Saturday, March 16, 2013

Merawat Penyakit Asma / Lelah (2)

Salam sejahtera buat pembaca yang dikasihi,
Tulisan kali ini adalah lanjutan daripada tulisan berkaitan dengan rawatan penyakit Asma/ Lelah yang pernah saya paparkan dalam blog RIJ ini pada  5 Septermber, 2012. (sila rujuk).

Kali ini saya ingin berkongsi kaedah rawatan penyakit asma dengan kaedah dan bahan yang berbeza dari paparan artikel terdahulu.  Kaedah dan bahan ini belum pernah saya praktikkan kepada pesakit sebelum ini. Rujukan utama saya ialah daripada apa yang pernah saya pelajari semasa menuntut di Darul Syifa dahulu.  Lagi pun, kaedah ini bersesuaian dengan keadaan pesakit.
Kisahnya, pada suatu hari saya menerima panggilan telefon daripada seorang hamba Allah daripada Kuala Lumpur yang ingin mendapatkan rawatan penyakit asma yang dideritai oleh isterinya. Isterinya ketika itu sedang mengandung anak pertama (lapan bulan).  Tanyanya lagi, bolehkah saya menyembuhkan penyakit isterinya itu?  Saya terkejut dengan pertanyaannya itu kerana apalah daya saya untuk menyembuhkan penyakit....saya katakan padanya bahawa saya hanya berikhtiar sahaja.. yang menyembuhkan hanya ALLAH. Singkat cerita, selepas zohor beliau bertolak dari KL dan sampai ke rumah saya pada jam 6.00 petang.
Saya memilih kaedah rawatan menggunakan bahan berikut:
·         Sediakan Sebiji kelapa yang sudah tumbuh sekira-kira sekaki (12 inci).
·         Ambil kesemua bahagian iaitu akar, batangnya yang lembut, tumbung kelapa.  
(tidak termasuk sabut dan tempurung kelapa)
·         Campurkan sedikit air yang sudah di doakan dan di ‘blender’ sehingga lumat.
·         Tapis bahan tersebut yang sudah lumat untuk mendapatkan airnya.
·         Air tapisan bahan tersebut diberi minum kepada pesakit.

Kelapa tumbuh
Isterinya meminum segelas air tapisan bahan tersebut.   Saya melihat berkerut juga mukanya ketika meminum air tapisan bahan tersebut..selepas itu saya lanjutkan lagi dengan bacaan ruqyah dengan fokus di belakang pesakit untuk membuka jalan pernafasan agar lancar dan tidak lagi tersekat (asma). Mudah-mudahan sembuh dengan izin Allah.


Sekian sahaja perkongsian pada kali ini.  Kesembuhan mutlak milik ALLAH.

Thursday, March 14, 2013

MIMPI : ANTARA PETUNJUK DAN MAINAN TIDUR

Saudara pembaca  yang dihormati;

Apabila kita tidur, diri rohani kita akan terlepas daripada badan. Dalam hal ini bukanlah roh utama yang keluar. Ini kerana pengertian roh itu sangat banyak. Jika roh utama itu keluar atau terlepas daripada badan...maka itu dinamakan mati.  Diri rohani itu ibarat layang-layang yang keluar mengembara dan terikat dengan roh utama di dalam badan. Tali perhubungan utama ketika itu ialah nafas. Ketika diri rohani itu keluar kita namakan ‘mimpi’.
Pernahkah anda tidur begini? kalau belum, silakan..

Semua orang bermimpi ketika tidur. Bagi sesetengah orang, perkara sedemikian hanyalah mainan tidur. Ada yang menganggap mimpi sebagai petunjuk atau petanda yang akan sesuatu keadaan yang bakal berlaku. Ada pula mimpi yang tidak membawa apa-apa erti.
Dalam hal mimpi, sebenarnya ada mimpi yang benar dan mempunyai takwil atau boleh ditafsirkan bagi orang yang arif tentangnya. Biasanya untuk mendapatkan mimpi yang benar ada peraturan yang perlu dipatuhi sebelum tidur.  Antaranya ialah kita perlu tidur dalam keadaan berwudhu’, membaca ayat-ayat suci al-Quran yang lazim seperti surah al-Fatehah dan 3 Qul, serta berzikir sehingga terlelap. Sekiranya bermimpi dan dirasakan mimpi tersebut ada alamatnya, maka berjumpalah dengan orang yang arif untuk mentakwil mimpi seperti berjumpa dengan guru.  Jika sekiranya tidak berjumpa dengan guru, maka janganlah diceritakan mimpi tersebut kepada sebarangan orang.  Dalam satu kes, saya pernah mendengar guru saya bercerita tentang seseorang yang bermimpi anaknya jatuh lemas di dalam sebuah perigi.  Akibat terburu-buru, lantas orang tersebut bertanya kepada rakannya....lantas rakan tersebut mentafsirkan bahawa anaknya kelak akan mati lemas dalam perigi.  Agaknya kerana makbul doa rakanya ketika itu, maka sungguh benarlah anak tersebut mati terjatuh ke dalam perigi beberapa tahun kemudiannya.  Guru saya menceritakan bahawa maksud mimpi orang itu ialah anaknya nanti apabila besar akan menjadi orang yang alim dan dalam ilmunya...ibarat sumber mata air di dalam perigi tersebut.  Lihatlah betapa jauhnya maksud takwil mimpi tersebut.
Ada juga mimpi yang tidak membawa apa-apa erti malah bermimpi buruk akibat gangguan syaitan. Dalam hal demikian, apabila tersedar dari tidur (mimpi) tesebut hendaklah isyarat ludah ke kiri sebanyak TIGA kali.  Mimpi buruk tersebut tidak perlulah diceritakan kepada orang lain kecuali kepada pengamal perubatan Islam.  Kebiasannya; jika kita berjumpa dengan pengamal perubatan Islam untuk merawat diri kita yang terkena gangguan, maka mimpi tersebut dapat dijadikan panduan awal untuk ikhtiar pengubatan.  Contohnya; mimpi dikejar anjing hitam, mimpi jatuh dari tempat yang tinggi, mimpi pergi ke rumah lama dan sebagainya.

Bagi seseorang yang menempuh jalan tariqat di bawah bimbingan guru yang mursyid, sesuatu mimpi yang dialami haruslah diceritakan kepada guru untuk ditafsirkan.  Mimpi tersebut biasanya memberi isyarat akan maqam atau tingkat amalan seseorang murid. Jadi, hubungan antara murid dan guru tidak harus berpisah sama ada secara zahir mahupun secara rohani.

Sekian sahaja coretan ringkas daripada saya yang cetek ilmunya ini...
Muga kita berjumpa lagi..insya-Allah.

Wednesday, March 13, 2013

Merawat Berdasarkan Gerak Hati

Saudara pembaca yang dihormati,
Agak lama saya tidak menulis di dalam blog RIJ ini dek kekangan masa dan kerja. Tambahan pula talian internet Broadband Maxis telah saya tamatkan ekoran line yang selalu terganggu dan lambat pula. 
Hati umpama raja..Raja itu berkuasa.

Tulisan kali ini mengajak kita menuju kepada kepekaan hati atau rohani ketika merawat pesakit dan penyakit.  Kepekaan hati  memang amat diperlukan ketika merawat apatah lagi bagi kes-kes gangguan atau rasukan.  Hati ini umpama raja atau pemerintah di dalam badan dan roh.  Ini kerana hati itu mempunyai sifat latifah Rabbaniyah iaitu rasa yang berhubung erat dengan Tuhan.
Tidaklah meruqyah itu cukup dengan menghafal ayat-ayat manzil yang dibacakan dengan kuat ke arah pesakit tanpa adanya talian yang erat dengan hati dan rasa.  Memang secara dasarnya perubatan Islam bertunjangkan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis Nabi tetapi  mestilah berhubung erat dengan gerak dan rasa hati.  Ketika meruqyah, perlulah diamati rasa hati atau gerak hati.  Hati itu memancarkan niat......niat itu memancarkan gelombang yang dapat menuju kepada pesakit dan penyakit.  Sebagai contoh; ketika membaca dua ayat terakhir dari Surah al-Hasyr (ayat 21-24)  bukan sekadar baca sahaja tetapi niatkan dalam hati menjadi pemecah dan merungkai penyakit, mudah-mudahan gelombang niat itu beserta mukjizat ayat al-Quran itu  dapat menyembuhkan penyakit.  Tetapi haruslah kita ingat,  amalan wirid ruqyah itu haruslah dilakukan secara istiqamah agar mendatangkan warid.  Warid itulah pertolongan daripada Allah kepada hamba-hambanya yang ikhlas.
kadang-kadang bagi sesetengah kes rawatan, cukup dengan memegang pesakit....gelombang itu sudah sampai hingga terasa mengalir di tangan dan menuju kepada penyakit.  Atau dalam sesetengah kes (biasanya gangguan jin), bila waris telefon nak datang berubat, pesakit sudah berasa gelisah dan tidak senang duduk. Perkara ini susah untuk diterangkan secara bertulis, memadailah disingkap secara sepintas lalu.  Ibarat kata hendak menceritakan manisnya gula....memang susah untuk diungkap dengan kata-kata.  Kalau nak tahu, kena rasa gula itu sendiri barulah tahu bagaimana rasa manisnya.
Gerak hati bolehlah dikatakan  hakikat.  Bacaan ruqyah dan kaedah merawat dikatakan syariat. Mana boleh bercerai hakikat dengan syariat atau bercerai syariat dengan hakikat.  Kedua-duanya mesti seiring sejalan.
Sebelum merawat bersihkan hati dahulu dengan berisgtifar, ucapkan Dua Kalimah Syahadah untuk mentauhidkan Allah dan Rasul, diiringi Selawat kepada Nabi untuk mengambil Syafaat, disusuli hauqalah  untuk mengosongkan ego diri....barulah gerak hati menjadi suci.
Sekian, mudah-mudahan tulisan ini memberi manfaat kepada diri saya dan anda semua. Biarlah tullisan saya ini lain daripada yang lain.  Jumpa lagi dalam tulisan seterusnya. 
Assalamu alaikum..