Friday, December 7, 2012

SAKIT JANTUNG DAN RAWATAN DOA

Sakit jantung merupakan penyakit yang sering dikaitkan dengan gaya hidup moden pada hari ini seperti tabiat menghisap rokok, kurang bersenam, stress dan sebagainya.  Ada juga sakit jantung yang berpunca daripada angkara gangguan sihir ataupun campur tangan jin @ syaitan. Sifatnya yang halus dan boleh berjalan menerusi saluran darah berkemungkinan akan menyebabkan salur darah ke jantung akan tersumbat jika kita lalai mengingati Allah (berzikir)

Saya ada beberapa orang rakan yang pernah terkena serangan sakit jantung. Rakan pertama; seorang guru yang aktif dalam kegiatan riadah dan silat, namun terkena juga sakit jantung walaupun aktif dalam kegiatan luar. Rakan kedua; merupakan bekas askar yang berpencen, juga kena sakit jantung.

 Sakit Jantung

Walau apapun puncanya, kita kena sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada.

Jantung manusia terdiri daripada serabut-serabut otot khusus yang bekerja untuk mengepam darah. Apabila otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang cukup, seseorang itu dikatakan mengidap sakit jantung. Antara penyebab bekalan darah ke otot jantung tidak cukup, disebabkan saluran darah menjadi sempit kerana dinding sebelah dalam saluran darah dipenuhi lemak, terutamanya "kolesterol".
Serangan Penyakit Jantung
Penyakit jantung digambarkan sebagai rasa kesakitan yang amat sangat di bahagian dada yang berterusan sehingga setengah jam, menjalar kearah tangan kiri dan rahang. Pesakit akan mengalami keseukaran untuk bernafas dan perasaan takut yang keterlaluan.

Sebab sebenar rasa kesakitan ini adalah disebabkan kematian sebahagian otot jantung yang disebabkan oleh salur darah di bahagian tersebut tersumbat. Lebih besar salur darah yang tersumbat, lebih merbahaya serangan jantung tersebut. Sekiranya saluran darah tertutup sepenuhnya, sebahagian dari otot jantung akan rosak. Kemudian, sakit dada yang teramat sangat akan terjadi. Keadaan inilah yang dinamakan "serangan sakit jantung".

Faktor Penyebab
1. Asap Rokok
Mempercepatkan pembekuan darah
Menggalakkan pemendapan lemak pada dinding saluran darah.
Mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.

2.Tekanan Perasaan
Seseorang yang mengalami tekanan perasaan, degup jantungnya, meningkat.
Tekanan darahnya juga meningkat.

3.Kandungan Lemak Yang Tinggi
Lebih tinggi kandungan lemak, lebih berbahaya. Makanan yang tinggi lemak, adalah seperti mentega, minyak sapi, daging berlemak.

4.Kurang bersenam
Senaman penting untuk menguatkan jantung.
Ia juga penting untuk memperbaiki pengaliran darah ke
jantung. 

5.Darah Tinggi
Darah tinggi menggalakkan berlakunya penyempitan saluran darah.
Jantung "terpaksa" mengepam lebih kuat untuk mengalirkan darah melalui saluran yang sempit itu.
Lebih tinggi tekanan darah, lebih besar pula peluang serangan sakit jantung.

6.Kencing Manis
Pesakit kencing manis lebih tinggi peluangnya mendapat serangan sakit jantung

Ikhtiar Pengubatan Sakit Jantung Menerusi Doa dan Bahan Rawatan

Doa-doa yang perlu dibaca:

1.      Surah Al-Fatehah

2.      Selawat Syifa’ dengan mengulangi sekurang-kurangnya 3 kali pada ayat “tibbil qulubi wadawa ‘iha” kemudian baru baca hingga akhir ayat.

3.      Ayat Pemecah : “Lauanzalna ha zal quran.... hingga akhir.
4.      Selawat khusus :
“Allahhummasalli ‘ala qalbi sayyidina Muhammad”

Selawat khusus dibuat begini:
Letakkan tangan kanan di atas tempat kedudukan jantung pada pesakit lelaki ketika membaca doa. Pada pesakit perempuan pula, letak tangan di atas bahu kiri.

Bahan-bahan rawatan :
(baca doa-doa tersebut pada bahan ini)

1.      Air (sebaik-baiknya air zam-zam)
2.      Lada hitam (7 biji)
3.      Madu lebah asli (1 sudu)
4.      Telur ayam kampung (1 biji)
5.      Kelapa muda (ambil air dan isinya)
6.      Ketumbar (7 biji)

Keterangan:
·         1 sudu madu yang dicampur dengan 1 biji telur ayam kampung dan 7 biji lada hitam di makan pada waktu pagi
·         Air kelapa muda dan isinya dicampur dengan 7 biji ketumbar dimasukkan ke dalam gelas dan diminum pada waktu petang.
·         Air yang telah didoakan diminum dan disapukan pada bahagian dada yang sakit. Lakukan kaedah ini pada waktu pagi dan petang.

Insya-Allah mujarab....

Sumber Maklumat:
1.      Kementerian Kesihatan dan Utusan Malaysia
2.      Doa dan rawatan penyakit (i) : Dr. Amran Kasimin & Dato’ Dr. Haron Din. Darussyifa.

Wednesday, December 5, 2012

APLIKASI TAUHID DALAM PERUBATAN ISLAM

Salam sejahtera buat pembaca yang dihormati,
Dalam tulisan saya terdahulu, saya ada menyentuh tentang hubungan manusia dengan Allah dan Kalimah Laa Illaha Illa Allah.  Antara intisari perbahasannya adalah mengenai  persoalan nafi dan isbat dan mati sebelum mati (fana diri). Hanya yang maujud, yang hidup, yang berilmu, yang mendengar, yang melihat, yang berkuasa yang berkehendak, dan yang berkata-kata hanyalah Allah jua pada hakikatnya. Fahamilah konsep Laa haulawala quwwata illa billah hil aliyyil ‘azim (Tiada daya dan upaya aku melainkan daya dan upaya Allah Taala jua).
Begitulah halnya pegangan kita dalam setiap aktiviti kehidupan yang mana hanya Allah sahaja yang berkuasa segala-galanya. Dalam dimensi Perubatan Islam, ketika berhadapan dengan pesakit dan penyakit, janganlah kita bersandar dengan kepandaian dan ilmu yang kita miliki walaupun ada beberapa kes yang sebelum ini kita berjaya tangani (sembuh). Belum tentu kes yang serupa kita boleh berjaya ubatkan jika rasa ego menguasai diri.
Perawat atau pengamal perubatan Islam sepatutnya tahu tertib sebelum merawat, semasa merawat dan selepas merawat. Perawat bukan menjurus hendak menjadi bomoh, tetapi kita nak rawat hati, diri dan keluarga. Hati merupakan satu tempat yang paling penting dalam bab amalan. Kita harus faham tentang Syariat iaitu kenyataan tentang Perlakuan Allah. Allah hanya pinjamkan kudrat kepada kita untuk mengubat. Kita juga harus faham tentang Tariqat iaitu kenyataan Asma’ Allah. Begitu juga kena faham tentang Hakitat iaitu kenyataan Sifat Allah dan akhir sekali kena faham akan Makrifat iaitu kenyataan Zat Allah.
Dalam merawat kita buat kerja kita, jangan buat kerja Allah. Maksudnya kita harus berdoa dengan sepenuh hati, dengan ikhlas, dengan yakin dan redha. Sematkan.....bukan aku yang merawat tetapi Allah yang merawat. Fahamkan sebaik-baiknya menerusi pegangan tauhid.
Ilmu perubatan Islam memang berteraskan kepada konsep tauhid yang mantap kepada Allah. Belajar biarlah sampai pandai, tetapi jangan tunjuk pandai. Kita kena jaga akidah dan jaga etika yang betul. Pada hari ini, semakin bercambah tumbuhnya pelbagai pusat rawatan Islam yang menawarkan kursus-kursus kepada umum. Bila dah belajar, maka banyaklah ayat-ayat dan amalan yang perlu dihafal /dipraktikkan. Banyaklah pula khasiat atau rahsia setiap amalan tersebut yang kita ketahui. Kalau tidak kena gayanya, kita pun bergantung kepada kebesaran ayat / hikmah amalan tersebut yang dapat menyembuhkan penyakit. Contohnya; Ayatul Qursi diyakini mampu mengusir jin@syaitan. Maka jika berhadapan dengan kes kerasukan, berbuihlah mulut membacanya dengan harapan dapat menghalau jin@syaitan. Di sinilah kita sering terlupa untuk membetulkan iktikad bahawa Allah jua yang berkuasa bukan ayat Qursi itu tadi yang berkuasa. Dalam hal ini, saya sendiri pun pernah terlalai sehingga jin dalam badan pesakit mengikut bacaan ayat Qursi yang saya bacakan malah mengatakan bacaan saya itu tidak betul.
Saudara pembaca,
Bukan niat saya untuk memperlihatkan yang saya seolah-olah faham tentang bab tauhid dan ilmu perubatan Islam. Tidak sekali-kali. Saya cuma mahu berkongsi tentang apa yang saya faham setakat ini. Jika ada sebarang kesilapan, tegurlah saya...
Saya masih mengaji dan mengkaji...ilmu Allah maha luas.
Jumpa lagi

Tuesday, December 4, 2012

Kalimah LAA ILLAHA ILLA ALLAH

laa Illaha Illa Allah

Zikir Paling Utama dan Afdhal
Sabda Nabi saw (maksudnya):
1.      “Yang paling utama diucapkan olehku dan para nabi sebelumku ialah Laa ilaha illa Allah”
2.      “Zikir yang paling utama ialah Laa Illah illa Allah dan doa yang paling utama ialah Alhamdulillah”

Diriwayatkan daripada Sayyidina Ali Kw.:
“Aku bertanya kepada Rasulullah saw pada sekali peristiwa; “ Ya Rasulullah, manakah jalan yang paling hampir  kepada Allah dan  paling mudah  atas hamba-hamba Allah dan paling utama di sisi Allah Taala? “Hai Ali, hendaklah engkau mengekali zikir Allah”. Ali berkata lagi: “Semua manusia menyebut Allah” Jawab junjungan saw: “Tiada akan berdiri kiamat sehingga tiada tinggal lagi atas muka bumi ini orang yang mengata Allah” . Maka Ali pun  bertanya kepada junjungan, “Bagaimanakah kifiat hamba berzikir ya Rasulullah?” maka jawab Rasulullah saw, “Pejamkan kedua matamu dan dengarlah daripadaku tiga kali, kemudian katakanlah seumpamanya sambil aku mendengar”. Maka mengucap junjungan saw: “Laa illaha illa Allah” tiga kali dalam keadaan memejamkan kedua matanya, kemudian Ali pun mengucap seperti yang demikian itu.

Laa illah illa Allah itu menjadi zikir yang paling utama dan afdhal kerana di dalamnya terkandung makna yang tiada terdapat dalam mana-mana zikir yang lain.  Pada hakikatnya, makna Laa illaha illa Allah itu ialah :
1.      Terkaya Allah Taala daripada tiap-tiap sesuatu (Istigna)
2.      Berkehendak tiap-tiap sesuatu yang lain kepada Allah Taala (Ifftiqar)

Di dalam kalimah Laa illaha illa Allah ini juga terkandung pengertian NAFI dan ISBAT.
Yang dikehendaki dengan nafi itu ialah menafikan wujud diri kita iaitu:
      Laa maujud (tiada yang maujud),Laa hayyu (tiada yang hidup),Laa ‘alimu (tiada yang mengetahui),Laa qaadiru (tiada yang kuasa),Laa muridu (tiada yang berkehendak),Laa sami’u (tiada yang mendengar),Laa basiru (tiada yang melihat),Laa mutakalimu (tiada yang berkata-kata)  MELAINKAN ALLAH TAALA jua.
Hanya sifat yang zahir pada makhluk ini tempat zahir sifat Tuhan kepada hamba, seperti wujud kita ini bayang-bayang bagi wujud Allah Taala.  Mustahil bayang-bayang berdiri sendirinya tiada dengan wujudnya empunya bayang-bayang. Dan mustahil bergerak bayang-bayang dengan tiada bergerak empunya bayang-bayang. Bermula contoh ini kerana memudahkan kefahaman kita.  Firman Allah Taala: “ Hanya Aku jadikan sesuatu itu kerana hendak mengenal engkau akan Daku dalam tiap-tiap sesuatu. Aku yang menjadikan tiap-tiap sesuatu”

Maka fana’kan (binasakan) wujudmu dalam wujud Allah. Sifatmu dalam sifat Allah iaitu Allah Taala yang hidup dalam dirimu, yang tahu dalam ilmumu, yang kuasa dalam tulangmu, dan yang berkehendak pada nafsumu, dan yang mendengar pada telingamu, dan yang melihat pada matamu, dan yang berkata pada lidahmu.  Maka tatkala itu, lepas engkau (kita) daripada syirik.  Dan adalah sebab terdinding kita kepada Allah Taala dengan sebab sangka dan waham kita disangka kita yang punya ikhtiar dan punya perbuatan.  Syak wasangka itulah yang wajib kita nafikan pada kalimah Laa illah, kerana tiada sekali-kali kita punya perbuatan dan punya ikhtiar hanya Allah Taala yang berlaku pada hamba seata-mata.  Inilah isyarat sabda Nabi saw:
Yakni : “ Matilah kamu sebelum kamu mati “ iaitu mati ikhtiar

Jelaslah pada peringkat ini kita hanya memandang daripada Allah kepada Allah. Kita tidak memandang bagi dirinya amal, hanya apabila beramal ia sematkan atau iktikadkan dalam hatinya akan mal itu
Minallah (daripada Allah)
Billah (dengan Allah)
Lillah (bagi Allah)

Sekian daripada hamba yang fakir ini.
Rujukan : kitab Kasyfu Al-Asrar (pembukaan segala rahsia), Asy-Syeikh Muhammad Shaleh bin Abdullah Mengkabauw.