Friday, December 9, 2011

Sihir Menurut islam

 
Syaitan mengajar sihir

Pengenalan
Sihir merupakan ilmu yang telah lama wujud dan berakar umbi dalam kehidupan manusia. Sihir juga dikenali sebagai ilmu hitam. Asal usul sihir adalah daripada amalan syaitan. Syaitanlah yang mempelopori ilmu tersebut dan diajarkan kepada manusia semata-mata atas nama kejahatan kerana syaitan itu adalah musuh utama manusia. Mana mungkin musuh akan mengajar atau memberi kebaikan kepada musuhnya.



Sejarah Sihir
Ilmu sihir dikatakan telah muncul sejak zaman Nabi Idris a.s dan dikatakan telah berkembang dalam kalangan Bani Israel di Babylon (Iraq) dalam tahun 586 sebelum masihi, yang dikaitkan dengan kisah Harut dan Marut yang mengajar ilmu sihir itu kepada manusia. Pada zaman Nabi Musa a.s, ilmu sihir menjadi ilmu yang amat digemari oleh masyarakat manusia pada ketika itu. Ramai ahli atau tukang sihir yang mempraktikkan ilmu sihir dengan bebas dan digeruni oleh masyarakat. Apabila Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan Bani Israil umumnya dan mengajak mereka kepda agama Tauhid,  Allah SWT membekalkan kepada Nabi Musa a.s mukjizat tongkat yang bolem bertukar menjadi ular dan tangannya boleh mengeluarkan cahaya. Firaun dan Bani Israil menolak kejadian tersebut sebagai mukjizat, malah mereka mengatakan bahawa itu adalah perbuatan sihir. Firaun dengan mudah mengumpulkan ramai tukang sihir yang masing-masing berkeupayaan melakukan kerja sihir. Akan tetapi dengan pertolongan Allah, Nabi Musa a.s dengan mudah dapat mengalahkan semua ahli sihir tersebut sehingga mereka mengakui Nabi Musa a.s sebagai nabi dan beriman dengannya.

Bahana sihir
Dewasa ini, sihir ada dimana-mana, baik masyarakat maju mahupun masyarakat mundur. Kemudaratan akhibat ilmu sihir amat ketara dan boleh berlaku ke atas orang biasa di peringkat bawahan dalam ‘hirarki’ masyarat manusia, malah boleh berlaku sehingga ke peringkat paling atas dan ke atas sesiapa sahaja yang ditujukan oleh pengamal-pengamal sihir tersebut. Sihir boleh mengakibatkan mangsanya  jatuh sakit dengan tiba-tiba tanpa sebab yang jelas, bermusuh-musuhan, bercerai-berai, gila, rungsing yang kronik, malah sehingga membawa maut. Nauzubillah...
Sedangkan Nabi kita sendiri, Muhammad s.a.w pun pernah terkena sihir pada zamannya seperti yang sabit dalam  sebuah hadis sahih, menunjukkan seriusnya fenomena sihir itu. Selama ini tiada peruntukan dalam mana-mana enakmen atau undang-undang di Malaysia yang boleh diambil tindakan undang-undang ke atas orang yang melakukan sihir jika disabitkan. Jalan yang selamat ialah dengan beramal soleh dan membentengi diri dan keluarga daripada kejahatan sihir. Belajarlah ilmu menangkis kejahatan sihir atau apabila terkena sihir, berubatlah atau carilah penawar daripada pengamal perubatan Islam..

Hakikat sihir menurut ulama
Ulama-ulama Islam  seperti Fakharuddin Ar-Razi, Al-Farabi, Al-Kindi, Al-Ghazali, Ibnu Sina, Ibnu Rusd, dan Ibnu Kathir telah memberi pandangan dan fatwa tersendiri mengenai ilmu sihir ini.  Para ulama ini secara keseluruhan memberi pengertian yang tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Kesimpulan daripada pandangan mereka, menyatakan  bahawa sihir itu ialah ilmu yang dipelajari daripada guru yang mahir dalam ilmu sihir itu menerusi amalan kebatinan yang berlawanan dengan akidah Islam. Perbuatan tersebut merosakkan akidah seseorang dengan menggunakan jampi mentera yang diajar oleh makhluk halus untuk menghasilkan suatu perkara jahat.
Sihir boleh dikenali  melalui elemen-elemen seperti berikut:
1.      Sihir adalah ilmu. Ilmu yang semata-mata keduniaan dan langsung tidak memberi kebaikan di akhirat.
2.      Ilmu sihir diperkenalkan dan diajar oleh syaitan kepada manusia.
3.      Mengundang kemudaratan sama ada ke atas yang melakukannya atau kepada mangsanya.
4.      Kemudaratan yang paling hebat dan dilaknat adalah kekufuran dan kesyirikan kepada Allah SWT.
5.      Sihir boleh menghasilkan tujuan jahat seperti menyakiti jasmani dan rohani manusia.
6.      Merelakan diri insan menjadi hamba kepada syaitan dengan mematuhi apa sahaja suruhannya kerana mengharapkan balasan daripada syaitan itu yang menghasilkan kepadanya ilmu sihir.
7.      Dengan mengamalkan amalan dan latihan kebatinan tertentu terhadap objek-objek seperti keris lama, besi kuning dan buluh kunig tumpat bagi menghasilkan hal-hal yang mencarik adat menerusi pemujaan yang melampaui kebiasaan.
8.      Menggunakan peralatan-peralatan sihir yang pada kebiasaannya menggunakan tengkorak manusia, tangkal-tangkal yang pelbagai, kain berbagai-bagai warna, mengasap kemenyan pada malam-malam tertentu dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syaral.
Sekian untuk perkongsian info kali ini. Nasihat saya, elakkan dari terjebak dengan ilmu sihir..
Sumber rujukan: Rawatan Penyakit Akibat Sihir, Siri 5, oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Wednesday, December 7, 2011

Silat Cekak - Silat Papan Sekeping

Salam hormat buat pembaca setia blog saya..

Logo Silat Cekak

Untuk tulisan kali ini , saya berminat untuk berkongsi pengalaman mengenai salah satu ilmu persilatan yang pernah saya tuntut iaitu Seni Silat Cekak – Silat Papan Sekeping. Silat Cekak merupakan satu-satunya ilmu persilatan yang telah saya tuntut sehingga tamat silibusnya. Tetapi ini tidaklah bermakna saya seorang yang mahir dalam silat ini. Kemahiran dalam bersilat memerlukan latihan yang berterusan (istiqamah). Kalau malas berlatih, alamat beratlah geraknya dan lambatlah tindakannnya. Serupalah dengan saya, yang kini hanya memendam ilmu silat ini tanpa  kerap berlatih. 


Ustaz Ishak bin Itam

Ilmu Silat Cekak ini saya terima daripada Ustaz Ishak bin Itam  melalui ijazah pertama pada tahun 2000  sehinggalah  ijazah tamat pada tahun 2001. Untuk menguji ilmu silat ini, saya mengambil Ujian Sijil Rendah di Kuang pada tahun 2002. Setelah itu saya diamanahkan oleh guru untuk menjadi pembantu jurulatih pada tahun 2005. Sekarang ini, saya menjadi ahli tidak aktif atas beberapa sebab.
Namun begitu, walaupun saya tidak aktif, tetapi ilmu dan pengamalan silat ini tetap saya bawa dalam kehidupan. Bagi bangsa Melayu, ilmu persilatan adalah merupakan lambang kebudayaan bangsa Melayu. Pada pendapat saya, Silat Cekak mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding dengan silat-silat Melayu yang lain.


Keistimewaan Silat Cekak:
Sebenarnya ‘Silat Papan Sekeping’  bermaksud silat Cekak yang asli dengan kaedah-kaedah yang mara ke hadapan sahaja (tidak mengelak ke kiri dan ke kanan) boleh digunakan untuk mempertahankan diri di tempat yang sempit walaupun di atas titi papan sekeping. Silat Cekak hanya berdiri lurus seperti pendirian sembahyang. Dimana antara tapak kaki kanan dengan yang kiri tidak terlalu renggang dan tidak terlalu rapat. Dengan pendirian lurus inilah sebenarnya terletak kekuatan Silat Cekak. Berdiri lurus merupakan penengah dari segala pergerakan ke kiri dan ke kanan serta bergerakan ke belakang. Disamping itu, dengan berdiri lurus juga adalah berdiri yang normal bagi manusia. Jika sedang berhadapan dengan musuh, musuh tidak tahu tipu helah kita, kerana dilihatnya pendirian kita seperti pendirian orang yang tidak mahu bergaduh. Jika sekiranya kita menggunakan pendirian kuda-kuda, musuh akan dapat mengetahui tipu helah kita dan dapat membaca mana tangan atau kaki yang ‘mati’ dan mana yang ‘hidup’.
Silat Cekak hanya menyerang apabila terpaksa, demi menjaga keselamatan diri. Sistem pelajaran sedemikian itu secocok dengan ajaran al-Quran yang mengajar supaya tidak menceroboh kecuali diceroboh terlebih dahulu. Pelajaran silat lain yang menumpukan kepada kaedah menyerang semata-mata dipercayai bukan sahaja akan membangkitkan semangat angkuh dan bongkak malah mendorong mereka bertindak kasar dan ganas.
Silat Cekak pada hakikatnya adalah silat gerak. Silat makan segerak, dan makan gerak dalam gerak. Ilmu kebatinan yang diterapkan kepada pengamalnya ialah ilmu untuk mengingati Allah dengan sebenar-benarnya sehingga hati sentiasa terjaga walaupun mata kasarnya lena. Tujuan mengingati Allah adalah untuk membersihkan hati dari penyakit mazmumah seperti megah, riak, dengki dan sebagainya...tujuan akhirnya supaya hati sentias ikhlas terhadap Allah. Setalah hati bersih dan ikhlas barulah Allah membuka dan mengurniakan kepada kita rahsia-rahsia hakikat dan makrifatnya. Pada ketika itu, tercapailah tujuan hidup kita iaitu untuk menjadi hamba Allah semata-mata.
Sekian, Insya-Allah akan bersambung lagi..

Tuesday, December 6, 2011

Hikmah Surah Al Ikhlas

Assalamu’alaikum wwt..
Surah Al Ikhlas atau lazim disebut QulhuAllah,  merupakan satu surah yang mudah dibaca kerana mengandungi 4 ayat sahaja. Walaupun ringkas dan mudah dibaca, hatta kepada anak-anak kecil sekalipun, namun pernahkan kita mengkaji akan khasiatnya seperti sabda baginda Nabi Muhammad SAW.?
Surah Al Ikhlas merupakan penegasan yang mutlak dan padu mengenai keesaan Zat Allah. Allah itu Esa (satu) pada zat, sifat, asma’ dan af’alnya. Mengesakan Allah merupakan kewajipan yang tidak boleh digugat walau dengan apa cara sekalipun.

Berikut saya kongsikan dengan pembaca akan fadilat atau khasiat yang akan diperoleh sekiranya beramal dengan surah Al Ikhlas. Saya ringkaskan intipati daripada sabda Nabi Muhammad SAW (berdasarkan buku bertajuk Khasiat & Fadhilat Ayat-ayat Suci Al-Quran 30 Juzu’, oleh Abu Al-Baqir Ad-Dusuki,2007, ms 209-211):
1.      Dibaca 1 kali : dikurniakan pahala seperti orang yang membaca 1/3 Al Quran.
2.      Dibaca 3 kali : mendapat pahala seperti pahala orang yang membaca Quran sekali khatam. Dibaca 3 kali sebelum masuk ke dalam rumahnya, terpelihara dari kepapaan dan dikasihi oleh jiran-jirannya.
3.      Dibaca 11 kali : nescaya Allah sediakan baginya satu mahligai dalam syurga. Jika dibaca 11 kali pada perkuburan, kemudian dihadiahkan pahalanya kepada ahli kubur, nescaya diberikan kepada sipembacanya pahala sebanyak bilangan ahli kubur di situ.
4.      Dibaca 21 kali sebelum tidur : kemudian mengiring ke sebelah kanan, nescaya diseru pada hari Kiamat “Wahai hamba-Ku, pergilah ke pihak kanan dan masuklah ke dalam syurga”
5.      Dibaca 51 kali  setiap hari: nescaya dibangunkan dari kuburnya terus ke syurga.
6.      Dibaca 200 kali setiap hari : serta ia tidak mempunyai hutang dengan manusia, nescaya dituliskan baginya 1500 kebajikan dan dihapuskan dosanya yang telah dilakukan dalam masa 50 tahun.
7.      Dibaca 1000 kali : dan tidak menzalimi manusia, tidak mencuri, tidak berzina dan tidak minum minuman memabukkan, nescaya Allah ampunkan kesalahan yang dilakukannya dalam tempoh 50 tahun.
8.      Dibaca 1000 kali : nescaya dikurniakan kepadanya kesukaan dan ditempatkan di dalam syurga.
9.      Dibaca 1000 kali : lebih dikasihi oleh Allah daripada orang yang membelanjakan 200 ekor kudanya untuk perang sabilillah.
10.  Dibaca 100,000 kali : nescaya dikurniakan pahala seperti orang yang menebus dirinya dari neraka.
Apapun......jadikan surah Al Ikhlas sebagai wirid harian kita, baik selepas selesai solat, mahupun dimana-mana sahaja. Cintailah surah Al Ikhlas, nescaya surah Al Ikhlas akan mencintai kita.. Berkata Syeikh Abu Hassan As-Syazali “Apabila engkau hendakkan keikhlasan, maka bantulah dirimu dengan membaca surah Al Ikhlas.

Sekian, untuk perkongsian kali ini. Selamat beramal...