Wednesday, December 7, 2011

Silat Cekak - Silat Papan Sekeping

Salam hormat buat pembaca setia blog saya..

Logo Silat Cekak

Untuk tulisan kali ini , saya berminat untuk berkongsi pengalaman mengenai salah satu ilmu persilatan yang pernah saya tuntut iaitu Seni Silat Cekak – Silat Papan Sekeping. Silat Cekak merupakan satu-satunya ilmu persilatan yang telah saya tuntut sehingga tamat silibusnya. Tetapi ini tidaklah bermakna saya seorang yang mahir dalam silat ini. Kemahiran dalam bersilat memerlukan latihan yang berterusan (istiqamah). Kalau malas berlatih, alamat beratlah geraknya dan lambatlah tindakannnya. Serupalah dengan saya, yang kini hanya memendam ilmu silat ini tanpa  kerap berlatih. 


Ustaz Ishak bin Itam

Ilmu Silat Cekak ini saya terima daripada Ustaz Ishak bin Itam  melalui ijazah pertama pada tahun 2000  sehinggalah  ijazah tamat pada tahun 2001. Untuk menguji ilmu silat ini, saya mengambil Ujian Sijil Rendah di Kuang pada tahun 2002. Setelah itu saya diamanahkan oleh guru untuk menjadi pembantu jurulatih pada tahun 2005. Sekarang ini, saya menjadi ahli tidak aktif atas beberapa sebab.
Namun begitu, walaupun saya tidak aktif, tetapi ilmu dan pengamalan silat ini tetap saya bawa dalam kehidupan. Bagi bangsa Melayu, ilmu persilatan adalah merupakan lambang kebudayaan bangsa Melayu. Pada pendapat saya, Silat Cekak mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding dengan silat-silat Melayu yang lain.


Keistimewaan Silat Cekak:
Sebenarnya ‘Silat Papan Sekeping’  bermaksud silat Cekak yang asli dengan kaedah-kaedah yang mara ke hadapan sahaja (tidak mengelak ke kiri dan ke kanan) boleh digunakan untuk mempertahankan diri di tempat yang sempit walaupun di atas titi papan sekeping. Silat Cekak hanya berdiri lurus seperti pendirian sembahyang. Dimana antara tapak kaki kanan dengan yang kiri tidak terlalu renggang dan tidak terlalu rapat. Dengan pendirian lurus inilah sebenarnya terletak kekuatan Silat Cekak. Berdiri lurus merupakan penengah dari segala pergerakan ke kiri dan ke kanan serta bergerakan ke belakang. Disamping itu, dengan berdiri lurus juga adalah berdiri yang normal bagi manusia. Jika sedang berhadapan dengan musuh, musuh tidak tahu tipu helah kita, kerana dilihatnya pendirian kita seperti pendirian orang yang tidak mahu bergaduh. Jika sekiranya kita menggunakan pendirian kuda-kuda, musuh akan dapat mengetahui tipu helah kita dan dapat membaca mana tangan atau kaki yang ‘mati’ dan mana yang ‘hidup’.
Silat Cekak hanya menyerang apabila terpaksa, demi menjaga keselamatan diri. Sistem pelajaran sedemikian itu secocok dengan ajaran al-Quran yang mengajar supaya tidak menceroboh kecuali diceroboh terlebih dahulu. Pelajaran silat lain yang menumpukan kepada kaedah menyerang semata-mata dipercayai bukan sahaja akan membangkitkan semangat angkuh dan bongkak malah mendorong mereka bertindak kasar dan ganas.
Silat Cekak pada hakikatnya adalah silat gerak. Silat makan segerak, dan makan gerak dalam gerak. Ilmu kebatinan yang diterapkan kepada pengamalnya ialah ilmu untuk mengingati Allah dengan sebenar-benarnya sehingga hati sentiasa terjaga walaupun mata kasarnya lena. Tujuan mengingati Allah adalah untuk membersihkan hati dari penyakit mazmumah seperti megah, riak, dengki dan sebagainya...tujuan akhirnya supaya hati sentias ikhlas terhadap Allah. Setalah hati bersih dan ikhlas barulah Allah membuka dan mengurniakan kepada kita rahsia-rahsia hakikat dan makrifatnya. Pada ketika itu, tercapailah tujuan hidup kita iaitu untuk menjadi hamba Allah semata-mata.
Sekian, Insya-Allah akan bersambung lagi..

No comments:

Post a Comment