Monday, July 15, 2013

Merawat satu keluarga


Masalah gangguan makhluk halus  ke atas manusia seakan-akan tiada penghujungnya. Saban hari saya pasti menerima kes yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus ini. Hal ini termasuklah masalah saka, masalah sihir dan sebagainya.  Persoalannya mengapakah hal ini berlaku? Cubalah saudara pembaca menjawabnya...saya percaya, saudara pembaca tentu tahu akan jawabannya.

Baru-baru ini saya telah merawat satu keluarga (seramai 8 orang) yang telah bertandang ke rumah saya.  Mereka bersusah payah datang dari Temerloh untuk mendapatkan rawatan. Pada malam tersebut, mereka menyatakan akan masalah mereka yang kerap mengalami gangguan misteri sejak kematian ibu mereka. Saya meminta mereka semua duduk berlunjur dan saya pun meruqyah mereka dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran yang bersanad hingga kepada Rasulullah saw. Ketika pembacaan ayat-ayat suci tersebut, kelihatan tiada apa-apa reaksi yang ketara. Sambil membaca, sesekali saya meletakkan tangan kanan di belakang pesakit untuk merasai kelaianan reaksi. Satu set bacaan ruqyah telah habis saya baca dan kini saya beralih merawat secara personal satu persatu.

Gambar hiasan: Meruqyah pesakit


Gangguan mula ketara

Nampaknya gangguan makhluk halus mula bereaksi ketika saya menekan poin-poin tertentu di tubuh pesakit. Dua orang pesakit telah menunjukkan reaksi yang luar biasa. Teriakan keras dan muntah-muntah keluar dengan banyaknya dari mulut mereka. Risau juga di hati saya kalau-kalau teriakan atau jeritan pesakit mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang lain. Maklumlah suara jeritan yang nyaring bergema di tengah malam, tentunya menimbulkan suasana yang pelik. Tetapi saya percaya, jiran tetangga sudah memahami hal semacam ini. Ahli keluarga mereka  yang lain nampaknya tidak menduga hal sedemikian akan berlaku kerana mereka tidak pernah menyaksikan perkara ini.

Proses mengeluarkan gangguan makhluk halus nampaknya berjaya dengan izin Allah. Saya mengharapkan agar gangguan ini tidak berulang kembali. Ada juga beberapa kes sebelum ini gangguan akan kembali menyerang walaupun telah dikeluarkan. Dalam hal ini, pesakit dan perawat perlu banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa.

Saya juga membekalkan pesakit dengan sebotol minyak kasturi hitam untuk dijadikan penawar gangguan makhluk halus kepada seorang anak kecil mereka yang berusia setahun. Sebelum ini  anak tersebut sering menangis tidak berhenti-henti terutama selepas waktu maghrib dan tengah malam. Saya menunjukkan cara-cara pemakaian minyak kasturi hitam yang telah didoakan untuk dipraktikkan. Dengan izin Allah, biasanya minyak kasturi hitam akan menampakkan kesan yang ketara terutama kepada gangguan seperti ini.

Minta dipagar rumah

Pesakit juga meminta saya untuk berikhtiar memagar rumah mereka daripada gangguan makhluk halus. Saya terpaksa menolak secara baik kerana maklumlah jaraknya yang jauh iaitu di Temerloh.  Kalau di sekitar kawasan Jengka mungkin juga saya sanggup menolong.  Tambahan pula, sahabat seperjuangan saya di Temerloh iaitu Ustaz Rozi mungkin dapat menolong mereka. Saya meminta mereka berhubung dengan Ustaz Rozi untuk ikhtiar memagar rumah.

Pengajaran:
1.   Kita hendaklah selalu membenteng diri dengan amalan yang telah pun diajar oleh Rasulullah saw.
2. Sebaik-sebaik amalan membenteng diri perlu berguru supaya jelas dan tepat penggunaannya. Contohnya membenteng diri dengan amalan 3 Qul ada petuanya, bukan setakat dibaca sahaja. Begitu juga membentang diri dengan ayat Al-Kursi pun ada petuanya.
3.    Jangan takut kepada ancaman makhluk halus kerana mereka sedikit pun tidak dapat memudarakan kita dengan izin Allah. Dalam hal ini, zikir (ingat) kepada Allah perlu sentiasa dilakukan.
4.    Jangan mendatangi bomoh yang menggunakan kaedah pelik dan menyalahi syariat Islam.
5.      Jangan berputus asa dengan pertolongan Allah.

No comments:

Post a Comment