Sunday, December 11, 2011

Amalan Sihir dalam Masyarakat Melayu


Santau Katak Puru

Umumnya mengetahui bahawa masyarakat Melayu masih ada lagi terlibat dengan ilmu sihir.  Ini termasuklah untuk kegunaan diri sendiri seperti ilmu pemanis diri, pengasih, penggerun, menjaga diri & harta benda dan sebagainya. Ada juga yang mendatangi pengamal sihir  untuk memusnahkan orang lain dengan ‘cara halus’ akibat persaingan dalam perniagaan, dengki pada seseorang, membalas dendam dan sebagainya. Mereka mungkin mengenakan 'santau' untuk membuatkan mangsa menderita. Aduhai..tergamaknya mereka!!


Terkeliru dan jahil
Kebanyakkan yang mendatangi pengamal ilmu sihir ini mendakwa bahawa pengamal sihir tersebut menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mengubati penyakitnya. Apa yang tidak diketahui oleh orang awam khususnya yang kurang ilmu ialah pengamal sihir tersebut sebenarnya mencampuradukkan ayat-ayat al-Quran. Walaupun pada zahirnya dia menggunakan ayat-ayat al-Quran  tetapi dalam penggunaannya terdapat kesalahan-kesalahan yang disengajakan tanpa disedari oleh orang awam.
Masyarakat Melayu khususnya tidak begitu terdedah kepada perihal hukum-hakam sihir. Rata-rata mengambil mudah permasalahan ini dengan menganggap  bahawa menemui ahli sihir tidak ubah seperti menemui seorang doktor atau tabib dengan tujuan hendak berikhtiar mencari kesembuhan. Mereka berkata bahawa berikhtiar tidak dilarang di dalam Islam. Jikalau Allah SWT mengizinkan ianya berhasil, maka berhasillah ikhtiar mereka.
Faktor-faktor mendatangi pengamal  sihir
Walaupun dengan berjumpa ahli sihir hajatnya tidak termakbul, tetapi masih ramai yang menggunakan khidmat pengamal ilmu sihir ini. Antara amalan sihir yang paling popular dilakukan oleh masyarakat Melayu  ialah santau dan pelalau. Secara umumnya faktor-faktor  perkara ini terjadi adalah seperti berikut:
1.      Kurangnya ilmu dan penjelasan yang diterima oleh masyarakat Melayu khususnya mengenai keburukan dan kerosakan akibat penggunaan ilmu sihir. Masih ramai yang belum mengetahui dengan jelas bahawa ilmu sihir itu adalah haram dan boleh menjejaskan akidah.

2.      Masyarakat Melayu masih belum dapat membezakan yang mana satu ilmu sihir dan yang mana satu bukan ilmu sihir. Pada pandangan mereka kesemuanya adalah perubatan biasa dan tidak ada kena mengena dengan amalan sihir.

3.      Mungkin ada yang mengetahui ilmu sihir itu salah tetapi masih tetap mendatangi pengamal sihir untuk menunaikan hajat yang baik sahaja seperti mengubati penyakit yang dideritainya. Sebenarnya tindakan itu akan lebih memantapkan lagi ilmu pengamal sihir tersebut.

4.      Kebiasaannya orang yang mendatangi pengamal sihir ini ialah orang yang sudah berputus asa dengan pelbagai usaha yang dilakukan sebelum ini dan menganggap tiada jalan lain lagi untuk menyelesaikan masalahnya. Semuanya ini berpunca dari lemahnya iman dan akidah yang tidak mantap sehingga tidak dapat membezakan antara syirik dan dosa besar.

Anda bagaimana? Saya berharap kita semua tidak terlibat dengan kerja-kerja sihir yang jijik ini..

No comments:

Post a Comment