Asssalamu’alaikum wwt.
Para pembaca yang dihormati,
Walaupun sebelum ini saya ada menyuarakan hasrat untuk berhenti daripada menulis di dalam blog ini, namun rupa-rupanya tidak boleh. Perasaan ingin menulis itu tetap ada dan sentiasa ingin berkongsi info yang boleh memberi manfaat kepada semua...
Mengadap guru untuk menimba ilmu |
Tulisan kali ini berkisar tentang kembara saya menuntut ilmu perubatan Islam. Walaupun saya telah mengambil ilmu daripada Tuan Guru Dr. Haron Din (Darus Syifa’) dan Ustaz Wan Asrul (TIAF), namun apa salahnya saya menambah ilmu daripada guru yang lain pula asalkan kaedahnya tidak bercanggah dengan Islam. Saya ingin memperbaiki teknik pengubatan supaya ringkas dan tidak melibatkan pembacaan yang panjang. Oleh itu teknik membetulkan niat dan penyerahan yang mutlak kepada Allah sangat dianjurkan ketika sesi sebelum, semasa dan selepas merawat. Ingat...Allah yang mendatangkan penyakit dan Dia juga yang menyembuhkan penyakit. Jadi serahkan segala-galanya hanya kepada Allah SWT, dan ingatlah kita ini sekadar berikhtiar sahaja.
Peluang belajar
Guru saya yang seterusnya ialah seorang tua yang menetap di Pekan, Pahang. Cukuplah saya memanggilnya sebagai ‘Lebai’ sahaja. Rezeki saya menjadi muridnya bermula pada penghujung tahun ini (Disember 2011). Saya bertemu dengannya semasa menghantar bapa angkat saya berubat dengannya.. saya perhatikan kaedah pengubatannya sangat mudah tetapi berkesan dan terus dapat menerangkan punca sebenar penyakit melalui ilham. Saya juga meminta di rawat olehnya untuk merasa sendiri ‘aura’ penyembuhannya. Lantas sahaja sebelum beredar dari rumahnya, saya menyatakan hasrat untuk berguru dengannya. Nampaknya Lebai tidak keberatan untuk mengajar saya dan meminta saya datang semula ke rumahnya di lain masa sambil memberi peringatan akan tugas sebagai perawat yang selari dengan tauhid dan akidah islam.
Mula diterima belajar
Dengan izin Allah saya telah berkunjung ke rumahnya pada hari Rabu, 21/12/2011. Pertemuan kali ini dipenuhi dengan tazkirah tentang adab sebagai perawat dan petua. Saya diminta datang lagi untuk diajar tentang penggunaan bahan herba dan daun -daun ubat. Untuk itu saya datang semula ke rumahnya tiga hari selepas itu. Alhamdulillah.. saya diamanahkan pula olehnya untuk mempraktikan amalan perubatan ini tetapi ada ‘dugaannya’. Dugaan apa yang menanti terpulanglah dan bersedialah menghadapinya. Wah, suspens juga mendengarnya!. Ah biarlah.. ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’ dan ‘alang-alang mandi biar basah’, bisik hati kecil saya.
Dugaan menimpa
Dugaan yang diperkatakan oleh Lebai itu terus menguji saya pada malam itu juga. Alhamdulillah dengan izin Allah, saya berjaya mengatasinya dengan berkat guru. Tidak perlulah saya menceritakan dugaan tersebut, nanti riak pula. Biarlah antara saya dan guru (dan sudah pastinya Tuhan lebih mengetahui) yang tahu dugaan tersebut.
Sekian, untuk coretan pengalaman kali ini. InsyaAllah, jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment