Friday, April 26, 2013

BERUBAT SEKALI TERUS NAK SEMBUH...BOLEH KE?

Assalamu’alaikum
Apabila kita sakit, kita pasti akan berubat untuk mendapatkan kesembuhan.. tidak kiralah apa penyakit sekalipun sama ada penyakit jasmani ataupun penyakit rohani malah penyakit akibat gangguan jin.  Jikalau penyakit jasmani seperti demam, batuk, sakit jantung dan sebagainya, kita akan berjumpa dengan doktor. Maka kita akan diberikan ubat. Begitu juga apabila kita terkena penyakit rohani seperti kemurungan, kesedihan atau ketakutan yang melampau, kita pasti berjumpa dengan pakar kaunseling untuk mendapatkan rawatan dan nasihat. Tidak ketinggalan juga apabila kita terkena penyakit akibat gangguan makhluk halus seperti histeria, saka, sihir dan sebagainya, kita akan berjumpa dengan perawat Islam untuk mendapatkan penawar kesembuhan.
Tulisan kali ini berfokus kepada penyakit akibat gangguan jin (saka)
Kadangkala ada pesakit yang menderita bertahun-tahun akibat penyakit gangguan jin. Kes yang begitu ketara ialah masalah saka. Saka yang dimaksudkan ialah adanya jin yang mendampingi seseorang itu sama ada diketahui atau tidak diketahui. Maksudnya, saka tersebut diporoleh secara turun temurun akibat perjanjian nenek moyang terdahulu yang menggunakan khidmat jin untuk sesuatu hajat seperti menjaga kebun (hantu raya), menjadi bidan dan sebagainya. Dalam hal ini, kita janganlah menyalahkan tindakan datuk nenek kita terdahulu kerana hal tersebut (bersahabat dengan jin) memang ada keperluannya pada masa itu. Masalahnya...jin tersebut akan tetap berpegang teguh pada perjanjian lama untuk terus menjaga anak cucu. Andainya anak cucu tidak mahu menerima saka ini, jin ini akan mengganggu kehidupan seharian.
Ada juga saka yang diperoleh melalui menuntut ilmu yang tidak tahu asal-usul sanadnya, seperti ilmu kuat, kebal, pengasih dan sebagainya....maka sama ada disedari atau tidak disedari akan ada jin pendamping yang menunaikan hajat atau keperluan ilmu tersebut. Apabila kita kuat semasa muda, gangguan penyakit tidaklah begitu ketara...tetapi, apabila sudah tuan dan tidak berdaya, maka ketika itulah jin pendamping akan mula bertindak mengganggu kita. Ketika itulah kita akan sakit susah nak mati, nyanyuk dan sebagainya.
Nah, saudara pembaca dapat melihat realiti keadaan ini dalam masyarakat kita pada hari ini. Rasanya saya tidak perlu mengulas dengan panjang lebar lagi. Di sini saya ingin mengajak pembaca merenung akan proses penyembuhan akibat penyakit misteri ini. Ikhtiar mendapatkan rawatan daripada perawat Islam memanglah baik dan sangat digalakkan berbanding dengan mendapatkan rawatan daripada bomoh atau dukun yang besekongkol dengan amalan khurafat. Kesedaran daripada masyarakat akan kepentingan merawat masalah penyakit gangguan jin (saka) secara Islam sudah bertambah baik ekoran kesedaran beragama yang menolak amalan tahyul  dan khurafat.
Antara keratan akhbar tentang saka
Masalahnya.....
Apa yang saya ingin sampaikan ialah berkenaan dengan sekali rawatan terus nak sembuh. Bolehkah begitu? Sedangkan penyakit yang dideritai sudah lama bahkan memakan masa bertahun-tahun. Apabila mendapatkan rawatan daripada perawat Islam, harapannya menggunung tinggi bahawa perawat tersebut ada kuasa ajaib untuk menyembuhkannya dengan sekali rawatan...mana boleh begitu? Agak mustahil  untuk berlaku malainkan dengan IZIN ALLAH belaka.  Penyakit (gangguan jin) tersebut sudah mendarah daging memerlukan beberapa siri rawatan ulangan untuk sembuh sepenuhnya. Pesakit dan warisnya perlu bersabar dan sama-sama berdoa dengan perawat untuk mendpatkan kesembuhan mutlak daripada Allah. Ulangi lagi proses rawatan beberapa kali sehingga benar-benar sembuh. Bak kata pepatah, ‘penyakit datang macam ribut tetapi hendak sembuh macam semut’. Sekali lagi diingatkan agar jangan mudah berputus asa. Hakikatnya, Allah yang menurunkan penyakit dan Allah jua yang menyembuhkan penyakit. Kita hanya perlu berikhtiar dan berusaha mendapatkan penawarnya. 
Sekian saja tulisan saya pada kali ini..

No comments:

Post a Comment