Friday, August 17, 2012

MENGENAL POTENSI DIRI

Tajuk : Potensi diri dari sudut Jiwa atau Mind
Assalamu’alaikum wwt.
Pernahkan kita memikirkan siapakah sebenarnya diri kita ini?  Apakah diri itu? Apakah kuasa-kuasa yang ada pada diri itu?
Tulisan kali ini mengajak pembaca  meneroka potensi diri dari sudut ilmu jiwa atau psikologi. Istilah yang sering dirujuk ialah mind (akal, jiwa, fikiran, tenaga atau diri).

Diri kita ini menurut pandangan orang yang pakar dalam bidang mind ialah satu alam sendirinya.  Diri kita ini adalah salinan alam semesta raya yang luas terbentang ini.  Diri kita ini ialah sebahagian kecil dari akal yang maha luas yang tiada had dan batasnya.  Setiap orang dari kita ini berjalan menurut satu evolusi yang memungkinkan kita mengenal diri kita sendiri.  Kita ada kaitan dengan kuasa tertinggi yang berada dalam diri kita dan di sekitar kita atau meliputi segala sesuatu dalam alam semesta raya ini.  Kuasa itu meliputi, menyelubungi dan menyerap dalam segala sesuatu. Kuasa tertinggi itu ialah kuasa ALLAH SWT.  Dengan kuasaNya  segalanya terjadi.
Diri kita ini adalah gambaran alam semesta raya ini.  Alam semesta raya ini bolehlah dibahagikan kepada TIGA peringkat:
1.      Peringkat Jisim (fizikal)
2.      Peringkat Mithal (mental)
3.      Peringkat Roh (spiritual)
Begitu juga diri kita manusia ini adalah tiga peringkat juga iaitu jisim, mental dan roh.  Ataupun dalam istilah lain, ada juga ahli kerohanian atau sufi menamakan jisim itu sebagai DIRI TERDIRI, mental itu sebagai DIRI TERPERI dan roh itu sebagai DIRI SEBENAR.
Berbalik kepada tenaga jiwa.....kejiwaan (mind) ini ada beberapa peringkat.  Bukanlah ianya berpisah antara satu dengan lain tetapi yang dimaksudkan ialah ianya ada beberapa tugas menurut peringkatnya itu.  Menurut pakar kaji jiwa (mind) Amerika yang bernama Harold Sherman, peringkat-peringkat itu adalah seperti berikut:
1.      Peringkat Sedar
2.      Peringkat Bawah Sedar yang mengawal badan
3.      Peringkat Ingatan (memori)
4.      Peringkat Kuasa Kreatif
5.      Peringkat Kuasa Menyembuhkan
6.      Peringkat Intuisi (Ilham)
7.      Peringkat kesedaran semesta raya

Peringkat Sedar:
Peringkat ini hanya terhad kepada pancaindera kita sahaja. Bidang inilah kita boleh berhubung dengan duni luar yang nyata ini.  Bidang kejiwaan yang ini sentiasa menghantar gambaran-gambaran mental segala sesuatu yang terjadi kepada kita dan perasaan dari kejadian itu, masuk ke dalam peringkat Bawah Sedar.

Peringkat Bawah Sedar yang Mmengawal Badan:
Bidang ini mengaal semua organ badan kita seperti hati, limpa, perut, buah pinggang dan sebagainya.  Dengan sendirinya bidang ini bekerja tanpa kita mengawalnya. Proses kerja ini akan terganggu  jika kita dalam keadaan marah, takut, benci, risau dan sebagainya.

Peringkat Ingatan (Memori):
Peringkat ini adalah tempat untuk menyimpan semua gambaran atau lintasan pengalaman kita di alam dunia nyata ini yang diterima daripada pancaindera kita.  Gambaran ini ialah yang berupa bayangan atau gambaran mental dan setiap gambaran itu berkaitan pula dengan perasaan kita pada masa itu, sama ada baik atau buruk.   Ingatan ini boleh ditimbulkan dengan permintaan akal sedar kita tadi.

Peringkat Kuasa Kreatif:
Mempunyai kuasa menarik kepada anda keadaan-peluang, suasana-suasana, sumber-sumber dan, bahkan orang yang anda perlukan, untuk membawa kepada anda segala apa yang anda perlukan dalam hidup ini.   Tegasnya, peringkat ini adalah ibarat magnet yangboleh menarik kepada anda apa yang anda gambarkan dalam fikiran anda dengan perasaan yang kuat.



Peringkat Kuasa Menyembuh:
Merupakan tenaga-tenaga yang membuat kita sihat dan juga menyembuhkan diri kira dari segala penyakit.  Kuasa ini boleh kita bangkitkan bila kita memohon supaya disembuhkan penyakit yang kita hidapi. Bahkan kita boleh gambarkan dalam fikiran kita bahawa kita sihat dan kuat dan sembuh dari penyakit.

Peringkat Instuisi (Ilham):
Peringkat ini mengandungi daya pandangan melampaui pancaindera.  Daya ini tidak terbatas oleh ruang dan waktu. Daya ini melampaui daya pancaindera kita yang biasa.  Daya ini bekerja melalui peringkat sedar dalam bentuk apa yang dinamakan intuisi (ilham).  Dengan daya ini kita akan menerima ilham atau idea.

Peringkat kesedaran semesta raya:
Merupakan peringkat yang paling tinggi yang terletak pada diri kita yang paling dalam.  Peringkat ini adalah penyambung dengan “kuasa yang tidak terbatas”.. kadang-kadang pada peringkat ini ada kemungkinan kita akan merasai diri kita melampaui diri zahir (jasmani). Seolah-olah kita masuk ke satu pengalaman yang maha tinggi dan suci.  Apabila kita boleh mententeramkan (relax) badan jasmani kita dan membiarkan akal sedar berehat dan tidak bergiat, dan kita halakan pandangan kita ke dalam diri yang paling dalam...InsyaAllah, kita boleh dalam keadaan tenteram ini, berhubung dengan apa yang dipanggil “kehadiran Ilahi” atau “kesedaran Ketuhanan”.  Orang sufi memberi istilah fana’ atau lebur diri.   Dari peringkat inilah datang mengalirnya ilham dan cahaya makrifar yang sebenarnya.  Orang-orang mistik dan kerohanian menghubungkan diri mereka kepada peringkat kesedaran yang paling tinggi ini.

Diri kita yang sebenar ini adalah mulia dan suci.  Janganlah kotorkan diri ini dengan melakukan dosa dan maksiat.  Janganlah bayangkan perkara-perkara yang membawa dosa seperti bayangkan perzinaan, persetubuhan sejenis, perogolan, perompakan, pembunuhan dan sebagainya. Jika gambaran-gambaran mental itu terlalu tebal dan berat dalam mental kita, ia akan menzahirkan dirinya melalui tindakan dan perbuatan kita.   Fikiran itu memainkan peranan penting dalam mempengaruhi badan dan tindakan kita.  Kita patut sedar bahawa sebelum sesuatu itu terzahir dalam alam nyata, ianya telah terzahir dulu dalam alam ghaib.  Dari alam sanalah sesuatu itu turun ke alam nyata ini.   Begitu juga halnya dengan alam semesta raya ini, sebelum ianya terzahir sebagai alam nyata ini, ianya telah ada dulu dalam ilmu Allah. Segala sesuatu itu telah ada dalam ilmu Allah dan kemudiannya dizahirkanNya ke alam ini apabila dikehendakinya..dalam istilah sufi dipanggil “ayan sabitah”.
Begitu juga manusia ini sebelum sesuatu tindakan itu hendak dibuatnya,  perkara itu telah ada dalam fikiran atau ilmunya.  Contohnya, sebelum sesebuah bangunan itu terdiri, bentuk bangunan itu telah ada dalam fikirannya.  Bagaimana bentuk bangunan yang hendak didirikannya itu telah ada dalam fikirannya.
Setiap perbuatan kita yang ada baik atau buruk semuanya akan direkodkan dalam kesedaran batin kita sama ada kita ingat atau tidak.  Sebab itulah setiap perlakuan kita ini akan diperlihatkan kepada kita di akhirat kelak.  Alangkan malunya kita, sekiranya kelakuan kita itu keji dan kotor.  Sebab itulah kita jangan melakukan perbuatan yang keji dan berdosa kerana kita juga yang akan malu kelak. 
Ingat....waspadalah apabila menggambarkan sesuatu dalam fikiran.  Bimbang, kelak ia terzahir menjadi kenyataan.  Hanya satu kuasa yang dapat menyekat terzahirnya sesuatu yang tidak baik itu, iaitu dengan menggunakan kuasa akal dan pertimbangan kita  serta menurut al-Quran dan as-sunnah.

Sekian, nantikan sambungannya...insyaAllah
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN.

No comments:

Post a Comment