Tuesday, December 4, 2012

Kalimah LAA ILLAHA ILLA ALLAH

laa Illaha Illa Allah

Zikir Paling Utama dan Afdhal
Sabda Nabi saw (maksudnya):
1.      “Yang paling utama diucapkan olehku dan para nabi sebelumku ialah Laa ilaha illa Allah”
2.      “Zikir yang paling utama ialah Laa Illah illa Allah dan doa yang paling utama ialah Alhamdulillah”

Diriwayatkan daripada Sayyidina Ali Kw.:
“Aku bertanya kepada Rasulullah saw pada sekali peristiwa; “ Ya Rasulullah, manakah jalan yang paling hampir  kepada Allah dan  paling mudah  atas hamba-hamba Allah dan paling utama di sisi Allah Taala? “Hai Ali, hendaklah engkau mengekali zikir Allah”. Ali berkata lagi: “Semua manusia menyebut Allah” Jawab junjungan saw: “Tiada akan berdiri kiamat sehingga tiada tinggal lagi atas muka bumi ini orang yang mengata Allah” . Maka Ali pun  bertanya kepada junjungan, “Bagaimanakah kifiat hamba berzikir ya Rasulullah?” maka jawab Rasulullah saw, “Pejamkan kedua matamu dan dengarlah daripadaku tiga kali, kemudian katakanlah seumpamanya sambil aku mendengar”. Maka mengucap junjungan saw: “Laa illaha illa Allah” tiga kali dalam keadaan memejamkan kedua matanya, kemudian Ali pun mengucap seperti yang demikian itu.

Laa illah illa Allah itu menjadi zikir yang paling utama dan afdhal kerana di dalamnya terkandung makna yang tiada terdapat dalam mana-mana zikir yang lain.  Pada hakikatnya, makna Laa illaha illa Allah itu ialah :
1.      Terkaya Allah Taala daripada tiap-tiap sesuatu (Istigna)
2.      Berkehendak tiap-tiap sesuatu yang lain kepada Allah Taala (Ifftiqar)

Di dalam kalimah Laa illaha illa Allah ini juga terkandung pengertian NAFI dan ISBAT.
Yang dikehendaki dengan nafi itu ialah menafikan wujud diri kita iaitu:
      Laa maujud (tiada yang maujud),Laa hayyu (tiada yang hidup),Laa ‘alimu (tiada yang mengetahui),Laa qaadiru (tiada yang kuasa),Laa muridu (tiada yang berkehendak),Laa sami’u (tiada yang mendengar),Laa basiru (tiada yang melihat),Laa mutakalimu (tiada yang berkata-kata)  MELAINKAN ALLAH TAALA jua.
Hanya sifat yang zahir pada makhluk ini tempat zahir sifat Tuhan kepada hamba, seperti wujud kita ini bayang-bayang bagi wujud Allah Taala.  Mustahil bayang-bayang berdiri sendirinya tiada dengan wujudnya empunya bayang-bayang. Dan mustahil bergerak bayang-bayang dengan tiada bergerak empunya bayang-bayang. Bermula contoh ini kerana memudahkan kefahaman kita.  Firman Allah Taala: “ Hanya Aku jadikan sesuatu itu kerana hendak mengenal engkau akan Daku dalam tiap-tiap sesuatu. Aku yang menjadikan tiap-tiap sesuatu”

Maka fana’kan (binasakan) wujudmu dalam wujud Allah. Sifatmu dalam sifat Allah iaitu Allah Taala yang hidup dalam dirimu, yang tahu dalam ilmumu, yang kuasa dalam tulangmu, dan yang berkehendak pada nafsumu, dan yang mendengar pada telingamu, dan yang melihat pada matamu, dan yang berkata pada lidahmu.  Maka tatkala itu, lepas engkau (kita) daripada syirik.  Dan adalah sebab terdinding kita kepada Allah Taala dengan sebab sangka dan waham kita disangka kita yang punya ikhtiar dan punya perbuatan.  Syak wasangka itulah yang wajib kita nafikan pada kalimah Laa illah, kerana tiada sekali-kali kita punya perbuatan dan punya ikhtiar hanya Allah Taala yang berlaku pada hamba seata-mata.  Inilah isyarat sabda Nabi saw:
Yakni : “ Matilah kamu sebelum kamu mati “ iaitu mati ikhtiar

Jelaslah pada peringkat ini kita hanya memandang daripada Allah kepada Allah. Kita tidak memandang bagi dirinya amal, hanya apabila beramal ia sematkan atau iktikadkan dalam hatinya akan mal itu
Minallah (daripada Allah)
Billah (dengan Allah)
Lillah (bagi Allah)

Sekian daripada hamba yang fakir ini.
Rujukan : kitab Kasyfu Al-Asrar (pembukaan segala rahsia), Asy-Syeikh Muhammad Shaleh bin Abdullah Mengkabauw.

No comments:

Post a Comment