Assalamu'alaikum wwt..
Sambungan perbicaraan saya mengenai solat menurut kacamata kesufian. Perbicaraan agak menjurus kepada peranan solat sebagai terapi zahir dan batin.
Perkataan 'solat' dalam bahasa Arab bererti doa, pujian dan juga memohon keampunan, kasih sayang dan rahmat Allah. Sebenarnya solat itu merupakan amalan yang sangat unik dan sangat penting dalam kehidupan umat Islam dan juga dalam kehidupan orang-orang sufi.
Sufi besar Hazrat Khawaja Gharib Nawaz r.a menyebut tentang kepentingan solat dengan kata-kata berikut:
(a) Tanpa mengerjakan solat. tidak ada sesiapa yang dapat menuju Allah kerana solat itu adalah kemuncak dalam proses menuju Allah bagi orang-orang mukmin.
(b) Solat itu tangga menuju Allah
(c) Solat itu adalah satu amanat yang diletakkan kepada manusia oleh Allah SWT dan satu cara perhubungan rahsia antara hamba dengan Tuhan-Nya.
Solat itu sekaligus adalah amalan zahir dan batin (syariat, tarekat, hakikat dan makrifat). Solat adalah satu set terapi senaman jasmani dan makanan rohani yang paling tinggi mutunya. Dengan melakukan solat 5 waktu, sebenarnya kita dihadapkan dengan sempurna mengikut pergerakan planet-planet. Perhatikan waktu solat berikut:
1. Subuh:
Waktunya dari terbit fajar sidik hingga terbit matahari
2. Zuhur:
Waktunya bila condong matahari dari pertengahan langit dan akhirnya apabila bayangan sesuatu telah sama dengannya.
3. Asar:
Waktunya ketika bayang-bayang sesuatu benda lebih panjang daripada objeknya berakhir apabila tenggelam matahari.
4. Maghrib:
Waktunyabermula dari terbenam matahari sampai hilangnya kemerah-merahan pada malam hari,
5. Isya':
Waktunya mulai dari hilang cahaya kemerah-merahan di tepi langit hingga terbit fajar.
Dari putaran waktu solat ini, apabila kita mengerjakan solat sebenarnya bersesuaian dengan semua putaran tabi'i alam raya ini.
Ada 3 aspek dalam solat iaitu ; perkataan, perbuatan dan kejiwaan. Sebelum memulakan solat, kita mestilah membersihkan badan, pakaian dan tempat solat. Di samping itu, kita hendaklah membuang fikiran-fikiran yang negatif dan jahat serta membersihkan jiwasupaya dapat menumpukan hati sepenuhnya kepada Allah SWT.
Perbuatan bersuci ini digelar wuduk iaitu membasuh muka, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu air di kepala, membasuh kaki hingga ke pergelangan kaki. Inilah yang paling minimum. Sunat pula berkumur-kumur, bersugi, masuk air ke hidung, membasuh telingan dan sebagainya. Setiap perlakuan wuduk itu diulang-ulang sebanyak tiga kali dan dilakukan menurut tertibnya.
Apabila selesai berwuduk, kita pergi ke tempat solat dengan perasaan rendah diri kepada Allah. Apabila berdiri ditempat solat, kita berdiri lurus, mata memandang ke tempat sujud, kedua tangan di sisi dan kedua kaki direnggangkan setentang dengan bahu dan mengadap arah kiblat. Maka bermulalah solat.
Dalam solat ada 3 Gaya utama iaitu:
1. Qiyam (berdiri)............huruf Alif
2. Rukuk.........................huruf Dal
3. Sujud..........................huruf Mim
Ketiga-tiga huruf ini (Alif, Dal dan Mim) menjadi perkataan Adam iaitu nama manusia pertama dan nabi pertama.
Amalan solat ini licin, lancar dan mudah serta boleh dijadikan latihan jasmani yang penting. Sehari semalam kita melakukan solat 5 waktu dan 17 rakaatnya. Orang yang solat sebegini tentu terpelihara dan terhindar daripada segala penyakit jasmani seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, sakit sendi-sendi, sakit mata, sakit telinga, sakit hidung, sakit perut, kegemukan dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja solat in menghindarkan penyakit jasmani tetapi juga penyakit rohani dan mental.
Bagi orang sufi, solat amatlah penting dalam kehidupan mereka. Solat adalah langkah awal dan langkah akhir bagi orang-orang sufi tulen. Solat membawa maksud bersatu dengan seluruh kemanusiaan dan bersatu dengan Allah SWT. Solat adalah asas yang di atasnya terdiri amalan-amalan kesufian yang lebih halus dan lebih murni. Bagi sesiapa yang ingin menikmati kesihatan yang tinggi martabatnya, ingin mengharmonikan kehidupan fizikal, mental dan kerohanian, maka kerjakan solat dengan kyusuk lahir dan batin.
Sekian.Semuga bermanfaat buat saya dan anda semua. Bersambung.........
Rujukan: Kitab Ilmu Perubatan Kesufian
oleh Sheikh Hakim Moinuddin Chishti
No comments:
Post a Comment