Tuesday, March 13, 2012

Perginya YM Guru Utama Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)

Pada 12 Mac, 2012 bersamaan hari Isnin merupakan detik menyedihkan buat ahli-ahli dan pengamal-pengamal Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) kerana telah kehilangan Guru Utama iaitu Tuan Haji Ishak Bin Itam atau lebih mesra dipanggil “Pak Ak”. telah menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman beliau di No. 901, Mukim 8, Tanah Liat, Bukit Mertajam, Seberang Perai pada jam 4.50 petang, pada usia 77 tahun.

YM Guru Utama Ishak bin Itam atau "Pak Ak"

Almarhum Tuan Haji Ishak Itam  telah memimpin PSSCM selaku Guru Utama sejak 21 September 1986 .Walaupun Allahyarham telah menyerahkan mandat guru utama kepada Saudara Maidin tetapi ini tidak bermakna Allahyarham berhak dipanggil mantan guru utama. Apa mantan-mantan? Selagi guru masih hidup, selagi itulah jawatan guru utama Silat Cekak dibawa dan dipegang. Bila Allahyarham Pak Ak telah pergi, barulah layak dicari pengganti....
 YM Tuan Haji Ishak bin Itam sejak dari kecil lagi telah meminati seni silat Melayu, iaitu bermula dari umur 9 tahun sehingga ke umur 18 tahun beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani melalui bapa saudaranya En. Bakar dan En. Shafie b. Din. Seterusnya beliau mempelajari Silat Kuntau Jawa dari En. Hassan Jawa selama 2 tahun dan kemudiannya telah mempelajari Silat Sendeng dan Silat Minangkabau.

Kemudian beliau mempelajari pula Tomoi Siam dari En. Osman b. Ahmad (Man Balak) sehingga beliau menjadi Guru Tomoi selama 2 tahun. Semasa menjadi Guru Tomoi, beliau begitu yakin bahawa tiada satu silat Melayu boleh mengalahkan Tomoi Siam.

Selain daripada ilmu persilatan, beliau telah mempelajari ilmu kebatinan melalui Ustaz Azizan (Izan). Di samping itu, beliau telah mempelajari cara-cara membuat ubat tradisional merawat penyakit kencing manis. Tuan Haji Ishak b. Itam juga pernah mendapat pendidikan agama secara formal di Pondok Tuan Haji Mat Salleh Mesir, Tanah Liat yang pada masa ini menempatkan Maktab Adabi. Kemudian belajar pula di Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad b. Tuan Haji Hussein.

Pada tahun 1969, YM Ustaz Haji Hanafi b. Haji Ahmad telah dapat membuka kelas di Bukit Mertajam bertempat di Kubang Semang iaitu terletak lebih kurang 2 batu dari Cawangan PSSCM Seberang Perai pada masa sekarang ini. Kelas ini adalah merupakan kelas pertama yang diwujudkan di Bukit Mertajam, dimana pada masa tersebut bergerak di bawah Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Kelas ini telah diasaskan oleh Encik Abdullah b. Mohamad Zain dengan penyertaan seramai 16 orang penuntut. Dalam masa yang sama seorang tukang gunting rambut Encik Wan Omar telah berjaya mengajak YM Tuan Haji Ishak b. Itam untuk mempelajari Silat Cekak ini.

YM Tuan Hj Ishak bin Itam telah berjaya belajar silat ini selama 30 hari latihan sahaja. Setiap kali latihan, beliau sering dipukul oleh YM Ustaz Haji Hanafi dengan pokok teh pagar yang bertujuan hendak mengajar beliau supaya bersabar dan menerima ilmu silat ini dengan ikhlas hati dari tangan gurunya sendiri disamping menerima berbagai ujian dari gurunya.

YM Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad kemudiannya telah melantik beliau menjadi jurulatih. Sepanjang penglibatan beliau sebagai jurulatih, banyak tempat dan Cawangan serta Kelas Latihan telah disertainya termasuklah di TUDM Butterworth (1977), Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1975) dan di Kulim (1982). Beliau seringkali berulang alik mengajar silat ini di S. Perai dan P. Pinang.

Apabila YM Ustaz Haji Hanafi kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah diisytiharkan sebagai YM Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di UPM pada 13 Oktober 1986 seramai 27 orang.
Al Fatihah buat guruku...
Berkat sidi guruku, sidi menjadi kepada aku....

No comments:

Post a Comment