Saudara pembaca yang dihormati;
Apabila kita tidur, diri rohani kita akan terlepas daripada badan. Dalam hal ini bukanlah roh utama yang keluar. Ini kerana pengertian roh itu sangat banyak. Jika roh utama itu keluar atau terlepas daripada badan...maka itu dinamakan mati. Diri rohani itu ibarat layang-layang yang keluar mengembara dan terikat dengan roh utama di dalam badan. Tali perhubungan utama ketika itu ialah nafas. Ketika diri rohani itu keluar kita namakan ‘mimpi’.
Pernahkah anda tidur begini? kalau belum, silakan.. |
Semua orang bermimpi ketika tidur. Bagi sesetengah orang, perkara sedemikian hanyalah mainan tidur. Ada yang menganggap mimpi sebagai petunjuk atau petanda yang akan sesuatu keadaan yang bakal berlaku. Ada pula mimpi yang tidak membawa apa-apa erti.
Dalam hal mimpi, sebenarnya ada mimpi yang benar dan mempunyai takwil atau boleh ditafsirkan bagi orang yang arif tentangnya. Biasanya untuk mendapatkan mimpi yang benar ada peraturan yang perlu dipatuhi sebelum tidur. Antaranya ialah kita perlu tidur dalam keadaan berwudhu’, membaca ayat-ayat suci al-Quran yang lazim seperti surah al-Fatehah dan 3 Qul, serta berzikir sehingga terlelap. Sekiranya bermimpi dan dirasakan mimpi tersebut ada alamatnya, maka berjumpalah dengan orang yang arif untuk mentakwil mimpi seperti berjumpa dengan guru. Jika sekiranya tidak berjumpa dengan guru, maka janganlah diceritakan mimpi tersebut kepada sebarangan orang. Dalam satu kes, saya pernah mendengar guru saya bercerita tentang seseorang yang bermimpi anaknya jatuh lemas di dalam sebuah perigi. Akibat terburu-buru, lantas orang tersebut bertanya kepada rakannya....lantas rakan tersebut mentafsirkan bahawa anaknya kelak akan mati lemas dalam perigi. Agaknya kerana makbul doa rakanya ketika itu, maka sungguh benarlah anak tersebut mati terjatuh ke dalam perigi beberapa tahun kemudiannya. Guru saya menceritakan bahawa maksud mimpi orang itu ialah anaknya nanti apabila besar akan menjadi orang yang alim dan dalam ilmunya...ibarat sumber mata air di dalam perigi tersebut. Lihatlah betapa jauhnya maksud takwil mimpi tersebut.
Ada juga mimpi yang tidak membawa apa-apa erti malah bermimpi buruk akibat gangguan syaitan. Dalam hal demikian, apabila tersedar dari tidur (mimpi) tesebut hendaklah isyarat ludah ke kiri sebanyak TIGA kali. Mimpi buruk tersebut tidak perlulah diceritakan kepada orang lain kecuali kepada pengamal perubatan Islam. Kebiasannya; jika kita berjumpa dengan pengamal perubatan Islam untuk merawat diri kita yang terkena gangguan, maka mimpi tersebut dapat dijadikan panduan awal untuk ikhtiar pengubatan. Contohnya; mimpi dikejar anjing hitam, mimpi jatuh dari tempat yang tinggi, mimpi pergi ke rumah lama dan sebagainya.
Bagi seseorang yang menempuh jalan tariqat di bawah bimbingan guru yang mursyid, sesuatu mimpi yang dialami haruslah diceritakan kepada guru untuk ditafsirkan. Mimpi tersebut biasanya memberi isyarat akan maqam atau tingkat amalan seseorang murid. Jadi, hubungan antara murid dan guru tidak harus berpisah sama ada secara zahir mahupun secara rohani.
Sekian sahaja coretan ringkas daripada saya yang cetek ilmunya ini...
Muga kita berjumpa lagi..insya-Allah.
No comments:
Post a Comment