukan apa-apa dibanding dengan anugerah-Nya yang begitu besar.

Oleh sebab itu sedikit amal dengan disertai makrifat kepada Allah itu, lebih baik jika dibanding dengan banyak amal yang tidak diserai dengan makrifat kepada-Nya. Seperti contohnya orang yang sakit, maka orang yang sakit itu tentu berkurang amal ibadahnya. Tetapi kerana sakit yang dideritainya ini merupakan salah satu pintu kemakrifatan, maka jangan merasa banyaknya amal ibadah yang ditinggalkan itu disebabkan kerana sakitnya.  Padahal bahkan sebaliknya, bahawa dengan sakitnya itu dia merasa dekat dengan Allah....benci masalah duniawi dan cinta akhirat, rela mati dengan menyerahkan diri kepada Allah sepenuhnya. Dia mengerti bahawa Allah boleh berbuat menurut kehendak-Nya dan menyedari bahawa dirinya itu hna serta lemah.

Di dalam hadis yang bersumber dari Abu Hurairah r.a, dia berkata bahawa Rasulullah saw. telah bersabda (maksudnya)::
"Apabila Aku menguji hamba-Ku yang beriman, kemudian dia tidak mengeluhkan Aku kepada pengunjung-pengunjungnya, maka Aku lepaskan dia dari ikatan-Ku dan Aku gantikan kepadanya daging dan darah yang lebih baik daripada daging dan darahnya. Kemudian dia dapat memulai amalnya kembali"

Kesimpulannya, dapat dimengerti bahawa pintu kemakrifatan ada bermacam-macam, dimana tidak tergantung dengan banyaknya amal. Kadang-kadang dengan sakit dimana sipenderita tidak mengeluh boleh menjadi pintu makrifat baginya.

Sekian (5.30 pagi)

No comments:

Post a Comment