Wednesday, November 28, 2012

HUBUNGAN HAMBA DENGAN TUHAN (ALLAH TAALA)

Assalamu’alaikum wwt.
Salam sejahtera buat pembaca yang dihormati sekalian.
Sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini, kita perlulah mengenal-Nya dengan pengenalan yang betul sebagaimana yang dituntut oleha agama Islam yang suci. Ada banyak kaedah untuk kita mengenal Allah yang Esa. Kita boleh belajar Tauhid tentang sifat-sifat Allah yang wajib, mustahil dan harus (melalui pelajaran sifat 20) atau kita belajar menerusi jalan Mengenal Diri  yang membawa kita mengenal Allah (jalan tasauf) dan sebagainya.
Sekiranya Allah menghendaki kebaikan  bagi diri kita , maka akan didorongnya kita belajar dan mengerti akan agama Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad saw. Sebaliknya jika kita jauh daripada agama, maka cepat-cepatlah belajar sebelum terlambat.
Tulisan pada kali ini mengajak kita merenung sejenak hubungan kita dengan Tuhan iaitu Allah Taala. Bagaimanakah pemahaman kita akan perhubungan hamba dengan Tuhan ini?
Saya bawakan  penerangan tersebut melalui kaedah soal jawab  dengan merujuk kitab Kasyfu Al-Asrar (Pembukaan Segala Rahsia) karangan Asy-Syeikh Muhammad Shaleh bin Abdullah Mengkabauw.
Soal : Dan mana misal (perumpamaan) hamba dengan Tuhan, mana misal Tuhan dengan hamba, beri ilmunya supaya tahu?
Jawab : Bermula misal hamba dengan Tuhan dan misal Tuhan dengan hamba, iaitu:
1.      Misal matahari dengan cahayanya, tiada sekutu, tiada bercerai cahaya itu dengan zat matahari, bukan cahaya itu matahari, bukan lain daripada matahari.
2.      Dan lagi misalnya, seperti api dengan asap. Adapun asap itu menunjukkan ada api dan bukan asap itu api tiada lain daripada api, tiada bercerai tiada sekutu.
3.      Seperti misal ini, hamba dengan Tuhan, tiada bercerai tiada sekutu.maka tatkala itu hairan akal dan sangat ajaib, betapakah berhimpun keduanya. Inilah isyarat sabda Nabi saw .( maksudnya) “ Tiada bercerai antara nafi dengan isbat dan sesiapa ceraikan, orang itu kafir”
Soal : Dan manakah rupanya yang tiada bercerai tiada sekutu, beri kami hukumnya?
Jawab : Dan adapun rupanya tiada bercerai itu, iaitu:
1.      Kuasa engkau itu, kuasa Allah Taala
2.      Bergerak engkau itu, digerakkan oleh Allah Taala
3.      Dan ikhtiar engkau itu, ikhtiar Allah Taala
 Dan erti tiada sekutu itu, iaitu tiada sekali-kali engkau berkuasa sertanya seberat zarah jua, hanya semata-mata kuasanya Allah Taala. Sabda Nabi saw: (maksudnya): “Tiada bergerak suatu zarah jua melainkan dengan Allah, yakni dikehendaki oleh Allah”
Inilah ertinya nafi mengandung isbat, dan isbat mengandung nafi,
Tiada bercerai, Tiada sekutu.
Sekian sahaja daripada hamba yang fakir ini. Jumpa lagi....

No comments:

Post a Comment