Assalamu’alaikum wwt..
Surah Al Ikhlas atau lazim disebut QulhuAllah, merupakan satu surah yang mudah dibaca kerana mengandungi 4 ayat sahaja. Walaupun ringkas dan mudah dibaca, hatta kepada anak-anak kecil sekalipun, namun pernahkan kita mengkaji akan khasiatnya seperti sabda baginda Nabi Muhammad SAW.?
Surah Al Ikhlas merupakan penegasan yang mutlak dan padu mengenai keesaan Zat Allah. Allah itu Esa (satu) pada zat, sifat, asma’ dan af’alnya. Mengesakan Allah merupakan kewajipan yang tidak boleh digugat walau dengan apa cara sekalipun.
Berikut saya kongsikan dengan pembaca akan fadilat atau khasiat yang akan diperoleh sekiranya beramal dengan surah Al Ikhlas. Saya ringkaskan intipati daripada sabda Nabi Muhammad SAW (berdasarkan buku bertajuk Khasiat & Fadhilat Ayat-ayat Suci Al-Quran 30 Juzu’, oleh Abu Al-Baqir Ad-Dusuki,2007, ms 209-211):
1. Dibaca 1 kali : dikurniakan pahala seperti orang yang membaca 1/3 Al Quran.
2. Dibaca 3 kali : mendapat pahala seperti pahala orang yang membaca Quran sekali khatam. Dibaca 3 kali sebelum masuk ke dalam rumahnya, terpelihara dari kepapaan dan dikasihi oleh jiran-jirannya.
3. Dibaca 11 kali : nescaya Allah sediakan baginya satu mahligai dalam syurga. Jika dibaca 11 kali pada perkuburan, kemudian dihadiahkan pahalanya kepada ahli kubur, nescaya diberikan kepada sipembacanya pahala sebanyak bilangan ahli kubur di situ.
4. Dibaca 21 kali sebelum tidur : kemudian mengiring ke sebelah kanan, nescaya diseru pada hari Kiamat “Wahai hamba-Ku, pergilah ke pihak kanan dan masuklah ke dalam syurga”
5. Dibaca 51 kali setiap hari: nescaya dibangunkan dari kuburnya terus ke syurga.
6. Dibaca 200 kali setiap hari : serta ia tidak mempunyai hutang dengan manusia, nescaya dituliskan baginya 1500 kebajikan dan dihapuskan dosanya yang telah dilakukan dalam masa 50 tahun.
7. Dibaca 1000 kali : dan tidak menzalimi manusia, tidak mencuri, tidak berzina dan tidak minum minuman memabukkan, nescaya Allah ampunkan kesalahan yang dilakukannya dalam tempoh 50 tahun.
8. Dibaca 1000 kali : nescaya dikurniakan kepadanya kesukaan dan ditempatkan di dalam syurga.
9. Dibaca 1000 kali : lebih dikasihi oleh Allah daripada orang yang membelanjakan 200 ekor kudanya untuk perang sabilillah.
10. Dibaca 100,000 kali : nescaya dikurniakan pahala seperti orang yang menebus dirinya dari neraka.
Apapun......jadikan surah Al Ikhlas sebagai wirid harian kita, baik selepas selesai solat, mahupun dimana-mana sahaja. Cintailah surah Al Ikhlas, nescaya surah Al Ikhlas akan mencintai kita.. Berkata Syeikh Abu Hassan As-Syazali “Apabila engkau hendakkan keikhlasan, maka bantulah dirimu dengan membaca surah Al Ikhlas.
Sekian, untuk perkongsian kali ini. Selamat beramal...
No comments:
Post a Comment