Saudara pembaca yang setia...
Untuk makluman pembaca, kelas Pengubatan Islam Darul Ansar bagi tahun 2013 cawangan Pahang telah bermula pada 20 Januari 2013 yang lalu. Bagi warga Pahang, khasnya di sekitar Bandar Temerloh, kedatangan Tuan Guru Muhammad Rajab Akmal bin Hj. Abdul Halim al-Ahmadi (Khalifah Tariqat Al-Muhammadiyah Al Idrisiyah Al-Muhammadiyah As-Syazuliyah) merupakan ‘tuah yang datang menggolek’. Rugi betul rasanya bagi sesiapa yang tidak dapat menadah ilmu daripada beliau.
Saya sendiri telah membawa dua orang sahabat sekereta untuk belajar di samping tiga yang lain kenalan daripada Bandar Jengka. Perkara yang baik eloklah dikongsi bersama dan dipanjang-panjangkan. Mudah-mudahan ada keberkatan daripada Allah. Sebenarnya hanya Allah jua yang menggerakkan hati sesesiapa yang diizinkan untuk belajar.
Bila kita belajar, guru akan memberikan wirid yang perlu kita diamalkan. Wirid ini berupa ayat-ayat suci al-Quran, zikir-zikir asma ul husna, hizib, selawat dan sebagainya. Dalam hal ini janganlah kita meremehkan wirid. Wirid yang bersanad sehingga kepada Rasulullah saw melalui baiah ijazah tariqah adalah terlebih afdhal.
Telah berkata Syaikh Ahmad Ibn “Athaillah dalam kitab Hikam:
“Tidak akan meremehkan wirid kecuali orang yang sangat bodoh. Warid itu akan didapatkan sampai di akhirat, sedang wirid itu akan terlipat (habis) dengan terlipatnya (habisnya) dunia. Dan sesuatu yang lebih utama diperhatikan adalah apa yang tidak terganti wujudnya. Wirid adalah yang dituntut Allah dari kamu, sedang warid adalah kamu yang menuntutnya daripada-Nya. Maka dimanakah perbedaan antara wirid yang Allah telah menuntut dari kamu dengan warid yang kamu menuntutnya dari Allah”
Penjelasan :
Wirid adalah pekerjaan rutin yang berupa ibadat lahir mahupun batin.
Warid adalah sesuatu yang berjalan di dalam hati manusia sebagai pemberian dari Allah, yang berupa ketenangan, cahaya Ilahi, kesenangan beribadah, taufik dan hidayah-Nya.
Janganlah meremehkan wirid. Kerana wirid ini merupakan cara pengabdian kepada Allah, menghadirkan hati kepada-Nya, dan mencari kenikmatan dengan berzikir kepada-Nya. Dengan wirid orang boleh membersihkan batinnya dan menarik cahaya untuk menerangi hati. Hanya orang yang sangat bodoh yang meremehkan wirid.
Wirid itu mempunyai dua keistimewaan dibanding dengan warid, iaitu:
1.Wirid waktunya terbatas, iaitu ketika masih di dunia. Terlewat tidak mengerjakan wirid di dunia, maka tidak akan boleh menggantikannya. Musnahnya dunia bererti habisnya masa wirid. Matinya seseorang bererti terputusnya masa untuk menjalankan wirid.
2.Wirid itu hak Allah yang diwajibkan kepada manusia. Sedang warid adalah hakmu yang kamu ajukan kepada Allah.
Kerana keistimewaan wirid itu, maka sebaiknya setiap orang selalu menjalankan wiridnya. Wirid hanya berlaku di dunia sedangkan warid berlanjut sampai di akhirat.
Bersabda Rasulullah saw. (maksudnya):
“ Amal-amal yang paling dicintai oleh Allah adalah yang (dikerjakan) terus menerus, meskipun sedikit”
Abu Thalib Al- Makki berkata:
“Terus-menerus mengerjakan beberapa wirid termasuk akhlak orang-orang mukmin, jalannya orang-orang yang ahli ibadah, dan dia dapat menambah iman serta tanda keyakinan”
Selanjutnya kita mengharapkan Allah akan menganugerahkan kepada kita warid imdadi. Warid imdadi adalah pertolongan Allah kepada orang beriman yang dapat menyebabkan kekuatan roh kerana terisinya hati oleh iman, ilmu dan makrifat.
Warid imdadi akan datang meresap ke dalam hati setiap orang, bilamana orang itu mahu membersihkan hatinya dan mahu menjalankan wiridnya terus menerus. Banyak sedikitnya warid imdadi di dalam hati seseorang, tergantung dari persiapan orang itu di dalam membersihkan hatinya dan mengamalkan wiridnya.
Jadi jelasnya warid itu selalu mengikuti wirid. Kalau wiridnya berjalan sempurna, maka hatinya menjadi bersih dan bercahaya. Hati yang bersih dan bercahaya merupakan tempat warid.
Sekian, mudah-mudahan info ini berguna kepada kita.