Wednesday, December 5, 2012

APLIKASI TAUHID DALAM PERUBATAN ISLAM

Salam sejahtera buat pembaca yang dihormati,
Dalam tulisan saya terdahulu, saya ada menyentuh tentang hubungan manusia dengan Allah dan Kalimah Laa Illaha Illa Allah.  Antara intisari perbahasannya adalah mengenai  persoalan nafi dan isbat dan mati sebelum mati (fana diri). Hanya yang maujud, yang hidup, yang berilmu, yang mendengar, yang melihat, yang berkuasa yang berkehendak, dan yang berkata-kata hanyalah Allah jua pada hakikatnya. Fahamilah konsep Laa haulawala quwwata illa billah hil aliyyil ‘azim (Tiada daya dan upaya aku melainkan daya dan upaya Allah Taala jua).
Begitulah halnya pegangan kita dalam setiap aktiviti kehidupan yang mana hanya Allah sahaja yang berkuasa segala-galanya. Dalam dimensi Perubatan Islam, ketika berhadapan dengan pesakit dan penyakit, janganlah kita bersandar dengan kepandaian dan ilmu yang kita miliki walaupun ada beberapa kes yang sebelum ini kita berjaya tangani (sembuh). Belum tentu kes yang serupa kita boleh berjaya ubatkan jika rasa ego menguasai diri.
Perawat atau pengamal perubatan Islam sepatutnya tahu tertib sebelum merawat, semasa merawat dan selepas merawat. Perawat bukan menjurus hendak menjadi bomoh, tetapi kita nak rawat hati, diri dan keluarga. Hati merupakan satu tempat yang paling penting dalam bab amalan. Kita harus faham tentang Syariat iaitu kenyataan tentang Perlakuan Allah. Allah hanya pinjamkan kudrat kepada kita untuk mengubat. Kita juga harus faham tentang Tariqat iaitu kenyataan Asma’ Allah. Begitu juga kena faham tentang Hakitat iaitu kenyataan Sifat Allah dan akhir sekali kena faham akan Makrifat iaitu kenyataan Zat Allah.
Dalam merawat kita buat kerja kita, jangan buat kerja Allah. Maksudnya kita harus berdoa dengan sepenuh hati, dengan ikhlas, dengan yakin dan redha. Sematkan.....bukan aku yang merawat tetapi Allah yang merawat. Fahamkan sebaik-baiknya menerusi pegangan tauhid.
Ilmu perubatan Islam memang berteraskan kepada konsep tauhid yang mantap kepada Allah. Belajar biarlah sampai pandai, tetapi jangan tunjuk pandai. Kita kena jaga akidah dan jaga etika yang betul. Pada hari ini, semakin bercambah tumbuhnya pelbagai pusat rawatan Islam yang menawarkan kursus-kursus kepada umum. Bila dah belajar, maka banyaklah ayat-ayat dan amalan yang perlu dihafal /dipraktikkan. Banyaklah pula khasiat atau rahsia setiap amalan tersebut yang kita ketahui. Kalau tidak kena gayanya, kita pun bergantung kepada kebesaran ayat / hikmah amalan tersebut yang dapat menyembuhkan penyakit. Contohnya; Ayatul Qursi diyakini mampu mengusir jin@syaitan. Maka jika berhadapan dengan kes kerasukan, berbuihlah mulut membacanya dengan harapan dapat menghalau jin@syaitan. Di sinilah kita sering terlupa untuk membetulkan iktikad bahawa Allah jua yang berkuasa bukan ayat Qursi itu tadi yang berkuasa. Dalam hal ini, saya sendiri pun pernah terlalai sehingga jin dalam badan pesakit mengikut bacaan ayat Qursi yang saya bacakan malah mengatakan bacaan saya itu tidak betul.
Saudara pembaca,
Bukan niat saya untuk memperlihatkan yang saya seolah-olah faham tentang bab tauhid dan ilmu perubatan Islam. Tidak sekali-kali. Saya cuma mahu berkongsi tentang apa yang saya faham setakat ini. Jika ada sebarang kesilapan, tegurlah saya...
Saya masih mengaji dan mengkaji...ilmu Allah maha luas.
Jumpa lagi

No comments:

Post a Comment