Thursday, June 28, 2012

BOLEHKAH JIN DITANGKAP?

Jin  adalah tergolong dalam makhluk halus yang kewujudannya tidak perlu dipertikaikan lagi. Persoalannya bolehkah makhluk jin ini ditangkap?
Ternyata di dalam sejarah bahawa Nabi Allah Sulaiman a.s telah memenjarakan puak-puak jin yang degil ke dalam sebuah botol tembaga yang kecil dan dicampakkan jauh-jauh ke tengah lautan.
Al-Aqili di dalam kitabnya al-Dhuaf al-Kabir daripada Abu Said baginda Rasulullah bersabda:
Maksudnya: “Nanti pada tahun 135, berpuak-puak syaitan akan keluar setelah mereka dikurung oleh Nabi Allah Sulaiman di Semenanjung Arab.  Sembilan persepuluh akan ke Iraq dan sepuluh peratus akan ke Syam”
Al-Allamah Abdul Baqi al-Zarqani di dalam kitabnya al-Aslah al-Muhirah Haulad-Dunya-Wal-Akhirah mengatakan tidak ada sebarang tegahan untuk mengurung jin bagi mereka yang diberi kuasa atau kelebihan oleh Allah.  Sekiranya  kepada Nabi dikira sebagai mukjizat dan kepada wali sebagai karomah. Tidak mustahil juga kelebihan ini diberikan kepada perawat Islam yang ikhlas dalam merawat sebagai ikhtiar penyembuhan yang berkesan.

Sumber rujukan:
Jin: Hakikat & Pengubatan oleh Dato’ Hj. Ismail Kamus

Sunday, April 8, 2012

MARTABAT ORANG YANG SEMBAHYANG

Salam hormat buat pembaca yang setia mengikuti blog saya.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa sembahyang atau solat adalah merupakan tiang agama. Barangsiapa mendirikan sembahyang, bermakna dia mendirikan agama dan barangsiapa meninggalkan sembahyang seolah-olah dia meruntuhkan agama. Melihat kepada peri besarnya urusan sembahyang ini, maka janganlah hendaknya kita umat Islam mengambil mudah.


Tulisan kali ini membawa dimensi yang agak lain sedikit, iaitu mengupas mengenai martabat orang yang sembahyang sebagaimana yang ditulis oleh ulama dahulu iaitu Asy-Syeikh Muhammad Shaleh bin Abdullah Mengkabauw dalam kitab Kasyfu Asrar (Pembukaan Segala Rahsia)....
Bacalah dengan hati yang ikhlas dan bersih....
Soal : Dan berapa martabat orang yang sembahyang, beri jawabnya?
Jawab: Adapun martabat orang yang mengerjakan sembahyang itu, tiga martabat:
1.      Martabat sembahyang syari’at
2.      Martabat sembahyang thariqat
3.      Martabat sembahyang hakikat
Soal: Dari mana rupa sembahyang orang syari’at dan apa hukumnya, dan mana rupa sembahyang orang thariqat dan apa hukumnya, dan mana rupa sembahyang orang hakikat?
Jawab:
1.      Adapun sembahyang orang syari’at itu, iaitu orang memandang daripadanya kepada Allah, serta suci daripada riya’ dan sum’ah semata-mata, kerana harap dapat pahala dan takut akan azab, serta mengetahui segala syaratnya dan rukunnya, dan mengetahui segala yang membatalkan dia, dan hukumnya orang ini syirik semata-mata.....Bermula amal syirik, tiada sekali-kali diterima amalnya, dan jikalau sebesar bukit sekalipun.

2.      Dan sembahyang orang thariqat itu, iaitu i’tikadnya hadir Allah Taala pada hadapannya, melihat akan segala perbuatan dan mendengar akan segala bacaan, maka sangat khyusuk’nya kerana Allah Taala hadir pada hadapannya.  Dan suci daripada riya’ dan sum’ah. Dan tiada kerana harap akan pahala, dan tiada kerana takut akan seksa, hanya memandang dirinya itu hamba, mengerjakan suruh, meninggalkan tegah, hanya terima amalnya daripada sekadar hadir hatinya kepada Allah Taala dalam sembahyang ini. Orang memandang daripada Allah kepadanya hukumnya syirik jua, akan tetapi halus syiriknya daripada orang mubtadi, kerana ada wujudnya.

3.      Dan adapun sembahyang orang hakikat itu, iaitu orang tiada memandang bagi dirinya amal, hanya memandang fi’il kelakuan Allah Taala yang berlaku pada dirinya yang ditakdirkan pada azali sebelum dijadikan dia, hanya memandang bagi dirinya jadi alat, serupa qalam pada orang yang menyurat. Maha Suci Allah Taala daripada alat, hanya dipandangnya segala amalnya daripada Allah, dengan Allah, bagi Allah.....Inilah orang yang lepas daripada halusnya syirik.  Inilah yang sebenar sembahyang yang bernama otak sembahyang. Wallahu Al-Muwafiq.

Bagaimana saudara pembaca? Cuba kita periksa mutu sembahyang kita adakah berada pada martabat syari’at, atau pada martabat thariqat atau pada martabat hakikat?  Pada pendapat saya yang kurang ilmunya ini, kesemuanya iaitu syari’at, thariqat dan hakikat mestilah disepadukan dalam gerak yang satu, barulah sempurna. Kalau kurang salah satunya, maka pincanglah amalan kita.
Sekian, jumpa lagi dalam  tulisan saya yang akan datang.
Mana satu martabat sembahyang kita?

Tuesday, March 27, 2012

Menangani Anak Hiperaktif

Gelagat anak hiperaktif...kreatif tapi lasak

Saudara pembaca yang budiman.
Anak-anak adalah merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya dalam keluarga.  Tanpa kehadiran anak-anak dalam sesebuah keluarga, ibarat tidak lengkap bahtera perkahwinan yang dibina. Hidup terasa sunyi, jiwa terasa kosong dan terasa ada yang tidak kena. Ya... kehadiran anak-anak menjadi penyejuk mata kedua-dua orang tua. Melihat keletah mereka cukup membuatkan kehidupan menjadi indah dan ceria.
Sewajarnya kita sentiasa bersyukur kepada anugerah Allah yang tidak ternilai dengan kehadiran cahaya mata, namun jika ditakdirkan kita menerima anak-anak hiperaktif, bagaimana? Sanggupkan kita bersabar melayan kenakalan dan tingkahlaku anak-anak yang melampaui tahap normal? Sesetengah orang senang berkata bahawa hiperaktif adalah anak yang degil dan keras kepala...betul ke?
Saudara,
Saya terpanggil menulis artikel ini ekoran ada satu pasangan yang mengadu mengenai dua orang anaknya yang hiperaktif. Pasangan ini begitu buntu dan susah hati melihatkan gelagat buas dan nakal anak-anaknya. Saya sebenarnya lagilah  buntu untuk membantu mereka kerana apalah sangat ilmu saya untuk merawat kes sebegini. Untuk tidak menghampakan harapan mereka, saya berjanji untuk membantu setakat mana yang termampu oleh saya. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah untuk menyembuhkannya. Sehingga artikel ini ditulis, saya belum lagi merawat anak mereka..
Sebagai manusia yang diberikan akal dan hidup berlandaskan ajaran Islam, yakinlah bahawa setiap pemberian dari Allah (termasuk anak hiperaktif) ada hikmahnya yang tersendiri. Bersabarlah menerima dugaan anak hiperaktif dan layanlah mereka dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak-anak yang  menjadi penyejuk mata kita. Lazimkanlah membaca doa di bawah ini setiap kali selesai solat 5 waktu:
DOA DISIPLINKAN ANAK
“Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama”

Maksudnya:
“Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa

Lebih elok ibu bapa membaca doa ini dan ditiupkan ke ubun-ubun anak-anak ketika anak-anak sedang tidur dengan niat dalam hati......
Sebagai tambahan boleh juga dibaca kombinasi doa berikut:
1.      Surah Al-Fatihah
2.      Surah Al- Hasyr (ayat 21 – 24) iaitu Doa Pemecah, mudah-mudahan Allah turunkan darjah hiperaktifnya ke tahap normal
3.      Surah Toha (ayat 1 – 5) iaitu Doa Pelembut Hati, mudah-mudahan Allah lembutkan hatinya agar mendengar kata dan nasihat yang berguna, sebagaimana kisah Sayyidina Umar lembut hatinya mendengar bacaan surah ini dan memeluk Islam.
Saudara,
Marilah kita kembali kepada doa dan kaedah rawatan Islam untuk menangani apa jua kes zahir dan batin. Mudah-mudahan hidup kita semua diberkati Allah.  Aminnnn.
Sekian, terimalah sedikit perkongsian ilmu daripada saya yang jahil ini. Semoga berjumpa lagi.

Hai...saya anak hiperaktif. jangan marah ye...