Wednesday, December 12, 2012

Merawat Angin Tidak Lepas

Assalamau’alaikum wwt.
Sepanjang menceburi bidang rawatan berteraskan doa-doa dan ayat-ayat suci al-Quran, pelbagai ragam pesakit dan penyakit telah saya lalui. Saya paparkan di dalam blog ini adalah untuk memberi pengajaran kepada diri saya dan diri tuan-tuan akan keunikan af’al (perbuatan) Allah Taala.
Gambar hiasan: Sakit Kepala

Kisah yang ingin saya paparkan pada kali ini ialah bagaimana saya berhadapan dengan pesakit yang menghadapi sakit kepala dan belakang....yang akhirnya menyebabkan angin tidak lepas atau tersumbat.
Kisahnya begini:
Baru-baru ini iaitu pada Isnin lepas (10/12/2012) saya pulang ke rumah ibu saya di Felda Chini 1. Dalam perjalanan, saya menerima panggilan telefon daripada seorang insan daripada Felda Palong 15 yang sangat memerlukan rawatan penyakit kakak iparnya. Walaupun dalam keletihan, saya menerima dengan hati terbuka untuk berikhtiar merawat penyakitnya.Kira-kira jam 7.00 petang tersebut, beliau menelefon kembali dan berada di Pejabat Pos Cini dan meminta saya menjemputnya.
Setelah solat maghrib dan solat Isyak berjemaaah serta solat hajat, saya memulakan sesi rawatan. Seperti biasa, saya akan berbual-bual sambil bertanyakan punca penyakitnya. Si pesakit memberitahu bahawa beliau terkena penyakit berat kepala dan sakit badan selepas berurut (pakej satu badan) dengan seorang bidan. Selepas berurut dengan bidan tersebut, kepalanya terasa begitu berat hingga tidak boleh diangkat dan sangat sakit. Beliau hanya mampu terbaring lemah. Kasihan saya melihat keadaannya dan juga suaminya yang begitu mengambil berat akan isterinya. Suaminya merupakan seorang anggota tentera yang bertugas di Sarawak dan dijangka akan kembali bertugas di Sarawak pada keesokan harinya dengan membawa isterinya yang sakit tersebut.
Pada mulanya saya menjangkakan penyakitnya disebabkan campur tangan jin atau sihir, namun setelah diruqyah dengan ayat-ayat suci al-Quran, tiada tanda-tanda ketara gangguan jin. Kalau adapun cuma sedikit sahaja getarannya. Pukulan ringan dengan tangan dan kain ke bahagian belakang badannya juga tidak mendapat apa-apa reaksi. Begitu juga kaedah ‘bedah makrifat’ ke bahagian kepalanya juga tidak berhasil/mujarab. Apapun, saya tidak panik dan tenang sahaja kerana saya tahu, saya hanya mampu berikhtiar sahaja....yang menyembuhkan adalah ALLAH.
Saya menyuruh ‘rombongan satu kereta’ tersebut bermalam sahaja di rumah ibu saya di Chini kerana keadaanya masih tetap sama. Pada pukul 3.00 pagi, sekali lagi saya ikhtiarkan meruqyah pesakit, namum tidak juga berkesan. Saya mendapat kesimpulan bahawa ada angin tidak lepas daripada badannya akibat urutan. Apalah daya saya...tiada daya dan upaya aku ,melainkan daya dan upaya Allah.
Pada keesokan paginya, saya mencadangkan kepada suami pesakit untuk menemui guru saya di Pekan, Pahang. Guru saya itu yang pernah saya paparkan kisahnya pada tulisan terdahulu dipanggil “lebai”. Mereka bersetuju kerana tiada pilihan lain, apatah lagi malam ini mereka akan berlepas ke Sarawak. Maka bertolaklah saya dan rombongan tersebut ke rumah guru saya. Sesampainya di rumah “lebai”, rawatan dimulakan. Punca penyakit segera dikesan olehnya dan sama dengan telahan saya.  Saya memerhatikan rawatannya (belajar) dengan memicit point-point tertentu di badan pesakit  dan dengan izin Allah pesakit beransur sembuh. Pesakit telah muntah dan berasa lega. Bekalan air doa untuk  diminum dan dibuat mandian dibekalkan.. terpancar riak kegembiraan di wajah pesakit dan suaminya.. Alhamdulillah.
Iktibar:
1.      Kadang-kadang usaha perawat menemui jalan buntu walaupun segala kepandaian dipraktikkan.
2.      Belajarlah mengakui kelemahan diri dan berusaha mengatasi masalah tersebut.
3.      Sentiasalah merujuk kepada guru jika berhadapan dengan masalah yang sukar diatasi.
4.      Yakinlah bahawa Allah akan membantu kita samada cepat ataupun lambat jika kita berusaha dan berdoa.
Sekian untuk paparan kali ini. Semoga info ini memberi pengajaran kepada kita.

No comments:

Post a Comment