Para pembaca yang dihormati,
Ingatlah bahawa pada diri manusia itu terkandung rahsia yang hebat iaitu roh. Tanpa roh, jasad tak dapat hidup. Roh itu menghidupkan jasad...tetapi berapa ramai antara kita yang mengenal ruh dengan sebenar-benar kenal. Ruh itulah hakikat insan.
Manusia mempunyai amanah yang dipertanggungjawabkan iaitu membesar dan mengesakan Allah s.w.t. dan diperintahkan supaya mencari jalan bagaimana untuk kembali kepada Penciptanya iaitu Allah dan Allah s.w.t telah menunjukkan jalannya bagaimana manusia itu mampu kembali kepadaNya. Oleh kerana itu manusia telah diperintahkan supaya beramal kepadaNya sebagaimana dalam firmanNya di dalam Al Quran:
Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah (kepada Ku).
Roh tanpa jasad ia tidak akan dapat beramal. Amalan dapat dizahirkan apabila adanya jasad. Jasad tanpa roh adalah mati, roh tanpa jasad tidak akan dapat beramal. Maknanya disini, rohlah yang menghidupkan jasad, bergerak roh maka bergeraklah jasad, apa-apa juga perbuatan oleh jasad adalah datangnya dari perbuatan roh. (mungkin agak sukar difahami bagi segelintir orang)
Pembangunan jasad mengikut usianya. Semakin lanjut umurnya maka semakin dewasalah jasad. Jasad memerlukan makanan untuk pembesarannya dan makanan yang diambil bagi tujuan ini adalah merupakan sesuatu yang mudah rosak dan tidak bertahan lama, maka apa yang terjadi pada jasad juga mudah rosak dan tidak tahan lama. Akhirnya apabila jasad menjadi tua ia akan memasuki tahap menanti kematian. Tetapi ini tidak berlaku kepada roh. Roh akan sentiasa berkeadaan muda dan tidak memerlukan makanan seperti yang diperlukan oleh jasad. Walaupun begitu, makanan roh adalah berbeza, kerana ia berkehendakkan sesuatu yang halus dan seni untuk pembangunannya. Dengan kata lain roh adalah pemerintah yang memerintahkan jasad untuk melakukan sesuatu yang dikehendakinya. Apa yang diperintahkan oleh roh maka jasad akan melaksanakannya.
Sebenarnya roh diutuskan dalam jasad adalah untuk beribadah kepada Allah, sebagaimana dalam surah yang dinyatakan sebelum ini, walaubagaimana pun apabila roh turun ke bumi dalam jasad, roh telah terpesona dan tertipu dengan apa yang ada di bumi yang mana menyebabkan ia lupa akan janjinya kepada Allah s.w.t iaitu beribadah kepada Nya. Roh akan lebih jauh tertipu dengan adanya bisikan daripada manusia dan jin sebagaimana peringatan yang diberkan oleh Allah dalam surah An Naas ayat 4-6 :
'Dari kejahatan pembisik, penghasut (syaitan) yang mengendap, Yang melemparkan bisikan dan hasutan ke dalam hati manusia, Dari kalangan jin dan manusia'.
Inilah yang membezakan antara manusia dengan haiwan, dimana haiwan tidak pernah dihasut oleh syaitan dan hanya mempunyai jasad dan naluri, bukannya roh. Walaubagaimana pun, kekuatan roh dan jasad manusia adalah bergantung kepada kekuatan NAFAS. Kuatnya NAFAS itu maka kuatlah ikatan antara jasad dan roh. Nafas juga digelar rahsia Insan. Ada pecahannya lagi....
Dalam hal ini manusia selalunya lupa akan anugerah dan amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t kepadanya. Segala apa yang dipinjamkan oleh Allah kepadanya tidak dijaga seperti yang sepatutnya, malah ia lupa akan tanggungjawab yang ada padanya. Akal dan fikiran yang diberi oleh Allah s.w.t. digunakan hanya untuk keduniaan dan sedikit saja yang dapat menggunakannya ke jalan yang HAQ.
No comments:
Post a Comment