Bismillahhirrahmanirrahim
Umum mengetahui bahawa untuk mencapai sesuatu yang luar biasa, maka ikhtiar melalui amalan kebatinan akan dilakukan. Suatu kuasa magis atau dampingan tertentu diperlukan untuk mencapai hajat tersebut dalam kadar segera.
Gambar Hiasan |
Berkaitan dengan amalan-amalan kebatinan, didapati bahawa antara mereka yang banyak terlibat dalam hal kebatinan ini adalah sebahagian pengamal silat. Bahkan apabila dirujuk kepada fatwa, didapati banyak aliran silat menyalahi aqidah Islam yang sebenar. Para pembaca boleh merujuk kepada fatwa yang diwartakan tentang senarai silat tersebut.
Pengalaman sendiri terjebak dengan amalan kebatinan meragukan......
Saya sendiri pun pernah terjebak dengan amalan kebatinan dalam silat. Pada usia remaja, semangat berkobar-kobar untuk mengisi ilmu di dada mendorong saya mempelajari silat seru dari seorang guru. Pada waktu itu, diri rasa bertuah kerana boleh menghadirkan pelbagai silat setelah membaca sepotong mentera dan zikir. Saya pernah beradu silat dengan rakan seperguruan yang memperagakan silat yang berlainan. Malah saya pernah terkena pukulan angin yang dilancarkan yang membuatkan saya melambung. Gerak silat yang dibuat sangat menakjubkan malah boleh digunakan selain daripada bersilat seperti mengubat orang sakit, mencari barang hilang dan sebagainya. Semakin lama beramal dengan silat ini, satu perasaan aneh menguasai diri. Saya mudah berasa marah walaupun atas perkara yang kecil. Selain itu, saya pantang dicabar dan tidak boleh melihat orang lain lebih. Dalam erti kata lain, diri saya dikuasai oleh suatu tenaga ghaib yang sering saya seru itu (hakikat sebenarnya ialah jin yang menyamar sebagai tokoh silat).
Alhamdulillah, gerak silat saya itu akhirnya tumpas ditangan pengamal silat Abjad dalam satu permainan gerak di dalam gelanggang Ayah Mat (arwah), di kampung Pelangkah, Pekan. Saya berpasangan dengan Ku Kama (kalau tak silap saya). Entah masa bila saya terkena pukulan, sedar-sedar saya sudah terbaring. Ayah Mat kata, jin yang membantu saya itu sudah dikalahkan. Sejak itu saya istiqamah dalam amalan silat Abjad sehingga sekarang.
Selain pengalaman dalam silat seru, saya juga terjebak dengan amalan kebatinan yang melibatkan pembacaan mentera yang meragukan dan serapah dalam bahasa Melayu. Antara ilmu tersebut ialah mentera pengasih, penimbul batu giling, pengunci gerak dan sebagainya. Semua ini sudah lama saya tinggalkan, kerana bukan ‘juadah’ ini sebenarnya yang saya cari. Saya merasakan masih ada kekosongan jiwa yang perlu diisi. Amalan-amalan kebatinan tersebut, sudahlah tidak mendapat pahala dengan membacanya malah tidak dapat dijadikan bekalan di akhirat nanti.
Bertitik tolak atas sebab itulah, saya berusaha menambah ilmu dengan pengisian amalan kebatinan berteraskan Al-Quran dan hadis. Pada saya, dapat juga pahala jika membaca ayat-ayat suci kalam Tuhan. Al-Quran bersifat pelbagai fungsi sesuai dengan amalan dan niat seseorang itu. Kalau niat baik, jadi baik dan kalau niat jahat pun Allah akan makbulkan.
Alhamdulillah, sekarang ini saya merasakan ketenangan dan kepuasan yang tidak terhingga setelah beramal dengan amalan yang haq (al-Quran dan al-hadis). Pergantungan sepenuhnya hanyalah kepada Allah, bukan kepada yang lain....
Dari Allah...Kepada Allah...Kerana Allah...
Sekian untuk perkongsian kali ini. Mudah-mudahan bermanfaat kepada semua.
No comments:
Post a Comment