Thursday, January 26, 2012

Berguru dengan Syeikh Muhammad Rajab Akmal bin Abdul Halim Al Idrisi Al Ahmadi

Alhamdulillah syukur ke hadhrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, dapat saya berkesempatan berguru dengan seorang tokoh guru bertaraf mursyid iaitu Syeikh Muhammad Rajab Akmal bin  Abdul Halim Al Idrisi Al Ahmadi.

Sedang menadah ilmu daripada syeikh

Rezeki saya dapat menimba ilmu daripada beliau berlaku secara tidak sengaja. Kisahnya  bermula apabila saya meninjau laman blog Darul Ansar. Kebetulan diberitahu akan ada satu pengajian Perubatan Islam yang mempunyai  keistimewaan dari segi  kejelasan sanad ilmu.  Kelas pengajian pun tidak jauh dari tempat tinggal saya iaitu di Temerloh sahaja. Lalu saya memberitahu dan mengajak beberapa orang rakan yang dirasakan berminat untuk bersama-sama menyertainya.  Seperti biasa, ramai yang menolak daripada ikut menyertai saya. Hanya seorang sahaja teman yang berminat. Jadi hanya saya berdua sahaja wakil daripada Bandar Jengka.
Apa yang membuat hati saya terpaut untuk berguru dengan Syeikh Muhammad Rajab Akmal bin  Abdul Halim Al Idrisi Al Ahmadi  ialah dari segi keluasan dan kedalaman ilmunya. Al fadhil telah berguru lebih daripada 100 orang guru terdiri daripada ulama’ yang muktabar. Selain itu, Al Fadhil juga telah menerima lebih daripada  50 ijazah daripada guru-gurunya.  Al fadhil syeikh juga merupakan wakil dan khalifah yang dikitiraf dalam tarekat Al Muhammadiyah Al Idrisiyah di rantau ini. Gelaran “Al Idrisi Al Ahmadi “ diberi oleh  gurunya Al Arif Billah Maulana Sayyid Muhammad bin Idris Al Hasani dan Sayyid Ahmad bin Idris Al Hasani.
Kelas pengajian di Temerloh diajar sendiri oleh Al fadhil Syeikh  sebulan sekali berdasarkan kitab karangan beliau bertajuk  Thibb Al-Idrisi Al-Ansari  : Suatu Kaedah  Pengubatan & Rawatan Menurut Islam”.  Pelajar didedahkan dengan zikir Tarekat Ahmadiyah, Al Husun Al-Mani’ah An-Nabawiyyah (Pembenteng Ampuh Kenabian), Ar-Ruqyah An-Nabawiyah (sanad daripada Al Imam Ahmad bin Hanbal dan sanad Sunan Ibnu Majah). Dan banyak lagi amalan yang perlu diistiqamah oleh setiap perawat Islam.
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” merupakan pepatah Melayu yang paling tepat bagi setiap orang yang berkehendakkan sesuatu, maka akan diusahakan dengan apa cara sekalipun. Jikalau tidak berkehendak, maka pelbagai macam alasan yang diberi.  Ilmu dan guru di depan mata pun tidak mahu mencari dan belajar, apatah lagi berkorban masa dan tenaga malah wang ringgit. Inilah antara alasan sahabat saya yang tidak mahu mengikut saya belajar....saya sibuklah,...otak dah benak nak belajar,...ada kerjalah,...kaulah belajar, nanti apa-apa aku cari kau dan sebagainya. Pada saya tidak rugi belajar ilmu perubatan Islam. Sekurang-kurangnya wirid dan ijazah daripada guru dapat dijadikan bekal amalan diri sendiri dan membantu keluarga sendiri. Sampai bila nak mengharap kepada orang. Berdoa dan berusaha sendiri itulah terlebih afdhal.
Sekian sahaja coretan kali ini. Jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment