Monday, December 31, 2012

Doa Mohon Allah Hapuskan Sihir

Salam sejahtera pembaca budiman;

Yakinlah bahawa Allah Maha Berkuasa ke atas segala-galanya termasuklah menghapuskan sihir atau apa jua gangguan ghaib yang melanda diri kita atau keluarga kita.

Kadang kala doa yang dipohon kepada Allah dalam bahasa yang kita fahami sendiri disertai keyakinan bahawa Allah akan menolong kita, pasti akan dikabulkan olehNya.

Niat dan keazaman yang tinggi  membisikkan doa dan rayuan kepada Allah akan menerbitkan satu gelombang dahsyat yang mampu menghapuskan apa jua gangguan sihir dan jin.. Tetapi jangan pula lupa membaca kalimat-kalimat suci al-Quran yang merupakan mukjizat terulung yang kita pusakai dari Nabi Muhammad s.a.w. Insya-Allah

Cubalah selitkan di dalam permohonan kepada Allah..

”Bismillahirromaanirrohiim Alhamdulillaahi Robbil ‘Aalamiin. Allahumma sholli ‘alaa
Muhammad Wa‘alaa aali Muhammad
Yaa Hayyu Yaa Qoyyum Birahmatika Astaghits (Ya Allah Yang Maha Hidup, Yang Maha
Berdiri sendiri, dengan mengharap rahmatMu, kami memohon pertolongan)

Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami memohon ya Allah agar serangan sihir yang menimpa keluarga kami dihentikan.

Ya Allah, kami memohon kembalikanlah seluruh sihir yang menyerang kami kepada penyihir
dan mereka yang minta disihirkan. Berilah mereka siksa yang pedih dan balasan yang setimpal di dunia dan akhirat.

Ya Allah, sembuhkanlah seluruh anggota keluarga kami dan jangan biarkan sihir kembali
menyerang keluarga kami. Hanya engkaulah tempat kami meminta dan tempat kami memohon, tiada daya upaya kecuali pertolongan Engkau ya Allah.

Allahumma sholli ‘alaa Muhammad Wa ‘alaa aali Muhammad. Walhamdulillaahi Robbil‘Aalamiin


Ikrar Pemutus sihir

Bismillahirromaanirrohiim.
Alhamdulillaahi Robbil ‘Aalamiin.
Allahumma sholli ‘alaa Muhammad Wa ‘alaa aali Muhammad
Yaa Hayyu Yaa Qoyyum Birahmatika Astaghits
Ya Allah, mulai saat ini kami haramkan seluruh  jin dan penyakit sihir untuk berada dalam tubuh kami. Seluruh  Jin dan Sihir yang sekarang berada dalam tubuh kami, maka mereka akan hancur
lebur dengan izin-Mu Ya Allah...
Allahumma sholli ‘alaa Muhammad Wa ‘alaa aali Muhammad.
Walhamdulillaahi Robbil ‘Aalamiin

Ikhlas...
Yakin...
Redha...

Saturday, December 29, 2012

Rawatan bekam telah dibuka

Alhamdulillah , syukur kepada Allah yang telah memberi izin untuk saya memulakan rawatan bekam.
Buat masa ini, rawatan bekam beroperasi di rumah saya sahaja memandangkan tiada tempat lain lagi yang sesuai. Keutamaan kepada lelaki sahaja..

Bekam Penyembuh Pelbagai Penyakit
Berbekam telah diketahui umum sebagai alternatif utama menyembuhkan pelbagai penyakit. Sekurang-kurangnya 93 penyakit yang boleh disembuhkan melalui kaedah bekam iaitu:
1 Kegemukan (Obesiti) 2 Elephantiasis (Penyakit Kaki Gajah / Untut) 3 Sciatica (Sakit Pinggang) 4 Sakit Perut 5 Sembelit 6 Gangguan Jantung & Lambung 7 Menunrunnya Fungsi Rusuk, Peradangan dan Nyeri Peru 8 Alergi Makanan 9 Sengal Tulang 10 Sesak Nafas 11 Asma 12 Insomnia (Susah Tidur) 13 Cirit Birit 14 Kejang Otot 15 Kencing Manis 16 Gangguan Pundi Empedu dan Hati 17 Menggigil Tanpa Demam 18 Kencing Malam 19 Tonsil 20 Gatal-Gatal (Harsh) 21 Radang Usus Besar 22 Tekanan Jiwa yang Berat (Stress) 23 Gangguan Pundi Empedu 24 Pusingan Haid Tidak Teratur 25 Ginjal 26 Tekanan Darah Tinggi 27 Sakit-sakit Lutut 28 Sakit-sakit Di Kaki 29 Sakit Di Sekitar Tulang Belakang 30 Gangguan Jiwa 31 Lumpuh kerana Penyumbatan Pembuluh Darah Otak (Strok) 32 Encok (Gout) 33 Rematoid 34 Luka, Bisul Di Betis dan Punggung serta Gatal-gatal 35 Menurunnya Daya Tahan Tubuh 36 Sinus 37 Sakit Di Daerah Perut 38 Gangguan Rusuk dan Penyakit Kulit Rusuk 39 Buasir 40 Penyakit Jantung 41 Mandul 42 Terlalu Banyak Tidur 43 Sakit Kepala Sebelah (Migrain) 44 Memperbaiki Peredaran Darah 45 Pembuluh Darah Sempit dan Sumbat 46 Sakit Punggung 47 Sakit Bahu dan Tengkuk 48 Sakit Bahu 49 Badan Kurus 50 Untuk Membantu Meninggalkan Merokok 51 Kurang Dengar, Radang dan Bengkak Telinga 52 Jangkitan Kuman 53 Melancarkan Perjalanan Darah 54 Menurunnya Aliran Darah 55 Tingkatkan Daya Ingatan 56 Tingkatkan Konsentrasi 57 Fistula Ani 58 Sakit Pinggang 59 Sakit Punggung 60 Gangguan Pundi Kemih 61 Kaki Kesemutan 62 Tangan Kesemutan 63 Salah Urat 64 Lumpuh Menyeluruh 65 Pening Kerana Gangguan Perut @ Sembelit 66 Gangguan Pada Prostat dan Lemah Syahwat 67 Pening Kerana Gangguan Tulang Belakang atau Gangguan Pada Empedu dan Hati 68 Pening Pada Waktu Haid Bagi Wanita 69 Rasa Sakit Di Bahagian Paha dan Telapak Kaki 70 Dingin Di Telapak Kaki 71 Nervous (Tegang / Gelisah) 72 Tumor Otak 73 Penebalan dan Pengerasan Telapak Kaki 74 Lutut yang Kaku 75 Gangguan Pankreas 76 Kejang-kejang 77 Tidak Boleh Bercakap 78 Penyakit Mata 79 Lemahnya Fungsi Sel-sel Otak 80 Berhenti Haid 81 Pembekakan Testis 82 Tekanan Darah Rendah 83 Berbagai Penyakit Rahim 84 Keluarnya Cairan Vagina Tanpa Bau, Warna dan Tanpa Rasa Gatal 85 Keluarnya Cairan Vagina 86 Peradangan Saraf Trigeminus (44) dan Facialis (45) 87 Untuk Meningkatkan Prodcuktiviti Indung Telur (Kesuburan) 88 Pusing Kerana Mata Lelah 89 Batuk Kronik dan Penyakit-penyakit Paru-Paru 90 Sakit Kepala Pening Kerana Tekanan Darah Tinggi 91 Sakit Kepala Kerana Radang Di Sekitar Rongga Hidung 92 Pening Kerana Anemia 93 Pening Kerana Influenza

Mereka yang tidak boleh dibekam:
1.      Orang tua yang sakit kuat
2.      Orang tua yang tiada upaya (berkedut kulitnya)
3.      Kulit bermasalah seperti kudis atau bernanah
4.      Pada perut bagi mereka yang baru makan
5.      Pada perut wanita yang hamil
6.      Mereka yang ada tekanan darah rendah
7.      Wanita yang sedang haid
8.      Penyakit kencing manis yang kronik
9.      Mereka yang makan ubat pencair darah
10.  Kanak-kanak di bawah umur tiga tahun
11.  Pada tulang belakang
12.  Pada kelenjar limpatik
13.  Mereka yang baru lepas makan yang berat
14.  Pada lubang alami seperti hidung, mulut, telinga dan sebagainya.
15.  Pada tempat yang ada virus (kecuali pesakit guna mangkuk dan jarum sendiri)
Pantang larang:
1.      Jangan makan tiga jam sebelum berbekam
2.      Jangan terlalu lapar
3.      Jangan mandi melainkan selepas tiga jam berbekam
4.      Jangan berbekam di tempat yang terlalu panas atau sejuk




Bekam Sunnah Thibbun Nabawi (bekam sunnah)
Kaedah bekam ini adalah kaedah bekam sunnah bertepatan dengan amalan Rasulullah SAW yang berbekam mengikut point yang asal iaitu 1400 tahun dahulu.. Kaedah bekam thibbun nabawi ini memberikan 1001 hikmah kesihatan keseluruhan badan seperti mata yang cerah, merawat kebas kaki, merawat masalah pinggang dan menyelesaikan juga masalah pening kepala serta sihir. InsyaAllah..rasai sendiri keberkesanannya.
Kadar upah :
·         Upah yang dikenakan adalah berpatutan iaitu sebanyak RM 50 sahaja  bagi 10 titik point  bekam Sunnah Thibbun Nabawi dan lain-lain penyakit.
·         Bagi pesakit yang tiada kemampuan kewangan, kadar upah bergantung kepada keikhlasan pesakit.

Kepada sesiapa yang ingin berbekam, silalah hubungi saya untuk temujanji.

Monday, December 24, 2012

AL MU’ALIJ AL-ANSARI

Sedikit Catatan Perjalanan....
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana mempermudah aku menuntut ilmu. Sebenarnya bukanlah mudah untukku mempelajari ilmu perubatan Islam di Darul Ansar sehingga tamat selama setahun. Segala penat lelah, tenaga dan wang ringgit aku ketepikan demi menyahut tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah.
Pada tanggal 23 Disember 2012 (Ahad), rakan-rakan ikhwan Darul Ansar dari seluruh Malaysia telah menerima Diploma Perubatan Islam dalam satu majlis yang begitu bermakna. Majlis kali ke-4 tersebut berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah, Seremban, Negeri Sembilan. Kami, para ikhwan Darul Ansar diberi tauliah dan gelaran khas iaitu Al-Mualij Al-Ansari.  Bererti kini, kami semua memikul amanah mengangkat dan memartabatkan Pengubatan Islam yang suci. Bukanlah mudah tugas ini.....banyak cabaran dan dugaan, semoga Allah jua membantu kami. Semuga Allah membalas jasa Tuan Guru (TG) Muhamad Rajab Akmal bin Abdul Halim Al-Idrisi yang sanggup turun mengajar kami bermula Januari 2012 sehingga Disember 2012. TG bukan sahaja menurunkan ilmu perubatan, malah membimbing kami di dalam Tareqat Al-Muhammadiyah Al-Idrisiyah Al-Ahmadiyah As-Syazuliyah.
Rakan-rakan sepengajianku di Temerloh seramai 21 orang merupakan perintis pertama Darul Ansar di Negeri Pahang. Insya-Allah, pengambilan sesi ke-2 akan diadakan pada 20 Januari 2013 (Ahad) akan menyusul dan diharapkan mendapat sambutan memberangsangkan. Semoga kemesraan dan keserasian yang telah kami pupuk selama setahun akan berterusan. Usaha yang telah dirintis oleh Ustaz Rozi tidak akan kami lupakan..kepada sesiapa sahaja terutamanya di sekitar Temerloh dan Jengka marllah datang belajar pada sesi ke-2 nanti. Hubungi Ustaz Rozi di talian 019 988 5781
Berbalik kepada pengajian kami di Darul Ansar, terdapat Lapan modul yang telah kam ikuti menerusi kitab Tibb Al-Idrisi Al-Ansari iaitu :
Modul 1 : Hakikat Kejadian Jin
Modul 2 : Rawatan Sihir
Modul 3 : Rawatan Ain dan Pukau
Modul 4 : Pagar Rumah
Modul 5 : Kelebihan Ayat dan Surah  Pilihan
Modul 6 : Rawatan Penyakit dengan Doa
Modul 7 : Kelebihan Zikir
Modul 8 : Bekam dan Pengubatannya.


Sekian sahaja catatan daripada hamba yang fakir.....Al-Mualij Al-Ansari

Wednesday, December 19, 2012

Petua Penjagaan Tenaga Batin

Petua Pemakanan dan Pernafasan
Salam sejahtera pembaca blog yang saya hormati.
Post kali ini adalah berkisar kepada beberapa petua berkaitan penjagaan tenaga batin bagi golongan lelaki. Tenaga batin yang dimaksudkan ialah tenaga kelelakian. Kalau kita bertanya kepada orang lelaki, semuanya mahukan tenaga yang ‘power’ dan bertenaga. Dalam hal penjagaan tenaga batin ini, janganlah dipandang remeh sahaja. Sebenarnya ada pelbagai petua penjagaan yang perlu  diamalkan oleh kaum lelaki bagi menjaga prestasi terbaik. “Mencegah lebih baik daripada mengubati”  adalah mutiara kata yang perlu kita hayati.
Marilah kita amalkan sedikit petua orang tua-tua  dibawah ini untuk kebaikan bersama...
Apabila makan nasi  dan minum air :


Berselera makan nasi

·         Kepalkan segenggam nasi sebesar jari kelingking sebelum menyuapnya, kemudian telan tanpa menguyahnya.
·         Elakkan dari makan nasi sejuk.
·         Kurangkan kuah apabila makan nasi.
·         Semasa makan nasi, jangan sesekali minum air melainkan jika tercekik.
·         Selepas makan nasi  biarkan seketika sebelum minum air.
·         Amalkan meminum air suam.
·         Amalkan meminum air didih beras seminggu sekali.
·         Elakkan minum terlalu banyak air tanpa makan apa-apa.
·         Amalkan meminum air masak pada waktu pagi selepas sahaja bangun tidur segelas. Paling baik dicampur sedikit madu.
·         Kurangkan minum air batu.
·         Minum hanya ketika dahaga.

Berkaitan makan secara am:

·       Makan hanya ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Kurangkan memakan makanan yang sejuk seperti epal, barli, peria, timun, telur itik, salad,limpa kambing, limau mandarin, mangga, buah pear, bayam, strawberry, pisang embun, labu, tembikai, kepak ayam, dan terung merah.
·         Makan makanan seperti asparagus, kayu manis, ketumbar, kurma, bawang putih, halia, madu, susu, daging, telur, halba dan garam, sama ada bersendiri atau dicampur dengan masakan.
·         Jangan makan makanan yang kurang masak, atau makanan yang telah basi.
·         Kurangkan pekasam atau asam.
·         Jauhi makanan yang sama sifatnya iaitu sejuk dengan sejuk, atau panas dengan panas, atau berlendir dengan berlendir.
Apabila buang air  (kecil atau besar):
·         Apabila buang air kecil pada waktu pagi, lepaskan sedikit dahulu kemudian tahan seketika sehingga terasa sakit, kemudian barulah dilepaskan kesemuanya.
·         Elakkan dari buang air kecil dan air besar keluar bersama-sama.
·         Sebelum buang air besar, eloklah buang air kecil dahulu.
·         Amalkan buang air kecil di atas benda keras seperti simen, batu, besi dan sebagainya.
·         Jangan buang air kecil terus ke atas tanah.
·         Jangan sekali-kali membuang air kecil ketika berada di dalam air.
·         Tutup mulut dan kacip gigi sewaktu  air besar sedang keluar.
·         Jika buang air besar, letakkan tapak tangan di bawah lipatan lutut dan tahan nafas seketika.

Apabila bernafas dan wangian:

·         Amalkan bernafas dengan penuh, sebaiknya ditarik dengan penuh dan ditahan seketika, kemudian hembus sehingga habis tetapi sedikit-sedikit.
·         Elakkan dari membau bauan yang busuk dan tidak menyenangkan.
·         Biasakan mencium wangian. Amalkan memakai minyak wangi tanpa alkohol, paling baik minyak bunga ros atau minyak kasturi.
·         Amalkan juga menyebut nama Allah (asma Allah) dalam hati pada setiap tarikan dan hembusan nafas. Dinamakan juga amalan zikir nafas. Rujuklah guru untuk mendapatkan petuanya.

Sekian sahaja perkongsian petua pada kali ini... Insya-Allah  bersambung lagi..
 Rujukan dan olahan daripada buku Permata Yang Hilang Seni Nafkah Batin , karya Ibnu Yusof, 1992

Tuesday, December 18, 2012

Tengoklah Selepas Tiga Hari

“ Selepas ni nak buat rawatan ulangan lagi ke ustaz” ?(walaupun saya bukannya ustaz) tanya keluarga pesakit. “Hemmm.. tengoklah selepas tiga hari”,  jawab saya ringkas.
Dialog di atas mengingatkan saya akan peristiwa yang tidak mungkin saya lupakan  selepas merawat seorang tua ( 70 tahun) yang sakit di sekitar  Jengka tiga hari lepas.
Kisahnya begini......
Saya menerima panggilan telefon daripada anak pesakit yang meminta tolong merawat ayahnya yang sakit. Saya bersetuju menolongnya dan beliau datang  ke rumah saya. Dalam perbualan ringkas, saya dimaklumkan keadaan ayahnya yang menderita lelah atau asma yang teruk. Puas sudah berubat di hospital sehingga dibelikan alat penyedut oksigen di rumahnya. Namun yang peliknya ialah tentang kelakuan aneh ayahnya.  Dipercayai ayahnya mempunyai saka. Tidak perlulah saya ulaskan dengan lebih lanjut...
Maka pada hari Sabtu, saya dibawa ke rumah ayahnya . Sesampainya di sana, saya berbual sambil bertanya khabar pesakit. Melihat wajahnya, terharu rasa hati  kerana usianya lebih kurang sama dengan usia arwah ayah saya. Saya memberi nasihat dan meminta izin merawatnya dan  beliau redha. Seperti biasa saya mengosongkan diri dan  berserah sepenuhnya kepada Allah Taala. Saya cuma berikhtiar sahaja, Allah jua yang menentukan. Dengan khusyuk ayat-ayat ruqyah nabawiyah saya bacakan sambil memegang kepalanya. Keadaan pesakit tenang sahaja iaitu tiada reaksi luar biasa.
Selesai sesi ruqyah, saya memberi harapan kepada pesakit bahawa terimalah apa sahaja ketentuan daripada Allah Taala. Bekalan air penawar untuk minum dan mandian serta limau nipis untuk dibuat mandian selama tiga petang. Mudah-mudahan penyakitnya sembuh dan dapat beribadat dengan tenang tanpa gangguan. Ahli keluarganya  bertanyakan bila lagi rawatan ulangan, maka saya menjawabya tengoklah selepas tiga hari (seperti dialog di atas)
Pada hari Isnin saya menerima panggilan telefon daripada anaknya bahawa ayahnya batuk-batuk mengeluarkan darah. Begitu juga kencingnya juga mengandungi darah. Saya menenangkannya dan meminta beliau menyapu air penawar  ke bahagian dada dan pinggang ayahnya. Pada pagi Selasa, sekali lagi saya menerima panggilan telefon yang mengatakan nadi dan nafas ayahnya telah berhenti. Pengawai perubatan mengesahkan bahawa ayahnya itu telahpun meninggal dunia. Innalillahi wainna ilai hiroji’un.
Dengan ketentuan dan izin Allah, pesakit menghembuskan nafas terakhir pada hari ketiga  sebelum sempat saya merawatnya lagi.......Saya menziarahi jenazahnya dan berdoa agar rohnya diterima oleh Allah. Al Fatihah...
Semoga pengalaman ini memberi pengajaran kepada kita bahawa Allah jua yang berkuasa ke atas segala-galannya. Sekian.

Monday, December 17, 2012

Peluang Belajar Ilmu Perubatan Islam di Darul Ansar

PERSATUAN PENGUBATAN ISLAM DARUL ANSAR MALAYSIA
No. 16, jalan BP 1, Taman Bertam Perdana,
75200 Pulau Gadong ,
Melaka.

Darul Ansar


Assalamu’alaikum wwt.
Saya menyeru kepada sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam untuk mempelajari ilmu Perubatan Islam secara terus di bawah bimbingan Ustaz Al-Musnid Syeikh Muhammad Rajab Akmal bin Abdul halim Al-Idrisi daripada Darul Ansar.
Jangan lepaskan peluang untuk mempelajari ilmu Perubatan Islam yang bersanad dan berkat ini. InsyaAllah boleh merawat diri sendiri, ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan sesiapa sahaja.
Tuan-tuan bolehlah menghubungi alamat dan no. Telefon seperti yang tertera di iklan berikut: (sila klik untuk besarkan)


Tepuk dada tanya selera.....

Friday, December 14, 2012

Memecah Benteng Jin

Para pembaca blog yang dikasihi,
Gangguan jin terhadap manusia tidak pernah surut, apatah lagi jin jahat bertaraf syaitan. Pantang ternampak kelemahan manusia, nescaya akan diganggunya. Menyedari hal ini, nabi kita Muhammad saw. telah siap membekalkan umatnya panduan dan pedoman untuk menangkis gangguan jin tersebut, tinggal lagi kita hendak beramal ataupun tidak.
Kisah yang ingin saya kongsikan pada kali ini ialah mengenai pengalaman saya merawat seorang pesakit yang diganggu jin sejak sekian lama. Pesakit ini memang mempunyai sejarah keturunan yang bersangkut paut dengan jin (saka).
Pesakit yang dimaksudkan tinggal di Kuala Lumpur dan bukanlah orang lain dengan keluarga saya. Adik saya yang bogsu berkahwin dengan anak pesakit ini, kira panggi ibu mertuanya. Sebenarnya memang sudah lama hajat pesakit ini untuk berubat dengan saya, mungkin mendengar cerita daripada menantunya (adik saya) yang saya ini boleh mengubat. Saya cakap kepadanya bahawa bukankah di Kuala Lumpur terdapat banyak pusat rawatan Islam? Beliau mengatakan bahawa bukannya beliau tidak mahu berubat di sana, tetapi khuatir ditipu dan tertipu dengan pusat rawatan yang berlabel “Islam”.

Semut merayap

Diringkaskan cerita, pada cuti hari sabtu dan ahad, beliau bersama anak dan menantunya telah bertandang ke rumah saya. Daripada ceritanya, beliau sering diganggu oleh jin setiap kali hendak mendirikan sembahyang dan mengaji al-Quran. Pada ketika itulah, rasa gatal merayap-rayap dalam badannya seolah-seolah semut yang merayap. Puas di garu dan dibubuh ubat, namun hasilnya tetap sama bahkan yang lebih teruk lagi, terdapat kesan gigitan pada bahagian-bahagian tertentu di badannya. Kesan gigitan tersebut ternampak seperti dua tusukan taring yang ketara.  Lebih parah lagi, gangguan tersebut semakin menjadi-jadi ketika beliau berada di bilik air. Mendengar ceritanya sahaja, saya sudah dapat mengagak bahawa simpton-simpton ini adalah angkaran gangguan jin jahat.
Sesi ruqyah pun bermula dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sambil memegang kepalanya. Ketika itu beliau merasakan  seolah-olah seluruh badannya ada benda yang bergerak-gerak dan berubah tempat. Rupa-rupanya ‘benda tersebut’ sudah bersarang lama dan beranak-pinak dalam badannya. Walaupun saya berusaha menarik dan membuangnya namun ada lagi saki baki yang degil hingga saya sendiri pun terkena tempiasnya (rasa gatal). Keadaan pesakit tidak agresif seperti kebanyakan pesakit yang diganggu jin. Beliau tenang sahaja cuma rasa gatal yang tidak tertahan-tahan. Kasihan saya melihatnya. Selepas sesi ruqyah, saya memintanya mandi dengan air yang di doakan bersama limau nipis. Sesi rawatan disambung semula pada pagi esoknya. Dalam hal ini, pesakit perlu banyak bersabar dan memohon pertolongan daripada Allah. Kata orang tua-tua, penyakit datang macam ribut dan hendak baik macam semut.
Sebelum beliau pulang ke Kuala Lumpur, saya bekalkan beliau dengan amalan-amalan pelindung diri dan zikir-zikir yang perlu diamalkan. Saya tidak mahu pesakit bergantung kepada perawat sahaja, tetapi yang lebih pentingnya, pesakit kena berusaha sendiri. Bina sendiri kekuatan rohani agar berupaya menangkis serangan-serangan ghaib..
Saya doakan agar pesakit sembuh dan dapat beribadah kepada Allah dengan tenang. InsyaAllah.
Sekian, mudah-mudahan menjadi pengajaran kepada kita.

Wednesday, December 12, 2012

Merawat Angin Tidak Lepas

Assalamau’alaikum wwt.
Sepanjang menceburi bidang rawatan berteraskan doa-doa dan ayat-ayat suci al-Quran, pelbagai ragam pesakit dan penyakit telah saya lalui. Saya paparkan di dalam blog ini adalah untuk memberi pengajaran kepada diri saya dan diri tuan-tuan akan keunikan af’al (perbuatan) Allah Taala.
Gambar hiasan: Sakit Kepala

Kisah yang ingin saya paparkan pada kali ini ialah bagaimana saya berhadapan dengan pesakit yang menghadapi sakit kepala dan belakang....yang akhirnya menyebabkan angin tidak lepas atau tersumbat.
Kisahnya begini:
Baru-baru ini iaitu pada Isnin lepas (10/12/2012) saya pulang ke rumah ibu saya di Felda Chini 1. Dalam perjalanan, saya menerima panggilan telefon daripada seorang insan daripada Felda Palong 15 yang sangat memerlukan rawatan penyakit kakak iparnya. Walaupun dalam keletihan, saya menerima dengan hati terbuka untuk berikhtiar merawat penyakitnya.Kira-kira jam 7.00 petang tersebut, beliau menelefon kembali dan berada di Pejabat Pos Cini dan meminta saya menjemputnya.
Setelah solat maghrib dan solat Isyak berjemaaah serta solat hajat, saya memulakan sesi rawatan. Seperti biasa, saya akan berbual-bual sambil bertanyakan punca penyakitnya. Si pesakit memberitahu bahawa beliau terkena penyakit berat kepala dan sakit badan selepas berurut (pakej satu badan) dengan seorang bidan. Selepas berurut dengan bidan tersebut, kepalanya terasa begitu berat hingga tidak boleh diangkat dan sangat sakit. Beliau hanya mampu terbaring lemah. Kasihan saya melihat keadaannya dan juga suaminya yang begitu mengambil berat akan isterinya. Suaminya merupakan seorang anggota tentera yang bertugas di Sarawak dan dijangka akan kembali bertugas di Sarawak pada keesokan harinya dengan membawa isterinya yang sakit tersebut.
Pada mulanya saya menjangkakan penyakitnya disebabkan campur tangan jin atau sihir, namun setelah diruqyah dengan ayat-ayat suci al-Quran, tiada tanda-tanda ketara gangguan jin. Kalau adapun cuma sedikit sahaja getarannya. Pukulan ringan dengan tangan dan kain ke bahagian belakang badannya juga tidak mendapat apa-apa reaksi. Begitu juga kaedah ‘bedah makrifat’ ke bahagian kepalanya juga tidak berhasil/mujarab. Apapun, saya tidak panik dan tenang sahaja kerana saya tahu, saya hanya mampu berikhtiar sahaja....yang menyembuhkan adalah ALLAH.
Saya menyuruh ‘rombongan satu kereta’ tersebut bermalam sahaja di rumah ibu saya di Chini kerana keadaanya masih tetap sama. Pada pukul 3.00 pagi, sekali lagi saya ikhtiarkan meruqyah pesakit, namum tidak juga berkesan. Saya mendapat kesimpulan bahawa ada angin tidak lepas daripada badannya akibat urutan. Apalah daya saya...tiada daya dan upaya aku ,melainkan daya dan upaya Allah.
Pada keesokan paginya, saya mencadangkan kepada suami pesakit untuk menemui guru saya di Pekan, Pahang. Guru saya itu yang pernah saya paparkan kisahnya pada tulisan terdahulu dipanggil “lebai”. Mereka bersetuju kerana tiada pilihan lain, apatah lagi malam ini mereka akan berlepas ke Sarawak. Maka bertolaklah saya dan rombongan tersebut ke rumah guru saya. Sesampainya di rumah “lebai”, rawatan dimulakan. Punca penyakit segera dikesan olehnya dan sama dengan telahan saya.  Saya memerhatikan rawatannya (belajar) dengan memicit point-point tertentu di badan pesakit  dan dengan izin Allah pesakit beransur sembuh. Pesakit telah muntah dan berasa lega. Bekalan air doa untuk  diminum dan dibuat mandian dibekalkan.. terpancar riak kegembiraan di wajah pesakit dan suaminya.. Alhamdulillah.
Iktibar:
1.      Kadang-kadang usaha perawat menemui jalan buntu walaupun segala kepandaian dipraktikkan.
2.      Belajarlah mengakui kelemahan diri dan berusaha mengatasi masalah tersebut.
3.      Sentiasalah merujuk kepada guru jika berhadapan dengan masalah yang sukar diatasi.
4.      Yakinlah bahawa Allah akan membantu kita samada cepat ataupun lambat jika kita berusaha dan berdoa.
Sekian untuk paparan kali ini. Semoga info ini memberi pengajaran kepada kita.

Friday, December 7, 2012

SAKIT JANTUNG DAN RAWATAN DOA

Sakit jantung merupakan penyakit yang sering dikaitkan dengan gaya hidup moden pada hari ini seperti tabiat menghisap rokok, kurang bersenam, stress dan sebagainya.  Ada juga sakit jantung yang berpunca daripada angkara gangguan sihir ataupun campur tangan jin @ syaitan. Sifatnya yang halus dan boleh berjalan menerusi saluran darah berkemungkinan akan menyebabkan salur darah ke jantung akan tersumbat jika kita lalai mengingati Allah (berzikir)

Saya ada beberapa orang rakan yang pernah terkena serangan sakit jantung. Rakan pertama; seorang guru yang aktif dalam kegiatan riadah dan silat, namun terkena juga sakit jantung walaupun aktif dalam kegiatan luar. Rakan kedua; merupakan bekas askar yang berpencen, juga kena sakit jantung.

 Sakit Jantung

Walau apapun puncanya, kita kena sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada.

Jantung manusia terdiri daripada serabut-serabut otot khusus yang bekerja untuk mengepam darah. Apabila otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang cukup, seseorang itu dikatakan mengidap sakit jantung. Antara penyebab bekalan darah ke otot jantung tidak cukup, disebabkan saluran darah menjadi sempit kerana dinding sebelah dalam saluran darah dipenuhi lemak, terutamanya "kolesterol".
Serangan Penyakit Jantung
Penyakit jantung digambarkan sebagai rasa kesakitan yang amat sangat di bahagian dada yang berterusan sehingga setengah jam, menjalar kearah tangan kiri dan rahang. Pesakit akan mengalami keseukaran untuk bernafas dan perasaan takut yang keterlaluan.

Sebab sebenar rasa kesakitan ini adalah disebabkan kematian sebahagian otot jantung yang disebabkan oleh salur darah di bahagian tersebut tersumbat. Lebih besar salur darah yang tersumbat, lebih merbahaya serangan jantung tersebut. Sekiranya saluran darah tertutup sepenuhnya, sebahagian dari otot jantung akan rosak. Kemudian, sakit dada yang teramat sangat akan terjadi. Keadaan inilah yang dinamakan "serangan sakit jantung".

Faktor Penyebab
1. Asap Rokok
Mempercepatkan pembekuan darah
Menggalakkan pemendapan lemak pada dinding saluran darah.
Mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.

2.Tekanan Perasaan
Seseorang yang mengalami tekanan perasaan, degup jantungnya, meningkat.
Tekanan darahnya juga meningkat.

3.Kandungan Lemak Yang Tinggi
Lebih tinggi kandungan lemak, lebih berbahaya. Makanan yang tinggi lemak, adalah seperti mentega, minyak sapi, daging berlemak.

4.Kurang bersenam
Senaman penting untuk menguatkan jantung.
Ia juga penting untuk memperbaiki pengaliran darah ke
jantung. 

5.Darah Tinggi
Darah tinggi menggalakkan berlakunya penyempitan saluran darah.
Jantung "terpaksa" mengepam lebih kuat untuk mengalirkan darah melalui saluran yang sempit itu.
Lebih tinggi tekanan darah, lebih besar pula peluang serangan sakit jantung.

6.Kencing Manis
Pesakit kencing manis lebih tinggi peluangnya mendapat serangan sakit jantung

Ikhtiar Pengubatan Sakit Jantung Menerusi Doa dan Bahan Rawatan

Doa-doa yang perlu dibaca:

1.      Surah Al-Fatehah

2.      Selawat Syifa’ dengan mengulangi sekurang-kurangnya 3 kali pada ayat “tibbil qulubi wadawa ‘iha” kemudian baru baca hingga akhir ayat.

3.      Ayat Pemecah : “Lauanzalna ha zal quran.... hingga akhir.
4.      Selawat khusus :
“Allahhummasalli ‘ala qalbi sayyidina Muhammad”

Selawat khusus dibuat begini:
Letakkan tangan kanan di atas tempat kedudukan jantung pada pesakit lelaki ketika membaca doa. Pada pesakit perempuan pula, letak tangan di atas bahu kiri.

Bahan-bahan rawatan :
(baca doa-doa tersebut pada bahan ini)

1.      Air (sebaik-baiknya air zam-zam)
2.      Lada hitam (7 biji)
3.      Madu lebah asli (1 sudu)
4.      Telur ayam kampung (1 biji)
5.      Kelapa muda (ambil air dan isinya)
6.      Ketumbar (7 biji)

Keterangan:
·         1 sudu madu yang dicampur dengan 1 biji telur ayam kampung dan 7 biji lada hitam di makan pada waktu pagi
·         Air kelapa muda dan isinya dicampur dengan 7 biji ketumbar dimasukkan ke dalam gelas dan diminum pada waktu petang.
·         Air yang telah didoakan diminum dan disapukan pada bahagian dada yang sakit. Lakukan kaedah ini pada waktu pagi dan petang.

Insya-Allah mujarab....

Sumber Maklumat:
1.      Kementerian Kesihatan dan Utusan Malaysia
2.      Doa dan rawatan penyakit (i) : Dr. Amran Kasimin & Dato’ Dr. Haron Din. Darussyifa.