Pendahuluan
|
Gambar hiasan : Kerasukan syaitan |
Sering kita diberitahu dan diingatkan bahawa pada
bulan Ramadan (Puasa) syaitan-syaitan akan diikat dan dirantai agar tidak
mengganggu umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa. Justeru, pada fikiran
kita tidak akan ada gangguan dan kerasukan angkara jin dan syaitan di badan
manusia. Sebenarnya tanggapan tersebut adalah salah kerana pada bulan Ramadan
pun masih ada gangguan daripada makhluk halus ini. Buktinya, saya telah merawat
satu kes melibatkan gangguan makhluk halus pada bulan Ramadan baru-baru ini. Agak agresif
juga tindak balasnya setelah saya meruqyah dengan ayat-ayat suci al-Quran.
Jeritannya pada petang Ramadan tersebut membuatkan jiran-jiran tertanya-tanya.
Apabila tibanya bulan Ramadhan, sebagaimana biasa kita
akan mendengar satu hadis yang sering dibacakan oleh para ustaz di
masjid-masjid atau diperdengarkan kepada khalayak ramai iaitu hadis yang datang
dari Abu Hurairah RA yang bermaksud :
"Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga,
dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.." Hadis
ini diriwayatkan Bukhari dan Muslim. Imam Muslim Rahimahullah menyebut hadis
ini dalam kitab Shiam (Puasa) dan begitu juga dengan Imam Bukhari yang
meletakkan hadis di dalam kitab Shaum (Puasa). Namun lafaz yang dibawa oleh
Imam Bukhari berlainan dari Muslim walaupun dari periwayat yang sama iaitu : "Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu langit,
dan ditutup pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan.." Namun,
perbezaan lafaz ini tidak membawa kepada perbezaan makna hadis.
|
Gambaran syaitan dirantai |
Persoalannya : Adakah syaitan benar-benar dirantai di
bulan Ramadhan sehingga tidak dapat menjalankan aktivitinya seperti biasa?
Kalau ini yang terjadi, bagaimana pula yang berlaku pada hari ini di mana
dilihat kemaksiatan yang berlaku di bulan Ramadhan tidak kurang hebatnya
daripada yang berlaku di bulan yang lain? Atau adakah rantai tersebut hanyalah
satu simbolik (majaz)?
Menurut pendapat Imam Nawawi
Rahimahullah di dalam syarahnya menyebut bahawa proses perantaian tersebut hanyalah satu
simbolik atau majaz untuk menunjukkan
betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa
memandangkan orang-orang Islam sudahpun berpuasa. Ini kerana, puasa yang
dilakukan oleh orang-orang Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi
laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama
ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat menjalankan tugasnya dan keadaan ini
menyebabkan dirinya bagaikan di'rantai'. Dalam erti kata lain, puasalah yang
menjadi punca kepada perantaian ini dan
kepada orang-orang yang tidak melaksanakan ibadat puasa, pengaruh syaitan ke
atas dirinya samalah seperti bulan-bulan yang lain.
Walau bagaimanapun, Imam Nawawi sendiri tidak menolak
kemungkinan maknanya yang zahir iaitu syaitan-syaitan benar-benar dirantai pada bulan
Ramadhan bagi menandakan kemuliaan bulan Ramadhan. Manakala hakikat yang
terjadi pada hari ini di mana ramai orang-orang yang berpuasa tetap meneruskan
kemaksiatan ialah kerana puasa mereka tidak menepati syarat-syarat dan tidak
dihayati sebagaimana yang sepatutnya. Apabila puasa tidak dihayati sepenuhnya,
pengaruh syaitan akan tetap berkekalan sekalipun syaitan sendiri sudahpun
dirantai. Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani.
Ya.. yang diikat dan dirantai itu adalah syaitan,
tetapi tidak semua makhluk halus turut diikat seperti jin.. Pada pendapat saya,
yang mengganggu dan merasuk manusia ketika bulan Ramadan adalah jin. Walau
bagaimanapun marilah kita memahami hakikat syaitan ini.
Memahami
Hakikat Syaitan
Syaitan adalah mufradnya dari Syayathin. Syeikh
Ahmad Asshawi telah berkata mengenai makna dan asal Syaitan didalam tafsirnya, pada
juz 1, halaman 5, sebagai berikut:
Ertinya: Dan lafaz syaitan itu
asalnya Syathana, ertinya jauh dari rahmat Allah. Ada juga dikatakan berasal
dari Sya-tha ,dengan makna ihtaroqa ertinya; terbakar. Dan syaitan itu
nama bagi tiap-tiap yang derhaka dari bangsa jin dan manusia.
Daripada keterangan diatas, dapatlah
kita pastikan bahawa syaitan itu adalah nama sifat dan tidaklah ia diberi bentuk atau
asal tertentu. Kalau jin bersifat derhaka, maka dialah
syaitan. Begitu juga jika ia
manusia yang bersifat derhaka, maka dialah syaitan. Kadangkala
lafaz syaitan juga diberikan kepada Iblis laknatullah.
Diterangkan dalam Surah
Al-An'Am ayat 112, seperti berikut :
Ertinya: Dan demikianlah telah
kami jadikan bagi tiap tiap nabi itu musuh musuh berupa syaitan yang terdiri
daripada jin dan manusia, yang membisikkan setengah mereka itu kepada
sesetengahnya akan kata kata yang dihiasi dengan tipudayanya.
Syaitan
manusia itu kadangkalanya adalah diri kita, isteri kita, teman kita atau anak
anak kita yang membuat kita berpaling dari taat kepada Allah.
Malik bin
Dinar berkata:
Ertinya: Sesungguhnya syaitan
manusia itu lebih hebat ke atasku daripada syaitan jin, maksudnya : apabila aku
berlindung kepada Allah, maka berlalulah syaitan jin. Sedangkan syaitan manusia
itu datang kepadaku,maka diseretlah aku kepada segala kemaksiatan:
Hujjatul Imam Al-Ghazali
berkata:
"Berhati-hatilah engkau
kepada syaitan manusia, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan manusia itu telah
memberi kesenangan kepada syaitan-syaitan jin daripada keletihanya.”
Daripada keterangan diatas, dapatlah
kita perhatikan bahawa Iblis laknatullah adalah syaitan kerana ia telah
membangkang dan derhaka pada perintah Allah untuk sujud kepada Adam. Sedangkan
syaitan bukanlah iblis, kerana Iblis adalah lafaz untuk menyebut seorang jin
yang tertentu yang bernama Azazil. Pada setiap orang terdapat syaitan akan
tetapi pada setiap orang tidak ada iblis.
"Bahawa Aisyah,isteri Nabi
s.a.w mengatakan, "Rasulullah s.a.w keluar pada satu malam daripada
sisinya. Aisyah berkata, "Aku lalu berlari mengejar baginda hingga
mendapatkanya. "Melihat apa yang aku lakukan, Baginda berkata, "ada
apa dengan kamu wahai Aisyah,apakah kamu cemburu?" Aisyah
berkata,"bagaimana orang sepertiku tidak cemburu terhadap orang seperti
kamu". Baginda kemudian berkata, "Atau syaitan telah datang kepada
kamu? Aisyah berkata,"adakah padaku ada syaitan? Baginda berkata, "Ya".
Aisyah berkata lagi, "apakah dia juga ada pada setiap orang". Nabi
berkata"Ya". Aisyah berkata,"apakah pada kamu juga? Nabi
menjawab, "Ya,hanya saja Allah menolongku untuk menakluknya sehingga ia
memeluk islam" (riwayat muslim)
Kesimpulan
Bagaimana saudara? Jelaslah daripada keterangan
tersebut, dapat kita membuat kesimpulan bahawa syaitan itu adalah nama
bagi tiap-tiap yang derhaka dari bangsa jin dan manusia. Kalau jin
bersifat derhaka, maka dialah syaitan. Begitu juga jika ia manusia yang
bersifat derhaka, maka dialah syaitan.
Kalau syaitan dikalangan jin yang derhaka,
maka layaklah jin tersebut diikat dan dirantai di bulan Ramadan tetapi jika
syaitan di kalangan manusia, bagaimana? Kena ikat dan dirantai jugakah? Saudara
pembaca carilah sendiri jawapannya....
Sebagai kesimpulannya, pemahaman para ulama' terhadap
hadis yang menyatakan syaitan-syaitan dirantai terbahagi kepada dua iaitu
memahaminya secara simbolik ataupun memahaminya di atas maknanya yang zahir.
Bagaimanapun, ia sebenarnya tidak bertentangan antara satu sama lain.
Seandainya seseorang itu berpuasa dengan sebenar-benarnya, maka sesungguhnya
dia telah merantai syaitan daripada mendekati dirinya.
Sumber:
http://halaqah.net
http://www.mymasjid.net.