Awal-awal subuh pagi ini (5/12/2011), saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada isteri guruku. Satu berita mengejutkan telah kuterima bahawa guruku telahpun meninggal dunia jam 5.30 pagi tadi pada usia 75 tahun. Hadiah Al Fatihan buat guruku. Pergimu sukar dicari ganti...
Tidak ramai yang mengetahui bahawa guruku yang bernama Abu Bakar yang lebih mesra kupanggil Pak Ngah boleh mengajar ilmu sufi / jalan sufi. Ini kerana, dari segi penampilannya beliau sangat berselindung dari pandangan ramai. Beliau tidak menunjuk-nunjuk akan kebolehannya tetapi apabila disoal akan ilmu Mengenal diri atau Mengenal Tuhan, maka terserlah akan kebolehannya. Memanglah orang yang semacam ini sangat rahsia memegang amanah ilmu. Bukan sebarang rahsia yang boleh dikeluarkan untuk diberitahu kepada orang ramai. Jika tersalah meletakkan rahsia pada yang bukan tempatnya ibarat meletakkan kalung berlian pada leher babi. Maksudnya, jika pemahaman seseorang tidak sampai kepada pengertian sufi, sudah tentu ilmu itu akan disia-siakan malah boleh pula dihukum sesat. walhal ilmu sufi ini bukanlah sesat, tetapi orang yang berkelayakan mengajarkannya hampir tidak dikenali.
Berapa ramai pengamal sufi yang 'diserang' akibat pemahaman yang berbeza dari orang syariat sejak dari dahulu lagi. Lihatlah contoh Al-Halaj yang dalam fana'nya terlatah menyebut Ana al-haq (Akulah Tuhan) telah dihukum pancung. Begitu juga fahaman wahdatul wujud yang dibawa oleh Abdul Rauf Singkel dan Samsuddin Al-Sumatrani dari Aceh juga diserang dan kitab-kitabnya di bakar. Lihat juga contoh ajaran mengenal diri Hakikat Insan juga dilabel salah. Kitab Kasyful Asrar juga diharamkan. Jadi, untuk mengelakkan fitnah, ilmu ini diperturunkan kepada yang layak sahaja atau insan yang tahan diuji untuk memegang amanah sepanjang zaman. Kita juga boleh meneliti kisah Nabi Musa yang berguru dengan Nabi Khidir juga tidak sehaluan dari ilmu dan kefahaman apatah lagi kita yang jahil ini...
Sebenarnya ilmu sufi / tasawuf adalah untuk mencantikkan dan memperkemaskan lagi amalan kita pada batinnya. Ketahuilah Syariat tanpa Tasauf adalah syirik dan Tasauf tanpa syariat adalah zindik. Oleh itu syariat hendaklah bersekali dengan hakikat barulah sempurna.
Sekian, assalamu'alaikum wwt.
No comments:
Post a Comment