Puasa kerana Allah...Ingat>>> itu fokus utama dalam minda dan niat kita.
Selamat berjumpa lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini. Bulan yang penuh berkat dan kemuliaan yang
seharusnya direbut dengan sebaik mungkin. Terlalu banyak fadilat berkenaan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Di sini, saya bukanlah orang yang arif untuk memetik hadis mahupun ayat-ayat Al Quran berkenaan fadilatnya. Para pembaca bolehlah merujuk dalam kitab-kitab atau bertanya kepada ustaz yang pakar. Apa yang saya tahu, setiap amalan sama ada puasa, solat dan sebagainya mestilah dilakukan dengan IKHLAS kepada Allah tanpa memikirkan fadilatnya.
Saya ingin menyentuh perkaitan puasa dengan kesihatan...iaitu fokus utama blog Rawatan Islam yang saya usahakan. Berpuasa sebenarnya dapat menjadikan badan kita sihat.
Jadi, terbuktilah kebenaran hadis nabi s.a.w., "Berpuasalah kamu agar kamu menjadi sihat." (Hadis riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nuaim daripada Abu Hurairah ra.). Tabib-tabib Islam juga mengesahkan bahawa perut (ma'idah) merupakan punca dan sumber segala penyakit. Kalau sihat ma'idah, sihatlah badan keseluruhannya. Puasa adalah cara yang terbaik untuk merehatkan beban kerja ma'idah dan beberapa organ di dalam tubuh badan seperti jantung, buah pinggang, hati dan lain-lain. Kerehatan ini amat perlu untuk memulihkan prestasi organ-organ tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah bersabda, "Perut itu rumah segala penyakit manakala puasa adalah raja segala ubat. Oleh itu, jadikanlah ia kebiasaan kamu."
Ahli-ahli perubatan Islam, Timur dan Barat berjaya membuktikan bahawa puasa boleh menyihatkan tubuh badan, mental dan rohani. Terdapat ahli-ahli perubatan Barat menggalakkan setiap orang, sama ada sihat atau sakit supaya berpuasa dua hari pada setiap minggu. Ini sangat bertepatan dengan agama Islam yang menganjurkan supaya umatnya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu. Institut Rawatan Kesihatan di India pula menganjurkan supaya rakyatnya berpuasa sekali seminggu untuk mempertingkatkan kesihatan. Melalui amalan tersebut, ia dapat merangsang pertumbuhan hormon, memberikan daya tahan penyakit, merehatkan sistem penghadaman selama sehari dan membantu MENAJAMKAN FIKIRAN.
Penyelidik-penyelidik perubatan menemui bahawa puasa merupakan satu kaedah yang terbaik dalam merawat penyakit dan sebagai penjagaan dari penyakit. Ia dibuktikan dapat membersihkan tubuh badan dari toksid-toksid atau racun-racun. Ia juga membersihkan sisa-sisa makanan yang tidak berguna di dalam perut dan usus di mana sekiranya dibiarkan maka ia akan menjadi sarang kepada kuman yang membawa pelbagai penyakit serius. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor Amerika, "Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut."
Menurut ilmu biologi, sewaktu perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat melakukan tugasnya dengan baik. Ini disebabkan tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti yang menggunakan otak seperti berfikir atau membaca ketika kenyang, kita menjadi mengantuk dan lemah daya fikiran. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.
Atau dengan kata lain, ketika kita sedang berpuasa, aliran darah kepada organ-organ pencernaan berkurangan kerana ianya kurang diperlukan. Dengan demikian, darah dari organ-organ pencernaan akan mengalir serta tertumpu ke otak. Ini menjadikan otak lebih 'pick-up', bertenaga dan daya fikiran menjadi tajam. Sebab itulah para ulama', sami, paderi dan pendita dari agama Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lainnya kebanyakan mengamalkan makan sedikit sahaja. Amalan sedemikian menyebabkan mereka dapat memberikan tumpuan yang baik terhadap pembelajaran dan pengajaran agama mereka.
Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, "Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.". sewaktu bersekolah, ustaz saya selalu berkata, "Tegang urat perut, kendur urat mata." Maksudnya apabila perut dalam kekenyangan, mata pun mula mengantuk dan kita menjadi malas. Sahabat Nabi s.a.w., Abdullah b. Mas'ud berkata, "Empat perkara yang mengelapkan hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan."
Sekian...selamat berpuasa dengan penuh keihlasan kerana Allah, bukan kerana yang lain...insyaAllah kelebihan dan hikmat akan datang kepada kita.
No comments:
Post a Comment