Tuesday, December 4, 2012

Kalimah LAA ILLAHA ILLA ALLAH

laa Illaha Illa Allah

Zikir Paling Utama dan Afdhal
Sabda Nabi saw (maksudnya):
1.      “Yang paling utama diucapkan olehku dan para nabi sebelumku ialah Laa ilaha illa Allah”
2.      “Zikir yang paling utama ialah Laa Illah illa Allah dan doa yang paling utama ialah Alhamdulillah”

Diriwayatkan daripada Sayyidina Ali Kw.:
“Aku bertanya kepada Rasulullah saw pada sekali peristiwa; “ Ya Rasulullah, manakah jalan yang paling hampir  kepada Allah dan  paling mudah  atas hamba-hamba Allah dan paling utama di sisi Allah Taala? “Hai Ali, hendaklah engkau mengekali zikir Allah”. Ali berkata lagi: “Semua manusia menyebut Allah” Jawab junjungan saw: “Tiada akan berdiri kiamat sehingga tiada tinggal lagi atas muka bumi ini orang yang mengata Allah” . Maka Ali pun  bertanya kepada junjungan, “Bagaimanakah kifiat hamba berzikir ya Rasulullah?” maka jawab Rasulullah saw, “Pejamkan kedua matamu dan dengarlah daripadaku tiga kali, kemudian katakanlah seumpamanya sambil aku mendengar”. Maka mengucap junjungan saw: “Laa illaha illa Allah” tiga kali dalam keadaan memejamkan kedua matanya, kemudian Ali pun mengucap seperti yang demikian itu.

Laa illah illa Allah itu menjadi zikir yang paling utama dan afdhal kerana di dalamnya terkandung makna yang tiada terdapat dalam mana-mana zikir yang lain.  Pada hakikatnya, makna Laa illaha illa Allah itu ialah :
1.      Terkaya Allah Taala daripada tiap-tiap sesuatu (Istigna)
2.      Berkehendak tiap-tiap sesuatu yang lain kepada Allah Taala (Ifftiqar)

Di dalam kalimah Laa illaha illa Allah ini juga terkandung pengertian NAFI dan ISBAT.
Yang dikehendaki dengan nafi itu ialah menafikan wujud diri kita iaitu:
      Laa maujud (tiada yang maujud),Laa hayyu (tiada yang hidup),Laa ‘alimu (tiada yang mengetahui),Laa qaadiru (tiada yang kuasa),Laa muridu (tiada yang berkehendak),Laa sami’u (tiada yang mendengar),Laa basiru (tiada yang melihat),Laa mutakalimu (tiada yang berkata-kata)  MELAINKAN ALLAH TAALA jua.
Hanya sifat yang zahir pada makhluk ini tempat zahir sifat Tuhan kepada hamba, seperti wujud kita ini bayang-bayang bagi wujud Allah Taala.  Mustahil bayang-bayang berdiri sendirinya tiada dengan wujudnya empunya bayang-bayang. Dan mustahil bergerak bayang-bayang dengan tiada bergerak empunya bayang-bayang. Bermula contoh ini kerana memudahkan kefahaman kita.  Firman Allah Taala: “ Hanya Aku jadikan sesuatu itu kerana hendak mengenal engkau akan Daku dalam tiap-tiap sesuatu. Aku yang menjadikan tiap-tiap sesuatu”

Maka fana’kan (binasakan) wujudmu dalam wujud Allah. Sifatmu dalam sifat Allah iaitu Allah Taala yang hidup dalam dirimu, yang tahu dalam ilmumu, yang kuasa dalam tulangmu, dan yang berkehendak pada nafsumu, dan yang mendengar pada telingamu, dan yang melihat pada matamu, dan yang berkata pada lidahmu.  Maka tatkala itu, lepas engkau (kita) daripada syirik.  Dan adalah sebab terdinding kita kepada Allah Taala dengan sebab sangka dan waham kita disangka kita yang punya ikhtiar dan punya perbuatan.  Syak wasangka itulah yang wajib kita nafikan pada kalimah Laa illah, kerana tiada sekali-kali kita punya perbuatan dan punya ikhtiar hanya Allah Taala yang berlaku pada hamba seata-mata.  Inilah isyarat sabda Nabi saw:
Yakni : “ Matilah kamu sebelum kamu mati “ iaitu mati ikhtiar

Jelaslah pada peringkat ini kita hanya memandang daripada Allah kepada Allah. Kita tidak memandang bagi dirinya amal, hanya apabila beramal ia sematkan atau iktikadkan dalam hatinya akan mal itu
Minallah (daripada Allah)
Billah (dengan Allah)
Lillah (bagi Allah)

Sekian daripada hamba yang fakir ini.
Rujukan : kitab Kasyfu Al-Asrar (pembukaan segala rahsia), Asy-Syeikh Muhammad Shaleh bin Abdullah Mengkabauw.

Wednesday, November 28, 2012

HUBUNGAN HAMBA DENGAN TUHAN (ALLAH TAALA)

Assalamu’alaikum wwt.
Salam sejahtera buat pembaca yang dihormati sekalian.
Sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini, kita perlulah mengenal-Nya dengan pengenalan yang betul sebagaimana yang dituntut oleha agama Islam yang suci. Ada banyak kaedah untuk kita mengenal Allah yang Esa. Kita boleh belajar Tauhid tentang sifat-sifat Allah yang wajib, mustahil dan harus (melalui pelajaran sifat 20) atau kita belajar menerusi jalan Mengenal Diri  yang membawa kita mengenal Allah (jalan tasauf) dan sebagainya.
Sekiranya Allah menghendaki kebaikan  bagi diri kita , maka akan didorongnya kita belajar dan mengerti akan agama Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad saw. Sebaliknya jika kita jauh daripada agama, maka cepat-cepatlah belajar sebelum terlambat.
Tulisan pada kali ini mengajak kita merenung sejenak hubungan kita dengan Tuhan iaitu Allah Taala. Bagaimanakah pemahaman kita akan perhubungan hamba dengan Tuhan ini?
Saya bawakan  penerangan tersebut melalui kaedah soal jawab  dengan merujuk kitab Kasyfu Al-Asrar (Pembukaan Segala Rahsia) karangan Asy-Syeikh Muhammad Shaleh bin Abdullah Mengkabauw.
Soal : Dan mana misal (perumpamaan) hamba dengan Tuhan, mana misal Tuhan dengan hamba, beri ilmunya supaya tahu?
Jawab : Bermula misal hamba dengan Tuhan dan misal Tuhan dengan hamba, iaitu:
1.      Misal matahari dengan cahayanya, tiada sekutu, tiada bercerai cahaya itu dengan zat matahari, bukan cahaya itu matahari, bukan lain daripada matahari.
2.      Dan lagi misalnya, seperti api dengan asap. Adapun asap itu menunjukkan ada api dan bukan asap itu api tiada lain daripada api, tiada bercerai tiada sekutu.
3.      Seperti misal ini, hamba dengan Tuhan, tiada bercerai tiada sekutu.maka tatkala itu hairan akal dan sangat ajaib, betapakah berhimpun keduanya. Inilah isyarat sabda Nabi saw .( maksudnya) “ Tiada bercerai antara nafi dengan isbat dan sesiapa ceraikan, orang itu kafir”
Soal : Dan manakah rupanya yang tiada bercerai tiada sekutu, beri kami hukumnya?
Jawab : Dan adapun rupanya tiada bercerai itu, iaitu:
1.      Kuasa engkau itu, kuasa Allah Taala
2.      Bergerak engkau itu, digerakkan oleh Allah Taala
3.      Dan ikhtiar engkau itu, ikhtiar Allah Taala
 Dan erti tiada sekutu itu, iaitu tiada sekali-kali engkau berkuasa sertanya seberat zarah jua, hanya semata-mata kuasanya Allah Taala. Sabda Nabi saw: (maksudnya): “Tiada bergerak suatu zarah jua melainkan dengan Allah, yakni dikehendaki oleh Allah”
Inilah ertinya nafi mengandung isbat, dan isbat mengandung nafi,
Tiada bercerai, Tiada sekutu.
Sekian sahaja daripada hamba yang fakir ini. Jumpa lagi....

Sunday, November 25, 2012

MEMPERBAHARUI IKRAR SILAT CEKAK

SILAT CHEKAK SILAT PAPAN SEKEPING
Logo rasmi
Assalamu’alaikum wwt.
Pemergian Allahyarham Guru Utama Silat Cekak Malaysia ke-2 iaitu Ustaz Ishak bin Itam (Pak Ak) pada 13 Mac, 2012 meninggalkan kesan mendalam kepada diri saya. Saya sangat menyayangi dan menyanjung tinggi jasa beliau yang telah mendidik dan membimbing diri ini sebagai pengamal silat Cekak. Saya telah menjadi muridnya mulai tahun 2000.
Dalam artikel terdahulu saya telah menyentuh serba sedikit berkenaan penglibatan saya di dalam Silat Cekak Malaysia (sila rujuk).
Pada saya, silat Cekak amat istimewa dari segi kekemasan buah dan kuncian serta amalan zahir dan batin yang selari dengan ajaran Islam sejati.
Perpecahan Silat Cekak
Siat Cekak yang dibawa dan dizahirkan oleh Almarhum Ustaz Hj. Hanafi bin Ahmad pada 19 Ogos, 1971 telah menyaksikan perpecahan yang hebat, sejak dari zaman Almarhum masih hidup lagi sehinggalah pada ketika ini.
Pada hari ini silat Cekak telah berpecah kepada EMPAT  nama berbeza yang dipimpin oleh Empat guru berbeza, iaitu:
1.      SILAT CEKAK HANAFI (Guru : EN. MARWI BIN LATIF)
2.      SILAT CEKAK PUSAKA USTAZ HANAFI (Guru : MD. RADZI HAJI HANAFI)
3.      SILAT CEKAK MALAYSIA (Guru : DATUK HJ.MAIDEEN BIN KADIR SHAH)
4.      SILAT CHEKAK SILAT PAPAN SEKEPING (Guru : MOHD SOLEH BIN HUSIN)
Tentang maklumat lanjut keempat-empat silat Cekak tersebut, saudara bolehlah melayari web berkenaan.

Pendirian saya

Secara rasminya pada 16 November, 2012 (Jumaat), saya telah memperbaharui ikrar (baiah) bersama Guru Mohd Soleh bin Husin iaitu guru Utama & Presiden Silat Chekak Silat Papan Sekeping. Ada sebab tersendiri saya memilih silat ini sebagai menyambung silatturahim silat Cekak setelah pemergian Allahyarham Pak Ak.

YM. Mohd Soleh bin Husin

Dengan ikrar tersebut, saya akan meneruskan perjuangan Silat Chekak Silat Papan Sekeping sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Yang penting saya mahu bersama jemaah persilatan ini.
Kepada sahabat-sahabat seperjuangan silat Cekak, marilah kita menyambung  kembali silatturahim silat Cekak yang diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi. Ibarat kata “Patah tumbuh hilang berganti”.

Kita bersilat bukan kerana silat,
Kita bersilat kerana agama.
Kita bersilat bukan kerana silat,
Kita bersilat kerana Allah.
Sekian untuk paparan ringkas kali ini.