Wednesday, July 27, 2011

Dari Silat Abjad ke Silat Cekak

Assalamu'alaikum w.w.t

Sama ada diakui atau tidak, sememangnya terdapat perkaitan yang amat erat antara seni beladiri (silat) dengan bidang perubatan Islam. Silat yang dimaksudkan ialah silat yang tidak bercanggah dengan Islam. Ulama pada masa dahulu amat unggul dengan penguasaan ilmu silat dan ilmu rawatan Islam. Begitulah tradisi ini diteruskan silih berganti sehinggalah sekarang. Sekadar beberapa contoh, pengasas Silat Abjad iaitu Allahyarham Sheikh Mahmud Nasri Osmani dan penggantinya Ustaz Ahmad bin Che Din merupakan guru silat yang ahli dalam bidang rawatan Islam. Begitu juga pengasas silat Cekak iaitu Almarhum Ustaz Hanafi adalah ahli dalam bidang rawatan.

Dalam tulisan saya terdahulu bertajuk  "Belajar Silat...perlu ke?" ada diterangkan sedikit sebanyak sejarah saya mempelajari silat ini. Apa yang istimewanya amalan ibu gerak permainan ibu gayung diterapkan kepada pengamalnya. Dalam silat Abjad, langkah, tari, bunga dan buah digerakkan oleh gerak bersepakai gerak Allah, gerak Rasulullah, dan gerak aulia Allah. Penjelasan lanjut, rujuklah guru yang arif. Saya pun sudah lama tidak berhubung dengan guru-guru silat Abjad, namun pertalian batin tetap ada.

Semasa saya berada di Bandar Jengka, saya terlibat pula dengan Seni Silat Cekak Malaysia. Saya menerima ijazah daripada guru Ishak bin Itam (Pak Ak) pada tahun 2000. Pada waktu itu, sungguh rancak dan meriah aktiviti silat Cekak. Ikatan persaudaraan sesama rakan penuntut sangat erat. Saya sempat mengambil Ujian Rendah Silat Cekak dan sempat juga memikul amanah sebagai pembantu jurulatih. Sekarang pun saya berlatih sendiri-sendiri je...takut lupa buah. Ingat kaedah, ingat buah..

Dalam pengamatan saya, silat Cekak sememangnya sejenis silat yang mampu mempertahankan diri daripada ancaman musuh. Musuh ada dua, iaitu musuh zahir yang nampak seperti orang yang hendak menyerang kita dan musuh batin yang tidak nampak seperti hawa nafsu dalam diri dan juga makhluk halus. Hendak belajar silat Cekak sememangnya mudah tetapi hendak mendidik hati agar bersih memang sukar.  Sebab itulah terjadinya perpecahan dalam silat Cekak seperti yang berlaku sekarang. Tak perlulah saya bercerita panjang dalam hal ini...terasa sebak pula.

Teringat saya akan kata-kata Almarhum Ustaz Hanafi (pengasas Silat Cekak) iaitu " Kita bersilat bukan kerana silat, kita bersilat kerana agama. Kita bersilat bukan kerana silat, kita bersilat kerana Allah". Jelaslah bahawa silat dan agama seiring sejalan. Berdiri lurus dalam silat Cekak seperti berdiri lurus dalam solat. Silat dan solat perlu seiring.

Sekian saja untuk perkongsian kali ini.  Jumpa lagi...

No comments:

Post a Comment