Assalamu'alaikum w.w.t
Alhamdulillah berjumpa lagi pada kesempatan ini.. agak lama tidak menulis kerana kesibukan kerja.
Tergerak di hati saya dengan izin Allah untuk mengupas tajuk hakikat ikhlas. Sebenarnya melalui tulisan ini saya hendak mendidik hati saya khususnya dan berkongsi dengan rakan-rakan pembaca amnya. Pada topik yang lalu, saya ada menyentuh sedikit tentang ikhlas di bawah tajuk "Ikhlas, Yakin dan Redha".
Saya mulakan dengan maksud hadis daripada Rasulullah s.a.w " Sesungguhnya AllahTa'ala tidak akan melihat bentuk badan kalian dan tidak pula rupa kalian, akan tetapi Dia langsung melihat kepada hati kalian (keikhlasan hati kalian). (HR. Muslim)
Kalau diperhatikan dengan sebaik-baiknya, ikhlas itu mempunyai beberapa tingkat.
Tingkat pertama ialah ikhlas orang yang ahli ibadah. Keihlasan amalnya adalah mahu selamat dari sifat riya'(menunjukkan amalnya agar mendapat pujian), dan sifat 'ujub (mengagumi amalnya sendiri). Dengan demikian, amal ibadahnya itu dimaksudkan untuk memperolehi pahala sebagaimana yang dijanjikan Allah dan menghindari siksaan-Nya. Dari pahala yang diperolehnya itu, dia mengharapkan syurga dan diselamatkan dari azab neraka.
Keihklasan tingkat kedua ialah golongan"Muhibbin" iaitu orang-orang yang mencintai Allah. Orang ini beramal dengan maksud mengagungkan-Nya. Jadi, dia beramal bukan kerana mengharapkan pahala dan bukan kerana takut akan seksa-Nya.
(Kedua tingkatan ikhlas di atas itu merupakan amal perbuatan yang masih disandarkan kepada dirinya sendiri.)
Keikhlasan yang tidak bersandar kepada dirinya ialah keihlasan tingkat ketiga iaitu golongan orang yang makrifat. Mereka mengerti dan yakin bahawasanya Allah-lah yang menggerakkan atau mendiamkan dirinya. Sebab dirinya itu tidak mempunyai daya dan kekuatan sama sekali. Jadi, dirinya tidak dapat beramal kecuali dengan Allah, bukan dengan dirinya sendiri. Keikhlasan seperti ini termasuk tingkatan yang luhur jika dibanding dengan kedua tingkatan sebelumnya.
Berbalik kepada persoalan merawat pesakit, maka pilihkan ikhlas tingkat ketiga iaitu iktikadkan bahawa Allah jua yang menggerakkan usaha kita, doa apa yang perlu dibaca, kaedah mana yang perlu digunakan dan sebagainya. Sebab itulah saya amat tertarik menggabungkan usaha merawat dengan kefahaman tasawuf @ sufi.
Sekian untuk kali ini, jumpa lagi. InsyaAllah
No comments:
Post a Comment