Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak gejala penyakit sama ada penyakit fizikal mahupun rohani yang berkait rapat dengan gangguan jin atau syaitan. Perkara ini tidaklah menghairankan kerana jin atau syaitan memang selalu dengki dan berdendam dengan manusia. Sebagai manusia, kita perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan segala tipu daya mereka. Siapakah mereka?
Jin:
Jin adalah makhluk ciptaan Allah. Jin berasal dari alam yang berbeza dengan alam manusia dan malaikat. Menurut Muhammad Asad dalam bukunya “The Message of The Holy Quran”, perkataan jin berasal daripada kata akar ‘janna’ yang bermaksud tersembunyi, terselindung atau diselubungi kegelapan. Jadi, jin adalah makhluk yang secara haknya adalah terselindung daripada pancaindera manusia.
Jin diciptakan daripada api iaitu lebih dahulu daripada manusia sebagaimana firman Allah s.w.t :
Maksudnya: “Dan jin itu Kami ciptakan sebelum manusia daripada api yang sangat panas” (surah al-Hijr : 27)
Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Aisyah r.ha.
Maksudnya : “Malaikat dicipta daripada cahaya, jin dicipta daripada api dan manusia dicipta daripada apa yang diciptakan kepadamu (tanah). (Riwayat Muslim)
Syaitan:
Syaitan menurut bahasa Arab adalah ruhun syarirun bermaksud roh jahat atau buruk, al-hayatul khabitsah atau kehidupan yang buruk dan mutamarridun madsadun atau penderhaka yang merosak. Syaitan secara istilah adalah sifat jahat yang tersembunyi dalam diri jin dan manusia yang menimbulkan kerosakan dan kehancuran. Jadi syaitan boleh juga dikatakan sebagai profesion atau gelaran bagi jin dan manusia jahat. Perkara ini sesuai dengan definisi yang dijelaskan oleh Allah berkenaan syaitan dalam al-Quran:
“Syaitan yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia. Daripada golongan jin dan manusia” (Surah An-Nas :ayat 5-6)
“Dan demikian Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh iaitu syaitan-syaitan daripada jenis manusia dan jin. Sebahagian lagi membisikkan kepada sebahagian lagi perkataan yang indah-indah bagi menipu manusia. Jika Tuhanmu menghendaki, pasti mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” (Surah al-Anaam: ayat 112)
Antara sifat syaitan adalah sombong, membuat kerosakan, sesat dan cinta pada kejahatan. Jin yang bersifat sombong dan cinta pada kejahatan disebut syaitan. Manusia yang memiliki sifat itu juga dinamakan syaitan. Syaitan daripada manusia dan syaitan daripada jin yang ditetapkan Allah sebagai musuh para nabi memperdaya sebahagian yang lain dengan kata-kata indah yang dibisikkan. Yang dimaksudkan dengan bisik adalah memindahkan internal (dalaman) daripada sebahagian kepada sebahagian yang lain, menipu dan mendorongnya bagi melakukan kerosakan, sesat dan melakukan maksiat kepada Allah.
Nama-nama jin dan fungsinya:
Menurut Ibnu Abdil Bar, perkataan ‘jin’ berdasarkan kajian ahli kalam dan ilmu bahasa Arab memiliki beberapa tingkatan. Antaranya;
a. JIN : Golongan yang sebenar
b. SYAITAN : Golongan jin yang membuat kerosakan serta maksiat.
c. MAARID : Golongan jin yang lebih teruk daripada Ifrit
d. IFRIT : Golongan jin yang lebih teruk dariapda Maarid. Mereka merupakan golongan jin yang menipu, mempunyai kekuatan yang luar biasa.
e. AMMAR atau AWAMIR : Golongan jin yang tinggal bersama manusia. Mereka tinggal di rumah-rumah keluarga baik dan juga kelauarga jahat. Mereka suka mengusik.
f. UMMUL SYIBYAN : jin yang sering mengganggu anak kecil.
g. AL-HIN : Jin yang berbentuk anjing dan yang paling rendah tarafnya.
h. NISBI atau NASIBIN : Sebaik-baik jin.
Golongan Jin :
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menjelaskan jin terbahagi kepada TIGA golongan:
“Ada tiga golongan jin: Segolongan yang terbang di udara, segolongan yang menyerupai anjing dan ular serta segolongan lagi yang menetap dan berpindah-randah.”
(dilaporkan oleh Tabrani dan Hakim dengan sanad sahih)