Bismillahirrahmannirrahim..
Pembaca yang dihormati,
Bagi menzahirkan perlakuan mencarik adat, maka amalan-amalan tertentu dilakukan bagi mencapai tujuan tersebut. Antara contoh; keinginan menjaga diri dan harta benda, kebal, kuat, berpengaruh dan sebagainya. Berikut adalah antara perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak berkaitan amalan kebatinan:
1. Melalui kaedah mubai’ah yang disertakan dengan kalimah Qasam atau sumpah yang bertujuan untuk mendapat hikmah atau kejadian luar biasa.
2. Melalui syarat seperti makanan, minuman, alatan senjata, pakaian, perkataan, perbuatan dan alatan bunyi-bunyian.
3. Melalui petua kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan perkara-perkara luar biasa.
4. Melalui petua-petua atau kaedah-kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa-doa tanpa mengharapkan pertolongan Allah SWT.
5. Tidak tahu asal-usul ilmu dan amal yang dipelajari dan yang diajar kepada orang lain.
Saudara pembaca,
Menuntut ilmu tidak salah. Tuntutlah seberapa banyak ilmu dan sejauh mana jarak kita menimba ilmu, bahkan sehingga ke Negeri Cina sekalipun. Tetapi, sebelum menerima ilmu (khususnya ilmu kebatinan), selidik dahulu ilmu tersebut, jangan main pakai hentam sahaja. Jika tersalah tuntut, maka tanpa disedari kita mengundang khadam sebenarnya. Dalam perjalanan hamba (salik) menuju Allah, perkara sebegini tidak perlu, bahkan bukan sebagai matlamat amalan. Bahkan beramal dengan bercita-cita untuk menjadi wali pun tidak dibenarkan. (rujuk Kitab Hkam).
Khadam Ayat dan Rijalul Ghaib
Gambar Hiasan |
Khadam ayat adalah merujuk kepada seseorang yang membacakan ayat-ayat tertentu daripada al-Quran yang disertai dengan kaedah-kaedah khusus. Apabila mengamalkan ayat-ayat tersebut menurut bilangan dan syaratnya, maka sipengamal akan didatangi oleh suatu makhluk dan boleh diistilahkan juga sebagai penjaga ayat tersebut (khadam). Di dalam kitab lama bertajuk “Pati Rahsia”, banyak diterangkan mengenai kaedah beramal untuk mendapatkan khadam ayat tersebut.
Menurut Prof. Dr. Haron Din (dalam buku Rawatan Penyakit akibat Sihir), khadam ayat adalah sejenis makhluk bukan daripada golongan manusia dan golongan jin ( jin Islam atau jin kafir). Makhluk ini juga bukan daripada makhluk belaan atau sahabat kepada tuannya kerana tidak ada sebarang perjanjian antara kedua belah pihak. Khadam tersebut tidak lain melainkan makhluk yang diutus oleh Allah SWT yang termasuk dalam golongan makhluk ghaib iaitu daripada kalangan hamba Allah yang bertaraf wali yang dikenali juga sebagai “Rijalul Ghaib” atau “khadam Roh”.
Bolehlah dikatakan jika seseorang mendapat khadam ayat, bererti memperoleh ‘pisau yang tajam’ yang boleh memotong apa sahaja. Kelebihan berkhadam ayat ini antara lainnya si pengamal akan meminta pertolongan khadam untuk melakukan rawatan penyakit melalui kaedah tertentu. Sebagai contoh, khadam akan dipanggil untuk membantu memberikan maklumat yang jelas jika seseorang itu disihir (memberitahu jenis sihir, punca sihir tersebut dan cara merawat sihir).
Dalam permasalahan ini, elok kita merujuk kepada Firman Allah SWT pada surah al-Jinn ayat 6: Maksudnya:
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada beberapa orang lelaki (rijal) daripada golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”
Kesimpulan:
Adalah lebih baik kita meninggalkan sesuatu amalan yang dilakukan dengan niat untuk mencari sesuatu kelebihan atau kerana mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku ke atas diri. Hal ini kerana, setiap umat Islam diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan apa jua ibadah yang diperintahkan atau meninggalkan apa jua laranganNya dengan meletakkan niat yang ikhlas kerana Allah SWT sahaja. Buka dilaksanakan untuk tujuan dan kepentingan diri dan makhluk.
IKHLAS...YAKIN...REDHA Hanya kepada Allah semata-mata.
Sekian, jumpa lagi dalam blog seterusnya.
No comments:
Post a Comment