Saturday, December 10, 2011

Hukum Belajar dan Mengajar Sihir

Bomoh dan pawang sering dikaitkan dengan ilmu sihir

Sihir merupakan ilmu hitam (black magic) yang mempunyai kekuatan ghaib yang pada natijahnya menjurus ke arah kejahatan dan kesesatan. Ilmu sihir biasanya melibatkan penggunaan jin dan syaitan untuk mengoptimumkan keberkesanannya. Apabila ditakrifkan sebagai ilmu, sudah tentu sihir mempunyai kaedah pengajaran dan pembelajaran tersendiri. Sudah namanya jahat, maka al Quran menyebutnya dengan jelas akan kemudaratannya. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 102 bermaksud:
“...dan mereka mempelajari (ilmu sihir itu) barang yang mendatangkan kemudaratan dan tidak memberi guna (manfaat) kepada mereka...”


Lantaran itu jelaslah  bahawa sihir itu adalah perbuatan yang dilarang. Malah disebutkan dalam hadis sahih bahawa sihir berada pada kedudukan kedua selepas syirik. Hadis tersebut juga menjelaskan perbuatan sihir lebih dahulu daripada membunuh. Hal ini menggambarkan seolah-olah membunuh manusia tidaklah seteruk perbuatan sihir. Oleh itu, hukum sihir adalah HARAM berdasarkan kepada keterangan-keterangan tersebut dan dalil-dalil dalam al Quran.

Menurut beberapa kajian yang dijalankan sama ada di dalam atau di luar negara, keseluruhannya menemui wujudnya kaedah pembelajaran sihir dengan terlebih dahulu dikenakan syarat yang amat ketara merosakkan akidah. Contohnyan seperti berikut;

1.      Menggunakan al-Quran kecil yang sengaja diletakkan di tumit kasut untuk dipakai selama tujuh hari.
2.      Menulis ayat-ayat tertentu daripada al-Quran dengan darah haid untuk dijadikan tangkal azimat.
3.      Membawa al-Quran ke dalam tandas dan membacanya ketika membuang air besar atau kecil.
4.      Memijak al-Quran dengan menjunjung azimat yang diperbuat daripada rajah-rajah dan angka-angka tertentu.
5.      Berzikir dengan perkataan-perkataan yang tidak diketahui bahasanya dan tidak diketahui maknanya (berkemungkinan memuja nama-nama syaitan).
6.      Menyembelih kambing atau ayam dengan menyebut perkataan-perkataan tertentu dan dilarang menyebut nama Allah.
7.      Membunuh orang Islam untuk diambil darahnya dan dipuja bagi tujuan menjamu makhluk halus.

Setelah dipenuhi beberapa syarat seperti yang telah disebutkan di atas tadi, maka barulah diajarkan jampi mentera yang tidak diketahui maksudnya.

Pendapat Ulama
1.      Al Imam Nawawi menyebut pekerjaan sihir ialah pekerjaan merosakkan akidah secara menyeluruh
2.      Ibnu Qudhamah di dalam Al-Mughni mengatakan dengan mempelajari, mengajar dan mengamalkan sihir adalah haram
3.      Syeikh Atiyah Saqar pula menjelaskan bahawa sihir banyak dipelajari oleh orang awam dengan tujuan menyakiti dan memudaratkan orang lain, bukan bertujuan untuk kebaikan dan mengambil manfaat.

Kesimpulan
Menurut kaedah ilmu fekah, menyatakan barang yang telah dihukumkan haram padanya maka diharamkan mengambil faedah daripadanya. Maka, jelaslah di sini ilmu sihir itu diharamkan. Oleh itu, mengambil faedah daripada ilmu sihir itu dengan belajar, mengajar dan mempelajarinya adalah diharamkan juga. Jika pengamal itu muslim, rosaklah akidahnya. Apabila rosak akidah, lebih-lebih lagi yang disengajakan, maka samalah dengan murtad. Oleh itu, ilmu sihir ialah ilmu yang paling hampir menjerumuskan manusia kepada syirik.
Jauhi sihir..jangan ambil jalan mudah..

No comments:

Post a Comment