Sunday, September 2, 2012

MINDA dan JASAD

Assalamu’alaikum wwt..
Dalam tulisan terdahulu saya telah menyingkap sedikit info berkenaan dengan mind atau minda.
Sebenarnya minda ialah tenaga yang terbentuk daripada fikiran, perasaan, mimpi dan sebagainya. Minda dapat dibahagikan kepada TIGA iaitu
a.      Minda sedar
b.      Minda separa sedar
c.       Minda super (tidak dibincangkan di sini)

Minda Sedar
Minda sedar hanya berfungsi dalam alam fizikal di mana pancaindera banyak memainkan peranan.  Minda sedar berfungsi melalui pengawalan LIMA pancaindera yang berkaitan dengan dunia nyata iaitu penglihatan, pendengaran, bau, rasa dan sentuhan.  Pada peringkat ini, minda kita dibatasai oleh ruang dan masa.  Batasan ini berlaku kerana minda sedar hanya berhubung dengan alam nyata atau alam fizikal.  Minda sedar juga dapat berfikir dan mengeluarkan pendapat.  Disinilah terdapatnya kebebasan memilih dan mengawal apa yang kita fikirkan.  Pemikiran ini menghasilkan buah fikiran.  Buah fikiran ini pula memberikan arahan kepada minda separa sedar.

Minda Separa Sedar
Minda separa sedar bertugas mengawal segala aktiviti organ dan tisu badan secara semula jadi tanpa kita sedar ataupun merasainya.  Aktivitinya melibatkan perasaan, emosi dan sebagainya.  Minda separa sedar menjalankan tugasnya menlalui aktiviti denyutan jantung, mengatur sistem peredaran darah, sistem pencernaan, proses asimilasi dan sistem perkumuhan.  Minda separa sedar juga bertugas secara terlatih, sama ada sedar ataupun tidak.  Contohnya, memandu kereta, memakai pakaian, berlari dan sebagainya. Secara ringkasnya, minda separa sedar melibatkan tugas-tugas yang berulang kali kita lakukan tanpa perlu berfikir dengan  teliti serta tanpa sedar cara melakukannya.
Minda separa sedar juga dapat mencetuskan idea-idea baru dan hebat.  Dalam bidang perubatan misalnya, minda separa sedar dapat menyembuhkan dan menghalang penyakit.  Walaupun sedang tidur, minda separa sedar mengawal aktiviti organ, tisu badan dan tahap mimpi.
Selain itu, minda separa sedar berupaya merekodkan segala pengalaman kita seumur hidup.  Para saintis percaya setiap kejadian yang terperinci disimpan dan direkodkan dalam minda separa sedar.  Tegasnya, minda separa sedar merakamkan setiap peristiwa yang berlaku seperti kamera ataupun program komputer.  Proses ini melibatkan seluruh aktiviti kehidupan seperti emosi, tabiat, hubungan dengan orang lain, kewangan, kesihatan dan sebagainya.
Minda separa sedar juga adalah sumber cita-cita dan aspirasi serta mendorong sikap berperikemanusiaan.  Fikiran, kepercayaan dan pendapat yang terpahat pada minda separa sedar, dapat kita rasai dan alami.  Lebih tepat lagi, apa yang kita fikirkan dan sarankan, insyaAllah akan terzahir di alam nyata.  Ini disebabkan minda separa sedar yang tidak menapis apa jua perkara yang dimasukan, tetapi menerima setiap keputusan dan kesimpulan secara mutlak ( baik dan buruk).
Sebenarnya, minda manusia memiliki dua komponen yang berfungsi secara berasingan antara satu sama lain.  Minda separa sedar dianggarkan berfungsi sebanyak 90% daripada minda manusia berbanding hanya 10% minda sedar........Ternyata, minda separa sedar penting bagi merekodkan setiap peristiwa dan pengalaman.  Ini dipanggil sebagai kebiasaan yang membolehkan kita melaksanakan rutin harian (tanpa perlu berfikir).

Cara minda separa sedar bertindak
Minda separa sedar bertugas tanpa disedari selama 24 jam setiap hari.  Minda separa sedar membina tubuh badan, menjana pengetahuan, pengalaman, emosi dan tabiat manusia. 
Minda separa sedar bertindak selepas menerima arahan daripada minda sedar melalui emosi, perasaan dan gambaran. Minda separa sedar sentiasa patuh pada setiap arahan minda sedar. Apabila arahan yang diterima itu positif, tugas yang dilaksanakan oleh minda separa sedar adalah positif  begitulah sebaliknya jika negatif..Dapat dikatakan minda separa sedar umpama robot yang tifak berupaya membuat pilihan dan keputusan serta tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi.

 Cara Jasad bertindak
Jasad adalah alat bagi menzahir apa yang difikirkan. Jasad bertindak mengikut arahan minda.  Tindakan jasad menentukan hasil. Walau bagaimanapun, jasad tidak membuat sebarang tindakan selagi minda separa sedar masih berfikir.  Jasad hanya bertindak apabila minda sedar memberikan arahan kepada minda separa sedar selepas minda sedar tahu dan mahu. Minda separa sedar pula bertugas menimbulkan  perasaan serta tabiat. Selepas itu baru jasad bertindak.

Kesimpulan:


minda positif atau negatif

Minda bertanggungjawab ke atas segala-galanya. Minda  adalah pencetus setiap perkara di dunia ini.  Sebagai contoh, apabila orang itu berperasaan rendah diri, ia disebabkan oleh pengaruh pemikiran lamanya. Pengaruh pemikiran lama itu pula disebabkan oleh kelaziman hidupnya pada masa silam. Mungkin orang itu selalu dihina atau dikeji semasa kecilnya.  Ini mengakibatkan perasaan rendah diri yang mendalam.  Oleh itu, minda perlu diprogramkan atau diset semula supaya perasaan rendah diri itu dapat diatasi.
Minda sedar diibaratkan  seperti ‘pintu gerbang’ yang berfungsi melindungi minda separa sedar daripada kesan-kesan negatif.  Oleh itu awasilah setiap apa yang kita fikir, ucap  dan percaya.  Minda separa sedar kita tidak jahat.  Alam ini juga tidak jahat, tetapi ia bergantung pada pilihan diri kita sendiri.
Tuhan mengurniakan kelebihan kepada minda bagi berimaginasi sama ada imaginasi positif atau negatif. Oleh itu berhati-hatilah dengan imaginasi. Imaginasi yang baik membuahkan hasil yang baik, manakala imaginasi yang buruk membuahkan hasil yang buruk.
Minda perlu kepada patuh dan tunduk kepada ajaran agama. Sehebat mana kita menggunakan kuasa minda, hakikatnya kita masih lemah dan bodoh kerana Allah jua yang kuat dan berilmu.
Ingat....jangan bertuhankan minda walaupun kita rasa minda itu hebat.
Ingat....kita mesti memulangkan segala apa yang ada pada diri kita kepada Allah Taala jua.
Hakikatnya Allah jua yang berkuasa ke atas segala-galannya..

No comments:

Post a Comment