Friday, February 15, 2013

Nafsu Mutmainnah : Perawat Perlu di Tahap Ini

Assalamu’alaikum wwt.
Perjalanan  hidup manusia di dunia ini penuh dengan pancaroba. Terlalu banyak dugaan yang perlu dihadapi untuk mecapai matlamat yang dikehendaki lebih-lebih lagi mencari redha Allah. Sebelum kita lahir ke dunia ini, ada banyak lapisan alam yang kita tempuhi  sehinggalah lahir ke dunia bernama alam Insan. Alam Insan ini adalah alam kesempurnaan kejadian dan memikul tanggungjawab yang berat untuk memulangkan kembali amanah yang diikrar dahulu.
Setelah kita lahir ke dunia, kita terpesona dengan warna-warni dan keindahan dunia yang membuatkan kita lupa akan ikrar dan tanggungjawab tersebut. Lalu kita terpaksa mengharungi tujuh tingkat nafsu untuk kembali mencapai kesempurnaan. Nafsu-nafsu tersebut menurut ilmu tasauf ialah :
1.       Nafsu Ammarah
2.       Nafsu Lawwamah
3.       Nafsu Mulhimah
4.       Nafsu Mutmainnah
5.       Nafsu Radhiah
6.       Nafsu Mardhiah
7.       Nafsu Kamil
Saya tidak berminat untuk mengupas secara lengkap akan ketujuh-tujuh nafsu tersebut. Saudara bolehlah merujuk buku-buku yang berkaitan atau berjumpa dengan orang yang arif mengenainya. Apa yang ingin saya bincangkan di sini ialah mengenai tahap nafsu yang ke-4 iaitu nafsu Mutmainnah. Nafsu Mutmainnah ini merupakan nafsu pertengahan yang sekurang-kurangnya kita perlu duduk. Allah Taala telah berfirman dalam al-Quran Surah al-Fajr ayat27-30 :

Maksudnya:
“Wahai nafsu Mutmainnah, kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati suka ria serta diredhai Tuhan maka masuklah olehmu dalam golongan hamba-hamba-Ku yang soleh dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
Sebaiik-baiknya untuk menjadi perawat Islam yang sejati, perlu mempunyai tahap nafsu mutmainnah. Menurut Mustapha Muhamad Al-Jayasi dalam bukunya “Mengenal Diri dan Wali Allah”  berkata; antara sifat-sifat orang yang mencapai nafsu mutmainnah ialah seperti berikut:
1.     Murah hati dan tak lekang wang di tangan kerana bersedekah
2.       Tawakkal yang benar
3.       Bersifat arif dan bijaksana
4.       Kuat ibadat
5.       Syukur yang benar
6.       Redha pada segala hukuman Allah
7.       Taqwa yang benar
8.       Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat hati yang terpuji.
Cabaran sebagai perawat Islam sangatlah luas dan halus. Jin atau syaitan sentiasa menunggu peluang untuk mencari titik kelemahan kita lalu menyerang kita. Jika iman kita lemah atau nafsu masih di tahap Ammarah, Lawwamah atau Mulhimah nescaya pertolongan daripada Allah lambat dimakbulkan. Sebab itulah kita ada mendengar perawat Islam menipu orang, mengambil kesempatan ke atas pesakit wanita dan sebagainya.. Puncanya, tidak lain dan tidak bukan ialah kerana  nafsunya belum sampai ke tahap nafsu Mutmainnah.  Cara mengatasinya ialah dengan berguru dengan guru yang mursyid, tekun menjalankan wirid  zikir tarekat yang diijazahkan dan sebagainya. Selain itu, kita perlu sentiasa berzikir atau ingat  kepada Allah dengan berkekalan  sama ada bersendirian ataupun berada  di khalayak ramai. Kebiasaannya orang yang berada pada tahap nafsu mutmainnah ini doanya mudah dimakbulkan oleh Allah kerana hatinya sudah menjadi suci dan bersih.
Mujahadah melawan nafsu

Sekian sahaja catatan daripada hamba yang fakir ini. Jumpa lagi..

Rujukan :
Mengenal Diri dan Wali Allah oleh Mustafa Muhamad Jayasi (Al-Ahmadi) ,Pustaka Aman Press , 1981.

Thursday, February 14, 2013

Merawat Demam Panas : Kena Mandi

Salam sejahtera buat pembaca budiman.

Gambar hiasan: Anak demam panas

Demam ialah suatu tindak balas normal badan terhadap sebarang bentuk jangkitan kuman atau penyakit tertentu. Suhu badan yang normal adalah 37°C (98°F). Seseorang itu boleh dianggap demam jika suhu badannya melebihi 37°c. Demam biasa pula bermakna suhu kita meningkat lebih daripada 37°C tetapi tidak melebihi 38°C. Demam biasa akan pulih dalam masa dua, tiga hari sahaja. Demam panas pula terjadi apabila suhu melebihi 38°C dan berlarutan lebih lama selalunya disertai simptom-simptom lain seperti batuk dan selesema.

Bagi kanak-kanak berumur antara 6 bulan ke 6 tahun, demam panas boleh menyebabkan kekejangan ataupun lebih dikenali sebagai sawan demam. Jika demam panas menyerang anak anda, janganlah memandang remeh atau biasa-biasa sahaja. Cepat-cepatlah berikhtiar berubat sama ada secara rawatan Islam mahupun rawatan moden.

Sahabat saya di Jengka 20 ada mempunyai seorang anak berpenyakit sawan tarik akibat demam panas. Kasihan saya melihatnya, kerana pemikiran anaknya itu agak terganggu. Ada sekali saya merawatnya namun sudah terlambat dan sukar untuk sembuh.


Ada satu kes baru-baru ini, anak sahabat saya berumur 6 tahun diserang demam panas. Sahabat saya itu bekerja di TNB Jengka menelefon bahawa anaknya sudah seminggu demam dan tidak ‘kebah’ atau sembuh. Ubat hospital sudah diberi namun keadaan suhu panasnya masih tinggi. Beliau begitu risau dan akan datang pada malam itu juga. Sesampainya ke rumah, saya meruqyah anaknya dengan doa-doa pilihan beserta air untuk di buat minum dan mandi.  Sahabat saya terkejut kerana saya menyuruhnya memandikan anaknya itu. Apa yang difahamkan olehnya melalui saranan ibunya bahawa anak yang demam tak perlu dimandikan... Saya  menegaskan bahawa demam panas hendaklah disejukkan dengan air..sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah RA: Maksudnya;

“Demam itu merupakan ledakan daripada neraka, maka sejukkanlah ia dengan air”

Justeru, bagi pesakit demam panas hendaklah sentiasa menyejukkan diri dengan mandi atau dilap badan dengan air.  Manakala bagi bayi dan kanak-kanak disarankan memakai pakaian nipis, berkipas dan sentiasa minum air secukupnya.

Kaedah dan Rawatan Demam Panas:

·         Rawatan penyakit demam panas ialah dengan menggunakan air yang telah didoakan untuk diminum dan mandi. 
·         Mandi sebaiknya dilakukan pada waktu petang antara asar dengan maghrib.  Tidak digalakkan mandi pada waktu tengahari.
·         Cara mandi yang disarankan dan telah mmenjadi amalan orang-orang tua dahulu adalah memulakan mandi dengan membasahkan kaki terlebih dahulu diikuti lutut, pinggang seterusnya naik sampai ke kepala. 
·         Setelah selesai mandi, jadikan air yang telah didoakan sebagai bilasan terakhir dan biarkan air itu kering sendiri tanpa dilap.

Kombinasi doa yang dibaca dan ditiupkan pada air tersebut ialah:

1.      Surah Al-Fatehah ( Penawar Seribu Guna)
2.      Ayat Pemecah Kebuntuan  ( Surah al-Hasyr ayat 21 – 24)


3.      Doa Rawatan Demam Panas

4.      Doa Penyejuk


Sekian perkongsian rawatan pada kali ini. Mudah-mudahan jadikan panduan ini untuk merawat demam panas anak anda yang tersayang.  Sediakan paying sebelum hujan…

Rujukan :
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din (Rawatan Penyakit Jasmani (II) Jilid 3). Darussyifa. 2011

Wednesday, February 13, 2013

Jin Sebenarnya Takut Kepada Manusia

Kebanyakkan manusia berasa takut dengan kehadiran jin, syaitan dan iblis. Hal ini tidaklah menghairankan kerana selama ini kita sering dimomokkan oleh pelbagai sumber yang menyebabkan perasaan takut terhadap makhluk halus itu tidak pernah padam.  Sering kita mendengar orang tua-tua yang menyemai perasaan takut akan hantu kepada anak-anak yang bertujuan mendidik kononnya. Selain itu, peranan media massa juga menambah kronik penyakit takut kepada jin ini seperti kebanjiran filem-filem atau drama mengenai jin atau syaitan ini. Nampaknya industri filem atau drama berteraskan seram (melibatkan jin dan syaitan) ini menarik minat orang ramai dan menguntungkan.
Illustrasi rupa jin atau syaitan

Hakikat sebenarnya, jin, syaitan dan iblis itu takut kepada manusia.  Allah menciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian. Namun begitu, kebanyakkan manusia tidak mengambil tahu perkara-perkara ini kerana mereka menyangka makhluk-makhluk ini mampu mendatangkan mudarat ataupun manfaat kepada mereka.
Manusia yang mempelajari ataupun mengetahui rahsia-rahsia alam jin seharusnya tidak perlu bimbang dengan kehadiran makhluk terkutuk itu. Syarat utama bagi mengelakkan jin, syaitan dan iblis daripada mengganggu kita adalah dengan memperteguh pegangan tauhid kepada Allah. Selain itu, kita juga perlu beramal soleh seperti menjaga solat fardhu dan sunat, berzikir / ingat Kepada Allah secara berterusan, membaca al-Quran dan sebagainya.
Manusia juga perlu sentiasa berdoa memohon perlindungan daripada Allah yang Maha Esa. Yakinlah bahawa Allah sangat berkuasa dan selalu melindungi hamba-hambanya berdasarkan ajaran Nabi Muhammad saw. Dengan adanya amalan-amalan tersebut, akan lahir cahaya atau nur kurniaan Allah dalam hati dan diri kita.  Nur atau cahaya ini yang sebenarnya ditakuti oleh jin, syaitan dan iblis. Apabila ada nur maka datanglah keberanian dalam diri kita dan akan mendatangkan ketakutan kepada makluk-makhluk halus tersebut kepada kita. Semangat  ataupun kekuatan minda adalah faktor penentu sama ada mudah diganggu jin ataupun tidak.
Sekiranya ada gangguan sekalipun, gangguan tersebut hanya memberi kesan yang minima ataupun tidak berkesan langsung kepada dirinya. Berbeza pula dengan orang yang lemah semangat atau tiada pendinding diri. Mereka mudah terkena gangguan jin, syaitan dan iblis. Dalam kebanyakkan kes, mereka yang terkena gangguan seperti terlihat hantu ataupun terdengar bisikan ataupun terasa seolah-olah diperhatikan. Dalam kes yang teruk pula, gangguan ini dapat membawa kepada tahap rasukan, histeria ataupun menjadi gila.
Kesimpulannya, marilah kita membina kekuatan nur hasil istiqamah beramal dengan ayat-ayat suci al-Quran. Nur itulah dinamakan warid hasil wirid yang kita amalkan. Sekali lagi, janganlah takut kepada jin, iblis dan syaitan.
Sekian, jumla lagi.
Sumber rujukan:
Perangi Sihir (Engku Ansaruddin Agus dan Dr. Mohd Azlee A. Mutalib) 2012

Saturday, February 9, 2013

TERAPI URUTAN GUASA


Gerakan terapi urutan guasa

Alhamdulillah syukur kepada Allah yang telah mengizinkan saya untuk menambah ilmu dalam ikhtiar perubatan alternatif.  Ilmu  yang dimaksudkan ialah Terapi Urutan Guasa. Mungkin sebelum ini para pembaca telah pun mengetahui teknik ini dan telah mempraktikkannya. Cuma saya sahaja yang agak ketinggalan mempelajarinya. Tetapi saya percaya ada antara pembaca di luar sana yang masih tidak mengetahui terapi urutan guasa ini.
Teknik ini mudah sahaja dan sesiapa sahaja boleh mempraktikkannya tetapi ada kaedah dan aturan yang perlu diikuti agar keberkesannya terserlah.
‘Guasa‘ merupakan suatu terapi perubatan tradisi masyarakat Cina. Kaedah ini  merupakan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diwarisi oleh nenek moyang sejak beribu-ribu tahun dahulu. Keunikannya telah menarik perhatian disebabkan oleh keberkesananya yang mujarab untuk masalah demam dan selsema.

Alat-alat guasa yang digunakan pada zaman dahulu terdiri daripada duit syiling atau sudu seramik. Alat-alat ini akan dicelup di dalam air ataupun minuman keras, kemudian digunakan untuk meraut pada permukaan kulit sehingga bintik-bitik merah kelihatan. Kini, papan guasa diperbuat daripada tanduk kerbau dan merupakan alat  penebat elektrik. Ini menyebabkannya berkesan dan sesuai untuk membuang kepanasan dan toksin dari badan. Kegunaan papan ini tidak menghasilkan sebarang geseran atau haba.
Antara Penyakit Yang Boleh Dirawat Menggunakan Kaedah Guasa ialah seperti berikut: InsyaAllah...
1. Selsema
2. Buasir
3. Sembelit
4. Sakit Kepala
5. Insomnia
6. Kelesuan
7. Sakit Sendi
8. SakitPinggang Yang Teruk
9. Sakit Pinggang Pada Tulang Belakang
10. Terseliuh
11. Sakit Bahu Pada Usia 50 Tahun
12. Sakit Otot Selepas Bangun Dari Tidur
13. Sesak Nafas Dan Jantung Berdebar Dengan Cepat
14. Tekanan Darah Tinggi
15. Sakit Semasa Haid
16. Kelemahan Fungsi Fisiologi
17. Kurangkan Lemak
18. Kelemahan Badan
19. Mengeluarkan Kahak
20. Myopia
21. Tersedu
22. Sakit Perut
23. Kurang Selera Makan
24. Cirit Birit
25. Mabuk Kereta
26. Mabuk Arak
27. Histeria
28. Bahu Dan Belakang Yang Tegang
29. Kekejangan Kaki Dan Abdomen
30. Tekanan Darah Rendah
31. Mata Yang Letih
32. Pening
33. Hidung Bengkak Dan Berair
34. Hidung Berdarah
35. Sakit Gigi
36. Rasa Muntah Semasa Mengandung
37. Kekurangan Penghasilan Susu
38. Keradangan Pundi Kencing
39. Kanak-kanak Yang Lemah
40. Kencing Semasa Tidur
41. Lelah
42. Tumor
43. Kaki Berbau Busuk 


Terapi Guasa adalah satu teknik yang praktikal kerana teknik ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana jua kita berada. Dengan hanya melakukanya selama beberapa minit setiap hari, ianya sudah cukup untuk memberikan kesan yang efektif terhadap kesihatan kita.

Inginkan terapi urutan guasa...hubungi saya. Rasai kelainannya..

Wednesday, February 6, 2013

Berilmu dan beramal bukan untuk mendapat kehebatan atau kekeramatan

Salam sejahtera buat pembaca;
Dalam kita menuntut apa sahaja ilmu dan beramal dengan ilmu tersebut, hendaknya janganlah kita mengharapkan terhasilnya kehebatan atau hal- hal yang luar biasa (keramat). Fenomena ini sering berlaku terutamanya kepada para penuntut ilmu persilatan, ilmu perubatan Islam malah ilmu sufi atau mengenal diri. Sebab apa saya berkata begitu?  Ini kerana ilmu-ilmu tersebut tergolong dalam ilmu yang kerap  memperlihatkan  riak atau takabur.
Apa tidaknya, bila belajar ilmu persilatan maka yang dikehendaki ialah mahir dan cekap dalam seni bela diri dan akan terbit dalam hati..akulah yang hebat. Begitu juga jika belajar ilmu perubatan Islam, maka dengan kepandaian tersebut banyaklah penyakit yang dapat diubati sehingga sembuh...dalam hati berkata...akulah yang hebat. Malah dalam  mempelajari ilmu sufi atau mengenal diri, maka dalam hati berkata akulah yang hebat sebab sudah kenal diri.
Hal-hal yang tergolong hebat atau menyenangi terzahirnya kekeramatan seharusnya tidak timbul dalam diri kita. Sebaiknya kita jangan menyenangi kekeramatan atau memintanya.  Sebab apa?  Sebab menyenangi atau memintanya bererti suatu petanda masih belum dapat melepaskan kehendak dan bahagian dirinya dalam mengamalkan suatu peribadatan.  Padahal kita seharusnya menyerah kepada kehendak Allah sebulat-bulatnya.
Bagaimana kita dapat mencapai hal-hal yang luar biasa, padahal kita masih belum dapat menahan hawa nafsu seperti masih suka berlagak sombong, ujub, riak atau lainnya dari sifat-sifat yang tercela.  Allah tidak mengutamakan seseorang dengan memberikan kemampuan seperti itu kecuali kepada orang yang telah dapat mengusir atau melawan kehendak-kehendak nafsu. Jadi, bahasa ringkasnya ialah kita hendaklah terlebih dahulu membersih hati.. Orang yang masih belum sampai kepada maqam atau kedudukan seperti itu, janganlah tamak mengharapkan kekeramatan dirinya. Sebaliknya bagi orang yang telah terlahir kekeramatan, hendaklah berhati-hati jangan sampai kekeramatan yang telah dimilikinya itu sebagai istidraj dari Allah dan tipu daya syaitan.
Bagi pengamal perubatan Islam khasnya, ingatlah.....jangan menyenangi kehebatan atau kekeramatan. Jangan berasa hebat jika dapat scan penyakit, dapat tangkap jin, dapat pancung jin, dapat bunuh jin dan sebagainya...lalu dipaparkan ceritanya itu di dalam blog dengan cerita yang terperinci..Untuk apa sebenarnya?  Bukankah itu namanya menyenangi kehebatan diri supaya orang terpegun dan tabik kepada kehebatannya..lalu dengan harapan orang ramai akan datang berubat kepadanya. Kalau niatnya untuk mendidik pembaca agar mentauhidkan Allah, mengagungkkan kebesaran Allah dan beramal untuk mencari redha Allah tidak mengapa.. teruskan.  

Hebat....dapat tangkap jin dikurung dalam botol

Sekian, coretan daripada hamba yang fakir.