Salam hormat buat pembaca yang setia mengikuti blog saya.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa sembahyang atau solat adalah merupakan tiang agama. Barangsiapa mendirikan sembahyang, bermakna dia mendirikan agama dan barangsiapa meninggalkan sembahyang seolah-olah dia meruntuhkan agama. Melihat kepada peri besarnya urusan sembahyang ini, maka janganlah hendaknya kita umat Islam mengambil mudah.
Tulisan kali ini membawa dimensi yang agak lain sedikit, iaitu mengupas mengenai martabat orang yang sembahyang sebagaimana yang ditulis oleh ulama dahulu iaitu Asy-Syeikh Muhammad Shaleh bin Abdullah Mengkabauw dalam kitab Kasyfu Asrar (Pembukaan Segala Rahsia)....
Bacalah dengan hati yang ikhlas dan bersih....
Soal : Dan berapa martabat orang yang sembahyang, beri jawabnya?
Jawab: Adapun martabat orang yang mengerjakan sembahyang itu, tiga martabat:
1. Martabat sembahyang syari’at
2. Martabat sembahyang thariqat
3. Martabat sembahyang hakikat
Soal: Dari mana rupa sembahyang orang syari’at dan apa hukumnya, dan mana rupa sembahyang orang thariqat dan apa hukumnya, dan mana rupa sembahyang orang hakikat?
Jawab:
1. Adapun sembahyang orang syari’at itu, iaitu orang memandang daripadanya kepada Allah, serta suci daripada riya’ dan sum’ah semata-mata, kerana harap dapat pahala dan takut akan azab, serta mengetahui segala syaratnya dan rukunnya, dan mengetahui segala yang membatalkan dia, dan hukumnya orang ini syirik semata-mata.....Bermula amal syirik, tiada sekali-kali diterima amalnya, dan jikalau sebesar bukit sekalipun.
2. Dan sembahyang orang thariqat itu, iaitu i’tikadnya hadir Allah Taala pada hadapannya, melihat akan segala perbuatan dan mendengar akan segala bacaan, maka sangat khyusuk’nya kerana Allah Taala hadir pada hadapannya. Dan suci daripada riya’ dan sum’ah. Dan tiada kerana harap akan pahala, dan tiada kerana takut akan seksa, hanya memandang dirinya itu hamba, mengerjakan suruh, meninggalkan tegah, hanya terima amalnya daripada sekadar hadir hatinya kepada Allah Taala dalam sembahyang ini. Orang memandang daripada Allah kepadanya hukumnya syirik jua, akan tetapi halus syiriknya daripada orang mubtadi, kerana ada wujudnya.
3. Dan adapun sembahyang orang hakikat itu, iaitu orang tiada memandang bagi dirinya amal, hanya memandang fi’il kelakuan Allah Taala yang berlaku pada dirinya yang ditakdirkan pada azali sebelum dijadikan dia, hanya memandang bagi dirinya jadi alat, serupa qalam pada orang yang menyurat. Maha Suci Allah Taala daripada alat, hanya dipandangnya segala amalnya daripada Allah, dengan Allah, bagi Allah.....Inilah orang yang lepas daripada halusnya syirik. Inilah yang sebenar sembahyang yang bernama otak sembahyang. Wallahu Al-Muwafiq.
Bagaimana saudara pembaca? Cuba kita periksa mutu sembahyang kita adakah berada pada martabat syari’at, atau pada martabat thariqat atau pada martabat hakikat? Pada pendapat saya yang kurang ilmunya ini, kesemuanya iaitu syari’at, thariqat dan hakikat mestilah disepadukan dalam gerak yang satu, barulah sempurna. Kalau kurang salah satunya, maka pincanglah amalan kita.
Sekian, jumpa lagi dalam tulisan saya yang akan datang.
Mana satu martabat sembahyang kita? |