Tuesday, December 18, 2012

Tengoklah Selepas Tiga Hari

“ Selepas ni nak buat rawatan ulangan lagi ke ustaz” ?(walaupun saya bukannya ustaz) tanya keluarga pesakit. “Hemmm.. tengoklah selepas tiga hari”,  jawab saya ringkas.
Dialog di atas mengingatkan saya akan peristiwa yang tidak mungkin saya lupakan  selepas merawat seorang tua ( 70 tahun) yang sakit di sekitar  Jengka tiga hari lepas.
Kisahnya begini......
Saya menerima panggilan telefon daripada anak pesakit yang meminta tolong merawat ayahnya yang sakit. Saya bersetuju menolongnya dan beliau datang  ke rumah saya. Dalam perbualan ringkas, saya dimaklumkan keadaan ayahnya yang menderita lelah atau asma yang teruk. Puas sudah berubat di hospital sehingga dibelikan alat penyedut oksigen di rumahnya. Namun yang peliknya ialah tentang kelakuan aneh ayahnya.  Dipercayai ayahnya mempunyai saka. Tidak perlulah saya ulaskan dengan lebih lanjut...
Maka pada hari Sabtu, saya dibawa ke rumah ayahnya . Sesampainya di sana, saya berbual sambil bertanya khabar pesakit. Melihat wajahnya, terharu rasa hati  kerana usianya lebih kurang sama dengan usia arwah ayah saya. Saya memberi nasihat dan meminta izin merawatnya dan  beliau redha. Seperti biasa saya mengosongkan diri dan  berserah sepenuhnya kepada Allah Taala. Saya cuma berikhtiar sahaja, Allah jua yang menentukan. Dengan khusyuk ayat-ayat ruqyah nabawiyah saya bacakan sambil memegang kepalanya. Keadaan pesakit tenang sahaja iaitu tiada reaksi luar biasa.
Selesai sesi ruqyah, saya memberi harapan kepada pesakit bahawa terimalah apa sahaja ketentuan daripada Allah Taala. Bekalan air penawar untuk minum dan mandian serta limau nipis untuk dibuat mandian selama tiga petang. Mudah-mudahan penyakitnya sembuh dan dapat beribadat dengan tenang tanpa gangguan. Ahli keluarganya  bertanyakan bila lagi rawatan ulangan, maka saya menjawabya tengoklah selepas tiga hari (seperti dialog di atas)
Pada hari Isnin saya menerima panggilan telefon daripada anaknya bahawa ayahnya batuk-batuk mengeluarkan darah. Begitu juga kencingnya juga mengandungi darah. Saya menenangkannya dan meminta beliau menyapu air penawar  ke bahagian dada dan pinggang ayahnya. Pada pagi Selasa, sekali lagi saya menerima panggilan telefon yang mengatakan nadi dan nafas ayahnya telah berhenti. Pengawai perubatan mengesahkan bahawa ayahnya itu telahpun meninggal dunia. Innalillahi wainna ilai hiroji’un.
Dengan ketentuan dan izin Allah, pesakit menghembuskan nafas terakhir pada hari ketiga  sebelum sempat saya merawatnya lagi.......Saya menziarahi jenazahnya dan berdoa agar rohnya diterima oleh Allah. Al Fatihah...
Semoga pengalaman ini memberi pengajaran kepada kita bahawa Allah jua yang berkuasa ke atas segala-galannya. Sekian.

No comments:

Post a Comment