Monday, August 29, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri





Setelah sebulan berpuasa, kini tibalah masanya kita menyambut hari raya Aidil Fitri. Hari raya merupakan hari kemenangan melawan godaan hawa nafsu. Muga-muga ibadah puasa kita diterima oleh Allah.

Jadikan ramadan sebagai inspirasi untuk berbuat kebaikan  dan meninggalkan kejahatan, insyaAllah.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya...
Segala terkasar bahasa, tersilap bicara, harap maaf zahir dan batin.
Semoga kita semua dalam pandangan Rahmat dan KasihSayang Allah di dunia dan di akhirat. Amin.


Hari raya nanti pakaikan minyak wangi kasturi.....Ikhlas dari saya,

AZARUDDIN MJ.

Sunday, August 28, 2011

Khasiat Minyak Kasturi

Minyak kasturi ada khasiat ke? Apa khasiatnya????

Tulisan kali ini membicarakan mengenai khasiat tersendiri minyak kasturi.

Kasturi pada asalnya terdiri dari tiga warna dan jenis iaitu kasturi putih, kasturi hitam dan kasturi asli (warna kuning). Kasturi asli (warna kuning) diolah lagi di mana bagi menarik perhatian pembeli dan pengguna.

Walauapapun, yang penting ianya haruslah dibuat dari kasturi kerana bau badan Rasulullah dan keluarganya sendiri berbau kasturi. Ini dikuatkan dengan cerita di mana sahabat nabi datang ke rumah cucu rasulullah ketika beberapa purnama baginda wafat, cucunya masih mengenakan bauan haruman kasturi sebagaimana yang rasulullah selalu gunakan.
Nabi SAW bersabda “Sebaik-baik harum-haruman (buat kamu) ialah : misk/kasturi.” (Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dari jalan Abu Said al Khudriy).
Baca seterusnya....mudah-mudahan berguna kepada kita.

----------------------------------------------------------------------------------------


KAJIAN ILMUAN ISLAM

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh ilmuwan Islam terutamanya Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah R.A. dan ahli-ahli perubatan Islam, maka kasturi didapati mempunyai banyak khasiat, antaranya:-

1) Memberi kekuatan pada roh


Haruman adalah santapan roh, manakala kasturi adalah merupakan sewangi-wangi dan sebaik-baik haruman sebagaimana sabda Nabi SAW:

“Sebaik-baik wangian adalah minyak kasturi” (Hadis Riwayat Muslim)

2) Menenangkan Jiwa
3) Mencerdaskan akal dan menyihatkan otak
4) Menghilangkan ketakutan dan kebimbangan
5) Menghilangkan debaran jantung
6) Menghilangkan Sesak Nafas
7) Melegakan Lelah (Asma)
8] Menyedarkan orang yang pengsan
9) Memperkuatkan organ luaran tubuh
10) Memperkuatkan organ dalaman tubuh
11) Menghilangkan rasa gementar
12) Menghilangkan sejuk tubuh
13) Membuang angin yang berlebihan dalam tubuh
14) Menawarkan racun atau bisa-bisa binatang
15) Menghilangkan kesakitan sewaktu kencing
16) menjernihkan mata putih pada mata
17) Berfungsi memelihara kesihatan secara keseluruhan
18] Mencegah wabak penyakit
19) Melanjutkan usia
20) Meredhakan Allah SWT, menyukakan para malaikat dan orang-orang soleh, dan sebaliknya dapat mengusirkan syaitan laknatullah dan kuncu-kuncunya.

Menurut Imam Syafie R.A. bahawa antara perkara yang dapat menguatkan badan jasmani ialah dengan mencium bau-bauan yang harum (spt kasturi).
Cara Pemakaian Kasturi

Menurut Syaikh Hayat Ali Ridzha Al-Khiyami an Naqsyabandi, pesakit yang terkena sihir hendaklah memakai minyak wangi di ‘32’ point di tubuh badannya setiap malam. Point tersebut adalah::

20: Di semua hujung jari tangan dan kakinya. Antara kuku dan kulit.:
2: Dua lubang hidung.
2: Dua lubang telinga.
2: Dua kening berdekatan mata.
1: Sekeliling mulut.
2: Dua puting payu dara.
2: Dua kemaluan depan dan belakang. (kubul dan dubur)
1: Lubang pusat.


Selamat mencuba dan beramal...

Penerangan lanjut, hubungi saya.

Wednesday, August 24, 2011

Ramadan hampir ke penghujung



Betapa sayu dan hiba rasa hati apabila bulan Ramadan hampir ke penghujung. Sesetengah orang berasa gembira apabila Ramadan berlalu, tetapi bagi saya, terlalu sedih untuk berpisah dengan Ramadan yang datang menyapa cuma sebulan dalam setahun. Ibarat rombongan yang membawa seribu rahmah dan kemesraan beribadah tetapi tinggal beberapa hari lagi rombongan Ramadan ini akan pergi...

Tidak puas rasanya mengisi ruang dalam bulan Ramadan dengan pelbagai ibadah. Perpisahan yang pasti berlaku tidak lama lagi, yang tidak pasti adakah akan bertemu lagi pada tahun hadapan. Entah-entah tahun ini merupakan tahun terakhir bersama Ramadan....tetapi harap-harap akan bertemu lagi dengan Ramadan pada tahun hadapan. Insya-Allah.


Dapat saya rasakan terlalu sedikit ibadah yang saya persembahkan kepada Tuhan. Hanya saya mengharapkan ibadah saya diterima dan dilipatgandakan.  Baca al-Quran pun tak sempat khatam kerana kelemahan diri sendiri. Apapun saya bersyukur kerana digerakkan Allah untuk berzikir qolbi iaitu zikir tersembunyi di dalam hati...

Tuesday, August 23, 2011

Zikrullah @ Ingat Allah

Sebagai hamba yang lemah, kita hendaklah selalu berzikir kepada Allah. Zikir maknanya ingat. Ada beberapa cara kita berzikir atau ingat kepada Allah yang perlu kita lakukan terus menerus tanpa lupa atau lalai. Tanda dekat kita dengan Allah adalah dengan selalu zikir kepada-Nya dan tanda jauh kita dengan Allah adalah lupa berzikir kepada-Nya. Terdapat beberapa cara kita berzikir kepada Allah....baca seterusnya dengan hati yang bersih.


1.  Zikir anggota badan dan panca indera
Adalah mempergunakan anggota badan dan panca indera untuk ketaatan beribadah semata-mata kepada Allah, untuk memperbanyak amar makruf dan menjauhi hal-hal yang munkar. Ini sudah tercermin di dalam makna hakikinya bersuci dan sholat.

2.  Zikir lisan
Adalah dengan cara membaca Al Qur’an, takbir, tahlil, tahmid, istigfar , do’a, wirid dsb. dengan suara yang dapat didengar oleh telinga.
3.  Dzikir qolbi
Adalah menghadirkan hati dengan penuh keyakinan akan keberadaan Zat, Sifat, Asma dan Af’al Allah.Zat yang maha melihat, maha mendengar, maha mengetahui dan maha kuasa atas segalanya. Zikir qolbi dilakukan dalam hati tanpa bersuara. Semua panca indera dan seluruh tubuh ditutup (dimatikan). Dunia ibarat kosong (tidak nampak lagi). Dalam hal ini, Ruhani yang berkomunikasi dengan Allah. Sejak semula memang hanya Ruhani yang dapat berkomunikasi dengan Allah. Ruhani berasal dari Nur Muhammad.
Untuk mengenal Tuhan harus melalui Tuhan. Berarti bila kita hendak berkomunikasi dengan Tuhan harus melalui bahasa Ruhani, berarti jasad /jasmaninya harus diam, hening, harus merasai  mati sebelum mati. Ruhaninya yang menjerit mengumandangkan Asma Dzat. Jeritan Ruhani akan menembus tujuh petala langit, mencapai Arasy.
DAN SEBUTLAH NAMA TUHANMU DALAM HATIMU DENGAN MERENDAHKAN DIRI DAN RASA TAKUT, DAN DENGAN TIDAK MENGERASKAN SUARA…( AL A’RAF 7 : 205 )

4.  Dzikir Haqq
Adalah dzikir di dalam sir, sudah dalam keadaan fana, AKU YANG BICARA, suatu tingkatan dzikir yang paling tinggi, dzikir gerak rasa dari suara hati atau qolbu .. HU .. HU.. atau dzikir apapun sesuai dengan suara hati.

Dengan cara dzikrullah berarti kita sudah mulai melatih diri untuk melakukan shalat yang kekal, dimana kiblat yang terdekat adalah menghadapkan diri kepada diri kita sendiri.
Pengertian Dzikrullah yang lebih luas adalah tidak hanya sekedar duduk tafakur sambil mengucapkan Asma Allah semata, akan tetapi mengingat Allah secara berkesinambungan, secara istiqomah, setiap gerak-gerik kita, tingkah laku kita sentiasa ingat kepada Allah yang mengawasi dan menyaksikan gerak-gerik perbuatan kita. Dengan demikian perilaku dan nafsu kita akan menjadi terkawal.
Bila dalam setiap perilaku kita sentiasa disertai ingat kepada Allah semata, benar-benar Lillahi Ta’ala, benar-benar ikhlas kepada Allah maka itulah yang sebenar-benarnya ibadah yang akan membawa keselamatan dunia akhirat bagi yang melaksanakannya. Hatinya bersih kerana terisi Asma Allah, tidak terisi angan-angan kotor, tidak memper-Tuhan-kan hawa nafsunya yang merupakan dosa syirik tersembunyi.
Oleh karena itu pengertian bersuci, solat dan zikrullah adalah merupakan suatu kesatuan yang tidak boleh dipisah-pisahkan antara satu sama lain. Ketiga-tiganya harus dilaksanakan serentak, direalisasikan dan diterapkan makna haqiqinya di dalam kehidupan sehari-hari agar ibadah kita menjadi sempurna.
Komentar:
Hendaklah seboleh-bolehnya berzikir serentak melalui lidah, anggota dan hati. Muga kita semua diberi petunjuk dan dibimbing untuk sentiasa berzikir kepada-Nya.

Monday, August 22, 2011

Pengenalan Ilmu Rohani

Bicara ilmu kali ini adalah berkisar tentang pengenalan dan pemahaman awal mengenai salah satu cabang ilmu yang agak tersembunyi. Ilmu tersebut ialah ilmu ruhani atau dikenali juga sebagai ilmu tasawuf atau kadang-kadang disebut juga ilmu hakikat atau digelar juga ilmu batin.............baca kupasan seterusnya dengan hati yang bersih.

------------------------------------------------------------------------------------------------------


Mengapa ilmu ini dikatakan ilmu rohani? Ini karena perbahasannya adalah mengenai roh

Mengapa pula ia juga dikatakan ilmu tasawuf? Jika kita lihat perbincangan para ulama termasuk ulama modern, perkataan tasawuf itu diambil daripada bermacam-macam perkataan. Tetapi di sini saya hanya memilih salah satu daripadanya iaitu dari perkataan (syifak’) bermakna bersih atau murni. Tegasnya, ilmu tasawuf itu adalah ilmu bagaimana hendak membersihkan atau memurnikan roh (hati) atau nafsu. Agar dari dorongan hati yang bersih itu dapat membersihkan pula anggota lahir daripada melakukan kemungkaran dan kesalahan.
Oleh itu, ilmu tasawuf itu adalah ilmu mengenai cara-cara membersihkan lahir dan batin daripada dosa dan kesalahan. Bahkan kesalahan lahir ini berasal dari kesalahan batin. Dosa lahir ini berlaku setelah berlakunya dosa batin. Maka sebab itulah ia dikatakan ilmu tasawuf.
Kenapa pula ilmu ini juga dikatakan ilmu batin? Ini karena roh atau hati memang tidak dapat dilihat oleh mata kepala. Ia adalah makhluk yang tersembunyi. Maka ilmu ini dinamakan ilmu batin kerana ia membahaskan tentang hati dan sifat-sifatnya yang memang tidak dapat dilihat dengan mata lahir tapi dapat dilihat oleh mata batin.
Mengikut pandangan umum masyarakat sekarang, bila disebut ilmu batin, mereka menganggap itu adalah ilmu pengasih atau ilmu kebal. Orang yang belajar ilmu batin bermakna dia belajar ilmu kebal atau belajar ilmu pengasih. Sebenarnya orang itu belajar ilmu kebudayaan Melayu, yang mana ilmu itu ada dicampur dengan ayat-ayat Al Quran. Kebal juga adalah satu juzuk daripada kebudayaan orang Melayu yang sudah disandarkan dengan Islam. Kalau kita hendak mempelajarinya tidak salah jika tidak ada unsur-unsur syirik. Tetapi itu bukan ilmu tasawuf atau ilmu kerohanian seperti apa yang kita bahaskan di sini.
Adakalanya ilmu tasawuf dipanggil juga ilmu hakikat. Ini karena hakikat manusia itu yang sebenarnya adalah rohnya. Yang menjadikan manusia itu hidup dan berfungsi adalah rohnya. Yang menjadikan mereka mukalaf disebabkan adanya roh. Yang merasa senang dan susah adalah rohnya. Yang akan ditanya di Akhirat adalah rohnya. Hati atau roh itu tidak mati sewaktu jasad manusia mati. Cuma ia berpindah ke alam Barzakh dan terus ke Akhirat.
Jadi hakikat manusia itu adalah roh. Roh itulah yang kekal. Sebab itu ia dikatakan ilmu hakikat. Oleh yang demikian apabila kita mempelajari sungguh-sungguh ilmu rohani ini hingga kita berhasil membersihkan hati, waktu itu yang hanya kita miliki adalah sifat-sifat mahmudah iaitu sifat-sifat terpuji. Sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat terkeji sudah tidak ada lagi. Maka jadilah kita orang yang bertaqwa yang akan diberi bantuan oleh Allah SWT di dunia dan Akhirat.
Kebersihan hati inilah yang akan menjadi pandangan Allah. Maksudnya, bila hati bersih, sembahyangnya diterima oleh Allah SWT. Bila hati bersih, puasanya diterima oleh Allah. Bila hati bersih, perjuangannya diterima oleh Allah. Bila hati bersih, wirid dan zikirnya diterima oleh Allah. Bila hati bersih, pengorbanannya diterima oleh Allah. Tetapi bila hati tidak bersih, seluruh amalan lahirnya tidak akan diterima. Itulah yang dimaksudkan di dalam ajaran Islam bahwa walaupun kedua-dua amalan lahir dan amalan batin diperintahkan melaksanakannya tetapi penilaiannya adalah amalan roh atau hatinya. Ini sesuai dengan Hadis yang bermaksud:
Cukup sembahyang sunat dua rakaat daripada hati yang bertaqwa.
Maknanya dua rakaat sembahyang seorang yang bertaqwa itu lebih baik daripada seorang yang banyak sembahyang tetapi hati masih kotor. Selain sembahyang itu diterima, dua rakaat sembahyang dari hati yang bertaqwa itu akan memberi kesan kepada kehidupan seseorang itu. Sembahyangnya itu bisa mencegah dirinya dari berbuat kemungkaran dan kemaksiatan, lahir dan batin.
Berdasarkan Hadis di atas, kita cukup bimbang karena selama ini kita telah mengerjakan sembahyang, sudah lama berjuang, sedikit sebanyak sudah berkorban, sudah habiskan masa untuk berdakwah, sembahyang berjemaah, ikut jema’ah Islamiah, yang mana ini semua adalah amalan lahir, rupa-rupanya Allah tidak terima semua amalan itu disebabkan hati kita masih kotor. Roh kita masih tidak bersih.
Oleh itu dalam kita menunaikan kewajiban yang lahir ini, jangan lupa kita memikirkan roh kita. Kerana roh yang kotor itulah yang akan mencacatkan amalan lahir, mencacatkan sembahyang, mencacatkan segala ibadah dan mencacatkan pahala seluruh kebaikan kita.
Cuba renung kembali Hadis yang pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW kepada Sayidina Muaz bin Jabal.
Orang yang banyak amal ibadah, di langit yang pertama sudah tercampak amalannya. Kalaupun bisa naik, di langit yang kedua pula tersekat. Begitulah seterusnya di pintu-pintu langit yang lain hingga sampai ke pintu langit yang ketujuh, tersangkut lagi. Itu bagi orang yang beramal, masih tertolak amalannya. Bagaimana agaknya kalau orang yang tidak beramal langsung?
Mengapa amalan lahir itu tersangkut? Tersangkutnya amalan itu karena ia ada hubungan dengan penyakit batin atau roh (hati) kita yang masih kotor. Orang yang mengumpat umpamanya, karena hatinya sakit. Walaupun mengumpat itu nampaknya amalan lahir, mulutnya yang bercakap tetapi ia datang dari hati yang kotor. Sebenarnya hati itulah yang mengumpat. Hasad dengki, riyak, kibir, sombong dan sebagainya, itu semua amalan hati. Rupa-rupanya yang menghijab amalan lahir ini adalah mazmumah hati. Amalan hati (roh) ini hendaklah dijaga karena mazmumah hati inilah yang membatalkan pahala amalan-amalan lahir.
Ditegaskan sekali lagi, ilmu rohani adalah ilmu yang mengesan tabiat roh atau hati baik yang mazmumah atau mahmudahnya. Bukan untuk mengetahui hakikat zat roh itu sendiri. Hakikat roh itu sendiri tidak akan dapat dijangkau oleh mata kepala atau tidak akan dapat dibahaskan. Tetapi apa yang hendak dibahaskan adalah sifat-sifatnya saja supaya kita dapat mengenal sifat-sifat roh atau hati kita yang semula jadi itu. Mana-mana yang mahmudahnya (positif) hendak dipersuburkan dan dipertajamkan. Kita pertahankannya karena itu adalah diperintah oleh syariat, diperintah oleh Allah dan Rasul dan digemari oleh manusia. Mana-mana yang mazmumahnya (negatif) hendaklah ditumpaskan kerana sifat-sifat negatif itu dimurkai oleh Allah dan Rasul serta juga dibenci oleh manusia.
Oleh yang demikian, sesiapa yang memiliki ilmu tentang roh ini, mudahlah dia mengesan sifat-sifat semula jadi yang ada pada roh itu. Mahmudahnya dapat disuburkan dan yang mazmumahnya dapat ditumpaskan. Maka jadilah roh atau hati seseorang itu bersih dan murni.
Sedangkan hati adalah raja dalam kerajaan diri. Bila raja dalam kerajaan diri ini sudah bersih, baik, adil, takut kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul, maka sudah tentu dia akan mendorong rakyat dalam dirinya iaitu anggota (jawarih) ini untuk tunduk dan patuh kepada Allah. Mudah untuk membangunkan syariat dan Sunnah Rasulullah SAW serta mudah berbuat bermacam-macam bentuk kebaikan lagi.
Maka kebaikan anggota lahir inilah yang merupakan buah daripada kebersihan jiwa itu sendiri. Jadi kebersihan jiwa itulah pohon yang melahirkan kebaikan kepada tangan, mulut, mata, telinga, kaki dan seluruh tindakan lahir kita ini. Maka bila roh sudah baik, akan jadi baiklah seluruh lahir dan batin manusia. Bila baik lahir batin manusia, dia akan menjadi orang yang bertaqwa.
Bila dia telah menjadi orang yang bertaqwa, maka dia dapat pembelaan dari Allah baik di dunia maupun di Akhirat. Selagi belum menjadi manusia yang bertaqwa, tidak ada jaminan dari Allah akan dibela sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Kalau sekadar menjadi orang Islam, tidak ada jaminan dari Allah untuk dibela.
Dalam Al Quran, Allah tidak mengatakan akan membela orang Islam. Tidak ada satu ayat pun yang Allah berjanji hendak membantu orang Islam. Tetapi yang ada dalam ayat Al Quran maupun dalam Hadis, Allah hanya membantu orang-orang mukmin yang bertaqwa. Jadi bila jiwa sudah bersih, maka akan bersih lahir dan batin, maknanya orang itu sudah memiliki sifat-sifat taqwa. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam Al Quran:
Maksudnya: “Hendaklah kamu berbekal. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah sifat taqwa.” (Al Baqarah: 197)
Bila seseorang itu sudah dapat berbekal dengan sifat-sifat taqwa, maka dia akan dapat pembelaan dari Allah SWT. Pembelaan di dunia maupun di Akhirat. Sebenarnya, di sinilah rahasia kejayaan dan kemenangan umat Islam. Juga rahasia kehebatan umat Islam hingga berhasil menumpaskan musuh-musuhnya sama ada musuh lahir maupun musuh batin.

Komentar:

Carilah guru rohani untuk membersihkan hati kita. Supaya kita kenal diri batin kita yang sebenarnya iaitu roh. Berdoalah kepada Allah agar dipertemukan dengan guru mursyid yang dapat membimbing diri kita menuju keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

Sunday, August 21, 2011

Amanah Sifat Mulia

Saya tersentuh membaca berita mengenai sifat amanah rakyat Jepun yang sanggup memulangkan wang atau barang berharga yang bukan miliknya kepada pihak berkuasa. Kita bagaimana, adakah mempunyai sifat amanah seperti rakyat Jepun? Tepuk dada tanya selera...................baca seterusnya

----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Warga Jepun amanah

LONDON: Penduduk Jepun memulangkan kepada pihak berkuasa kira-kira RM246 juta wang milik mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu awal tahun ini.
Kejujuran itu didedahkan ketika mahkamah Britain berdepan dengan longgokan kes jenayah ekoran rusuhan melanda beberapa bandar raya negara itu minggu lalu.

Dalam tempoh lima bulan sejak bencana melanda Jepun, orang ramai mengembalikan ribuan dompet dan beg tangan yang ditemui di bawah runtuhan bangunan serta kediaman.
Dianggarkan nilai wang yang ditemui daripada dompet dan beg tangan itu bernilai hampir RM148 juta.

Lebih 5,700 peti besi yang dihanyutkan ombak ke pantai juga diangkut dan diserahkan kepada polis oleh sukarelawan dan anggota penyelamat.

Hasil pemeriksaan mendapati, ada kira-kira RM98.6 juta ditemui.
Satu daripada peti keselamatan itu turut menyimpan wang bernilai hampir RM3 juta.

Selain wang tunai, peti keselamatan itu turut berisi ketulan emas, barang antik serta pelbagai barang berharga.
Menurut polis Jepun, hampir semua wang yang ditemui di kawasan paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu dikembalikan kepada pemiliknya.

Menurut pegawai poils Miyagi, Koetsu Saiki, usaha mengesan pemilik harta itu lebih mudah kerana kebanyakan penduduk di situ menyimpan buku bank atau geran tanah yang menyatakan nama dan alamat mereka.

“Pada satu ketika, polis menerima terlalu banyak peti keselamatan sehinggakan kami sukar mencari tempat untuk menyimpannya,” katanya.

Hingga kini pun, kata Saiki, masih ada ramai yang tampil memulangkan barangan bernilai kepada polis setiap minggu.

Amalan menyimpan wang yang banyak di rumah atau pejabat bukan asing kepada masyarakat Jepun, terutama di kawasan pesisir pantai.

Di situ, kebanyakan syarikat perikanan lebih suka berurus n
iaga menggunakan wang tunai. - DM

(sumber : mymetro, 21 Ogos 2011)

Saturday, August 20, 2011

Perisai Diri

Perisai diri atau dipanggil pendinding diri sangat penting kepada setiap muslim. Jangan pula diri kita 'kosong' sehingga mudah bagi 'serangan ghaib' menguasai diri kita. Sedangkan baginda Rasulullah s.a.w pun terkena sihir, inikan pula kita umatnya yang lemah lagilah mudah terkena. Jika dalam tulisan terdahulu, saya ada membicarakan 'ayat penggerak' bagi mengelakkan musibah menimpa kita. Amalkan selalu, insyaAllah mujarab.

Tulisan kali ini saya ingin berkongsi ayat perisai diri / pendinding diri yang mudah iaitu berkaitan ayat al-muawizat atau lebih dikenali sebagai 'TIGA QUL" iaitu Surah Al-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas. Seringkali apabila saya merawat pesakit yang mengalami 'gangguan', saya akan bertanya kepada mereka adakah mereka mengamalkan Tiga Qul ? Ada tu adalah beramal, tetapi petua atau teknik saja yang tak berapa betul............................ baca seterusnya.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w menyebut ayatul Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.

Kisah Nabi disihir:

Seorang Arab Yahudi bernama Labid ibn Asim yang merupakan antara munafiq telah mengenakan Ilmu Hitam (sihir) kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Dia telah mengambil rambut baginda dan membuat sebelas ikatan (simpulan) dan meletakkanya di bawah batu berhampiran telaga bernama Zarwan. Akibatnya, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengalami kekeliruan dan was-was tentang perkara yang telah dilakukan dan belum dilakukan baginda (walaupun ia tidak mempengaruhi ajaran dan sifat kenabian baginda). Maka, malaikat Jibrail turun menghadap baginda dan memberitahu perkara yang sebenar dan menyampaikan dua surah iaitu Surah al-Falaq dan Surah An-Nas. Baginda bersama para sahabat baginda pergi ke telaga tersebut dan mengalihkan simpulan rambut tersebut. Ketika setiap kali surah dibaca, simpulan itu terurai dengan sendirinya dan ketika simpulan yang kesebelas terurai, baginda telah bebas dari pengaruh ilmu hitam tersebut. (Rujukan: Tafsir Ibn Kathir & Ma’arif al-Qur’an)
Menurut Abdullah Yusuf Ali, pada waktu zaman kenabian Nabi Muhammad s.a.w., terdapat seorang bomoh perempuan yang mengenakan sihir hitam ke atas musuhnya menggunakan sihir pada simpulan. Dengan itu, Allah menurunkan surah ini sebagai perlindungan daripada sihir tersebut.






Cara beramal surah ini:
  1. Lunjurkan kaki ke arah Qiblat.
  2. Mengangkat dua tangan seperti berdoa.
  3. Baca ayat-ayat Muawwizat sehingga selesai (tidak termasuk membaca Surah Al-Fatihah).
  4. Tarik nafas kemudian tiup pada tapak tangan sehingga habis nafas.
  5. Tarik sikit nafas kemudian tahan nafas sambil menyapu tapak tangan keseluruh anggota badan yang boleh dicapai kecuali anggota sulit.
  6. Lakukan sekali sebelum tidur & selepas solat subuh setiap hari.
Sekian untuk perkongsian ilmu kali ini. Yang baik hendaklah disampaikan dan diamalkan bersama terutama seperti yang disarankan oleh nabi kita Muhammad s.a.w. Apa yang terlebih baik ialah mengadap guru untuk menerima ilmu-ilmu yang bermanfaat, bukan semata-mata mengadap internet atau buku. Tulisan ini hanya pencetus idea untuk beramal sahaja.....tapi kalau nak beramal tak ada salahnya.

Friday, August 19, 2011

Terapi Solat

Solat merupakan ibadah wajib dan terpenting dalam Islam. Solat merupakan tiang agama. Barangsiapa mendirikan solat bererti mendirikan agama manakala yang meninggalkan solat (dengan sengaja) bererti meruntuhkan agama. Di samping beroleh pahala, ibadah solat sebenarnya mempunyai nilai terapi yang istimewa bagi mnyembuhkan pelbagai penyakit zahir dan batin. Janganlah pula kita solat untuk menyembuhkan penyakit pula....Solat perlu ikhlas kerana Allah.
Bagaimana solat menjadi terapi kesihatan?.......baca seterusnya.
--------------------------------------------------------------------------------------------

SOLAT : TERAPI TERHEBAT YANG DIWAJIBKAN OLEH YANG MAHA ESA
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti  Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok telah menjadi manusia perintis di Malaysia mengkaji kesan soalt ke atas kesihatan manusia secara saintifik. Kajian dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu Profesor Wan Abu Bakar mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat dan Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh.

Dapatan Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas – Aktiviti Otot
  • Otot Menjadi Lebih Kuat: Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh.
Dapatan Ng Siew Chok – Isyarat Otak
  • Orang Mendirikan Solat Berfikiran Tenang : Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
  • Tama’ninah Kktiviti paling Tenang: Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
  • Solat Mampu Meningkatkan Daya Fokus: Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.
Dapatan Dr Fatimah Ibrahim – Komposisi Tubuh
  • Perlu Lakuan 5 aktiviti Untuk Kekalkan Tubuh Yang Baik: Untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir. Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
  • Solat Jamah Lebih Baik: kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian. Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif. ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang” katanya.
  • Solat Tarawih & Puasa: Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.
  • Pengubat Sakit Pinggang: Posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan. Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.
  • Pengubat Mati Pucuk: Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut. Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus. Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya. Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit
  • Denyutan Jantung Paling Baik Ketika Sujud: Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring. Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya. Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama. “Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Sumber : http://abuaiman.wordpress.com/2008/10/19/solat-terapi-terhebat-yang-diwajibkan-allah/
Ubah suai dan sumber : Berita Harian

Tuesday, August 16, 2011

Ayat Penggerak

Hidup ini penuh cabaran. Bahaya dan geruh ada di mana-mana tanpa kita sedari. Biarpun segala langkah keselamatan dan berjaga-jaga sudah kita ambil, tetapi kalau 'nak kena' tetap kena. Inikan pula jika kita tidak mengambil langkah keselamatan dan berjaga-jaga, lagilah mudah terkena. Ingatlah, sebenarnya nabi kita Muhammad s.a.w sangat sayang dan kasih kepada umatnya, maka diajarnya kita satu doa yang sangat ampuh/berkesan untuk memohon perlindunga kepada Allah daripada segala ancaman dan mara bahaya.  Doa tersebut dinamakan "Ayat Penggerak".........sila baca seterusnya

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Oleh: Ismail bin Abu Bakar
Dengan ihsan darussyifa.org

Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut :




 
Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan di sepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;

Dengan nama Allah yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi juga
di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut :
1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan :
1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.

Keberuntungan beramal dengan doa ini :
  • Terhindar Daripada Bahaya
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Penggerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut :

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

• Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.
  • Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan
Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.
  • Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati. 
Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.
Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.
Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.
  • Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.
Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya’Allah.

>>>  Letakkan sepenuh pergantungan hati kepada Allah. Ayat tersebut cuma cara atau kaedah sahaja dalam berusaha. Kena Ikhlas, Yakin dan Redha..

Terkena Sumpahan Air

Sambungan tajuk lepas..Khas Untuk Lelaki : Jangan Kencing Berdiri.

Pada kali ini saya akan menyambung keterangan mengenai Sumpahan Air, khususnya kepada lelaki yang bertabiat kencing berdiri....baca seterusnya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sumpahan Air

Jika dilihat dari sudut psikologi, kebiasaan membuang air kecil sambil berdiri dan tepat mengenai air yang bertakung (tidak mengalir) adalah salah satu sebab yang mempengaruhi pemikiran sehingga syahwatnya menurun.

Kata orang tua-tua, kalau kita mahu merenung, kita akan dapati tidak ada haiwan yang berkaki empat yang kencing tepat terkena air yang bertakung, bahkan sebaliknya dikenakan ke atas benda-benda yang keras. Tak percaya, cubalah tengok...

Dari sudut agama, Allah s.w.t memerintahkan para malaikatNya dengan tugas-tugas yang ditentukan dan diantaranya ialah kewajipan menjalankan tugasnya untuk kepentingan makhluk-makhluknya. Umpamanya dari urusan pemberian rezki hinggalah tugas mencabut nyawa.

Sungguhpun orang tua-tua zaman dahulu tidak memiliki ilmu pengetahuan yang canggih, namun  demikian mereka amat mahir dalam memerhatikan akibat-akibat tertentu dalam kehidupan.Mereka mengamati mengenai sumpahan air iaitu akibat kencing sambil berdiri dan jatuh tepat terkena air yang menakung. Amalan yang sedemikian, jika nasibnya tidak baik boleh mengakibatkan terjadinya lemah syahwat, yang menurut kata orang tua-tua amatlah sukar untuk kembali pulih.


Tidakkkkkkkkkkkk
 Mengapa terjadi begitu?  Adapun sumpahan air itu bermaksud bukanlah air yang menyumpah tetapi boleh  juga dari salah satu:

a.  Sumpahan atau laknat Malaikat yang menjaga air.
b.  Sumpahan atau laknat Jin yang berdiam/tinggal di atas atau di sekitar genangan air itu.

Pandangan orang tua-tua itu ada logiknya, jika dikaitkan dengan bukti orang yang mengalaminya. Antara ciri-ciri utama orang yang mengalami lemah syahwat jenis ini ialah;

a.  terkena secara tiba-tiba
b.  mengalami lemah keseluruhannya, syahwat tidak bertenaga langsung, mati pucuk dan lembik.
c.  amat susah dipulihkan malah boleh dikatakan tidak ada ubatnya..bahaya ni.


Tetapi jangan bimbang, sebab setiap penyakit ada ubatnya. Amalkan petua orang tua-tua dan yang paling penting buatlah apa yang Tuhan suruh dan jauhkan apa yang Tuhan tegah.

Sekian, perkongsian ilmu pada kali ini. Ingatlah mencegah lebih baik daripada mengubat. Cegah sebelum parah.