Friday, December 9, 2011

Sihir Menurut islam

 
Syaitan mengajar sihir

Pengenalan
Sihir merupakan ilmu yang telah lama wujud dan berakar umbi dalam kehidupan manusia. Sihir juga dikenali sebagai ilmu hitam. Asal usul sihir adalah daripada amalan syaitan. Syaitanlah yang mempelopori ilmu tersebut dan diajarkan kepada manusia semata-mata atas nama kejahatan kerana syaitan itu adalah musuh utama manusia. Mana mungkin musuh akan mengajar atau memberi kebaikan kepada musuhnya.



Sejarah Sihir
Ilmu sihir dikatakan telah muncul sejak zaman Nabi Idris a.s dan dikatakan telah berkembang dalam kalangan Bani Israel di Babylon (Iraq) dalam tahun 586 sebelum masihi, yang dikaitkan dengan kisah Harut dan Marut yang mengajar ilmu sihir itu kepada manusia. Pada zaman Nabi Musa a.s, ilmu sihir menjadi ilmu yang amat digemari oleh masyarakat manusia pada ketika itu. Ramai ahli atau tukang sihir yang mempraktikkan ilmu sihir dengan bebas dan digeruni oleh masyarakat. Apabila Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan Bani Israil umumnya dan mengajak mereka kepda agama Tauhid,  Allah SWT membekalkan kepada Nabi Musa a.s mukjizat tongkat yang bolem bertukar menjadi ular dan tangannya boleh mengeluarkan cahaya. Firaun dan Bani Israil menolak kejadian tersebut sebagai mukjizat, malah mereka mengatakan bahawa itu adalah perbuatan sihir. Firaun dengan mudah mengumpulkan ramai tukang sihir yang masing-masing berkeupayaan melakukan kerja sihir. Akan tetapi dengan pertolongan Allah, Nabi Musa a.s dengan mudah dapat mengalahkan semua ahli sihir tersebut sehingga mereka mengakui Nabi Musa a.s sebagai nabi dan beriman dengannya.

Bahana sihir
Dewasa ini, sihir ada dimana-mana, baik masyarakat maju mahupun masyarakat mundur. Kemudaratan akhibat ilmu sihir amat ketara dan boleh berlaku ke atas orang biasa di peringkat bawahan dalam ‘hirarki’ masyarat manusia, malah boleh berlaku sehingga ke peringkat paling atas dan ke atas sesiapa sahaja yang ditujukan oleh pengamal-pengamal sihir tersebut. Sihir boleh mengakibatkan mangsanya  jatuh sakit dengan tiba-tiba tanpa sebab yang jelas, bermusuh-musuhan, bercerai-berai, gila, rungsing yang kronik, malah sehingga membawa maut. Nauzubillah...
Sedangkan Nabi kita sendiri, Muhammad s.a.w pun pernah terkena sihir pada zamannya seperti yang sabit dalam  sebuah hadis sahih, menunjukkan seriusnya fenomena sihir itu. Selama ini tiada peruntukan dalam mana-mana enakmen atau undang-undang di Malaysia yang boleh diambil tindakan undang-undang ke atas orang yang melakukan sihir jika disabitkan. Jalan yang selamat ialah dengan beramal soleh dan membentengi diri dan keluarga daripada kejahatan sihir. Belajarlah ilmu menangkis kejahatan sihir atau apabila terkena sihir, berubatlah atau carilah penawar daripada pengamal perubatan Islam..

Hakikat sihir menurut ulama
Ulama-ulama Islam  seperti Fakharuddin Ar-Razi, Al-Farabi, Al-Kindi, Al-Ghazali, Ibnu Sina, Ibnu Rusd, dan Ibnu Kathir telah memberi pandangan dan fatwa tersendiri mengenai ilmu sihir ini.  Para ulama ini secara keseluruhan memberi pengertian yang tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Kesimpulan daripada pandangan mereka, menyatakan  bahawa sihir itu ialah ilmu yang dipelajari daripada guru yang mahir dalam ilmu sihir itu menerusi amalan kebatinan yang berlawanan dengan akidah Islam. Perbuatan tersebut merosakkan akidah seseorang dengan menggunakan jampi mentera yang diajar oleh makhluk halus untuk menghasilkan suatu perkara jahat.
Sihir boleh dikenali  melalui elemen-elemen seperti berikut:
1.      Sihir adalah ilmu. Ilmu yang semata-mata keduniaan dan langsung tidak memberi kebaikan di akhirat.
2.      Ilmu sihir diperkenalkan dan diajar oleh syaitan kepada manusia.
3.      Mengundang kemudaratan sama ada ke atas yang melakukannya atau kepada mangsanya.
4.      Kemudaratan yang paling hebat dan dilaknat adalah kekufuran dan kesyirikan kepada Allah SWT.
5.      Sihir boleh menghasilkan tujuan jahat seperti menyakiti jasmani dan rohani manusia.
6.      Merelakan diri insan menjadi hamba kepada syaitan dengan mematuhi apa sahaja suruhannya kerana mengharapkan balasan daripada syaitan itu yang menghasilkan kepadanya ilmu sihir.
7.      Dengan mengamalkan amalan dan latihan kebatinan tertentu terhadap objek-objek seperti keris lama, besi kuning dan buluh kunig tumpat bagi menghasilkan hal-hal yang mencarik adat menerusi pemujaan yang melampaui kebiasaan.
8.      Menggunakan peralatan-peralatan sihir yang pada kebiasaannya menggunakan tengkorak manusia, tangkal-tangkal yang pelbagai, kain berbagai-bagai warna, mengasap kemenyan pada malam-malam tertentu dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syaral.
Sekian untuk perkongsian info kali ini. Nasihat saya, elakkan dari terjebak dengan ilmu sihir..
Sumber rujukan: Rawatan Penyakit Akibat Sihir, Siri 5, oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

No comments:

Post a Comment